Artikel Popular

Thursday, November 29, 2012

Di Ambang Kemelesetan Curam Berganda?

KHAMIS, 29 November 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Dalam laman webnya, Immanuel Wallerstein daripada Yale University, membangkitkan sesuatu yang menjadi bayang-bayang yang mengerikan kebanyakan orang.  Dalam makalah dwibulanannya pada pertengahan Mei tahun ini, “The Anatomy of Fear,” beliau menulis bahawa “takut  merupakan emosi orang  awam yang paling merebak di kebanyakan dunia hari ini.  Ketakutan ini bukannya tidak rasional, tetapi tidak semestinya membawa atau menuntun cara yang bijak dalam menangani bahaya yang ditanggapi.”  Wallerstein merujuk kepada dua peristiwa yang berlaku, iaitu pertama terjunam secara dramatik nilai pasaran saham di Bursa Saham New York, antaranya adalah angkara jari gemuk (fat finger).  Kedua, rusuhan di Athens yang menyebabkan tiga nyawa terkorban dan rusuhan itu masih berterusan. 
Pada perenggan akhir makalah itu, beliau mengulangi bahawa takut  bukannya tidak rasional.  Ketakutan merupakan akibat krisis struktur sistem-dunia.  Ketakutan tidak dapat diselesaikan oleh band-aids yang kerajaan gunakan untuk mengubati penyakit yang serius yang kita hadapi hari ini.  Apabila naik turun berlaku terlalu besar dan terlalu pantas, tiada sesiapa pun dapat merancang secara rasional.  Justeru, orang ramai tidak lagi bertindak sebagai pelaku rasional yang menggunakan akal dalam ekonomi-dunia normal secara relatifnya.  Namun begitu, Wallerstein lupa untuk mengingatkan bahawa apabila orang mempunyai keyakinan mereka tidak perlu berasa takut.
Krisis ekonomi yang berlaku dua tahun lalu, boleh dikatakan meletakkan kebanyakan orang dalam ketakutan.  Keadaan ini  amat sukar untuk reda.  Meskipun sinar harapan kelihatan  bercahaya di hujung terowong, namun sinar itu ada kalanya kelihatan  suram.  Pucuk hijau yang   bertunas mula  nampak kekuning-kuningan.   Bayang-bayang yang mengerikan semakin  menjelma:  kemelesetan yang berpanjangan, pengangguran yang berleluasa, negara mungkin  jatuh muflis, dan yang terbaru kembalinya inflasi makanan. Enam bulan lalu, berhubung dengan tinjauan ekonomi dunia, majalah The Economist mengingatkan “kawal keghairahan anda.”  Mengalu-alukan pemulihan, tetapi dalam keadaan tidak seimbang, dengan bahaya bagi   Eropah yang lembap dan ekonomi yang sedang muncul berbusa.  Masalahnya ialah nasib baik ini tidak dikongsi bersama.  Kadar pertumbuhan yang kukuh di peringkat global menampakkan perbezaan antara wilayah adalah besar dan semakin besar.
Di Malaysia, belum pun reda kebimbangan tentang kesan  subsidi,  Tun Dr. Mahathir Mohamad,  mencuba untuk menarik perhatian bahawa Malaysia berkemungkinan mengalami kemelesetan curam berganda. Menurut beliau, muncul tanda kemelesetan curam berganda melanda negara Eropah dan keadaan ini akan secara tidak langsung mempengaruhi ekonomi Malaysia.  Bekas Perdana Menteri itu mengemukakan pandangan tentang ramalan ahli ekonomi dan penganalisis bahawa kemelesetan curam berganda mungkin berlaku dalam separuh kedua tahun ini dan sama ada Malaysia mengalami nasib yang serupa. 
