Artikel Popular

Wednesday, January 9, 2019

Orang Tidak Bernegara

RABU, 9 Januari 2019
Oleh ZULKIFLI SALLEH

(Nota: Tulisan ini berdasarkan cadangan buku "Pendidikan Kewarganegaraan" yang tidak dapat disempurnakan - Zulkifli Salleh)



Pada pertengahan September tahun 2009, beberapa akhbar tempatan melaporkan bahawa 92 orang “tidak bernegara” menerima hadiah Hari Malaysia apabila permohonan mereka untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan diluluskan oleh kerajaan.  Sesetengahnya dilaporkan tanpa segan silu menitiskan air mata, manakala yang lain berpeluk-pelukan antara satu sama lain menandakan kegembiraan dalam majlis yang diadakan sempena Hari Malaysia di Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya.   
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang turut hadir dalam majlis itu memaklumkan bahawa beribu-ribu orang telah memohon kewarganegaraan, sesetengahnya terpaksa menunggu 20 tahun untuk menjadi warganegara Malaysia.  Dilaporkan bahawa terdapat 32,927 permohonan kewarganegaraan yang perlu diselesaikan, dan setakat tarikh itu, 75 peratus telah pun diselesaikan.
Seterusnya,  akhbar The Star (8 Januari 2010) melaporkan bahawa sekurang-kurangnya 66,000 orang di Sarawak tidak memiliki sijil kelahiran dan/atau kad pengenalan, dan mereka dikelaskan sebagai orang tidak bernegara atau tidak didokumentasikan.  Bilangan ini termasuk mereka yang tinggal dan/atau bekerja di kedua-dua kawasan, iaitu desa dan bandar di negeri itu.  Orang tidak bernegara dianggap bukan warganegara kerana mereka tidak memiliki sijil kelahiran dan/atau kad pengenalan, tetapi usaha telah diambil untuk mendaftarkan mereka dengan Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendapatkan sijil kelahiran atau kad pengenalan.

Siapakah Orang Tidak Bernegara?
Orang tidak bernegara tidak selalunya difahami dengan mendalam dan di banyak negara, skop orang tidak bernegara selalu diabaikan.  Orang tidak bernegara sentiasa hidup dalam keadaan tidak tertentu kerana terpinggir daripada masyarakat, sering kali tiada  dokumen identiti dan selalu menjadi mangsa diskriminasi.
            Anggaran bilangan semasa orang tidak bernegara di dunia adalah antara 11 juta hingga 15 juta orang.  Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu   untuk Pelarian (UNHCR)  tidak dapat menyediakan perangkaan yang tepat akan bilangan orang tidak bernegara di seluruh dunia. Oleh sebab sensitif dari segi politik, dan banyak kerajaan tidak menghitung dengan tepat jumlah orang tidak bernegara, UNHCR menghadapi kesukaran untuk menyatakan jumlah sebenar mereka. Walau bagaimanapun, UNHCR menganggarkan jumlah orang tidak bernegara pada tahun 2008 ialah 12 juta orang.  Jumlah ini termasuk 6.6 juta orang di 58 buah negara yang perangkaan negara berkenaan boleh dipercayai.
                        Kebanyakan orang awam memandang ringan terhadap orang yang tidak memiliki pasport yang dikeluarkan oleh mana-mana negara, tidak mempunyai negara yang boleh mereka sebut sebagai tanah tumpah darah mereka, dan lazimnya kalaupun ada terlalu sedikit, untuk mendapatkan hak politik dan sosial asas. Apabila ibu bapa tidak mendaftarkan secara rasmi anak yang baru dilahirkan, maka apabila anak berkenaan besar, dia tidak boleh belajar di sekolah atau universiti, tidak boleh mendapatkan pekerjaan, melancong, malah tidak boleh berkahwin.
Orang tidak bernegara ialah seorang yang dari segi undang-undang sesebuah negara tidak memperoleh taraf kewarganegaraan, iaitu ikatan undang-undang antara negara dengan individu.  Seorang yang bukan rakyat mana-mana negara menurut undang-undang yang berkaitan dianggap orang tidak bernegara.
Berbanding dengan pelarian dan orang tidak bertempat yang keadaan pahit getir mereka sering mendapat perhatian, orang tidak bernegara kurang mendapat perhatian dan pada amnya, kurang difahami.  Walau bagaimanapun, wujud instrumen antarabangsa tentang orang tidak bernegara.  Perisytiharan Universal Hak Asasi Manusia menggariskan bahawa “setiap orang mempunyai hak untuk kewarganegaraan.  Pada tahun 1961, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memperkenalkan Konvensyen Tentang Pengurangan Orang Tidak Bernegara.  Oleh sebab masalah pelarian dan orang tidak bernegara adalah bertindan, maka UNHCR dipertanggungjawabkan untuk memberikan bantuan guaman kepada orang yang dilucutkan hak mereka dan membantu menggalakkan penghindaran dan pembasmian orang tidak bernegara di peringkat global.

