Artikel Popular

Wednesday, November 14, 2012

Bintang Rock Sumbang Kemenangan Obama

RABU, 14 November 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Namanya tidak termasuk dalam senarai pemenang dan yang tewas dalam Pilihan Raya Amerika Syarikat tahun 2012, yang disusun oleh Alex Altman. Melampaui dua calon yang bertanding untuk jawatan Presiden Amerika, iaitu Barack Obama dan Mitt Romney, antara pemenangnya ialah Nate Silver, manakala yang kalah ialah Karl Rove.

Yang tercicir dalam senarai pemenang, tetapi dapat dikesan oleh Ron Rosenbaum  ialah Bruce Springsteen, yang turut berkempen untuk Obama.  "Sumbangan Springsteen terhadap kemenangan Obama," tulis Rosenbaum, "kurang diiktiraf dan kurang dihargai.  Justeru, fikirkan hal ini sebagai ucapan terima kasih peribadi kepada Bruce."  

Springsteen menyokong calon Demokrat, iaitu John Kerry pada tahun 2004 dan Obama pada tahun 2008.  Namun, pada tahun ini, beliau memilih untuk tidak memihak kepada mana-mana calon sehingga bulan Oktober, mula mengisytiharkan beliau menyokong Obama sekali lagi, dan turut berkempen  bersama-sama Bill Clinton di Ohio.  Sehari sebelum Hari Pilihan Raya, bintang rock ini muncul bersama-sama Obama di Madison, Wisconsin sebelum ke Columbus, Ohio dan kemudian menamatkan perjalanan mereka di Des Moines, Iowa, dengan menaiki Air Force One, pesawat rasmi Presiden.

Sebaik-baik sahaja beliau berkempen untuk Obama, Dorian Lynskey menulis dalam The Guardian, "mampukah Bruce Springsteen melakukan sekali lagi untuk Obama?"  Meskipun pengaruh beliau untuk menyekat pekerja kulit putih daripada mengundi Romney adalah terhad, akhirnya terbukti bahawa sumbangan beliau  membantu kemenangan Obama dalam pilihan raya kali ini.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...