Artikel Popular

Thursday, March 14, 2013

Orang Perancis: Gemar Daging Kuda, Enggan Bertutur dalam Bahasa Inggeris

KHAMIS, 14  Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Skandal daging kuda yang dapat dikesan dua tahun lalu, dan kini melanda Eropah, jika diimbas kembali pada mulannya dapat dikesan dalam burger yang dijual di Ireland dan United Kingdom, kemudian terbongkar dalam burger yang dijual oleh +Burger King.  Seterusnya, merebak ke dalam makanan lain, seperti produk yang dihasilkan oleh +Nestlé, burger yang dijual di Tesco, dan bebola daging  +Ikea, juga merebak di sekolah dan hospital.  

Berleluasanya daging kuda dalam makanan, bukan sahaja mendedahkan rangkaian sulit firma, tetapi juga seperti yang ditegaskan  dalam +The Economist  membangkitkan persoalan tentang keselamatan makanan, atau simpton krisis makanan, bahas +Jay Rayner dalam  The Observer, harga makanan murah.   Bahkan, lebih daripada itu, ditafsirkan sebagai keburukan pasaran bebas. 

Tatkala skandal daging kuda memuncak, +Boris Johnson menulis dalam The Telegraph, menegaskan bahawa orang Perancis gemar makan daging kuda, maka "mengapa kita pula menyibuk?", meskipun daging kuda di Britain merupakan pantang larang. Skandal daging kuda menyebabkan jualan di Perancis meningkat 15 peratus. Selain di Perancis, daging kuda dikatakan dijual secara meluas di Belgium dan Sweden.

Dari segi bahasa pula, orang Perancis, seperti yang dibahaskan oleh David Session, mereka enggan bertutur dalam bahasa Inggeris.  Orang Perancis, daripada Presiden  Francois Hollande kepada bekas Perdana Menteri Jean-Pierre Raffarin mempunyai masalah untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, meskipun agak mengaibkan, kedua-dua pemimpin itu tidak mempedulikannya.  Presiden Perancis sebelum ini, iaitu Nicolas Sarkozy gagal mendapat ijazah di SciencesPi, sebuah sekolah politik Perancis elit, kerana beliau tidak cukup menguasai bahasa Inggeris. 

Jelas Session, sesetengah perwakilan besar Perancis di dunia banyak menghadapi masalah dengan bahasa Inggeris yang sering diperkatakan di Perancis dan di luar Perancis sebagai simbol yang membimbangkan ahli politik tentang daya saiang global negara itu.  Ketidakmampuan bahasa dalam kalangan orang Perancis merupakan jenaka yang sering kedengaran dalam persidangan Eropah dan dalam perniagaan antarabangsa.

Penarafan secara konsisten, menurut Session, menunjukkan bahawa Perancis ketinggalan daripada negara jirannya di Eropah dalam penguasaan bahasa asing, dan bukan sekadar syurga berpendidikan tinggi di bahagian utara benua itu, seperti Denmark dan Sweden.  Keputusan TOEFL tahun 2008, ujian yang digunakan untuk menilai bukan penutur asal bahasa Inggeris, Perancis menduduki tangga ke-69 daripada 109 buah negara, dan tangga ke-25 daripada 43 buah negara Eropah.

Walau bagaimanapun, untuk berlaku adil, bukan sahaja orang Perancis enggan bertutur dalam bahasa Inggeris, bahkan kaum imigran di Amerika Syarikat, menurut R.L.G. dalam +The Economist, tidak belajar (atau mungkin tidak mahu belajar) bahasa Inggeris.  Hal ini boleh menjejaskan kedudukan bahasa Inggeris di negara itu. 



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...