Artikel Popular

Friday, November 2, 2012

"Hari Ini, Barack Obama Menang Pilihan Raya"

JUMAAT, 2 November 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Perisytiharan bahawa calon yang bertanding,  baik Barack Obama mahupun Mitt Romney, menang  bukanlah sesuatu yang luar biasa tatkala Hari Pilihan Raya hanya tinggal empat  hari lagi.   Setiap pihak, sama ada kempen Obama ataupun kempen Romney ingin menunjukkan bahawa calon mereka dalam laluan yang betul untuk ke Rumah Putih.

Bagi Presiden Obama, perisytiharan seperti itu mungkin datangnya daripada ketua ahli strateginya,  David Axelrod, pengurus kempen, Jim Messina, dan timbalannya  Stephanie Cutter, atau David Plouffe, penasihat kanan  Rumah Putih, atau  daripada bekas Presiden Bill Clinton yang ke sana ke mari berkempen untuk Obama dan calon Demokrat yang lain. Ataupun daripada cerdik pandai, antaranya Michael Tomasky, Robert Shrum, John Cassidy, Josh Barro, Ezra Klein,  Nate Cohn, dan Nate Silver,  yang tidak jemu-jemu meletakkan kemenangan kepada penjawat kini.

Namun, kali ini yang mungkin menarik, perisytiharan  untuk Obama bukannya jangkaan menang  di negeri berayun, Ohio, tetapi  di New Jersey, dan  datangnya daripada Margaret Carlson yang menulis dalam Bloomberg pada 1 November, "Today, Barack Obama Won the Election."  Tidak seperti kebanyakan cerdik pandai lain, Margaret tidak menyatakan jumlah undi badan perwakilan pemilih yang dijangkakan diperoleh oleh Obama.  Sebaliknya, beliau meninjau peristiwa penting yang berlaku di New Jersey apabila  Obama melawat negeri yang teruk dilanda Taufan Sandy.  

"Sesungguhnya, tragedi yang membawa mereka bersama-sama," tulis Margaret, "tetapi hal ini melibatkan Presiden Barack Obama dan Chris Christie dari New Jersey, yang saling berpegangan."  Penampilan Presiden dan Gabenor itu bukan sahaja mendapat liputan yang meluas, bahkan yang lebih penting, ulasan para cerdik pandai, antaranya John Cassidy dan  Howard Kurtz.

Seperti yang diketahui umum, Gabenor Christie sering mengkritik Obama sebelum ini, beliau berucap ketika Konvensyen Kebangsaan Republikan di Tampa, Florida pada akhir Ogos, dan merupakan pengganti (surrogate) Romney.  Namun,  Taufan Sandy mengubah segala-galanya, seperti diungkapkan dengan jelas oleh Margaret, "Christie melayan Obama bukan sebagai pemimpin yang gagal, tetapi seperti Panglima Besar. Dan oleh sebab perkongsian mereka bukannya politik, maka layanan itu mempunyai kesan yang sungguh besar terhadap politik detik ini:  Gabenor Republikan mengetepikan kepartian demi memberikan pujian kepada Presiden daripada Parti Demokratik, yang terpasung dalam kempen yang sukar menentang lelaki, yang Gabenor itu sokong."

Ulas Margaret lagi, "jika Obama menang dalam pilihan raya ini, kita menoleh kepada peristiwa hari ini dan berkata persahabatan ini di Brigantine, New Jersey, ialah detik yang menentukan kemenangan  beliau.  Obama dan Christie menjadikan politik kempen Presiden kelihatan kecil, dan mengingatkan kita bahawa ahli politik yang prihatin tentang sesuatu yang lebih penting berbanding dengan orang yang mendahului di Ohio."

Melihat Christie membina persahabatan dengan Obama itu,   Romney memberitahu pembantunya, memetik  Andy Borowitz dalam blog The New Yorker, "benar-benar hancur luluh," meskipun di hadapan khalayak, beliau seakan-akan dapat menerimanya.  Yang lebih menyedihkana lagi, menurut pembantu Romney, Christie "tidak menelefon balik Romney."  Seolah-olahnya Christie lupa sahabat lama yang sedang bertarung antara  hidup dengan mati dalam politik, mentang-mentang mendapat sahabat baru, iaitu lelaki yang berkemungkinan besar kekal sepenggal lagi di Rumah Putih.  Sementara Jeffrey Goldberg yang menulis dalam The Atlantic, pergi lebih jauh, membayangkan bahawa Christie menjatuhkan Romney.

Mengapa Christie beralih angin, masih menjadi tanda tanya, antara andaiannya ialah tatkala beliau dalam kesusahan, dengan pantai New Jersey yang beliau pernah lihat kini lenyap sama sekali, Presiden Barack muncul di sisi beliau.  Selain itu, untuk membina semula negerinya yang musnah dilanda taufan itu, Christie memerlukan bantuan kerajaan Persekutuan, yang dalam masa terdekat ini dalam bidang kuasa Obama, manakala dalam jangka panjang, iaitu mulai tahun depan, mungkin Christie dapat mengagak juga kekal di tangan Obama.  

Bagi Presiden Barack Obama, pembatalan kempen di Florida untuk pulang ke Washington menghadapi Taufan Sandy dan seterusnya tidak berkempen selama tiga hari, tidak membawa apa-apa kerugian, bahkan menghasilkan keuntungan yang besar.  Seandainya taufan tidak melanda Pantai Timur Amerika Syarikat,  beliau dapat turun berkempen, seperti yang dijadualkan.  Namun, hasilnya belum pasti jika dibandingkan dengan beliau yang bersiap siaga di sebagai Panglima Besar, dan kemudian melawat New Jersey.

Sesungguhnya, Taufan Sandy bukan sekadar membawa kejutan Oktober, bahkan juga mengubah permainan dalam pertarungan politik di Amerika Syarikat. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...