KHAMIS, 27 Jun 2019
Oleh: ZILKIFLI SALLEH
Dalam kalangan individu tertentu, kerana kesibukan, maka
mereka tidak ada masa untuk membaca. Namun begitu, hasil inovasi dan
kebijaksanaan manusia, masalah tersebut dapat diatasi. Buku The Great American Bathroom Book I [Compact
Classic, (tidak dinyatakan tempat terbit), 1994, RM57.00] dengan editornya, Stevens W. Anderson, diulang cetak sebanyak tujuh kali dalam masa
tiga tahun dapat menarik minat anda untuk membaca.
Great American Bathroom
Book I (GABB) diterbitkan dengan tujuan
menyediakan kualiti pembacaan yang unggul bagi sesiapa yang sedang menunggu seseorang atau ketika makan tengah
hari atau ketika dalam bilik air. Malahan, anda boleh membaca buku ini di mana
sahaja pada bilabila masa. GABB
memadatkan versi ringkasan idea dan karya penting.
Dalam beberapa minit sahaja, para pembaca benar-benar mengetahui dan
mempunyai pengetahuan tentang beratus-ratus perkara daripada perniagaan dan
prinsip pengurusan kepada sastera klasik dan sezaman, dan sebagainya.
Buku ini yang meringkaskan 130 buah buku yang
terkenal untuk pembacaan masa lapang dan bermenung dibahagikan di bawah tajuk
perpustakaan nombor I hingga perpustakaan nombor. Di bawah setiap tajuk
perpustakaan ini terdapat beberapa bahagian. Di Amerika Syarikat, GABB menjadi buku terlaris dan dalam beberapa
minggu sahaja, lebih satu juta naskhah telah dijual di negara itu.
Antara ringkasan buku yang dimuatkan dalam GABB ialah Entrepreneurial
Megabucks, Megatrends, Megatrends 2000, The Managerial Mystique, A
Passion of Excellence, Thriving on
Chaos, The Greatest Management
Principle in the World, The One-Minute Manager, The Greatest Salesman in the
World, Swim with the Sharks, Managing
Conflict, Situational Leadership, Employee and Management Rights, The Seven Habits of Highly Effective People, Love is Letting Go of Fear, Wealth without
Risk, Time Saving Tips, petikan dan anekdot, biografi, dan sebagainya.
Sebenarnya, untuk menjadi orang yang benar-benar mengetahui dan
berpengetahuan, para pembaca tidak perlu membaca kesemua 130 buah buku yang terkenal
itu. Sekadar membaca GABB, para
pembaca dapat mengetahui beberapa perkara dan persoalan penting yang terkandung
dalam semua buku berkenaan.
Seorang sahabat saya yang melihat GABB telah melahirkan rasa tertarik
beliau terhadap buku tersebut. Setelah membaca GABB sepintas lalu, sahabat ini berkata, “Sekurang-kurangnya kita
dapat mengetahui perkara penting yang dibicarakan oleh pembaca lain. Dengan
membaca buku ini kita tidak akan ketinggalan dari segi pengetahuan.”
Dalam buku ini juga para pembaca dapat bersua dengan nama-nama terkenal,
seperti Euclid, Isaac Newton, Winston Churchill, Benjamin Franklin, William
Shakespeare, Leonardo da Vinci, Thomas Alva Edison, Marie Curie, Martin Luther
King, Mahatma Ghandi, dan Confucius.
GABB diilhamkan oleh Lan England,
seorang usahawan yang ketika itu berada dalam penerbangan yang jauh. Dalam
penerbangan itu beliau berhasrat meringkaskan semua buku klasik yang pernah
beliau dengar. Oleh itu, beliau mengupah editor, Stevens Anderson yang
kemudiannya mengupah beberapa orang profesor kolej dan ulat buku yang lain.
Buku ini diimport khas oleh Rayma Management Centre Sdn. Bhd., dan ketika
ulasan ini diterbitkan, masih belum
dijual di kedai buku.
(Dewan Ekonomi, Januari 1995.)
No comments:
Post a Comment