Walau bagaimanapun, berbanding dengan subsidi, amaran kemelesetan curam berganda  ini kurang mendapat perhatian.  Seperti biasa, psikologi penafian turut kedengaran. Pihak kerajaan  memberikan jaminan bahawa Malaysia tidak menghadapi kemelesetan curam berganda kerana ekonomi negara berada pada laluan yang betul ke arah mencapai pertumbuhan tahunan yang diunjurkan, iaitu enam peratus.  Dalam kalangan  ahli ekonomi tempatan ada yang berkata Malaysia tidak mungkin berhadapan dengan kemelesetan curam berganda kerana negara telah keluar daripada fasa pertumbuhan yang perlahan yang berlaku beberapa tahun lalu.  Malaysia yang semakin bersepadu dengan Asia, pertumbuhan rantau ini secara berterusan akan memberikan rangsangan tambahan kepada ekonomi negara. 
Keyakinan yang diletakkan terhadap ekonomi Asia boleh dianggap  sebagai  berlebih-lebihan, meskipun tinjuan terbaharu Bank Pembangunan Asia (ADB) adalah memberangsangkan:  menaikkan unjuran pertumbuhan  tahun 2010 untuk 14 buah ekonomi Asia Timur kepada 8.1 peratus daripada 7.7 peratus yang diramalkan pada April.  Bagi sesiapa yang membaca makalah William Pesek, “Goldman's V Shape is Starting to Look Vulnerable” pastinya ada yang keberatan untuk belayar dalam perahu yang sama dengan ahli ekonomi tempatan itu.  Melalui makalah yang diterbitkan dalam Bloomberg.com. pada 21 Julai 2010, Pesek mendedahkan bahawa berita baik itu membenamkan berita bahawa tiga risiko utama mesti memecahkan cara Asia untuk memastikan kemakmuran terus hidup:  kemelesetan global curam berganda, menyahstabilkan aliran modal, dan berjaya merungkai langkah rangsangan.  Untuk mengingatkan Asia supaya jangan terlalu ghairah dan teruja   meraikan kemenangan, beliau memetik pandangan Srinivasa Madhur, Pengarah Kanan ADB:   Sementara kebanyakan ekonomi Asia Timur yang sedang muncul dijamin tentang pemulihan berbentuk V yang jelas pada tahun ini, tetapi terlalu awal untuk mengatakan V bermaksud  “kemenangan.”
Bagi Pesek, V ialah vulnerable atau mudah terjejas kerana pertumbuhan Amerika mendukacitakan, para pelabur menggodek-godek dan menujah-nujah Eropah untuk mentaksirkan risiko mungkir, dan duka nestapa Jepun semakin dalam.  Sama ada pertumbuhan yang stabil dapat dipertahankan, tulis Pesek, “akan bergantung pada  keputusan yang penggubal dasar ambil pada hari ini tentang tiga cabaran besar Asia.”  Satu daripadanya   ialah “ekonomi global bahawa gelombang sejarah terbitan hutang sepanjang dua tahun lalu menstabilkan pertumbuhan.  Langkah ini tidak merangsangkan pertumbuhan yang diharap-harapkan, dan ahli-ahli ekonomi berbicara tentang kembalinya kemelesetan.”  Beliau menegaskan bahawa   untuk beralih daripada “mudah terjejas”  kepada “kemenangan” boleh menjadi perjalanan yang terenjut-enjut bagi mereka yang bergantung pada “penilaian” Goldman  Sachs Group Inc.
Mungkin ada yang mengatakan bahawa ketakutan terhadap  kemelesetan curam berganda itu sengaja diheboh-hebohkan atau dibesar-besarkan, sedangkan  Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) membawa berita gembira,  iaitu ekonomi dunia akan berkembang lebih pantas daripada yang dijangkakan pada tahun ini.  Akan tetapi, IMF juga membawa berita buruk, iaitu pemulihan masih dibayangi oleh risiko besar, dan kadar pertumbuhan kemungkinan perlahan pada tahun depan.  Setakat ini tahun ini, menurut IMF, pertumbuhan adalah lebih kuat daripada yang dijangkakan secara meluas, terutama di Asia dan pasaran sedang muncul, mendorong agensi antarabangsa itu meningkatkan ramalan pertumbuhan untuk tahun 2010 kepada 4.6 peratus berbanding dengan unjuran 4.2 peratus sebelum ini.
