Artikel Popular

Friday, March 1, 2013

Dunia Permajalahan Sentiasa Segar?

JUMAAT, 1 Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Melihat keluaran  akhir tahun beberapa majalah berita, seperti Time dengan “Person of the Year”  dengan kulit depan terpampang gambar Mark Zuckerberg, dan sebelum ini dengan liputan “Special Timeframes Issue: What Really Happened 2000-2010, dan  Newsweek dengan “Special Edition-Issues 2011:  The Key to Power,” sesungguhnya, mengundang persoalan bagaimana jika masyarakat hidup tanpa majalah. Sesuatu yang dapat dipelajari daripada  keluaran berkenaan   ialah  majalah mengajak masyarakat merenung masa lalu, melihat masa kini,  dan meninjau masa hadapan. Majalah terus memainkan salah satu peranan utamanya, iaitu merangsangkan minda pembaca.
Dari segi ekonomi,  dekad pertama ini  dikatakan bermula dengan pecah dan berakhir dengan pecah yang lebih besar.  Antara kedua-duanya  ialah ledakan yang tidak mapan. Bank-bank terpaksa merendah diri.  Ahli ekonomi didapati mempunyai kekurangan.  Kuasa geopolitik beranjak dari Barat ke Timur. Bagi sesetengah orang,   10  tahun  yang berlalu ialah  dekad yang muram, atau dekad yang hilang, atau dekad kacau-bilau, khususnya dengan merujuk kepada keganasan dan krisis ekonomi semasa.
Namun, banyak peristiwa   tenggelam dalam arus  masa   kerana manusia lazimnya mempunyai memori yang pendek.  Tanpa diberitahu oleh Time mungkin banyak orang tidak menyedari betapa pantasnya masa beredar.   Jauh sekali untuk mengingati bermacam-macam peristiwa yang berlaku dalam dekad pertama abad ke-21.  Richard Stengel, Editor Urusan majalah berkenaan melakukan pemerhatian yang tepat:  “Dalam dunia kita yang berangkai, tidak ada sesuatu yang dibiarkan berlaku begitu sahaja, tetapi tidak ada yang kelihatan dapat bertahan lama.” 
Dalam kolum “To Our Readers,”   Stengel menjelaskan bahawa keluaran pertama untuk  Timeframe   mengambil pandangan yang lebih jauh.  “Pada akhir dekad yang luar biasa ini, kami    meninjau semula cerita utama dalam masa 10 tahun lalu dan kami menulis apakah perkara yang telah kami pelajari.”  Beliau mengakui  bahawa masa lalu tidak pernah menjadi prolog yang sempurna,  dan   kita terus melakukan kesilapan bukan kerana kita lupa masa lalu, tetapi kerana kita hanya manusia biasa.  Hakikat ini tidak pernah berubah.
Keluaran yang merangkumi  politik, sains, budaya, dan masyarakat,   memaparkan banyak peristiwa yang berlaku yang ingin dipersegarkan dan dicergaskan semula yang kebanyakannya  terlepas pandang oleh masyarakat umum, bahkan oleh media lain. Pastinya, yang  tidak kurang  menarik ialah pemerhatian bekas Presiden Amerika,  Bill Clinton tentang Pilihan Raya Presiden tahun 2000 yang menyaksikan negara berbelah bahagi.      Clinton dalam tulisannya mengemukakan kesimpulan tentang rakyat negaranya, yang boleh dijadikan iktibar oleh sesiapa sahaja, termasuk masyarakat  Malaysia.  “Orang ramai memandang mudah bahawa tidak ada apa-apa yang buruk berlaku yang merupakan kemewahan hidup di  bumi yang benar-benar bertuah.  Menjangkakan hanya perkara baik  secara berlebih-lebihan.   Akibat kegagalan bersiap sedia untuk menghadapi kesusahan, rakyat Amerika kedua-duanya, iaitu  menggalakkan kesusahan dan meletakkan diri mereka dalam keadaan tidak bersedia apabila kesusahan berlaku.”
