Artikel Popular

Wednesday, November 7, 2012

Kemenangan Obama Tidak Memeranjatkan!

RABU, 7 November 2012
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH




Sesiapa sahaja yang mengikuti kempen Pilihan Raya Presiden tahun 2012, pastinya tidak berasa terkejut akan kemenangan penjawat kini,  Barack Obama dengan mengalahkan Mitt Romney daripada Republikan.  Seperti yang pernah dibahaskan dalam beberapa tulisan melalui blog ini sebelum ini, daripada cerdik pandai kepada tinjauan pendapat kepada peramal, secara keseluruhannya, memilih Obama sebagai pemenang.  

Bahkan, Karl Rove yang menulis dalam The Wall Street Journal, meramalkan bahawa Romney menang 279 undi badan perwakilan pemilih, kemudian terpaksa akur bahawa untuk Romney menang, beberapa tinjauan pendapat mesti silap. Tinjauan pendapat,  Gallup yang menunjukkan  Romney mendahului Obama, hanya sekadar "cukup makan."  Kebanyakan tinjauan pendapat menunjukkan bahawa kedua-dua calon ini terikat di peringkat nasional, tetapi Obama menguasai perlumbaan di negeri berayun yang akhirnya terbukti kebenarannya.

Ketika satu demi satu keputusan diumumkan, kedua-dua calon ini kelihatan bersaingan, iaitu saling dahulu mendahului antara satu sama lain.  Pada suatu peringkat, Romney mendahului Obama dengan 174 undi berbanding 173 undi, kemudian beliau (Romney) mara kepada 189 undi pada pukul 11.59 pagi waktu Malaysia.  Itulah kali terakhir Romney mendahului Obama kerana pada 12.04 tengah hari, Obama mendahului beliau dengan 244 undi berbanding 193 undi, sebelum beliau (Romney) merapatkan jurang dengan memperoleh 203 undi.  Sementara Romney terpaku pada kedudukan itu, Obama terus melebarkan jarak, dalam sekelip mata,  mara ke garisan 270 undi, apabila beliau memperoleh 250 undi dan seterusnya 268 undi pada pukul 12.17 tengah hari.  Tiga minit kemudian, Obama membuat perhitungan terakhir dengan menyingkirkan Romney daripada perlumbaan apabila beliau memperoleh 275 undi badan perwakilan pemilih.  Obama terus melebarkan kedudukan sehingga memperoleh 303 undi, manakala Romney terus terpasung pada 203 undi, pada pukul 1.39 tengah hari.  Tanpa Florida dan keputusan terikat, pada kedudukan 303 undi berbanding dengan 206 undi untuk Romney.

Kira-kira pukul 12.03 tengah hari, tersebar berita melalui Twitter, melalui ABC News bahawa Jeb Bush memberitahu kempen Romney bahawa mereka kalah di Florida.  Ketika itu, Obama memperoleh 244 undi - dengan 29 undi daripada Florida, cukup untuk beliau kekal satu penggal lagi di Rumah Putih.  Walau bagaimanapun, setakat ini, iaitu kira-kira pukul 3.45 petang, Florida ialah satu-satunya keputusan yang belum diketahui, tetapi Obama mendahului Romney.

Antara begitu banyak ramalan yang memihak kepada Obama, hakikanya Nate Silver daripada FiveThirtyEight yang menjadi perhatian dan tidak kurang pula kritikan bahawa seakan-akan beliau "bekerja" dengan Obama.  Silver, seperti yang dinyatakan dalam tulisan sebelum ini meramalkan Obama memperoleh 313.0 undi berbanding 225 undi untuk Romney.  Sementara John Cassidy meramalkan Obama memperoleh 303 undi berbanding 235 undi untuk Romney. Jumlah tersebut sama dengan dengan yang diramalkan oleh Simon Jackman bahawa Obama memperoleh 303 undi, tetapi beliau menambah, atau 332 undi.  Satu ramalan yang sungguh tepat sekiranya Obama menang di Florida yang membawa 29 undi badan perwakilan pemilih.  Ramalan lain yang tidak banyak perbezaannya adalah daripada Sam Wang dan Josh Putnam, seperti yang dinyatakan oleh Kevin Drum.  

Sememangnya, tidak dapat dibayangkan bagaimana telatah cerdik pandai dan peramal yang bermati-matian mengatakan Obama menang, sekiranya keputusan memihak kepada Romney.  Nate Silver pastinya akan dinobatkan "selebriti semusim."  Dan pastinya, Karl Rove yang enggan menerima hakikat kemenangan Obama, melompat keriangan!

Sejak berbulan-bulan, bahkan sejak memenangi debat pertama Presiden pada 3 Oktober, dari segi matematik, laluan Romney untuk memperoleh sekurang-kurangnya 27 undi memang sukar.  Sembilan negeri medan pertarungan, iaitu Colorado, Florida, Nevada,  New Hampshire,  North Carolina,  Ohio, Iowa,  Wisconsin, dan Virginia, kebanyakannya di luar jangkauan beliau, kecuali Florida, North Carolina, dan Virginia.  Sekadr "deposit tetap" 191 undi badan perwakilan pemilih, memenangi kesemua tiga negeri itu masih tidak cukup untuk ke Rumah Putih.  

Justeru, apabila Karl Rove, meramalkan Romney memperoleh 279 undi sekurang-kurangnya, ada  yang tertanya-tanya mengikut laluan mana?  Berbanding dengan Obama yang mempunyai 237 undi dalam tangan, maka laluan untuk beliau terbentang luas, iaitu banyak alternatifnya untuk beliau kekal di Rumah Putih.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...