Di sana sini orang ramai masih dihantui oleh  ketakutan bahawa ekonomi mungkin  terjebak semula dalam kemelesetan. Editorial akhbar The Guardian pada 24 Julai 2010 yang  turut membangkitkan bayang-bayang yang mengerikan di United Kingdom dan Eropah.  Dalam “Economy:  Reasons to be Fearful” editorial itu berhujah bahawa  biar bagaimana sekalipun cerah pembawaan ahli ekonomi kesayangan anda, tiada seorang  pun yang percaya bahawa ekonomi adalah pada pertengahan keadaan melambung gaya tahun 2006 di United Kingdom – betul-betul berlawanan.  Hanya perengut yang komited yang tidak akan mengendahkan gambaran positif dalam laporan semalam; demikian juga, hanya orang optimis buta tidak akan mengendahkan semua isyarat amaran lain.
Ketakutan terhadap   kemelesetan curam berganda menjadi-jadi  apabila pertumbuhan sektor perkhidmatan yang merupakan penjana ekonomi United Kingdom  tegun pada bulan Julai, yang sekali gus memusnahkan harapan pemulihan mapan.  Banyak syarikat yang ditinjau menyatakan bahawa pembatalan kontrak sektor awam mula menjejaskan perniagaan mereka, memaksa syarikat memotong pekerjaan dan memberikan tamparan terhadap harapan Canselor George Osborne untuk menghidupkan semula sektor swasta dengan mengurangkan perbelanjaan awam.  Selain itu, perbelanjaan pengguna menjadi dingin selepas bermula dengan kukuh kerana ketidakpastian tinjauan ekonomi.
Ekonomi United Kingdom, menurut ramalan National Institute of Economic and Social Research, mengalami kemelesetan (depression) yang  berpanjangan.  Pertumbuhan ekonomi negara itu telah pun kehilangan kekuatannya dan trend ini akan berterusan beberapa bulan yang akan datang.  Institusi kumpulan pemikir itu menganggarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) United Kingdom adalah perlahan, iaitu kepada 0.9 peratus dalam  tiga bulan hingga Julai,  jatuh daripada 1.1 peratus dalam tiga bulan hingga Jun.  Akan tetapi, masih di atas 0.6 peratus untuk suku tahun ketiga.
Apabila ekonomi Amerika Syarikat goyah, maka timbul keraguan baru tentang pemulihan global.  KDNK  Amerika, seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Perdagangan, meningkat sebanyak 2.4 peratus pada asas tahunan sepanjang tiga bulan hingga akhir Jun, jatuh daripada 3.7 peratus ketika suku tahun pertama 2010.  Ahli-ahli ekonomi dilaporkan mengakui sendiri bahawa mereka lebih bimbang tentang masa depan, terutama dengan kajian keyakinan pengguna yang terbaharu oleh University of Michigan yang menunjukkan rakyat  Amerika kini lebih muram tentang prospek  ekonomi jika dibandingkan dengan bila-bila  masa pada tahun ini.  Angka KDNK ini memperkukuh lagi amaran Ben Bernanke, Pengerusi Rizab Persekutuan yang memberitahu Kongres bahawa tinjauan untuk ekonomi Amerika adalah “ketidakpastian luar  biasa” – kebimbangan yang mendalam bahawa Amerika berhadapan dengan risiko terhumban balik ke dalam kemelesetan curam berganda.  Beliau mengingatkan bahawa pertumbuhan tidak cukup kuat untuk membaiki kerosakan yang menjejaskan pasaran buruh akibat kemelesetan.