Di Manakah Orang Tidak Bernegara?
 Dari Kenya ke Republik Dominican, banyak negara dikatakan  memperalatkan undang-undang kewarganegaraan masing-masing, menyebabkan seluruh kumpulan etnik lahir dan membesar di dalam sempadan negara berkenaan menjadi tidak bernegara, melucutkan mereka hak asasi untuk penyertaan politik, kebebasan gerakan, pendidikan, dan pekerjaan. 
            Hak kewarganegaraan sedang terancam yang tidak  pernah berlaku sebelum ini.  Sejak runtuhnya  Komunisme di Eropah, nasionalisme etnik menyebabkan berlaku perbuatan tidak memasukkan golongan minoriti daripada kewarganegaraan di beberapa negara baru atau negara pengganti.  Di mana-mana sahaja negara, diskriminasi merupakan sebab dan akibat keadaan tidak bernegara.  Orang tidak bernegara menjadi mangsa larangan sosial (social exclusion), keganasan seks dan fizikal, dan banyak lagi keganasan hak asasi manusia.
Kira-kira dua juta orang tidak bernegara wujud di Thailand, kebanyakannya anggota kumpulan etnik minoriti dan suku kaum bukit, mungkin penduduk tidak bernegara terbesar di dunia.  Kebanyakan mereka lahir di kawasan pedalaman di sepanjang sempadan dengan Myanmar, tidak dapat berhubung dengan kerajaan, dan tiada dokumen yang dapat membuktikan bahawa mereka atau salah seorang ibu bapa mereka dilahirkan di Thailand.
Orang tidak bernegara, termasuk kira-kira 200,000 orang Bihari yang bertutur dalam bahasa Urdu yang tinggal di penempatan pelarian di Bangladesh.  Mereka disekat daripada banyak perkhidmatan kerajaan dan menjadi mangsa gangguan dan diskriminasi.  Mereka pada mulanya hidup maju dan berjaya, iaitu masyarakat yang memiliki tanah, tetapi mereka terkandas di Bangladesh apabila negara itu berpisah daripada Pakistan pada tahun 1971.
Semasa Perang Dunia Kedua, beribu-ribu orang Yahudi yang terselamat daripada kekejaman Nazi meninggalkan negara asal mereka, manakala berjuta-juta etnik Jerman diusir dari negara-negara Eropah Timur, dan berjuta-juta orang Poland, Ukrain, Byeloruss dan penduduk minoriti lain Kesatuan Soviet, sama disingkir secara kekerasan ataupun   melarikan diri demi keselamatan diri mereka.
Rupert Taylor  “World’s Stateless People Stranded by War” dalam International Affairs (26 Mei 2009) menyatakan bahawa pada tahun 1947, negara Israel telah diwujudkan sebagai tanah air untuk orang Yahudi.  Banyak orang Arab yang tinggal di negara itu lari ke negara-negara jiran. Di Jordan, mereka diberikan pasport dan kewarganegaraan, tetapi di negara Arab lain, mereka tidak diberikan pasport atau kewarganegaraan.  Orang ini dan keturunan mereka ialah lima juta orang Palestin yang kini tidak bernegara. 
            Di tempat-tempat lain di Timur Tengah, wujud kumpulan lain orang tidak bernegara, iaitu Bidoon di Amiriah Arab Bersatu.  Mereka merupakan orang yang leluhur mereka tinggal di wilayah Teluk Parsi sejak beberapa generasi yang lalu.  Mereka datang dari negara Arab, Iran, dan India, sebagai pekerja dan saudagar.  Bilangan orang Bidoon dianggarkan 100,000 orang, dan mereka tidak memiliki dokumen identiti atau pasport.
            “Jauh ke utara,” tulis Rupert Taylor, “sejumlah besar orang Rusia yang terkandas apabila Estonia mengisytiharkan kemerdekaannya daripada Kesatuan Soviet pada tahun 1991.”  Estonia telah dicerobohi dan diambil alih oleh Kesatuan Soviet pada tahun 1940 dan banyak orang Rusia yang dipaksa tinggal di sana.  Apabila Estonia mengiystiharkan bahawa negara itu bebas daripada pendudukan Soviet, Estonia menawarkan tiga pilihan kepada mereka: balik ker Rusia, belajar bahasa Estonia dan lulus peperiksaan untuk menjadi warganegara, atau kekal sebagai orang tidak bernegara.  Dianggarkan 160,000 orang terjerat dalam kategori orang tidak bernegara. Demikian juga banyak orang Rusia, Ukrainian, dan Belorussian yang terkandas di Latvia apabila Kesatuan Soviet runtuh.  Orang ini, menurut kerajaan Latvia layak “pasport Latvia bukan warganegara” dan mereka adalah kira-kira 350,000.
            Kemerdekaan Bangladesh melahirkan golongan bukan warganegara, iaitu setengah juta orang Biharis tinggal di 116 buah kem di negara itu.  Mereka ditinggalkan daripada perang tahun 1971 yang menyaksikan Pakistan Timur berpisah daripada Pakistan Barat.  Orang Bihari Muslim menyokong Pakistan Barat dalam peperangan perpisahan itu, satu pilihan yang silap kerana pada pihak yang kalah.  Selepas peperangan berakhir, orang Bihari dibenarkan pindah ke Pakistan, tetapi tidak lama selepas itu, negara itu tidak ingin menerima mereka lagi.  Kini, Bihari hidup dalam keadaan tidak bernegara di dalam kem-kem yang sangat kotor dan jelik.
Wujud juga kumpulan lain orang tidak bernegara di Myanmar, Kuwait, Republik Dominician, Syria, dan banyak negara lagi.  Biasanya, keadaan hidup mereka adalah miskin dan harapan untuk memperoleh kewarganegaraan adalah terbatas.   Orang tidak bernegara sentiasa tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah dan menyebabkan keluarga terpaksa hidup dalam kemiskinan.  Oleh sebab orang tidak bernegara selalunya berpunca daripada persengketaan dan pertikaian masa lalu tentang apakah yang  membentuk identiti nasional, maka pemberian kewarganeraan yang hanya dilakukan oleh pihak berkuasa di sesebuah negara, memang sukar.Orang tidak bernegara juga termasuk orang Rohingya, minoriti etnik yang beragama Islam dari bahagian barat Myanmar.  Mereka dilucutkan kewarganegaraan dan dinafikan hak awam dan terpaksa menghadapi penindasan atau eksploitasi, buruh paksa, dan penindasan agama. Dalam tempoh kira-kira 10 tahun lalu, lebih 100,000 orang Rohingya  membanjiri Bangladesh, di situ mereka hidup di dalam kem atau di jalan-jalan raya.

            Akibat penindasan di negara asal mereka dan permintaan terhadap buruh murah menyebabkan rakyat Filipina dan Indonesia membanjiri Sabah.  Kini dianggarkan 750,000 orang, iaitu hampir satu pertiga penduduk tempatan, rakyat kedua-dua negara itu menjadi orang tidak bernegara di Sabah.


Bagaimana Orang Menjadi Tidak Bernegara?
Orang  tidak bernegara wujud kerana beberapa alasan, termasuk diskriminasi terhadap kumpulan minoriti dalam undang-undang kewarganegaraan, kegagalan untuk memasukkan semua pemastautin sebagai warganegara ketika sesebuah mencapai kemerdekaan, persengketaan undang-undang antara negara.
            Orang tidak bernegara adalah berpunca daripada pelbagai keadaan.  Negara mungkin semata-mata tidak wujud lagi, manakala individu gagal mendapat kerakyatan di negara pengganti mereka; pertimbangan politik mungkin menentukan perubahan dalam cara undang-undang kewarganegaraan digunakan atau dikuatkuasakan; golongan minoriti etnik mungkin ditindas dengan menafikan kewarganegaraan; atau sesuatu kumpulan mungkin di kawasan sempadan dan sering menyeberangi sempadan, menyababkan negara di kedua-dua belah sempadan menafikan mereka kewarganegaraan.  Wujud individu yang menjadi tidak bernegara kerana perkara  peribadi dan bukannya penindasan terhadap kumpulan yang dia menjadi anggotanya.  Keadaan tidak bernegara boleh berpunca daripada perbezaan undang-undang antara negara, orang melepaskan satu-satu kewarganegaraan tanpa memperoleh kewarganegaraan baru, atau kerana hanya gagal mendaftarkan kelahiran anak.  Sebagai tambahan ialah kemungkinan wujud kategori baru, iaitu pulau-pulau kecil yang akibat perubahan cuaca  ditelan oleh laut akan menyaksikan seluruh penduduk menjadi orang tidak bernegara.
Melalui arahan yang membingungkan dari segi kedaulatan, politik, undang-undang, teknikal atau pentadbiran atau kesilapan yang termasuk seperti berikut: 
- pemidahan wilayah atau kedaulatan yang mengubah taraf kewarganegaraan sesetengah warganegara bekas negara berkenaan hingga menyebabkan golongan yang terlibat tanpa  kewarganegaraan.
-  pelucutan sewenang-wenangnya  kewarganegaraan sama ada individu atau kumpulan oleh kerajaan.
-  masalah pentadbiran atau tatacara, seperti bayaran yang berlebihan, tarikh tutup yang tidak munasabah, tidak ada rayuan atau tatacara kajian semula, dan kegagalan untuk memberitahu individu tentang keperluan pendaftaran atau kewajipan lain.
-  tindakan individu melapaskan kewarganegaraan yang dimilikinya tanpa memperoleh kewarganegaraan lain  terlebih dahulu.
-  perubahan secara automatik kewarganegaraan akibat perkahwinan atau perceraian antara pasangan dari negara yang berbeza.
-  kegagalan untuk mendaftarkan kanak-kanak ketika lahir, oleh itu, tidak ada bukti di manakah atau siapakah yang melahirkan mereka.
-  menjadi anak ibu bapa yang tidak bernegara.
           
