Artikel Popular

Wednesday, April 6, 2011

Ahli Falsafah di Sebalik Tabir

KHAMIS,    7  April 2011
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH

Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy mengakui kerajaannya memandang rendah    terhadap Revolusi Melati  yang menumbangkan Presiden Zine el-Abidine  Ben Ali. Beliau dikatakan juga menyesal kerana tidak menyelamatkan rejim di negara bekas tanah jajahan Perancis itu.  Apabila pemberontakan popular yang merebak ke Mesir dan akhirnya menumbangkan seorang lagi rejim, Hosni Mubarak, seterusnya  ke Libya, maka Sarkozy  berusaha memperlihatkan peranan negaranya.  Tatkala Presiden Barack Obama  bertindak-tanduk seperti pemimpin yang keberatan, Sarkozy bersama-sama dengan Perdana Menteri Britain, David Cameron, menggerakkan pakatan antarabangsa untuk campur tangan di Libya.

Jika di Amerika terbongkar peranan tiga srikandi yang mempengaruhi   Presiden Obama, di Perancis juga terdedah peranan di sebalik  tabir, tetapi peranan itu bukannya dimainkan oleh isteri jelita Sarkozy, iaitu   Carla Bruni,    sebaliknya oleh  ahli falsafah Perancis yang terkenal, Bernard-Henri Lévy.  Selepas Perancis bersama-sama Amerika dan Britain dengan kelulusan  Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenakan zon larangan terbang terhadap Libya, peranan ahli falsafah itu mula diketengahkan dan diperkatakan.

Did Bernard-Henri Lévy Take NATO to War?,” demikian tajuk tulisan Richard Brody dalam blog The New Yorker yang menulis bahawa Paris ialah New York Perancis,  Hollywoodnya, dan Washington, D.C-nya – ibu negara politik,  seni, kewangan, dan perfileman.  Akibatnya, di Perancis, domain ini terjalin erat dengan keadaan kemesraannya  luar biasa dan selalunya memeranjatkan.   Brody menulis dengan mukadimah yang amat menarik:  “Khususnya, pempolitikan intelektual dan bercakap pengintelektualan politik merupakan ciri utama kehidupan orang Perancis sekurang-kurangnya sejak abad ke-18.  Pada saat-saat pertempuran tentera Perancis terhadap  rejim Gaddafi di Libya, trend itu  mengambil pusingan amalan aneh:  penulis Perancis Bernard-Henri  Lévy yang memulakan kerjayanya pada tahun 1970-an sebagai ahli falsafah politik dan merupakan tokoh media yang luar biasa terkenalnya, memainkan peranan yang bersemangat dalam menghimpunkan kerajaan Perancis, dan mungkin juga kerajaan kita sendiri, untuk menyebabkan campur tangan ketenteraan bagi pihak rakyat Libya.

Selepas Hosni Mubarak tumbang, Bernard-Henri Lévy  menulis  “Egypt:  Year Zero”  berdasarkan pemergian beliau ke negara itu dan menemui orang daripada pelbagai lapisan, antaranya  ahli perniagaan,  aktivis sosial,   penulis, dan penari.   Bagi beliau, gerakan Tahrir ada kalanya  ada kelemahannya kerana tidak mempunyai program dan juga tidak mempunyai pemimpin, tetapi jelas bahawa Tahrir ialah program dan orang ramai, seperti Sartre akan kata, pemimpin mereka sendiri.
Brody  memetik makalah dalam Le Monde 10 Mac, yang menarik perhatian beliau bahawa Perancis memutuskan hubungan diplomatik dengan kerajaan Gaddafi dan mengiktiraf  Majlis Peralihan  Nasional sebagai kerajaan Libya yang sah.  Pengumuman itu  dibuat di Paris selepas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, mengadakan pertemuan dengan wakil Majlis berkenaan.

 Makalah itu menambah bahawa tidak lama kemudian,  Bernard-Henri Lévy yang turut hadir dalam pertemuan itu, menjelaskan bahawa duta baru Libya ke Perancis akan ditauliahkan “dalam beberapa hari lagi.”  Tambah beliau, “Kedutaan Perancis di Libya akan dipindahkan dari Tripoli ke Benghazi.”  Ahli falsafah itu mengeluarkan kenyataan yang tegas yang mencerminkan pendirian kerajaan Perancis:  “Kita adalah yang pertama berkata Gaddafi tidak lagi wakil yang sah.”

