Artikel Popular

Saturday, March 23, 2013

Penduduk Islam di India Terabai

SABTU, 23 Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Penduduk Islam dianggap sebagai golongan minoriti terbesar di negara majoriti Hindu, iaitu dianggarkan 13 peratus daripada lebih satu bilion penduduk di India. Dengan kata lain, penduduk Islam kedua terbesar selepas Hindu yang mewakili 80 peratus.  Pernah dinyatakan,   juga suatu kesilapan apabila   Pakistan berpecah daripada India (dan seterusnya pembentukan Bangladesh) jika dilihat dari segi jumlah penduduk.

Meskipun jumlah penduduk Islam di negara itu terus berkembang, seperti yang diliputkan dalam +The Economist, hidup mereka terabai. Kesederhanaan, menurut majalah itu, adalah menggalakkan, terutamanya dalam konteks peningkatan yang stabil dari segi bilangan penduduk Islam di India.  Analisis rasmi data mengikut agama daripada banci tahun 2011 belum dikeluarkankan, sengaja dilengahkan demi mengelakkan kekecohan sebelum pilihan raya umum yang dijangkakan berlangsung tahun depan.  

Kadar kesuburan yang tinggi dalam kalangan penduduk Islam, jelas majalah itu, mungkin dianggap sebagai sensitif dari segi politik.  Kajian persendirian mengagak bahawa India mempunyai 177 juta penduduk Islam, iaitu 14.6 peratus daripada jumlah penduduk.  Hal ini menunjukkan peningkatan hampir 40 juta orang atau satu titik peratusan pada dekad sebelumnya.  Kesuburan yang tinggi akan memastikan trend peningkatan berterusan. Secara keseluruhan, kadar kesuburan di India jatuh, tetapi dalam orang Islam, kejatuhan paling perlahan. "Tabiat lama masih wujud.  Hanya sebilangan wanita Islam yang bekerja di luar rumah.  Pencegahan hamil tidak banyak digunakan."

Walaupun taraf hidup penduduk Islam di India lebih baik jika dibandingkan dengan yang di Pakistan dan taraf pendidikan mereka adalah sederhana, banyak usaha untuk membantu mereka, menurut The Economist lagi, gagal.  Dana yang diperuntukkan dicuri atau dipesongkan kepada penduduk bukan Islam di India.  Orang Islam yang lebih banyak  tinggal di bandar menanggung kesengsaraan kerana  terabai. Jelas majalah itu lagi, keadaan belum lagi berubah melalui politik, meskipun penduduk Islam diperhatikan mempunyai kuasa tawar menawar.

Sesungguhnya, penduduk Islam di India, tegas Pankaj Mishra dalam Bloomberg, tidak mempedulikan untuk menghulurkan sokongan moral terhadap pemberontakan anti-India di Kashmir yang majoriti Islam yang mengorbankan lebih 50,000 nyawa dalam dua dekad lalu.   Beliau memetik kolumnis The New York Times, iaitu Thomas Friedman bahawa hal ini kerana penduduk Islam di India "merupakan hasil diperkasa dan rasa diperkasa oleh demokratik dan masyarakat majmuk."

Mishra yang sebelum ini muncul dengan bagaimana demokrasi membunuh di Indonesia dan Pakistan (beliau agaknya lupa memasukkan India), dalam tulisan terbaharunya, boleh dikatakan senada  dengan The Economist: pengabaian terhadap penduduk Islam.   Beliau memetik buku tahun 2012, Muslim in Indian Cities:  Trajectories of Marginalisation, bahawa kehidupan orang Islam adalah teruk, kalaupun tidak sangat teruk dari segi sosial dan ekonomi jika dibandingkan dengan orang Dalit (dahulu dikenali orang Hindu yang tidak boleh disentuh) dan suku puak.

"Hampir 40 peratus orang Islam yang tinggal di pusat hidup di bawah garis kemiskinan," tulis Mishra.  "Mereka mewakili hampir 15 peratus daripada jumlah penduduk, tetapi hanya 5.5 peratus anggota Parlimen India ialah orang Islam.  Banyak negeri besar di India yang tidak mempunyai bahkan seorang pun perwakilan Islam dalam parlimen India."

Mempunyai perwakilan yang kurang dalam kehakiman, jelas Mishra, orang Islam terlalu sedikit dalam pasukan polis.  Kini, yang lazim dapat diperhatikan di India yang dimiliknegarakan oleh Hindu: menyalahkan orang Islam.

Walau bagaimanapun, Mishra mengingatkan bahaya pengradikalan, meskipun sebilangan kecil daripada 180 juta penduduk Islam boleh menjejaskan demokrasi dan sekularisme dengan teruk.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...