            Orang tidak bernegara tidak memiliki kerakyatan atau kewarganegaraan mana-mana negara.  Ikatan undang-undang antara negara dengan individu berkenaan tidak wujud,  Orang tidak bernegara menghadapi pelbagai kesusahan dalam kehidupan mereka sehari-hari, antaranya mereka  tidak menikmati kemudahan penjagaan kesihatan, pendidikan, hak harta benda, dan keupayaan untuk bergerak secara bebas.  Mereka juga mudah terdedah pada layanan sembarangan dan jenayah, seperti perdagangan manusia.  Peminggiran mereka boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat dan membawa ketidakstabilan di peringkat antarabangsa, termasuk dalam keadaan yang serius, persengketaan dan pengusiran (displacement).
Bolehkan Orang Tidak Bernegara juga Merupakan Pelarian?
Dalam keadaan tertentu boleh, misalnya orang yang terpaksa meninggalkan negara tempat tinggal mereka kerana menderita akibat penindasan.  Walau bagaimanapun, terdapat orang tidak bernegara yang tidak mempunyai asas yang kukuh untuk berasa takut akan penindasan, di samping banyak juga orang tidak bernegara yang tidak pernah meninggalkan kediaman mereka selama ini, dan oleh itu, mereka tidak dianggap sebagai pelarian.  Demikian juga sesetengah pelarian mungkin orang tidak bernegara, tetapi kebanyakannya tidak.
            Menurut UNHCR, kewarganegaraan merupakan ikatan undang-undang antara negara dengan individu, dan orang tidak bernegara merujuk kepada keadaan individu yang tidak dianggap sebagai warganegara oleh mana-mana negara.  Meskipun orang tidak bernegara ada kalanya orang tidak bernegara juga merupakan pelarian, dua kategori ini berbeza dan kedua-dua kumpulan menjadi perhatian UNHCR.
Meskipun sebilangan orang tidak bernegara merupakan pelarian, tetapi kebanyakan mereka bukan pelarian.  Pelarian ada kalanya dilucutkan kerakyatan mereka kerana meninggalkan negara mereka atau kerana akibat penindasan.  Namun begitu, banyak pelarian mengekalkan kerakyatan mereka ketika mereka berada di luar negara.  Sebaliknya, orang tidak bernegara selalunya bukan mangsa penindasan, jarang-jarang berhijrah dari tanah air mereka.

Jenis Orang Tidak Bernegara
Orang tidak bernegara merupakan masalah besar yang melibatkan kira-kira 12 juta orang di seluruh dunia.  Orang tidak bernegara juga membawa implikasi yang sangat teruk terhadap kehidupan individu yang terlibat.  Hak orang tidak bernegara banyak dicabuli, misalnya mereka tidak dapat memperoleh dokumen identiti, mereka mungkin ditahan kerana mereka tidak mempunyai negara, dan mereka boleh dinafikan peluang untuk pendidikan dan perkhidmatan kesihatan atau dihalang daripada memperoleh pekerjaan.
Terdapat dua jenis orang tidak bernegara, iaitu de jure dan de facto. Orang tidak bernegara de jure tidak dianggap sebagai warganegara di sisi undang-undang mana-mana negara.  Walau bagaimanapun, wujud juga keadaan apabila seseorang itu memiliki kerakyatan secara rasmi, tetapi kerakyatannya tidak berkesan atau tidak berguna.  Keadaan ini dikenali tidak bernegara de facto, contohnya apabila seseorang itu dari segi amalan dinafikan hak yang dinakmati oleh semua warganegara lain, misalnya hak untuk pulang ke negaranya dan tinggal di sana. 