Di sebalik keterujaan beliau terhadap pemberontakan popular di Mesir itu, namun  seperti yang dipetik oleh Richard Brody  daripada Le FigaroLévy dikatakan berasa kecewa kerana beliau masuk ke Mesir selepas kejatuhan Mubarak.  Beliau memutuskan untuk menjadi orang yang pertama di Libya. Justeru, dari Mesir,  dengan segala kepayahan beliau ke Benghazi, berjaya berjumpa dengan para wartawan, bersama-sama dengan Mustafa Abdel Jalil, pemimpin Majlis Peralihan Nasional.  Beliau menjemput Abdel Jalil dan beberapa pemimpin lain dalam pemberontakan itu untuk ke pulang ke Perancis bersama-sama beliau, “berjanji melakukan apa-apa sahaja yang beliau mampu” supaya mereka dapat berjumpa dengan Sarkozy.
Apabila Sarkozy mengadakan perjumpaan dengan anggota Majlis berkenaan dan mengisytiharkan Perancis mengiktiraf mereka sebagai kerajaan Libya yang sah, dan yang menarik seperti yang dipetik oleh Brody,   “berlangsung tanpa kehadiran Menteri Luar Perancis dan beliau juga tidak mengetahuai adanya pertemuan itu.”   Lévy memainkan peranan yang aktif  untuk  anggota Majlis semasa mereka Paris. Selepas mengatur  anggota Majlis, Mahmoud Jebril  untuk  bertemu dengan Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton yang  berada di Paris ketika itu, Lévy muncul di radio mendesak Perancis mengambil tindakan ketenteraan demi membela pemberontakan. Dalam pergolakan politik di Libya itu, beliau   menjadi orang penting Sarkozy.  Pada petang 17 Mac, Sarkozy memanggil Lévy  memberitahu bahawa beliau akan mengambil tindakan tersebut di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan memanggil beliau semula apabila mandat diperoleh.

Dalam sembang dengan para pembaca Le Monde, Lévy ditanya peranannya di sebalik tabir itu,  jawapan beliau adalah sederhana: “Peranan saya, saya ulangi, terlalu mudah.  Saya membawa anggota Majlis berkenaan ke Paris; mengalu-alukan kedatangan Mahmoud Jebril  ke Paris, pada hari sidang kemuncak G-8; menjemput Ali Zeidan ke Paris juga untuk mengemukakan sorotan tentang projeknya untuk para wartawan.  Itu sahaja.”  Namun, beliau mengulangi bahawa beliau “Tiada peranan.  Kecuali pada suatu petang di Benghazi, idea gila untuk mengangkat telefon dan memanggil Presiden negara saya dan mencadangkannya menerima delegasi dari Libya Bebas.”

Penglibatan Bernard-Henri  Lévy itu kian menjadi pengetahuan umum apabila Nathan Gardels mengadakan wawancara dengan beliau, “Behind the Scenes of the French Lead on Libya”  yang menyatakan bahawa tidak memeranjatkan BHL (seperti yang beliau dikenali di Perancis terlibat di belakang tabir dalam menggerakkan Presiden Sarkozy menerajui tindakan terhadap Libya. Bernard-Henri  Lévy dan Bernard Kouchner, pengasas Doktor Tanpa Sempadan dan sehingga tahun lalu Menteri Luar Presiden Sarkozy, tulis Gardels, telah lama menjadi jaguh “hak untuk melindungi,” iaitu hak komuniti antarabangsa untuk campur tangan jika  pemerintahnya melakukan jenayah terhadap rakyat sendiri.

Dalam wawancara itu, sebagaimana yang ditulis oleh Richard Brody sebelum ini, Lévy mengelakkan daripada menonjolkan peranannya:  “Peranan utama, saya tidak tahu.  Presiden Sarkozy  cukup matang untuk mengetahui apa yang perlu dilakukannya.”  Beliau menggunakan alasan bahawa beliau tidak sehaluan dengan Presiden:  “Terutamanya sejak, seperti yang anda mungkin tahu, penentang yang lantang terhadp dasar beliau.  Saya tidak mengundi beliau pada 2007.  Saya tidak akan mengundi beliau pada 2012.  Dan beliau mengetahuinya.”