 “Person of the Year”   majalah Time menjadi daya tarikan bukan sekadar kerana  menampilkan Mark Zuckerberg pengasas  Facebook, Tea Party, Julian Assange pengasas WikiLeaks, Presiden Hamid Karzai,   dan 33 orang pelombong Chile yang terperangkap hampir tiga bulan dan akhir selamat,   tetapi juga kerana pandangan dunia Fareed Zakaria yang mengisytiharkan Tahun Mikroterorisme.  Teknologi yang mencetuskan anjakan kuasa yang berbahaya.  Dan, banyak yang lagi akan muncul.  Walaupun kebanyakan orang sedar bahawa   bermacam-macam ancaman di sekeliling mereka, namun tidak banyak yang dapat mengungkapkannya secara berkesan, bahkan mungkin tidak banyak menganggapnya secara serius. 
Fareed yang berpindah dari  Newsweek, melahirkan pemerhatiannya untuk tahun 2010:  “Ini merupakan tahun yang diwarnai oleh ekonomi, iaitu pemulihan yang lembap, krisis di Eropah, pakej rangsangan, potongan cukai, dan debat belanjawan.   Dasar luar dijadikan kurang berita.”  Justeru, beliau sedar bahawa mungkin kedengaran aneh untuk menyebut tahun ini ialah tahun keganasan.  Akan tetapi, inilah hakikatnya.” 
Pendemokrasian teknologi, akses, maklumat, dan semua perkara baik, Fareed mengingatkan,   juga tidak boleh disekat membawa kepada pendemokrasian keganasan.  Tanpa peringatan seperti itu mungkin tidak banyak orang sedar bahaya mikroterorisme  yang menunggangi kuasa yang sangat kuat yang sedang melanda dunia, iaitu pendemokrasian teknologi.  “Di mana-mana sahaja kita lihat,” tulis beliau, “kuasa beranjak daripada  institusi besar kepada individu yang bermotivasi.”  
 Fareed Zakaria sebenarnya  memperkukuhkan lagi   jangkaan yang wujud sebelum ini  bahawa  bahagian pertama abad ke-21, jauh lebih sukar, lebih goyah, tetapi lebih terbuka jika dibandingkan dengan apa-apa yang diketahui pada abad ke-20.  Dunia sedang menghadapi zaman peralihan, dan  tidak dapat dipastikan, sama  ada peralihan ini untuk lebih baik ataupun lebih teruk.   
Seperti setiap akhir tahun, Newsweek kali ini muncul dengan  “Special Edition-Issues  2011,”  dengan tiga tumpuan utama, iaitu negara, syarikat dan pasaran, dan pengguna,  mengemukakan “persoalan kritikal untuk tahun akan datang ialah mampukah anda menangani hutang anda.”   Sebagaimana lazim,  keluaran kali ini turut membariskan penyumbang yang terkenal, seperti Jacques Attali, Mohamed El-Erian, Arminio Fraga, Joseph Fuller, Kishore Mahbubani, Shayne McGuire,  Stephen Roach, dan Joseph Stiglitz,  mendedahkan sesuatu yang menakutkan yang boleh menjadikan sesiapa sahaja, termasuk negara  jatuh muflis, iaitu    beban hutang.  Membaca halaman demi  halaman majalah ini,  seperti  membaca sebuah buku  yang terserlah dengan analitis serta  kedalaman penulisan.   Dari halaman pertama “Issues 2011: To Our Readers” yang ditulis oleh Sidney Harman dan Klaus Schwab ke halaman akhir, “The West and the Tyranny of Public Debt” oleh Jacques Attali, para pembaca dapat merasakan kepaduan antara makalah, dan mereka bagaikan berpaut  pada  satu rantaian yang bertaut kukuh lagi padu. Di sini memperlihatkan betapa pentingnya konsep yang jelas bukan sahaja untuk sesebuah majalah, tetapi untuk sesuatu keluaran, lebih-lebih lagi untuk edisi khas.
