Artikel Popular

Saturday, April 20, 2019

Sogo Shosha: Wang, Manusia, dan Moral


SABTU, 20 April 2019
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH
Sogo  Shosha yang menjadi penggerak kecemerlangan ekonomi Jepun, khususnya dalam perdagangan antarabangsa telah menjadi tumpuan masyarakat di seluruh pelosok dunia. Banyak negara di dunia ini, seperti Brazil, Mexico, Korea Selatan, Thailand, Amerika Syarikat, Malaysia, dan beberapa buah negara lain ingin menubuhkan sogo shosha di negara masing-masing.
Perkataan “sogo shosha” yang mula digunakan di Jepun sekitar tahun 1954 dimaksudkan sebagai syarikat perdagangan yang menangani barang yang banyak, bergiat dalam eksport dan import, mempunyai pejabat di merata-rata dunia, dan menguasai bidang pemasaran dan kewangan.
Terdapat sembilan buah sogo shosha di Jepun, iaitu Mitsubishi Shoji, Mitsui Bussan, Marubeni, C. Itoh, Sumitomo Shoji, NisshoIwai, Toyo Menka, KanematsuGosho, dan Nichimen. Ataka juga pernah dianggap sebagai sogo shosha, tetapi syarikat ini telah bergabung dengan C. Itoh pada tahun 1977.
Sebagai syarikat perdagangan, sogo shosha pernah diramalkan akan merosot akibat perkembangan perindustrian. Namun begitu, ramalan Marxis itu tidak menjadi kenyataan, sebaliknya sogo shosha terus berkembang.
Timbul persoalan apakah yang menjadi tulang belakang sogo shosha? Kozo Yamamura pernah  berhujah bahawa kekuatan sogo shosha bergantung pada kos urus niaga. Kos ini lebih murah dengan menggunakan sogo shosha jika dibandingkan dengan memasarkan barang sendiri.
Namun demikian,  Yoshihara Kunio dalam Sogo Shosha;  Pemandu Kejayaan Ekonomi Jepun (Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993, RM18.00), menegaskan bahawa keutuhan sogo shosha bergantung pada kekuatan sumber kewangan dan sumber manusia. Pandangan beliau ini selari dengan pandangan pemerhati asing yang telah mengamati peranan kewangan sogo shosha. Misalnya, The Economist menunjukkan beberapa persamaan antara sogo shosha dengan bank saudagar di Britain. Peter Drucker menganggap bahawa dalam banyak hal, sogo shosha bukanlah syarikat perdagangan, tetapi syarikat kewangan. Sogo shosha merupakan bank saudagar par excellence.
Oleh sebab sogo shosha mempunyai kekuatan kewangan, maka syarikat ini mampu memberi pinjaman dan kredit yang lebih besar jika dibandingkan dengan bank kota yang terbesar, iaitu Daiichi Kangyo Bank. Sogo shosha mampu membelanjakan 2000 bilion yen untuk memperoleh saham-saham syarikat lain.
Kekuatan kewangan telah membolehkan sogo shosha membuka cawangan di seluruh dunia, bergiat dalam pelaburan asing, memberi pinjaman, hutang perdagangan, dan jaminan kepada pelanggan mereka (bukan syarikat sekutu), sama ada di dalam ataupun di luar negara.
Kekuatan kewangan juga membolehkan sogo shosha memanjangkan tempoh
kredit kepada pengeluar yang kekurangan modal kerja. Sogo shosha dapat menyediakan modal jangka panjang dengan menceburi bidang pajak, pasar raya, kapal terbang penumpang jumbo jet, kemudahan lapangan terbang, dan sebagainya.
Sejajar dengan pemodenan Jepun, sogo shosha, seperti Mitsui Busan memperkenalkan dasar pengambilan pekerja yang tidak lagi berasaskan wilayah kelahiran. Sebaliknya, Mitsui Busan pengambil pekerja lepasan kolej, iaitu Kolej Per dagangan Tokyo (kini dikenali sebagai Universiti Hitotsubashi. Para pekerja terdiri daripada pelajar lepasan pelbagai bidang.
Pekerja baharu ini akan dilatih sebelum mereka menjalankan tugas. Mereka diajar tentang peraturan syarikat, keterampilan yang diperlukan untuk tugas mereka, dan diperkenalkan rangkaian hubungan antara  manusia dalam menjalankan tugas mereka. Selaras dengan perkembangan syarikat, setengah-setengah sogo shosha melaksanakan dasar penurunan kuasa, demi mengelakkan penyalahgunaan kuasa dalam  kalangan pengurus.
Pihak pengurusan tertinggi sogo shosha  tidak gila kuasa. Mereka merupakan satu kelompok, bukan  individu untuk membuat keputusan kolektif. Di sebalik kecemerlangan ini, sogo shosha telah dilemparkan dengan bermacam-macam tuduhan.
Sogo shosha dituduh melakukan spekulasi tanah, saham, dan komoditi. Hasil amalan tersebut, sogo shosha dapat mengautkan keuntungan yang lumayan. Sogo shosha dituduh terbabit dalam skandal rasuah dan politik - di dalam dan di luar negara. Lantaran itu, dikatakan bahawa skandal politik merupakan monopoli sogo shosha.
Yoshihara menamatkan buku ini de ngan mengemukakan dua persoalan yang
menarik. Pertama, bagaimana masa depan sogo shosha akibat bank mengetatkan syarat pinjaman? Kedua, dapatkah negara-negara lain mengembangkan institusi,  seperti sogo shosha?
 (Dewan Ekonomi, April 1994.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...