Penderitaan Orang Tidak Bernegara
Tanpa kewarganegaraan, seseorang itu tidak boleh mengundi di negara yang dia diami.  Perjalanan antarabangsa adalah mustahil jika dia tidak memperoleh pasport atau dokumen perjalanan lain.  Oleh sebab itu, orang tidak bernegara merupakan pendatang tanpa izin ke mana-mana sahaja mereka pergi.
            Banyak perkhidmatan asas dikaitkan dengan kewarganegaraan.  Persekolahan, keselamatan sosial, dan skim persaraan selalunya memerlukan seseorang itu menjadi warganegara di negara berkenaan.  Dalam banyak keadaan, orang tidak bernegara tidak dibenarkan bekerja.  Masalah bertambah rumit apabila mereka yang tanpa kewarganegaraan mencuba untuk mendaftarkan perkahwinan atau kelahiran.  Banyak orang tidak bernegara mudah terasa sebagai orang luar yang diketepikan oleh kerajaan.
            Seth Mydans dalam makalah “Citizen of Nowhere” yang diterbitkan dalam International Herald Tribune (1 April 2007) berkata bahawa banyak orang tidak  bernegara adalah dalam kalangan golongan termiskin di dunia; kebanyakannya dilucutkan hak mereka.  Tanpa kewarganegaraan, mereka selalunya tidak mempunyai hak untuk persekolahan, penjagaan kesihatan atau pemilikan harta benda.  Mereka juga tidak boleh mengundi atau berjalan ke negara lain, malahan mungkin berjalan di bandar tempat mereka tinggal.  Mereka menjadi orang tidak bernegara dengan pelbagai alasan, misalnya penghijrahan, kumpulan pelarian, larangan masuk (exclusion) berasaskan kaum atau etnik, dan sifat aneh sejarah.
            Tanpa hak yang dianugerahkan oleh kewarganegaraan, mereka mempunyai sedikit ruang untuk membela penganiayaan  terhadap mereka, dan sedikit peluang untuk memperoleh sumber yang yang dapat membantu mereka membina kehidupan yang lebih baik.  Mereka mendapat sedikit pembelaan kerana kumpulan hak asasi manusia cenderung memberikan perhatian terhadap jenis penganiayaan yang mereka tanggung, seperti penyeludupan manusia, diskriminasi dan bukan terhadap akar umbi masalah mereka, iaitu mereka tidak bernegara.  Tempat kediaman mereka amat daif.
            Orang yang tidak memiliki kewarganegaraan mempunyai peluang yang terbatas atau tidak ada langsung untuk mendapatkan  keadilan,  penjagaan kesihatan, perjalanan, pendidikan, pekerjaan, dan perwakilan politik. Mereka juga terdedah pada penyeludupan manusia.  Bagi golongan yang tidak memiliki kewarganegaraan, peluang pekerjaan adalah terbatas, dan oleh itu, mereka terdedah pada penindasan dan eksploitasi.
            Navina Vemuri, “More Plight of the Stateless, menulis dalam UNA-USA (17 Jun 2008), mereka dilupakan dan dipinggirkan; mereka ialah orang tanpa kewarganegaraan, dilucutkan hak dan maruah mereka – mereka merupakan orang tidak bernegara.  Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) menganggarkan sejumlah 15 juta orang bukan warganegara di sekurang-kurangnya 60 negara di dunia.  Meskipun kumpulan hak asasi manusia memberikan tumpuan terhadap jenis penganiyaan yang ditanggung oleh bukan warganegara, orang tidak bernegara selalunya tidak diberikan perhatian.
            Sesetengah orang tidak bernegara kerana negara nenek moyang atau leluhur mereka diwujudkan semula, ditakluki, dibebaskan, dibahagikan, dibubarkan atau dibijajah atau dinyahjajah. Dijangkakan bahawa beribu-ribu orang kemungkinan menjadi orang tidak bernegara di Montenegro yang merdeka daripada Serbia pada tahun 2006.  Sementara yang lain hilang kewarganegaraan kerana perundangan atau bureucratic miscues, dan dalam keadaan tertentu, kerana penghijrahan, menjadi pelarian atau larangan masuk berdasarkan etnik.
            Ditinggalkan tanpa negara, bukan warganegara dinafikan kebanyakan hak asas mereka.  Banyak yang tidak boleh pergi ke sekolah, bekerja secara sah, memiliki harta benda, berkahwin atau berjalan-jalan atau melancong, malahan dalam keadaan tertentu tidak boleh keluar dari bandar kediaman mereka.  Mereka dapati hampir  mustahil untuk membuka akaun bank, dan dalam keadaan kecemasan perubatan, mereka berhadapan dengan pelbagai rintangan untuk diterima masuk ke hospital.  Jika mereka menjadi mangsa jenayah, mereka tidak boleh membuat laporan kerana secara rasmi, mereka tidak wujud.
Orang menjadi tidak bernegara atas pelbagai alasan; sesetengahnya terpaksa meninggalkan negara mereka akibat peperangan, tetapi tidak diterima sebagai pelarian oleh negara tempat mereka menjadi pelarian.  Sesetengahnya terkandas apabila sempadan negara beranjak; sesetengahnya pula menjadi tidak bernegara kerana kelahiran tidak direkodkan dengan betul.
            Orang tidak bernegara menghadapi pelbagai masalah yang berbeza, bergantung pada di mana mereka hidup dan mengapa mereka menjadi tidak bernegara.  Oleh sebab mereka tidak mempunyai cara atau kaedah  untuk mendapat kertas pengenalan diri untuk membuktikan kewarganegaraan mereka, maka mereka tidak layak mengundi dan melibatkan diri dalam proses politik, tidak dapat memperoleh dokumen perjalanan dan tidak dapat menikmati pelbagai perkhidmatan kerajaan dan pekerjaan.  Di Kesatuan Eropah, misalnya, orang tidak bernegara, sebagaimana bukan warganegara lain, lazimnya tidak boleh mengundi dan mungkin dihalang daripada memperoleh pekerjaan dalam sektor awam.
Salah satu alasan utama orang dinafikan atau dilucutkan kerakyatan, dan oleh itu, menjadi tidak bernegara ialah diskriminasi kaum atau etnik.  Denationalization dan pemecatan ini beribu-ribu warga Mauritania kulit hitam adalah didorong oleh perkauman.  Di Estonia, etnik Rusia terpaksa berhadapan dengan tidak bernegara sejak kemerdekaan pada tahun 1991. 
Diskriminasi jantina atau gender juga merupakan faktor penting dalam mewujudkan dan mengekalkan keadaan tidak bernegara.  Banyak negara di dunia ini masih tidak mempunyai undang-undang kewarganegaraan yang berkecuali dari segi gender.  Dalam keadaan yang lebih teruk, wanita hilang kewarganegaraan mereka apabila mereka berkahwin dengan orang asing, dan tidak boleh  memanjangkan kewarganegaraan mereka kepada anak-anak mereka.  Di Swaziland misalnya, perlembagaan yang diterima pakai pada tahun 2005 mensyaratkan bahawa anak yang lahir selepas perlembagaan itu dikuatkuasakan merupakan warganegara hanya jika bapa anak berkenaan ialah warganegara di  negara itu.  Di Afrika sahaja, lebih 20 buah negara masih menafikan hak wanita untuk memanjangkan kerakyatan kepada pasangan asing (suami yang terdiri daripada warga asing.
              Pada tahun 1990-an, hampir suku juta orang  Rohingya melarikan diri mereka ke negara jiran, iaitu Bangladesh dengan harapan melepaskan diri mereka daripada penindasan di Myanmar.  Kerajaan Bangladesh mengiystiharkan bahawa Rohingya merupakan pendatang asing tanpa izin dan menempatkan mereka di dalam kem-kem pelarian.  Rohingya berasal dari bahagian barat Myanmar.  Sebagai kumpulan minoriti Muslim, mereka  menderita akibat diskriminasi secara teratur yang dilakukan oleh rejim tentera di negara itu. 
Rohingya tidak dianggap sebagai warganegara dan tidak boleh bergerak, berkahwin atau mencari pekerjaan tanpa memperoleh permit atau memberi rasuah.  Tanpa hak asasi yang diberikan oleh kewarganegaraan, mereka tidak berupaya untuk mengelakkan daripada pengenaan cukai secara sembarangan, buruh paksa atau perampasan terhadap tanah mereka.  Mereka bukannya warganegara Bangladesh dan bukan juga warganegara Myanmar.  Mereka yang melarikan diri ke Bangladesh terpaksa hidup tanpa perlindungan undang-undang dan dilarang daripada memperoleh pendidikan formal, penjagaan kesihatan yang boleh dipercayai, dan mendapatkan sumber tetap makanan atau pendapatan.  Mereka yang masih tinggal di Myanmar terpaksa menanggung diskriminasi yang serupa.  Keadaan yang menyedihkan yang ditanggung oleh Rohingya menunjukkan bahawa diskriminasi, eksploitasi atau penindasan, dan  penyalahgunaan yang orang hadapi apabila mereka dianggap tidak bernegara.
Belajar daripada Penderitaan Orang Lain
Bagi kita yang memiliki taraf kerakyatan atau kewarganegaraan, kita mungkin tidak menyedari akan kesengsaraan orang  tidak bernegara.  Dengan mengetahui nasib malang yang menimpa orang tidak bernegara boleh menimbulkan rasa kesedaran dan keinsafan pada diri kita betapa bernilainya kerakyatan dan kewarganegaraan yang kita miliki.
 Dalam “Statelessness: What It Is and Why It Matters” yang diterbitkan dalam Forced Migration Review (1 April 2009),  Indira Goris, Julia Harrington dan Sebastian Kohn menulis, “bagi kebanyakan kita, kewarganeraan hanya benar-benar penting apabila kita ke luar negara, apabila Sukan Olimpik berlangsung, atau apabila kita mengundi dalam pilihan raya umum.  Kita tidak pernah memikirkan kewarganegaraan dalam kehidupan sehari-harian.  Oleh sebab pengiktirafan  kewarganegaraan dianggap penting untuk mendapatkan hak lain, seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, pekerjaan, dan kesaksamaan di sisi undang-undang, maka orang tanpa kewarganegaraan, iaitu mereka tidak bernegara adalah antara golongan yang paling mudah terjejas  (vulnerable) di dunia ini.


