Artikel Popular

Sunday, November 11, 2012

Wang Gelap Hangus

SABTU, 10  November 2012
Oleh: ZULKIFLI  SALLEH




Dalam keluaran Oktober tahun ini, The Atlantic, melalui tulisan James Bennet membahaskan wang dalam politik Amerika Syarikat yang ketika itu sedang menghadapi pilihan raya, dengan kehadiran super PAC yang mengumpulkan dana untuk melancarkan kempen bagi mana-mana calon yang mereka sokong.  Akan tetapi,   terbukti super PAC merupakan "pelaburan yang teruk untuk tahap Pilihan Raya Presiden," tegas Alex Roarty. 

Sementara The Daily Beast dalam tiga siri, menerbitkan makalah tentang wang gelap yang merayau-rayau dalam pilihan raya yang berlangsung di negara tersebut.  Pertama, tentang ekonomi super PAC, kedua tentang dolak-dalik wang gelap, dan ketiga, tentang kegagalan pihak kawal selia mengawal wang gelap.  

Pilihan Raya Amerika Syarikat pada tahun ini menyaksikan kehadiran wang gelap secara berleluasa, seperti yang didedahkan dalam Time dan mendapat perhatian editorial The Wall Street Journal.  Dalam keluaran Julai/Ogos 2012, Mother Jones muncul dengan tulisan Andy Kroll menjejak wang gelap.  Sejak berbulan-bulan majalah ini menjejak wang gelap, di bawah tajuk "Minggu ini dalam Wang Gelap," yang makalahnya ditulis oleh Gavin Aronsen.  Di sini dipetik liputan itu mulai 1 Jun  (sebenarnya liputan bermula lebih awal lagi), dan seterusnya,  8 Jun, 15 Jun, 22 Jun, 29 Jun, 6 Julai13 Julai, 20 Julai, 27 Julai, 3 Ogos, 10 Ogos, 17 Ogos, 24 Ogos, 31 Ogos, 7 September, 14 September, 21 September, 28 September, 5 Oktober, 12 Oktober, 19 Oktober, 26 Oktober, 2 November, dan 9 November, yang juga boleh ditinjau melalui politik wang gelap.



Sebaik-baik sahaja  Barack Obama menang untuk  penggal kedua mengalahkan Mitt Romney, wang gelap menjadi sasaran kritikan.  Jelas bahawa wang besar yang mencecah AS$6 bilion, tidak menjanjikan kemenangan kepada calon yang berkenaan. Misalnya, Linda McMahon daripada Republikan yang berbelanja wang sendiri sebanyak  AS$100 juta sejak tiga tahun lalu, tetapi gagal dalam dua kali usaha  merebut kerusi Senat.   Meskipun Linda tidak menggunakan wang gelap, iaitu yang diperoleh melalui derma atau sumbangan, beliau menggunakan sejumlah yang amat besar, tetapi beliau gagal pada tahun 2010 dan yang terbaharu 2012.

Super PAC dan kumpulan luar yang menyediakan peruntukan yang besar, bahas Paul Blumenthal, gagal membeli Pilihan Raya tahun 2012. Kumpulan konservatif bebas yang berbelanja AS$700 juta, iaitu 70 peratus daripada semula perbelanjaan kumpulan bebas yang dilaporkan, sekadar meraih kemenangan yang kecil.  Calon Presiden daripada Republikan, Mitt Romney disokong oleh kumpulan luar yang mengatasi sekutu Presiden Barack Obama sebanyak AS$260 jutga, tetapi kalah juga.  

Beberapa orang jutawan, menurut Clare O'Connor,  seperti raja kasino, Sheldon Adelson mengeluarkan peruntukan AS$53 juta, Harold Simmons AS$23.8 juta,  dan Koch bersaudara, Charles dan David AS$33.5 juta untuk Romney demi memastikan Obama terpelanting dari Rumah Putih. Adelson dan isterinya, Miriam, membuat pertaruhan yang teruk melalui super PAC, sedangkan  Obama tetap menang selesa, iaitu 332 undi badan perwakilan pemilih berbanding 206 untuk Romney.  Beliau menawan sebuah demi sebuah negeri berayun, termasuk Florida, kecuali North Carolina.  Nyata bahawa wang yang begitu banyak dicurahkan tidak mampu menundukkan pejuang jalanan.

Ahli strategi Republikan, Karl Rove, seperti yang didedahkan oleh  Julie Bykowicz dan Alison Fitzgerald, mencipta model untuk kumpulan wang luar yang dikumpulkan dan dibelanjakan lebih AS$1 bilion untuk pilihan raya 6 November, yang kebanyakannya melihat tidak ada ada pulangan untuk wang mereka.  Rove menerusi dua super PAC-nya American Crossroads dan Crossroads Grassroots Policy Strategies, berbelanja AS$127 juta untuk Romney melalui lebih 82,000 iklan televisyen, 10 daripada calon Senate dan empat daripada sembilan calon Dewan Perwakilan yang kumpulan Rove sokong juga kalah.

Tidak ada orang yang kalah teruk, kecuali Karl Rove.  Cita-citanya untuk memastikan Obama tersungkur tidak kesampaian, walaupun terpaksa mengeluarkan  jumlah yang banyak.  Akibatnya, beliau diperhatikan "menempuh minggu yang teruk," manakala Super PAC Republikan, menurut David Weigel, membazirkan berjuta-juta dolar melalui  televisyen yang teruk.  Dalam pada itu, Obama, melalui penyumbang besar,  dilaporkan berjaya mengumpulkan dana AS$300 juta.

Wang gelap, sama ada yang dibawa oleh super PAC ataupun kumpulan luar lain mencemarkan, dan bahkan merosakkan demokrasi  Amerika Syarikat.  Inilah kali dalam pilihan raya Amerika menyaksikan kehadiran super PAC yang seolah-olahnya menggambarkan bahawa pilihan raya dapat dibeli dengan wang dolar.

Namun, kesudahannya, selepas penyelarasan kitaran, Obama muncul sebagai pemenang, dan ini bermakna wang bukan segala-galanya.  Sebaliknya, kempen yang kurang cacat, permainan  padang, dan penguasaan data, menentukan kemenangan.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...