Artikel Popular

Saturday, November 3, 2012

Laporan Pekerjaan: Periuk Api Terakhir di Laluan Obama Dimusnahkan

SABTU, 3 November 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Presiden Barack Obama memasuki bulan November dengan dilimpahi berita baik, sama ada dari segi politik ataupun ekonomi. Setelah jatuh bebas seketika akibat prestasi buruk dalam debat pertama di Denver,  Colorado pada 3 Oktober dan sekali gus menyaksikan kemaraan yang luar biasa lawannya, Mitt Romney, Obama secara beransur-ansur dapat memulihkan kedudukannya.

"Obama memasuki November dengan kelebihan," tulis Nate Cohn, merujuk pelbagai tinjauan pendapat, peringkat nasional dan terutamanya peringkat negeri yang secara keseluruhan.  "Obama kelihatan baik untuk hujung minggu terakhir," isytihar John Cassidy yang menjangkakan bahawa Obama memenangi sekurang-kurang 277 undi badan perwakilan pemilih. "Kes mudah untuk mengatakan Obama calon pilihan," hujah Nate Silver, yang dalam ramalan terbaharunya, yang dikemaskinikan pada 1 November, menjangkakan Obama memperoleh 303.4 undi badan perwakilan pemilih berbanding 234.6 untuk Romney.  Silver menaikkan peluang menang Obama kepada 80.9 peratus, meningkat 7.8 peratus sejak 25 Oktober, manakala Romney hanya 19.1 peratus. Bagi Ezra Klein pula, "minggu terakhir kempen, Obama mendapat nasib baik dan berita baik." 

Sementara Michael Tomasky yang seakan-akan tidak sabar menanti kemenangan calon pilihannya, mengesyorkan supaya Obama membuat perhitungan muktamad pada minggu terakhir ini.  "Saya yakin bahawa Barack Obama kini betul berbanding dengan Mitt Romney," tegas Tomasky.  "Taufan Sandy (dan Chris Christie) menghentikan momentum Romney, dan meletakkan sedikit angin di belakang  Presiden.  Perhatikan:  13 tinjauan pendapat negeri berayun dikeluarkan pada hari Rabu, Obama mendahului 11 tinjauan." 

Dari segi ekonomi pula, seperti yang dicatatkan oleh Daniel Gross, wujud beberapa berita baik: pekerjaan, kereta, perumahan, semuanya kelihatan meningkat.  Sementara laporan Gallup yang dikeluarkan pada akhir Oktober, menunjukkan keyakinan ekonomi Amerika adalah terbaik sejak tahun 2008.  Sebelum ini, pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat meningkat kepada dua peratus - agak baik untuk standard negara maju sekarang yang kebanyakannya mencatatkan pertumbuhan yang rendah, bahkan ada yang terjebak dalam kemelesetan.  Namun, Romney masih mengambil kesempatan untuk mengkritik Obama.  

Pilihan raya ini, seperti yang sering diperkatakan adalah tentang ekonomi,  dan selama  ini ekonomi merupakan kelebihan Romney sehingga pada suatu ketika Obama cuba mengelakkan untuk membincangkannya, tetapi akhir-akhir ini keadaan mula berubah.  Bahkan, selepas setahun dimasukkan dalam senarai jangan sebut dan tidak disentuh langsung dalam Konvensyen Kebangsaan Parti Demokratik, kini kembali semula dalam perbendaharaan kata Obama: rangsangan.  

Sebenarnya, dalam kalangan negara yang teruk dari segi ekonomi, ekonomi Amerika Syarikat tidaklah teruk sangat.  Namun, seperti yang dibahaskan oleh Zachary A. Goldfarb, "bagaimana kita salah membaca angka yang menguasai politik kita."

Apabila Taufan Sandy yang juga disebut "kejutan Oktober,"  melanda Pantai Timur Amerika Syarikat, bencana teruk ini, menurut jangkaan Margaret Carlson,  boleh memudaratkan Obama. Namun, Obama sebagai Panglima Besar mampu mengharungi ancaman dan cabaran yang cukup besar yang tiba tatkala Hari Pilihan Raya semakin hampir, lalu Margaret mengubah pendiriannya, dengan mengatakan, "hari ini, Barack Obama menang pilihan raya."

Romney yang sering mengharapkan berita buruk atas kedukaan orang lain, seperti laporan setiap bulan tentang kadar pengangguran yang tinggi dan serangan terhadap konsulat Amerika Syarikat di Benghazi, terus membuat perhitungan untuk mengambil kesempatan daripada bencana alam yang melanda itu.  Namun, tatkala beliau masih terpinga-pinga seakan-akan tidak percaya bahawa akibat Sandy orang harapannya, Gabenor Chris Christie bersahabat dan bekersama rapat dengan Obama, Michael Bloomberg, Datuk Bandar New York, mengumumkan bahawa beliau menyokong Obama.  Pengumuman ini, yang diulas antaranya oleh Michael Tomasky,  Amy Davidson, John Alloysius Farrell, dan David A. Graham, sesungguhnya memberikan suntikan semangat kepada Obama yang tidak dijangka, meskipun dikatakan kerana persahabatan Bloomberg dengan Naib Presiden Joe Biden.