Konsep dan Sifat Kewarganegaraan

Seperti dinyatakan dalam Bab 1, kita  tidak pernah memikirkan kewarganegaraan dalam kehidupan sehari-harian.  Kebanyakan kita tidak pernah memikirkan perkara kewarganegaraan kita kerana kita memperolehnya secara automatik apabila kita dilahirkan. Hakikatnya,akikatnya memiliki kewarganegaraan merupakan syarat penting untuk penyertaan sepenuh dalam masyarakat dan prasyarat untuk menikmati hak asasi manusia yang sepenuhnya.
Namun begitu, dari segi amalan, kewarganegaraan tidaklah semudah yang disangkakan itu, bahkan perbincangan tentang konsep kewarganegaraan itu sendiri melibatkan satu tempoh yang amat panjang dan tanpa kesudahannya. Apabila timbul kontroversi berhubung dengan pemberian terhadap orang Cina dan India di negara ini, Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia, seperti yang dilaporkan dalam The Star (4 Februari 2010), berkata, “kewarganegaraan orang bukan Melayu di negara ini sepatutnya tidak dipersoalkan.  Peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa orang Melayu ialah kaum peribumi di negara ini, manakala orang bukan Melayu mempunyai hak kewarganegaraan.”
 Orang telah membincangkan idea kewarganegaraan sejak beribu-ribu tahun, tetapi hingga kini, tiada persetujuan mutlak tentang ketepatan apakah yang dimaksudkan dengan kewarganegaraan.  Konsep kewarganegaraan di sisi undang-undang agak mudah, iaitu biasanya dikaitkan dengan negara bangsa dan ditakrifkan dari segi undang-undang sesebuah negara.  Itulah sebabnya mengapa selalu dianggap bahawa idea tentang kewarganegaraan mempunyai kaitan rapat dengan idea patriotisme.
Rainer Bauböck  (1997), “Citizenship and National Identities in the European Union,”  berkata bahawa perbezaan antara warganegara dengan orang asing yang mendasari empat premis asas konsep kewarganegaraan: (i) orang asing tertakluk sepenuhnya kepada kedaulatan sesebuah wilayah; (ii) orang asing tidak termasuk dalam hak warganegara; (iii) negara adalah berdaulat  dalam menentukan peraturan untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan atau kehilangan taraf itu; (iv) hak asasi manusia secara berkesan bergantung pada kewarganegaraan.

Takrif  dan Makna Kewarganegaraan

Kerakyatan atau kewarganegaraan  merupakan ikatan undang-undang antara negara, undang-undang negara berkenaan, dan individu.  Ikatan ini merangkumi hak politik, ekonomi, sosial, dan hak lain, di samping tanggungjawab kerajaan dan warganegara.  Sesetengah negara menggunakan perkataan “kerakyatan”, manakala sesetengah negara lain menggunakan perkataan “kewarganegaraan” untuk menunjukkan ikatan undang-undang berkenaan. 
Kewarganegaraan ialah keanggotaan penuh di sesebuh negara atau dalam beberapa unit lain dalam kerajaan.   Hampir semua orang mempunyai kewarganegaraan sekurang-kurangnya di sebuah negara.  Dari segi teori politik dan undang-undang, kewarganegaraan merujuk kepada hak dan tanggungjawab anggota sesebuah negara bangsa atau kota. Setiap warganegara mempunyai hak tertentu dan tanggungjawab tertentu.  Tidak semua orang di sebuah negara itu merupakan warganegara di negara berkenaan. Banyak juga negara yang mempunyai rakyat yang bukan warganegara.

