Artikel Popular

Sunday, March 24, 2013

Cyprus: Pendeposit Terpaksa Tanggung Beban

AHAD, 24  Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Selepas pilihan raya Italy yang berkesudahan parlimen tergantung, Robert J. Samuelson muncul dalam The Washington Post dengan menegaskan bahawa krisis euro kembali semula. Dalam pilihan raya yang menyaksikan kepulangan semula bekas Perdana Menteri Silvio Berlusconi, menurut Samuelson,  bukan sahaja antijimat-cermat, tetapi juga anti-Jerman. Memang diakui, antaranya oleh Joseph Stiglitz bahawa pilihan raya itu membuktikan  jimat-cermat tidak berkesan.

Walau bagaimanapun, Presiden Bank Pusat Eropah (ECB), Mario Draghi, dipetik sebagai berkata bahawa keterukan krisis zon euro telah berakhir.  Tiba-tiba sejak beberapa hari lalu, perhatian tertumpu pada Cyprus, negara  terbaharu  yang terjebak dalam krisis di zon tersebut.  Nyata bahawa jimat-cermat berjaya "meragut" satu lagi mangsanya.  Keadaan semakin buruk apabila para pendeposit bertindak mengambil keluar wang mereka selepas bank-bank mendapat pelan penyelamat.

Bank-bank di negara itu, menurut Bloomberg,  mempunyuai 68.4 bilion euro dalam deposit daripada para pelanggan bank-bank lain pada akhir Januari.  Daripada jumlah itu, 21 bilion euro atau 31 peratus, adalah daripada pelanggan di luar kawasan euro, 63 peratus daripada pendeposit dalam negara, dan tujuh peratus dari negara lain dalam wilayah euro. 

Cadangan pengenaan levi sekala 10 peratus terhadap simpanan, dilaporkan mencetuskan panik dalam kalangan rakyat Cyprus, sebagai sebahagian pelan penyelamat luar biasa bernilai 10 bilion euro yang dipersetujui di Brussels.  Lebih memburukkan  lagi, pengenaan  tersebut membangkitkan kebimbangan dalam kalangan pendeposit di seluruh Eropah:  memerhatikan tindakan troika yang menakutkan

Sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini, iaitu "pendepost dijadikan penjamin." Selepas pilihan raya Italy yang menyaksikan pendukung jimat-cermat, iaitu Mario Monti tersungkur, Cyprus dijadikan sasaran kekerasan.  Namun, akibat pengenaan levi itu, bank-bank menutup perniagaan pada hari Isnin hingga Khamis.

Paul Krugman yang mengulas pengenaan levi itu, menegaskan akan mendorong penduduk lain di Eropah menyerbu bank-bank mereka dengan perasaan panik untuk mengeluarkan wang kerana takut bahawa mereka juga dikenakan cukai yang sama.  Meskipun Cyprus dianggap oleh pihak berkuasa sebagai sekala, untuk menjamin pendeposit di Portugal atau Sepanyol,  "adakah penduduk Eropah percaya bahawa pihak berkuasa tidak mempunyai wang yang cukup untuk melindungi seluruh penyimpan di Cyprus yang kecil, tetapi mempunyai  wang yang cukup untuk pelan penyelamat bank-bank di tempat lain," soal Buttonwood dalam The Economist.  

"Daripada banyak langkah yang kawasan euro ambil untuk mengatasi krisis hutang," tegas The Editors Bloomberg, "keputusan memaksa penyimpan di Cyprus menyumbang kepada pelan penyelamat negara adalah yang paling teruk."  Matthew O'Brien yang menulis dalam The Atlantic, juga mempunyai pendirian yang sama: sesuatu yang teruk apabila mengenakan cukai terhadap pendeposit untuk menampung pelan penyelamat. Dalam erti kata lain, "deposit tidak lagi selamat" - memetik Robert J. Samuelson turut mengulas apa yang berlaku di Cyprus itu: negara yang mempunyai jumlah penduduk hanya lebih sedikit satu juta orang,  dan dari segi ekonomi, hanya 0.2 peratus daripada 17 buah negara zon euro. "Terlalu kecil untuk menjadi penting di pentas dunia," hujah Samuelson.

Cyprus yang menganggotai Kesatuan Eropah pada tahun 2004 dan euro pada tahun 2008, menurut Peter Coy, membangunkan sistem perbankan yang terlalu besar untuk kerajaan sokong, dengan aset tujuh atau lapan kali lebih besar nilainya daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).  "Bank-bank Cyprus mengambil berbilion-bilion euro dalam bentuk deposit, termasuk daripada oligarki Rusia yang mendirikan perniagaan di negara pulau di Mediterranean itu."  Biasanya, bank tersebut, jelas Coy, menyimpan semua wang untuk berfungsi di tempat lain.  Terpengaruh dengan pulangan yang menarik, bank tersebut melaburkan wang pendeposit dengan jumlah yang banyak dalam pinjaman dan bon Greece.  Bank itu juga melabur dengan jumlah yang banyak dalam hutang kedaulatan Cyprus sendiri. 

Walau bagaimanapun, Cyprus yang berpecah belah sejak tahun 1974 akibat perebutan antara Turki dengan Greece, menolak pelan penyelamat dengan memohon pendanaan daripada Rusia.  "Bola keras" yang dikenakan oleh Kesatuan Eropah, bukan sahaja mendorong negara itu menolak pelan penyelamat, tetapi juga beralih ke Rusia.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...