Namun, dalam politik, satu minggu satu tempoh yang lama. apa-apa sahaja boleh berlaku.  Obama masih belum berada pada kedudukan yang selesa, iaitu kedudukannya  sebelum debat pertama Presiden, meskipun menurut Mark Blumenthal dan Harry J. Enten"beliau menguasai permainan" sekurang-kurangnya di peringkat negeri yang boleh membawa kemenangan.  Walaupun Obama diperhatikan mendapat momentum sederhana kerana Romney tergapai-gapai,   pengundian awal di beberapa buah negeri yang pada mulanya dikatakan memihak kepada Obama, kini mula diragui, seperti yang dicatatkan oleh Molly Ball. Selain itu, mungkin kerana menyedari kemungkinan beliau memperoleh cukup undi di negeri berayun yang dkuasai Obama,  maka kempen Romney mula tertumpu ke Pennsylvania sebagai alternatif.  Romney juga dipercayai  tidak mempunyai harapan di Ohio yang beliau benar-benar ingin menang, tetapi menurut Daniel Gross, silap pertimbangan. Tidak dapat dipastikan, sama ada langkah pasukan Romney menyerang Pennsylvania itu merupakan langkah berpijak di bumi nyata ataupun langkah terdesak, yang jelas, pasukan Obama menunjukkan keyakinan.

Selain pemulihan yang perlahan dan benar-benar tidak berbeza sejak lima tahun lalu,   hari Jumaat pertama setiap bulan sentiasa menghantui beliau, yang akan diketahui oleh rakyat Amerika, iaitu laporan pekerjaan. Seperti yang dijangkakan, kadar pengangguran pada bulan Oktober meningkat kepada 7.9 peratus daripada 7.8 peratus pada September, tetapi pengambilan pekerja meningkat sebanyak 171,000 orang berbanding 148,000 orang pada September.

Dengan laporan pekerjaan terbaharu ini,  ekonomi mendapat perhatian semula dalam kempen, selepas seminggu tumpuan diberikan terhadap Taufan Sandy.   Obama yang dapat menarik nafas lega, pastinya tidak terlepas daripada serangan kempen Romney - membuktikan kegagalan dasar ekonomi beliau, walaupun bekas Presiden Bill Clinton pernah memberitahu bahawa Obama memerlukan empat tahun lagi.  Sememangnya, laporan itu mempunyai makna yang berbeza untuk penjawat kini dan pencabarnya.

Namun, seperti yang dibahaskan Heidi Moore, angka pekerjaan bulan Oktober mengesahkan pemulihan dan bermakna "ekonomi lumba kuda" berakhir.  Dengan kata lain, tidak banyak lagi modal yang dapat dipolitikkan dalam masa yang hanya tinggal tiga  hari lagi.  Greg Sargent dalam ulasannya tentang laporan pekerjaan yang baru sahaja diumumkan, menegaskan dengan cukup simbolik:  periuk api terakhir di laluan Obama dimusnahkan.  Berita itu, jelas Sargent, akan diambil sebagai kelegaan oleh kempen Obama.  Berita itu akan membolehkan Obama untuk terus membuktikan bahawa ekonomi sedang pulih, dan akan memotong hujah penutup Mitt Romney bahawa dengan memilih beliau sebagai Presiden akan menjamin "pemulihan ekonomi."  Bagi Obama pula, seperti yang dibahaskan oleh Noam Scheiber, pemulihan yang beliau usahakan benar-benar berlaku, tepat pada waktu untuk Hari Pilihan Raya.

Jelas bahawa situasi guna tenaga terus melangkah ke hadapan. Dylan Matthews dalam enam carta yang dikemukakannya, menegaskan bahawa laporan pekerjaan itu lebih positif daripada yang dijangkakan. Sementara Derek Thompson pergi lebih jauh lagi dengan mengatakan bahawa laporan pekerjaan bulan Oktober, bahkan lebih baik daripada yang kelihatan. Bagi Daniel Gross pula, laporan pekerjaan itu membuktikan ekonomi sedang meningkat.  

Dengan angka pekerjaan yang kuat itu, ekonomi yang diibaratkan pentas untuk Mitt Romney, runtuh sama sekali, seperti yang diungkapkan oleh John Cassidy, "menghampakan serangan Romney."  Sesungguhnya, bagi Romney, minggu ini merupakan minggu yang cukup panjang,  seperti yang diungkapkan oleh Howard Kurtz, daripada tinjauan pendapat kepada  endorsan atau sokongan jam ke-11, menunjukkan Presiden mempunyai kelebihan, meskipun perjuangan Romney belum berakhir.  

Minggu yang padu untuk Obama, isytihar Catherine Hollander.  Sebaliknya bagi Romney, dalam minggu ini sahaja Romney menyaksikan dua peristiwa yang amat menyayat hati, pertama, orang harapannya, Gabenor Chris Christie "bermesra-mesraan dan berdakap-dakapan" dengan Presiden Barack Obama akibat bencana Taufan Sandy; dan kedua, pastinya, laporan pekerjaan bulan Oktober yang lebih baik menyebabkan beliau kehilangan senjata terakhir untuk menyerang Obama. 

Selain itu, beliau diperhatikan tidak lagi berminat berbicara tentang Benghazi, biarpun puak konservatif masih bersemangat untuk menyelongkar tragedi itu dengan harapan dapat memudaratkan Obama.  Dengan itu, bermakna serangan 11 September 2012 tidak lagi merupakan kejutan Oktober yang meletakkan Obama senasib dengan  Jimmy Carter; Presiden satu penggal.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...