Dalam sesetengah konteks sejarah, warganegara ialah sesiapa sahaja yang menjadi anggota sesebuah kota.  Idea kewarganegaraan dibangunkan di kota Greece dan  Rom Purba kira-kira 700 S.M. Orang Greek dan Rom awal berpendapat bahawa kota terutamanya adalah sebagai komuniti dan bukannya sebagai tempat geografi.  Komuniti berkenaan terdiri daripada warganegara yang dikaitkan dengan ikatan, seperti persahabatan, hubungan kekeluargaan, dan penyertaan dalam  kerajaan. Walau bagaimanapuh, tidak semua orang di kota itu mempunyai kewarganegaraan, misalnya golongan hamba. Oleh itu, kewarganegaraan terbatas pada manusia bebas yang mempunyai hak untuk menyertai debat politik kerana mereka memberikan sumbangan selalunya melalui khidmat ketenteraan.
Gordon Marshall dalam A Dictionary of Sociology (1998) mengatakan bahawa dalam teori politik dan undang-undang, kewarganegaraan merujuk kepada hak dan tugas anggota negara bangsa atau kota.  Dalam sesetengah konteks sejarah, warganegara ialah mana-mana anggota sesebuah kota; maksudnya, kolektiviti bandar yang secara relatifnya, kebal daripada tuntutan raja atau negara.  Di Greece klasik, kewarganegaraan terbatas pada manusia bebas,  yang mempunyai hak untuk menyertai debat politik kerana mereka memberikan sumbangan, selalunya menerusi khidmat ketenteraan, kepada sokongan langsung negara kota.  Sering dibahaskan oleh ahli sejarah bahawa kewarganegaraan, justeru diperluaskan dengan pendemokrasian untuk memasukkan takrif yang lebih luas tentang warganegara tanpa mengambil kira jantina, umur, atau etniksiti.  Konsep ini dihidupkan semula dalam konteks negara moden, terutamanya ketika Revolusi Perancis dan Revolusi Amerika, dan secara beransur-ansur dikenal pasti  lebih pada hak berbanding dengan  kewajipan atau obligasi.  Pada zaman moden, kewarganegaraan secara lazim, merujuk kepada pelbagai organisasi yang menginstitusikan hak ini dalam  negara kebajikan.
Dalam bidang sosiologi, teori terbaru tentang kewarganegaraan diilhamkan daripada T.H. Marshall yang mentakrifkan kewarganegaraan sebagai status yang dinikmati oleh seseorang yang merupakan anggota penuh komuniti.  Kewarganegaraan mempunyai tiga komponen: sivil, politik, dan sosial. Hak sivil adalah perlu untuk kebebasan individu dan diinstitusikan di mahkamah undang-undang.  Kewarganegaraan politik menjamin hak untuk menyertai penggunaan kuasa politik dalam komuniti berkenaan, sama ada melalui pengundian atau memegang jawatan politik.  Kewarganegaraan sosial ialah hak untuk menyertai taraf hidup yang sesuai; hak ini terkandung dalam sistem kebajikan dan sistem pendidikan masyarakat moden.  Ciri penting teori Marshall ialah pandangan beliau bahawa wujud ketegangan atau percanggahan kekal antara prinsip kewarnegaraan dan operasi pasaran kapitalis.  Kapitalisme, tidak dapat tidak, melibatkan ketidaksamaan antara kelas sosial, manakala kewarganegaraan melibatkan beberapa pengagihan semula sumber kerana hak yang dikongsi sama rata oleh semua anggota masyarakat.
Teori Marshall banyak mencetuskan pertikaian. Kritikan terhadap teori itu membahaskan bahawa adalah hanya deskripsi pengalaman Inggeris semata-mata, dan bukan analisis bandingan tentang kewarganegaraan; bahawa mempunyai pandangan evolusinari dan teologi tentang pengembangan kewarganegaraan yang tidak dapat dielakkan, dan tidak mengkaji proses sosial yang melemahkan kewarganegaraan; tidak  mengemukakan perbezaan gender dalam pengalaman kewarganegaraan; gagal mengemukakan jenis kewarganegaraan lain, seperti kewarganegaraan ekonomi; dan tidak jelas tentang punca pengembangan kewarganegaraan.  Sesetengah ahli sosiologi percaya bahaw hujah Marshall boleh diselamatkan daripada kritikan ini jika teori asal itu diubahsuaikan. 
Kewarganegaraan, seperti yang dikatakan, merupakan realiti yang kompleks dan multidimensi yang perlu diletakkan dalam konteks politik dan sejarahnya.  Kita tidak boleh berbicara tentang kewarganegaraan secara berasingan kerana idea hanya mempunyai mana-mana makna yang berkaitan dengan keperluan sebenar masyarakat atau sistem politik.  Kewarganegaraan demokratik, khususnya, merujuk kepada penyertaan yang aktif oleh individu dalam sistem hak dan tanggungjawab which is the lot of citizenship dalam masyarakat demokratik.
Ahli sejarah menegaskan bahawa kewarganegaraan dengan demikian diperluaskan dengan pendemokrasian untuk memasukkan takrif yang lebih luas tentang warganegara tanpa mengira jantina, umur, atau kaum atau etniksiti. 

Unsur atau Dimensi Kewarganegaraan
Konsep kewarganegaraan mengandungi tiga unsur atau dimensi, iaitu kewarganegaraan sebagai status undang-undang, yang ditakrifkan oleh hak sivil, hak politik, dan hak sosial.  Di sini, seseorang warganegara ialah orang di sisi undang-undang bebas untuk bertindak menurut undang-undang dan mempunyai hak untuk menuntut perlindungan undang-undang.   Namun begitu, ini tidak bermakna bahawa warganegara mengambil bahagian dalam penggubalan undang-undang dan tidak juga memerlukan bahawa hak adalah seragam antara warganegara.  Yang kedua mempertimbangkan warganegara secara khusus sebagai agen politik yang secara aktif mengambil bahagian dalam institusi politik masyarakat.  Yang ketiga merujuk kepada kewarganegaraan sebagai keanggotaan dalam masyarakat politik yang memberikan sumber identiti yang berbeza.
Baru-baru ini, ahli sosiologi melangkaui teori tradisional tentang demokrasi, liberalisme, dan masyarakat sivil untuk mengemukakan persoalan tentang perhubungan yang berubah antara individu, masyarakat, dan negara, di dunia yang negara bangsa kian tertakluk kepada pengaruh daripada institusi supranasional.
Sememangnya, berguna untuk melihat beberapa perkembangan yang lebih penting dalam idea kewarganegaraan, kerana ini membantu untuk mengeluarkan pelbagai lembar makna yang dibincangkan pada masa sekarang, iaitu:
  • Asal usul kewarganegaraan boleh dikesan sejak Greece Purba, apabila “warga” ialah mereka yang mempunyai hak  dari segi undang-undang untuk  turut serta dalam hal ehwal negara.  Akan tetapi, tidak bermakna bahawa setiap orang ialah warganegara: hamba dan wanita, khususnya, merupakan rakyat jelata semata-mata.  Bagi mereka yang mempunyai status hak istimewa sebagai warganegara, idea “civic virtue” atau menjadi warganegara yang “baik” merupakan bahagian penting dalam konsep ini.  Tradisi ini membawa kepada penekanan terhadap tugas yang sepatutnya dilaksanakan oleh warganegara.  
  • Perseikatan antara kewarganegaraan dengan identiti nasional muncul secara natural daripada hakikat bahawa status undang-undang “warganegara” selalunya terikat pada negara bangsa, justeru, hubungan  antara kewarganegaraan dengan patriotisme.
  • Pandangan  liberal  tentang kewarganegaraan, yang dibangunkan pada abad ke-19, menekankan kepentingan hak semua warganegara.  Oleh sebab hak mengundi  mula diperluaskan  secara beransur-ansur, maka hak keadilan dan politik menjadi realiti untuk jumlah penduduk yang semakin meningkat.  
  • Pada abad ke-20, para penyokong “kewarganegaraan sosial”  melangkah lebih jauh dengan mengiktiraf bahawa hak sivil dan politik hanya merupakan bahagian apakah yang warganegara mungkin boleh harapkan daripada negara.  Kebangkitan negara kebajikan pada abad lalu   Pada abad ke-20, para penyokong “kewarganegaraan sosial,” pergi lebih jauh, dalam mengiktiraf bahawa warganegara mungkin dapat menjangkakan daripada negara.  Kebangkitan negara kebajikan pada abad lalu terhutang sangat besar kepada para pemikir yang membahaskan hak warganegara mungkin meliputi keadaan hidup dan syarat kerja mereka, berbanding dengan hanya penyertaan dalam politik “tinggi” semata-mata.
  • Konsep “kewarganegaraan berganda”  wujud untuk sementara waktu dan membenarkan individu mungkin  secara serentak  menjadi warganegara lebih daripada sebuah negara atau badan yang mengurus.  Misalnya, dengan perkembangan Kesatuan Eropah, warganegara bagi negara anggota Kesatuan Eropah semakin memiliki beberapa hak daripada Kesatuan dan tugas untuk Kesatuan secara keseluruhan, dan bukan hanya terhadap negara bangsa mereka sendiri.
  • Lembaran atau unsur akhir dalam kesatuan konsep kewarganegaraan, tetapi semakin penting, melibatkan idea pendidikan.  Jika kewarganegaraan dalam maksud tradisional melibatkan menikmati hak dan juga melaksanakan tugas, maka wujud maksud yang warganegara mungkin dikatakan tidak dilahirkan, tetapi dicipta.  Kesetiaan dan tanggunjawab, misalnya, ialah kualiti yang penting untuk menjadi warganegara dalam maksud sepenuh istilah, maka warganegara “sebenar” perlu dididik – dalam maksud perkataan yang lebih luas. 