Jangan lupa juga  akan “Special Issue”  Fortune pada  setiap akhir tahun yang sentiasa dinanti-nantikan oleh para pelabur, iaitu bimbingan pelabur.  Majalah ini muncul dengan “Investor’s Guide 2011”  yang memberikan tumpuan pada 10 saham terbaik untuk 2011, sesi strategi, demam emas, minda mega Miami, bahaya bon, dan saham untuk planet yang bersih. 
Pada halaman awal majalah ini,  pastinya para pembaca akan tertarik dengan  iklan Magazines: The Power of Print  yang dengan bangga menyatakan kelebihan majalah yang mudah  dibawa ke mana-mana sahaja.  “Mungkin itu menjelaskan mengapa pembaca majalah sebenarnya bertambah jika dibandingkan dengan lima tahun lalu.  Dua puluh lima majalah teratas terus-menerus menjangkau khalayak yang luas jika dibandingkan dengan 25 pertunjukan televisyen  waktu perdana.  Dan meskipun berlaku perang yang semakin sengit untuk bola mata pengguna, para pembaca menghabiskan secara purata 43 minit untuk setiap keluaran majalah.”  Iklan ini juga menjelaskan mengapa majalah terus-menerus menjadi daya tarikan dan mengapa sembilan daripada 10 orang dewasa Amerika memilih untuk menghabiskan banyak masa dengan medium analog tanpa berasa malu dan segan:  “Orang ramai pada setiap peringkat umur, mencintai pengalaman membaca majalah, meskipun apabila kandungan yang sama dapat diperoleh dalam talian.”
Sejak dua tahun kebelakangan ini, terutamanya akibat krisis ekonomi,  penerbitan akhbar  kelihatan muram.  Di Amerika, banyak akhbar jatuh muflis, terpaksa ditutup, atau beralih  daripada percetakan kepada Internet.  Majalah juga mengalami nasib yang sama kerana sebahagian pendapatan bergantung pada iklan yang bergantung pada pasang surut ekonomi.  Pada akhir Ogos 2009,   syarikat induk Reader’s Digest, iaitu The Reader’s Digest Association, Inc. (RDA), mengumumkan bahawa mereka memfailkan kebangkrapan di mahkamah supaya dapat terus beroperasi dan menyusun semula hutang bernilai AS$2.2 bilion. 
Kira-kira empat bulan sebelum itu, Portfolio Magazine yang bercita-cita tinggi, teguh pendanaan, majalah perniagaan yang dilancarkan pada tahun 2007, terpaksa ditutup menandakan satu lagi malapetaka industri percetakan,  dan majalah juga bernasib malang. Maka, diisytiharkan bahawa dalam ekonomi baru, periklanan merosot, percetakan adalah “berakhir,” dan penulis blog bebas mampu mengeluarkan bahan bacaan dengan lebih pantas dan lebih cekap berbanding dengan laman web besar majalah. 
Berikutan penutupan itu, Jeff  Jarvis, pengasas majalah  Entertainment Weekly yang menelan kos yang memeranjatkan, iaitu   AS$200 juta sebelum menghasilkan keuntungan, menulis dalam The Guardian  bahawa tidak ada orang yang ingin melabur  wang sejumlah itu lagi untuk menerbitkan majalah.    Masalahnya,  tegas   beliau, “meskipun majalah merupakan kumpulan orang ramai yang  meminati perkara yang sama, iaitu sebagai platform komuniti, tetapi majalah tidak boleh berhenti daripada memikirkan dirinya sebagai kandungan. Majalah bukan komuniti.”  Walaupun   Jarvis tidak mengatakan bahawa majalah mula mengalami nasib seperti akhbar, tetapi banyak majalah bersedia untuk mati.  Tidak ada orang yang ingin majalah baru.  Apabila  majalah lemah  mati, tidak ada majalah baru yang menggantikannya.