Dengan kadar pertumbuhan ini ditakuti bahawa ekonomi negara itu tidak dapat mengelak daripada kemelesetan curam berganda. Kerajaan  Amerika  memaklumkan  bahawa 131,000 orang hilang pekerjaan pada bulan Julai, sebahagian adalah terutama kerana pekerjaan staf sambilan untuk banci kerajaan telah tamat, dan juga kerana pengambilan pekerja oleh sektor swasta adalah lemah berbanding dengan jangkaan. Ahli ekonomi meramalkan pekerjaan sektor swasta akan meningkat sebanyak 90,000 pekerjaan, tetapi sekadar mencapai 71,000 pekerjaan. Laporan pekerjaan ini hanya mengesahkan   pemulihan yang lembap, iaitu ekonomi Amerika perlahan pada musim bunga.  Tanpa pemulihan yang membawa kepada pekerjaan baru, nescaya pertumbuhan tidak dapat bertahan kerana perbelanjaan pengguna adalah mengendur. Dengan pemakluman itu, merentas Atlantik,  cakap-cakap tentang kemelesetan curam berganda dipersegarkan semula. 
Suku tahun terbaru AP Economy Survey  memaklumkan pada akhir Julai bahawa ekonomi Amerika akan kekal perlahan berterusan hingga tahun depan kerana pembeli-belah keberatan berbelanja dan majikan teragak-agak mengambil pekerja.  Tinjauan yang menanyakan pendapat ahli-ahli ekonomi terkemuka menunjukkan bahawa mereka berubah menjadi muram dalam tiga bulan lalu.  Mereka meramalkan pertumbuhan yang lemah dan pengangguran yang tinggi berbanding dengan yang jangkakan sebelum ini.  Meksipun mereka menjangkakan pertumbuhan yang perlahan, tetapi menurut  AP Economy Survey, majoriti daripada 42 ahli ekonomi yang ditinjau itu percaya bahawa pemulihan masih pada laluannya, meningkatkan harapan bahawa ekonomi negara itu dapat mengelakkan daripada jatuh semula ke dalam kemelesetan curam berganda.
Berita gembira IMF pada awal Julai itu yang dipetik di atas, sesungguhnya dibayangi oleh laporan muram dari Amerika pada akhir bulan yang  sama, seperti yang dapat dilihat melalui makalah Larry Elliot dalam akhbar The Observer,  “Spectre of the Double-dip Haunts Uneasy US,” yang antaranya  merujuk kepada keterangan Ben Bernanke itu.   Ketakutan semakin menjadi-jadi kerana ekonomi negara itu menanggung 9.5 peratus pengangguran dan dijangkakan AS$4 trilion lebihan hutang gadai janji. Pasaran perumahan yang pincang.  Tahap tinggi pengangguran yang susah hendak dikurangkan.  Kejatuhan keyakinan pengguna.  Pertumbuhan yang perlahan dalam pengeluaran perindustrian.  Demikian tulis Elliot tentang bayang-bayang yang mengerikan.  Dalam makalah itu  beliau memetik Paul Ashworth  daripada  Capital Economics yang tidak menjangkakan kelembapan ini akan menjerumuskan Amerika ke dalam kemelesetan kedua.  Namun begitu, beliau juga memetik,  Stephen Lewis daripada Monument Securities yang berkata bahawa dari segi keseimbangan kemungkinan, kelihatan bahawa sekurang-kurangnya satu suku tahun dalam tiga suku tahun akan datang, KDNK Amerika akan mencatatkan kemerosotan suku tahun atas suku tahun  (quarter-on-quarter decline). Perkembangan sedemikian akan mengujakan cakap-cakap tentang kemelesetan curam berganda. Akan tetapi, Lewis menjelaskan, perkembangan itu lebih tepat untuk ditafsirkan sebagai bukti ekonomi dalam depression.
Walau bagaimanapun,   Barat dikatakan  bersiap sedia untuk menghadapi berita buruk dari Amerika Syarikat ketika ketakutan menjadi-jadi tentang pemulihan.   Jean-Claude Trichet, Presiden Bank Pusat Eropah (ECB) memaklumkan bahawa data setakat ini untuk suku tahun terbaharu menunjukkan pertumbuhan muncul lebih kuat daripada yang dijangkakan di zon euro, tetapi beliau bercakap dengan nada peringatan kerana ECB meninggalkan kadar faedah untuk kawasan mata wang tunggal itu pada satu peratus.  “Dengan mengambil kira beberapa faktor sementara, kami terus-menerus menjangkakan ekonomi kawasan euro tumbuh pada kadar sederhana dan masih pada kadar tidak seimbang dalam persekitaran ketidakpastian,” Trichet memberitahu sidang berita pada awal Ogos.