Kini,  anggapan kebanyakan orang tentang kewarganegaraan akan memasukkan unsur setiap enam konsep yang digariskan di atas, meskipun dalam  perkadaran yang berbeza.  Sesetengah orang akan menekankan unsur “tugas,” manakala yang lain akan memberikan kepentingan yang lebih terhadap “hak” atau “patriotisme” atau terhadap kualiti yang sepatut dimiliki oleh warganegara “sebenar.”
Masalah Kewarganegaraan
Kebanyakan debat atau perbahasan kini yang berkait dengan kewarganegaraan adalah tertumpu pada masalah penyertaan dan penglibatan warganegara yang semakin meningkat dalam proses masyarakat demokratik.  Semakin disedari bahawa pengundian berkala oleh warganegara  adalah tidak cukup dalam tempoh interim kebertanggungjawab sepenuh atau dalam menggalakkan perasaan pemerkasaan dalam kalangan warganegara biasa.  Seterusnya, bahkan pola pengundian mereka sendiri menunjukkan tahap apati politik dalam kalangan penduduk yang melemahkan dengan serius fungsian berksesan demokrasi.  Selain pengundian dalam pilihan raya, apakah bentuk penglibatan atau penyertaan yang mungkin untuk warganegara biasa? 
Set isu kedua yang kemungkinannya wajar kurang diberikan perhatian hingga kini, tetapi semakin penting, tertumpu pada persoalan mana-mana individu yang tidak boleh, untuk satu alasan atau yang lain, menerima faedah penuh kewarganegaraan.  Satu aspek ini ialah akibat pola berterusan diskriminasi dalam masyarakat: kumpulan minoriti mungkin lazimnya memiliki kewarganegaraan rasmi sesebuah negara tempat mereka tinggal, tetapi mereka masih dilarang daripada penyertaan sepenuh dalam masyarakat berkenaan.
            Aspek kedua masalah ialah akibat globalisasi yang kian bertambah, termasuk pola baru kerja dan penghijarah yang menyebabkan bilangan yang besar orang  di seluruh dunia menjadi pemastautin di luar negara, tetapi tidak boleh memohon kewarganegaraan rasmi.  Orang berkenaan mungkin termasuk pekerja imigran, pelarian, pemastautin sementara atau bahkan mereka yang membuat keputusan untuk menjadi pemastautin di negara lain.
Terdapat perbezaan tradisi yang sangat berbeza tentang kewarganegaraan dalam masyarakat yang berbeza.  Kewarganegaraan yang aktif yang berasaskan pencapaian hak menerusi perjuangan sosial adalah sangat berbeza daripada kewarganegaraan pasif yang diperturunkan dari atas oleh negara atau kerajaan.  Wujud juga perbezaan pendekatan teoritikal untuk memahami struktur dunia awam dan dunia swasta dari segi konsepsi kewarganegaraan. 
Bagi sesetengah ahli sosiologi, seperti Talcott Parsons, pertumbuhan kewarganegaraan merupakan ukuran pemodenan masyarakat kerana ukuran itu berasaskan nilai universalisme dan pencapaian.  Perbezaan tradisi teoritikal ini adalah terutamanya hasil dua pandangan yang yang berlawanan tentang kewarganegaraan:  sama ada dilihat sebagai aspek liberalism borjuis yang kes yang dilibatkan ialah pandangan konservatif penyertaan sosial atau dianggap sebagai cirri politik demokratik radikal; sama ada diketepikan sebagai pembaharuan kapitalisme semata-mata atau dianggap sebagai dasar fundamental demokrasi. 
Baru-baru ini, ahli sosiologi melangkau melampaui teori tradisi demokrasi, liberalism, dan masyarakat sivil, untuk mengemukakan persoalan tentang hubungan yang berubah-ubah  antara individu, komuniti, dan negara, di dunia yang negara bangsa semakin tertakluk kepada pengaruh institusi supranasional.  Adakah globalisasi menggantikan kewarganegaraan negara dengan konsepsi universal yang sebenar tentang hak asasi manusia?

Makna Kewarganegaraan dari Segi Pengaruh Politik
Debat atau perbahasan tentang pengaruh politik berpunca daripada persekitaran politik yang berubah-ubah apabila orang ramai mul mempersoalkan di manakan kesetiaan politik mereka patut dicurahkan.  Dalam masyarakat yang berubah-ubah dan semakin global, perdebatan semakin hangat tentang apakah entiti atau entiti-entiti yang patut dianggotai oleh warganegara.  Pastinya, kita ialah anggota keluarga kita sendiri, komuniti kecil, kota, negeri, dan negara.  Dalam era ketika dunia semakin mudah dihubungi oleh semua orang, timbul persoalan adakah kita ialah warganegara semata-mata hanya negara kita sendiri atau kita ialah warganegara komuniti dunia?
Para penyokong keunggulan kosmopolitan membahaskan bahawa kita sepatutnya menjadi warganegara dunia dan bahawa pendidikan kewarganegaraan sepatutnya menyediakan kita untuk kesetiaan global.  Penyokong kewarganegaraan global sedemikian menggalakkan penyediaan untuk kewarganegaraan menerusi pendidikan kewarganegaraan kosmopolitan.  Program ini berasaskan idea bahawa untuk mewujudkan masyarakat yang aman dan adil, kita mesti belajar untuk mengiktiraf dan  menghargai perbezaan kita dan menentukan matlamat bersama.
Dalam kajian beliau tentang pandangan yang berbeza tentang kewarganegaraan dan kesetiaan, Darling menegaskan bahawa kewarganegaraan kosmopolitan adalah bermanfaat dengan tiga cara.  Pertama, kewarganegaraan sedemikian membantu kita untuk melihat diri kita dengan jelas kerana kita melihat diri kita dalam hubungan dengan orang lain.  Kedua, Darling membahaskan bahawa perbincangan politik secara tekal disabotajkan oleh kesetiaan kepartian.  Beliau memperjuangkan peralihan fokus kepada satu kewarganegaraan global dan mengteorikan bahawa ini akan membasmikan halangan kepartian sedemikian.  Akhir sekali,  kewarganegaraan kosmopolitan mengiktiraf keinginan semula jadi manusia untuk mendapatkan keadilan dan kebaikan.
Para pengkritik terhadap pendekatan kosmopolitan untuk pendidikan kewarganegaraan membahaskan bahawa tidak wujud komuniti dunia yang sedemikian.  Mereka  percaya bahawa komuniti dunia hanya teoritikal semata-mata dan menunjukkan konflik atau persengketaan dan peperangan semasa memperlihatkan ketidaksediaan membantu manusia lain sebagai bukti kesetiaan nasional membayangi mana-mana kesetiaan global.
         