Apabila ditanya kehadiran beliau pada 10 Mac di  Istana  Elysée, apabila beliau menerima wakil  Majlis Peralihan Nasional dan mengiktiraf mereka, Lévy menjelaskan bahawa beliau di situ kerana beliau salah seorang yang mengaturkan pertemuan:  “Saya salah seorang yang meyakinkan Sarkozy untuk menerima tiga orang ini  dan yang mencadangkan ‘pengiktirafan diplomatik’  kepada Presiden.”

Dalam  wawancara itu  juga Bernard-Henri  Lévy menjelaskan kehadirannya di Benghazi membuat liputan cerita, dan bernasib baik, beliau berjumpa orang ini daripada Majlis Peralihan Nasional, tetapi mengakui bahawa dari sana, beliau menghubungi Presiden Sarkozy, memberitahu, “Ada orang di sini, orang baik; orang ini memegang nilai yang sama seperti kita, dan mereka akan terkorban jika kita membenarkan Gaddafi melakukan logik jenayahnya.  Adakah Presiden boleh menerima mereka di Paris, dan dengan itu, hantar isyarat yang kuat kepada pembunuh yang kejam.  Nicolas Sarkozy segera menjawab, ya.”

Wawancara  itu turut dipetik oleh The Christian Science Monitor bahawa bagaimana ahli falsafah menggerakkan respons Perancis terhadap Libya dengan mengatur anggota Majlis Peralihan Nasional dengan Presiden Sarkozy.   Lévy, ahli falsafah Perancis yang kontroversi wajar diberikan pujian kerana mengejan komuniti antarabangsa bertindak terhadap Libya.  Beliau bekerja di belakang tabir di  Istana Élysée, menggalakkan tindakan Perancis, manakala Amerika masih berbahas tentang zon larangan terbang.  “Lévy yang mempunyai  ‘telinga Sarkozy’, meskipun mempunyai perbezaan dengan intelektual  awam yang lain, merangka konflik Libya sebagai detik untuk Perancis bertindak, demi memastikan Muammar Gaddafi tidak melakukan pembunuhan kejam terhadap musuhnya di Benghazi.

Sejak tercetusnya pergolakan di Libya, Bernard-Henri  Lévy menulis dalam The Huffington Post.  Dalam  “Sarkozy, Libya and Diplomacy of Extreme Urgency,” iaitu cerita mudah bahawa beliau tidak mengundi Nicolas Sarkozy.  Beliau menyamakan reaksi  Presiden Sarkozy di Libya  itu dengan reaksi Presiden François Mitterrand  di Bosnia. Seperti yang setiap orang kini tahu, tulis Lévy, “peristiwa itu berlangsung pada pagi 10 Mac, dengan penuh kehormatan, di Istana Elysée ini yang bagi mereka, saya tahu, ialah simbol demokrasi dan hak asasi manusia.”  Tambah beliau, “pada hari itu, Presiden Republik jelas tidak menyebut, seperti sesetengah pengulas terlalu ingin mencetak cerita mereka, tindakan ‘bom Libya’.”


Dalam tulisan seterusnya Lévy mengemukakan jawapan kepada tiga soalan tentang Libya, iaitu adakah sebuah peperangan yang adil?, mengapa Libya?, dan apakah yang berlaku seterusnya?”  Beliau merumuskan alternatif untuk Libya memang jelas. Sama ada kegilaan teroris.  Atau ciptaan bercampur demokrasi yang rendah diri, sabar, sukar.  Itu sahaja pilihannya.


Mengapa Sarkozy sanggup berperang, dan jawapannya, seperti yang dinyatakan oleh   Christopher Dickey, “Ahli falsafah saya yang membuatkan saya berperang.  Apabila beliau memerlukan  pertolongan untuk menumbangkan Gaddafi, beliau memperolehnya daripada  intelektual kembara yang ranggi, iaitu Bernard-Henri Lévy.
Yang jelas, bagi  sesuatu keputusan penting, wujud manusia di sebalik  tabir.  Namun, dalam kes campur tangan Perancis di Libya, yang jelas hanya ahli falsafah seorang diri mempengaruhi Presiden Sarkozy. Maksudnya tidak wujud kumpulan individu atau  atau kumpulan pemikir.  Kalau di Amerika Syarikat, keputusan untuk melancarkan serangan terhadap negara asing, antaranya dipengaruhi oleh puak neokonservatif. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...