Artikel Popular

Sunday, November 25, 2012

Pilihan Raya: Kehadiran Khalayak Belum Menjamin Kemenangan

AHAD, 25  November 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Beberapa hari sebelum Hari Pilihan Raya, kemenangan memihak kepada calon Republikan, Mitt Romney.  Demikian Dan Senor, penasihat kanan Mitt Romney, memberitahu hal tersebut semasa beliau hadir dalam  program "Morning Joe," MSNBC, mengkritik anggota Republikan yang bertindak meninggalkan Romney selepas beliau kalah dalam Pilihan Raya Presiden baru-baru ini.  

Antaranya petunjuk yang Senor rujuk  bahawa Romney akan menang ialah rapat umum di Cincinnati yang diadakan beberapa hari sebelum pilihan raya.  

"Berpuluh-puluh ribu orang hadir, anda dapat merasakan tenaganya, seratus wakil (surrogate) atasan Romney hadir di situ," Senor mengingati semula.  "Saya di belakang pentas bersama-sama beberapa orang berkenaan, saya tidak akan menyebut nama mereka, tetapi mereka bercakap tentang Romney seperti Reagan.  'Prestasi debat beliau adalah yang terbaik jika dibandingkan mana-mana calon Republikan dalam sejarah Pilihan Raya Presiden.  Beliau diibaratkan ikon.' Mereka bercaka tentang beliau kerana mereka percaya beliau akan menang dalam empat atau lima hari.  Dan bahkan, sesetengahnya telah pun bercakap dengan pasukan peralihan kami untuk meletakkan diri mereka dalam Kabinet Romney."

Akan tetapi,  semuanya berubah dalam beberapa hari apabila Romney tewas," tegas Senor.

Bagi Romney, nasib beliau boleh diibaratkan "sudah jatuh ditimpa tangga."  Bintang yang berkerlipan tiba-tiba lenyap sama sekali. Rakan-rakannya dalam Facebook menyusut dengan  ketara.  Dakwaan Romney bahawa Barack Obama kerana "hadiah" untuk pengundi kulit hitam, Hispanic, dan orang muda, yang menunjukkan kesilapan bodoh terakhir beliau,  dikritik oleh rakan-rakannya dalam Republikan sendiri.  Antaranya oleh Lindsey Graham yang mengingatkan Romney, "jika anda dalam lubang, berhenti gali lubang."  

Republikan daripada Bobby Jindal kepada Chris Christie kepada Kelly Ayotte, tegas Lesli Savan dalam The Nation, meninggalkan Mitt Romney kerana doktrin "hadiah" itu. "Bekas Gabenor Massachusetts yang berjaya menarik AS$1 bilion dalam pendanaan dan 59 juta undi dalam usahanya menewaskan Presiden Obama," bahas Dan Eggen dalam The Washington Post, "dengan pantas menjadi persona non granta kepada Parti Republikan yang terenjat jiwa."  

Bagi cerdik pandai politik, "hadiah" yang dibangkitkan oleh Romney menunjukkan kesilapan bodoh beliau, seperti yang dibahaskan oleh John Cassidy dan Alex Koppelman dalam The New Yorker. Sementara Derek Thompson mengingatkan Romney lebih berdiam diri daripada mengeluarkan kenyataan seperti itu, manakala Alex Klein menegaskan bahawa "Romney silap:  'hadiah' kerajaan tidak menyebabkan anda mengundi Obama," dan "beliau membayangkan para pengundi boleh dirasuah," hujah Andrew Sullilvan.

Selain itu, Romney menyalahkan debat yang banyak semasa pemilihan awal Republikan dan media yang menyebabkan beliau kalah. Memang tidak dinafikan kempen sengit dalam pemilhan awal itu banyak memudaratkan calon Presiden daripada parti itu.  Dari satu segi yang lain pula, setiap calon beria-ia ingin mengalahkan lawan mereka kerana mereka yakin bahawa sesiapa sahaja yang menjadi calon, pastinya dapat mengalahkan penjawat kini, Barack Obama, yang ketika itu kelihatan menghala ke arah kekalahan.  

Namun kesudahannya, Obama mencatatkan kemenangan luar biasa sehingga menyebabkan Newt Gingrich, bekas Speaker dan bekas salah seorang bakal calon Presiden daripada Republikan, tergamam.  Dalam pada itu, Paul Begala dalam tulisan terbaharunya menyalahkan Republikan yang beliau sifatkan: penafi, perungut, dan wackjob

Berbanding dengan dua calon Presiden ini yang juga tewas, iaitu John Kerry dan John McCain - kedua-duanya Senator dan hingga kini mereka masih memegang jawatan itu, sedangkan Mitt Romney tidak mempunyai apa-apa jawatan, selain sebagai bekas Gabenor.  Maka, tidak hairan bahawa berikutan kekalahan itu, beliau dengan cepat tenggelam dalam arena politik, atau disebut oleh Amy Davidson"Disneyland Republikan." Kesudahannya, memetik Greg Sargent, "keadilan impian:  Romney berkemungkinan berakhir dengan 47 peratus."

Balik kepada jumlah  khalayak  yang banyak yang dibangkitkan oleh Dan Senor. Memang Romney mendapat sambutan luar biasa, antaranya di Ohio, Iowa,  dan Florida; bahkan di Pennsylvania, apabila kempennya cuba "membeli daun terup terakhir" kerana  harapan  Romney untuk menang di Ohio adalah tipis. Namun, seperti yang diketahui, beliau tewas di  kesemua  negeri tersebut yang kononnya dijangkakan berlaku persaingan sengit antara kedua-dua calon itu. 

Pengajarannya, ahli politik, termasuk yang di Malaysia, jangan mudah terpedaya dengan jumlah kehadiran khalayak dalam setiap kempen atau ceramah.  


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...