Artikel Popular

Monday, November 12, 2012

Penguasaan Permainan Padang Membuahkan Hasil

ISNIN, 12 November 2012 (Dikemaskinikan pada 14 November, pukul 11.00 pagi)
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat tahun 2012 yang berlangsung pada 6 November lalu, menyaksikan pertempuran antara kempen Obama dengan kempen Romney di tiga medan peperangan, iaitu perang  udara, iaitu iklan melalui televisyen dan radio, yang melibatkan perbelanjaan AS$1 bilion,  perang siber, iaitu melibatkan penguasaan data yang Demokrat mempunyai kelebihan,  dan media sosial, dan perang darat, iaitu permainan padang (ground war).   

Peperangan di ketiga-tiga medan ini dapat menjelaskan mengapa Barack Obama menang, dan Mitt Romney kalah, meskipun Tony Bevan dan Carl M.  Cannon, mempunyai 21 alasan yang lain. Dari segi perang siber misalnya, pengunyah data, hujah Michael Scherer dalam Time, membantu kemenangan Obama.


Kempen Romney sepatutnya  lebih menguasai perang udara, kerana mempunyai peruntukan kewangan yang besar jika dibandingkan dengan kempen Obama, atas sumbangan kumpulan luar, dan adanya super PAC serta  penyumbang besar, seperti Charles dan David Koch.   Meskipun wujud super PAC pro-Obama, seperti Priorities USA Action, sumbangan derma yang diterima lebih rendah,  dan dari segi kewangan, menghadapi kesukaran untuk menyaingi  super PAC pro-Romney.

Namun, keberkesanan kosnya diragui kerana iklan  sebahagian besar dibiayai oleh kumpulan luar, seperti super PAC pro-Republikan yang dikenakan kadar yang lebih tinggi.       Sebaliknya, kempen Obama  menempah iklan lebih awal, dengan itu, menikmati kadar iklan yang  lebih rendah.  Stesen televisyen mesti memberikan kadar yang lebih murah untuk calon menyiarkan iklanSecara keseluruhannya,  Barack Obama mempunyai kelebihan dan beliau  dilaporkan menang dalam perang iklan, menentang Mitt Romney, menurut Meylesan Media Project

Obama diperhatikan mempunyai kelebihan dari segi permainan padang, meskipun Kevin Drum menegaskan "tidak sebesar yang dilihat."  Kempen Obama, seperti yang dilaporkan oleh John Avlon dan Michael Keller dalam The Daily Beast, melebarkan jarak daripada kempen Romney dari segi jumlah pejabat luar. Pada pertengahan Oktober, kempen Obama mempunyai 755 buah pejabat di seluruh negara dalam usaha meraih undi, tiga kali ganda lebih banyak berbanding dengan kempen Romney.  Di negeri berayun, kem Obama membuka dua kali ganda banyak jika dibandingkan dengan pencabar mereka. Di Iowa misalnya, menurut Kyle Leighton, permainan padang menyukarkan Romney.  Sementara di Ohio, negeri medan pertempuran penting, permainan padang dibantu oleh kesatuan sekerja yang merupakan senjata sulit Obama.

"Kempen Obama," menurut Jennifer Epstein, "yakin bahawa permainan padang akan menghasilkan margin kemenangan pada November ini."  Tambah Jennifer, meskipun mereka lebih jauh meninggalkan Mitt Romney, keadaan lebih sukar jika dibandingkan dengan tahun 2008.  Molly Ball yang menulis dalam The Atlantic membayangkan bahawa kelebihan permainan padang pada pihak kempen Obama yang tidak dapat ditandingi oleh kempen Romney, sememangnya memberikan kelebihan Obama untuk menewaskan lawannya, Romney.  "Lupakan tinjauan pendapat, debat, dan iklan saat akhir, memukul sangga serangan.  Hal ini bagaimana kempen Obama merancang untuk menang pilihan raya" - pastinya melalui permainan padang.