Pada tahun lalu, Newsweek yang pada tahun 2009 menanggung kerugian AS$30 juta,  berpindah tangan daripada  Washington Post Company kepada  Sidney Harman, dengan harga AS$1.   Sejak  penjualan itu, majalah yang berusia 77 tahun itu  ditinggalkan beramai-ramai oleh editor dan pemberita.  Harman   kemudiannya bergabung dengan majalah dalam talian, The Daily Beast, milik Tina Brown,  dan sekali lagi    menarik  perhatian pelbagai pihak yang terlibat dalam dunia media atau permajalahan. 
David Brooks yang  muncul  dengan “Weekness and Endurance” dalam kolumnya dalam akhbar The New York Times pada pertengahan November, mengkritik  beberapa komen  pesimistik tentang  penggabungan  itu.  Bagi beliau, komen tersebut   memandang rendah bagaimana banyak budaya Amerika mengalami perubahan  sekarang dan bagaimana perubahan ini akan membuka peluang baru untuk Newsweek dan majalah bercetak lain yang serupa dengannya  yang telah lama memaparkan minat umum.  “Majalah-majalah ini,” tulis Brooks, “tidak berkembang maju dalam banyak dekad tanpa sebarang sebab.  Majalah berkenaan mencungkil sedalam-dalamnya budaya Amerika.”  Beliau meninjau perkembangan majalah di Amerika dengan begitu jauh dengan membahaskan bahawa untuk melawan materialisme comot dalam budaya Amerika, maka adalah perlu untuk mengetahui benar-benar falsafah, teologi, dan peristiwa politik besar dunia yang lebih luas. 
Etos ini, bahas Brooks, membentuk media berita Amerika lebih satu abad.  Keluarga miskin bersusah payah mengeluarkan bersama-sama wang  mereka untuk membeli ensiklopedia, untuk menyertai Book of the Month Club, untuk membeli siri  Civilization Will  dan  Ariel Durant atau Buku Agung Robert Maynard Hutchins. Majalah, seperti Harper’s, Saturday Review, Time, dan   Newsweek, tambah Brooks “muncul untuk memuaskan arus aspirasi ini.  Untuk beberapa dekad, Time dan Newsweek memperuntukkan banyak ruang untuk opera dan seni dan teologi berbanding dengan Hollywood atau kesihatan.”  Beliau  menegaskan bahawa majalah berkenaan menyediakan pengetahuan dan membangkitkan sejuta imaginasi, tetapi  mengingatkan bahawa “sebagaimana dalam politik, dalam perniagaan media, adalah penting untuk mengetahui apakah tahunnya yang sebenar.  Tahun 2010, bukan 1998 atau 1986.  Wujud keseriusan yang mencemaskan yang sedang bergelora, menunggu saluran keluar.”
Banyak perkara yang diperkatakan tentang majalah, dan sebagaimana akhbar, majalah juga terpaksa berhadapan  dengan pelbagai cabaran  demi  memastikan kelangsungannya. Majalah datang dan pergi, muncul dan menghilang.  Tidak kurang pula yang mampu bertahan berdekad-dekad, bahkan menjangkau abad.    Bagi perniagaan majalah, tahun 2011 perlu diperhatikan kerana antaranya untuk menjawab persoalan yang berpanjangan tentang keteguhan kewangan industri ini.
Pastinya,  seseorang akan merasakan detik-detik kesunyiaan sekiranya tanpa majalah yang mudah dibawa ke pantai, ke kafe, atau ke   atas katil.     Sukar untuk dibayangkan bagaimana pendapat awam dibentuk, dasar nasional digubal, budaya dimekarkan, dan peradaban dibina sekiranya majalah dalam paras wajah  yang kita kenali kini  akhirnya tidak kelihatan lagi. Sekiranya  majalah akhirnya hilang,  bukan sahaja para pembaca yang merasai kehilangannya, bahkan  buku akan kehilangan “pasangannya.”  
Keluaran akhir tahun beberapa majalah, sesungguhnya menyuntik  kesegaran terhadap  dunia permajalahan. Tentang masa hadapannya. Tentang kelangsungannya. Tentang suara yang sentiasa kedengaran.
        (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, Februari 2011.)


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...