Kajian kami tentang perbincangan semasa atau kontemporari, memperlihatkan perbezaan penting terhadap tiga dimensi kewarganegaraan.  Sebagai status undang-undang, kewarganegaraan kekal sebagai teras konsepsi semasa: teras normatifnya merupakan prinsip bahawa warganegara boleh menikmati hak sama rata, meskipun banyak yang bersetuju kini bahawa dalam keadaan tertentu, pertimbangan sama rata kepentingan individu mungkin boleh diwajarkan akibat layanan yang berbeza daripada negara.

Cara-cara untuk Menjadi Warganegara
Setiap negara boleh dikatakan mempunyai pelbagai undang-undang yang menentukan pemberian taraf kewarganegaraan kepada seseorang.  Orang ramai menjadi warganegara melalui dua cara, iaitu melalui kelahiran dan melalui pewarganegaraan atau naturalisasi.  Hak untuk mendapatkan kewarganegaraan apabila seseorang itu dilahirkan di sesebuah negara dikenali sebagai jus soli.  Undang-undang di kebanyakan negara, termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, dan Kanada, pemberian kewarganegaraan berdasarkan jus soli.
Sesetengah negara menggunakan peraturan kewarganegaraan yang lain dan bukannya jus soli atau sebagai tambahan kepada jus soli.  Peraturan ini menyediakan bahawa kewarganegaraan kanak-kanak ditentukan oleh kerakyatan ibu bapa mereka, tidak kira di mana jua kanak-kanak itu dilahirkan.  Hak kewarganegaraaan berdasarkan kerakyatan ibu bapa kanak-kanak berkenaan dikenali sebagai jus sanguinis, suatu ungkapan Latin yang bermaksud hak darah.
Pewarganegaraan atau naturalisasi ialah proses undang-undang yang membolehkan orang asing menjadi warganegara sesebuah negara yang dipilihnya.  Setiap negara menetapkan syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh orang asing untuk diberikan taraf kewarganegaraan melalui cara ini.  Misalnya, orang asing tidak boleh menjalani pewarganegaraan di Amerika Syarikat dan Kanada, kecuali orang asing itu tinggal di negara itu untuk beberapa tahun.
Di Malaysia, Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa kewarganegaraan adalah melalui kuat kuasa undang-undang, iaitu tiap-tiap orang yang lahir sebelum Hari Malaysia yang menjadi warganegara Persekutuan menurut kuasa peruntukan dan tiap-tiap prang yang pada hari atau selepas Hari Malaysia dan mempunyai mana-mana kelayakan yang dinyatakan dalam Perlembagaan. Selain itu, Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa kewarganegaraan diperoleh melalui pendaftaran (isteri dan anak warganegara).  Seseorang wanita yang suaminya ialah warganegara Malaysia, maka wanita itu berhak didaftarkan sebagai warganegara jika perkahwinan itu masih wujud.  Kerajaan Persekutuan juga  boleh, dalam apa-apa hal keadaan khas yang difikirkannya patut, menyebabkan mana-mana orang yang di bawah umur 21 tahun didaftarkan sebagai warganegara.
Malaysia juga mengamalkan kewarganegaraan melalui naturalisasi seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.  Kerajaan Persekutuan boleh memberikan perakuan naturalisasi kepada orang yang bukan warganegara berumur 21 tahun atau lebih.  Pemberiaan ini berdasarkan bahawa Kerajaan Persekutuan bepuas hati bahawa orang itu telah dia telah bermastautin di Persekutuan selama tempoh yang dikehendaki dan berniat hendak berbuat demikian secara tetap jika diberikan perakuan itu;  berkelakuan baik; dan mempunyai pengetahuan yang memadai dalam bahasa Melayu.
Bagaimana  Kerakyatan Diberikan
Secara prinsip, kerakyatan atau kewarnegaraan diberikan melalui kelahiran di dalam wilayah sesebuah negara atau menerusi keturunan jika kanak-kanak memperoleh kerakyatan atau kewarganegaraan ibu bapa.  Dalam sesetengah keadaan, seseorang diberikan kerakyatan atau kewarganegaraan menerusi kedua-duanya, iaitu kelahiran dan keturunan.  Orang yang menjadi pemastautin untuk tempoh yang panjang di sesebuah negara atau orang yang mewujudkan ikatan lain, seperti perkahwinan dengan seseorang warganegara sesebuah negara juga layak memperoleh kewarganegaraan melalui naturalization.
Ada dua prinsip yang digunakan secara lazim untuk memberikan kewarganegaraan apabila seseorang itu dilahirkan yang dalam istilah undang-undang disebut jus soli dan jus sanguinis.  Atau disebut “undang-undang tanah” dan “undang-undang darah.”  Jus soli memperuntukkan bahawa sesiapa yang lahir di dalam wilayah sesebuah negara mempunyai hak kewarganegaraan negara berkenaan, kecuali beberapa pengecualian lazim, seperti anak-nak diplomat asing.  Jus sanguinis menganugerahkan kewarganegaraan kepada kanak-kanak yang ibu bapa mereka merupakan warganegara di negara berkenaan.  Bagi mereka yang tidak menerima kewarganegaraan ketika lahir atau perlu menukar kewarganegaraan, kebanyakan negara membenarkannya, sekurang-sekurangnya secara prinsip, perolehan taraf kewargeraan melalui naturalization. Di sesetengah negara, wujud juga peluang terbatas untuk memperoleh kewarganegaraan oleh proses yang paling sederhana (simpler process) yang dikenali sebagai “pendaftaran” atau “perisytiharan.”


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...