Salah satu faktor kekalahan Mitt Romney, seperti yang sering dibahaskan ialah kelemahan dari segi permainan padang, dan Projek Orca untuk bertarung di lapangan,  gagal sama sekali, seperti yang didedahkan dengan terperinci oleh Maggie Haberman dan Alexander Burns.  Ketika menyatakan Obama menang, Eli Lake, Daniel Klaidman, dan Ben Jacobs, berhujah bahawa permainan padang kempen Romney gagal sama sekali.  "Daripada teknologi yang tidak berfungsi kepada petugas lapangan yang tidak faham tugas mereka.  Projek Orca yang dirancang untuk menundukkan Narwhal kempen Obama, terbukti tidak bergigi."  Projek kebanggaan kempen Romney ini, seperti yang dilaporkan, menyebabkan Romney kehilangan beribu-ribu undi.  Kelemahan Projek Orca yang dirancang untuk menyaingi kempen Obama dari segi dalam talian, untuk membantu sukarelawan kempen Romney yang bertugas di lapangan, dibahaskan oleh Ben Jacobs, "gagal belajar daripada kegagalan Demokrat pada tahun 2008."

Sementara Steve Forbes yang mengemukakan lima alasan Romney gagal, satu daripadanya ialah Obama menguasai permainan padang. "Pada tahap taktik, permainan padang Demokrat adalah lebih lebih hebat, lebih handal dalam mengenal pasti, kemungkinan pengundi dan memujuk supaya keluar mengundi."  

Tiga mitos musnah berikutan pemilihan semula Obama, seperti yang dibahaskan oleh Jonathan Alter, satu daripadanya "angkatan udara menewaskan pasukan darat."  Obama memutuskan bahawa beliau akan membelanjakan lebih banyak wang awalnya untuk membina organisasi politik yang lebih besar dan canggih dalam sejarah Amerika Syarikat, iaitu Mesin Digital baru di Chicago tempat asal Mesin Daley.

Jelas bahawa kelebihan permainan padang kempen Obama  membuahkan hasil, iaitu membolehkan Obama menang untuk penggal kedua, dan menepati banyak jangkaan bahawa beliau akan menang.  Hal ini diakui sendiri oleh Jim Messina, pengurus kempen Obama ketika beliau muncul dalam persidangan persendirian untuk perundingan politik, bersama-sama Brian Jones, ahli strategi atasan Romney.

Kejayaan dalam satu-satu pilihan raya  merupakan gabungan faktor manusia, jentera, wang, dan media (media sosial). Daripada keempat-keempat faktor ini, tiga daripadanya, kecuali wang, dikuasai oleh kempen Obama.  Romney didapati mempunyai kelebihan dari segi kewangan, tetapi menurut laporan yang dibuat selepas pilihan raya, iaitu selepas beliau tewas, beliau menghapi kekangan belanjawan.

Kemas kini pertama (14 November, pukul 11.00 pagi):

Bekas penasihat Presiden George W. Bush dan ahli strategi Republikan, dilaporkan mengesyorkan agar Republikan meniru strategi 50 buah negeri yang diperkenalkan oleh Howard Dean daripada Parti Demokratik. 

"Saya benci untuk berkata demikian, tetapi kita perlu meniru apa yang Howard Dean lakukan, dan bahawa mewujudkan permainan padang kita di semua 50 buah negeri," Rove memberitahu Sean Hannity pada hari Isnin.  "Kita mempunya permainan padang yang agak munasabah di tempat, seperti Ohio dan Florida, perhatikan kita tidak mempunyai permainan padang yang banyak di negei ini dengan perlumbaan Senat dan dengan itu, kita kalah di North Dakota sebanyak 3300 undi.  Kita kalah di Montana sebanyak 17,000 undi.  Kita perlu mempunyai permainan padang yang lebih baik di semua negeri."


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...