Tatkala banyak orang asyik bercakap tentang kemelesetan curam berganda, Timothy F. Geithner, Setiausaha Perbendaharaan Amerika mempunyai pendirian yang berlainan.  “Welcome to the Recovery” demikian tajuk makalah beliau yang diterbitkan dalam  akhbar The New York Times pada 2 Ogos memperlihatkan keyakinan beliau bahawa pemulihan sedang mewarnai ekonomi Amerika.  Kemusnahan yang ditempa oleh kemelesetan besar masih masih terlalu benar  untuk berjuta-juta rakyat Amerika yang kehilangan pekerjaan, perniagaan, dan rumah.  Kesan krisis ini masih segar dalam ingatan, dan setiap laporan ekononi yang baru membawa bersama-sama gelombang kebimbangan yang lain.  Tulis Geithner. “Ketidakpastian boleh difahami, tetapi kajian semula  data tentang ekonomi Amerika menunjukkan bahawa  pada laluan untuk kembali kepada pertumbuhan.” 
Meskipun ekonomi masih dalam perjalanan yang jauh sebelum sampai potensi sepenuhnya, data minggu lalu tentang pertumbuhan ekonomi, tegas Geithner, menunjukkan bahagian besar sektor swasta terus kukuh.  Pelaburan perniagaan dan penggunaan – dua petunjuk penting untuk permintaan swasta – adalah semakin kuat, lebih baik daripada tahun lalu dan lebih baik daripada suku tahun lalu.  Ketidakpastian masih menyelubungi pelaburan, tetapi perbelanjaan modal perniagaan meningkat pada kadar tahunan yang padu, iaitu kira-kira 17 peratus.  
Penggunaan swasta dan pelaburan tetap bersama-sama menyumbang kira-kira 3.25 peratus untuk pertumbuhan.  Bahkan peningkatan import yang merendahkan kadar peningkatan KDNK, sebenarnya mencerminkan keteguhan dan pertumbuhan permintaan rakyat Amerika.  Beliau juga bersetuju dengan pandangan beberapa ahli ekonomi bahawa pemulihan yang menyusuli krisis kewangan adalah lazimnya menempuh perjalanan  yang sukar.  Itu ialah realiti.  Proses pembaikian bermakna pertumbuhan ekonomi akan lebih perlahan berbanding dengan yang kita harap-harapkan.  
Di sebalik cabaran ini, wujud berita baik untuk dilaporkan:  eksport melambung, pertumbuhan pekerjaan swasta, perniagaan membaiki kunci kira-kira mereka, keluarga Amerika lebih banyak menyimpan atau menabung, industri auto mula menjanakan keuntungan, meskipun jualan tahunan rendah, bank-bank utama lebih kuat dan lebih berdaya saing, dan pelaburan kerajaan dalam bank-bank telah memperoleh keuntungan  lebih AS$20 bilion untuk pembayar cukai dan program  Troubled Asset Relief Program (TARP) akan keluar daripada perniagaan lebih awal daripada yang dijangkakan.
Meskipun setakat ini kemunculan kemelesetan curam berganda hanya sekadar  bayang-bayang yang mengerikan, namun persediaan untuk menghadapi kemungkinan malapetaka  ini wajar dilakukan lebih awal.  Dengan kata lain, lebih baik panik sekarang daripada panik ketika malapetaka ini benar-benar melanda.  Psikologi penafian seperti yang berlaku ketika krisis dua tahun lalu, sesungguhnya  memberikan banyak pengajaran.  Hakikatnya, perjalanan pemulihan berliku-liku dan penuh ranjau.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, Oktober 2010.)

No comments:

Post a Comment

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...