Artikel Popular

Tuesday, November 13, 2012

Romney, Pakar Angka yang Ditimbus oleh Angka

SELASA, 13 November 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Pengalamannya di Bain Capital, sebagai ketua pegawai eksekutif, menjadi "kad panggilan" Mitt Romney untuk mengatakan bahawa beliau layak dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat.  Pengalaman itu juga dijadikan alasan oleh Romney bahawa beliau begitu masak dengan angka, lalu tanpa teragak-agak berjanji untuk mewujudkan 12 juta pekerjaan dalam tempoh penggal pertama beliau menjadi Presiden.  Jelas bahawa Romney gemar bermain dengan angka, termasuk angka pekerjaan tersebut, yang bukan sahaja dipersoalkan olah Barack Obama dan kempennya, bahkan juga oleh ahli ekonomi.

Namun, pengalaman dan kepakaran Romney dari segi angka tidak cukup untuk memastikan kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Presiden yang berlangsung pada 6 November lalu, meskipun media konservatif menggembargemburkan bahawa beliau pasti menang, bahkan menang besar.  Pilihan raya membuktikan bahawa, tulis Frederick E.  Allen, "Romney sebagai pengurus hebat hampir tidak sehebat Obama."  

Kekalahan Romney itu yang masih dibahaskan hingga kini, antaranya beliau sendiri wajar dipersalahkan, seperti yang dibahaskan oleh Rick Moran, dan yang pastinya menarik  oleh Michael Hirsh yang menegaskan bahawa Romney menolak peluang untuk menang, sedangkan puak konservatif diperhatikan sukar untuk menjelaskan kekalahan itu.  Sebenarnya, Romney kalah perlumbaan sejak musim panas selepas kempen Obama mentakrifkan dirinya, demikian menurut pemerhatian Lisa Lerer

Tidak kurang perbahasan tentang kekalahan itu yang dihubungkaitkan dengan parti yang Romney wakili, iaitu Republikan, seperti yang dibahaskan oleh Newt Gingrich,  Charlie Cook, Chris Cillizza,  Alexander Burns, Paul Harris,  Frank Rich,  David Frum, Kathleen Parker, Dana Milbank, Matt Taibbi, Eric Berman, dan Richard Cohen. Secara lebih khusus, Republikan, menurut Tyler Kingkade, "kehilangan  pengundi belia,"  "kehilangan sokongan pengundi Hispanic," menurut Ryan Lizza, dan bahkan mempunyai masalah  pengundi kulit putih, bahas Nate Cohn.  Derek Thompson mentafsirkan bahawa Republikan menghadapi "masalah demografi."   Republikan didapati tidak menyedari perubahan demografi, iaitu pembandaran.  Sebaliknya, Republikan pula menuding jari ke segenap penjuru, termasuk mengatakan  "kejahilan pengundi."

Sementara Paul Begala yang menulis dalam The Daily Beast, mendakwa bahawa Republikan sendiri yang menghadiahkan kemenangan kepada Obama.  Walau bagaimanapun, dalam ulasan terbaharu tentang kekalahan Romney, seperti yang ditegaskan oleh Grover Norquist, "Obama menang kerana beliau menggelar Romney poopy head."  Tidak kurang pula puak konservatif yang enggan menerima kekalahan, mendakwa Obama "main kotor" dan "menindas  undi,"  meskipun mengapa  beliau menang, menurut Howard Fineman, "memang jelas."

Balik kepada pengalaman dan kepakaran Romney dari segi angka, yang turut diulas oleh John Dickerson,  bahawa  calon Presiden ini gagal melihat angka yang datang.  "Mitt Romney berkata bahawa beliau lelaki angka, tetapi akhirnya beliau memperoleh angka yang salah.  Kempen beliau tidak berganjak bahawa tinjauan pendapat awam di negeri berayun adalah silap.  Mereka mendakwa bahawa peninjau pendapat menganggarkan berlebihan angka Demokrat yang akan keluar mengundi pada Hari Pilihan Raya," tulis Dickerson.  "Kempen Romney pasti bahawa golongan minoriti tidak akan keluar mengundi pada tahun 2012 jika dibandingkan dengan yang mereka lakukan pada tahun 2008."

Romney begitu yakin bahawa beliau akan menduduki Rumah Putih, lalu  beliau hanya menyediakan teks ucapan kemenangan, tetapi kesudahannya beliau menyampaikan ucapan mengaku kalah; sebaliknya  Obama menyampaikan ucapan yang Romney idamkan itu. Di Boston, kempennya  bersiap sedia untuk menyambut kemenangan pada malam itu dengan pertunjukan bunga api.  Pasukan Romney pula secara tidak sengaja menerbitkan lawan Web kemenangan.  

Bagaimana Romney begitu silap, seperti yang dijelaskan oleh Dickerson bahawa menurut mereka yang terlibat, merupakan campuran anekdot kepercayaan tentang keghairahan parti dan memperlekeh bakat pihak lawan.  Kempen Romney fikir bahawa Obama tapak sokongan Obama hilang minat terhadap calon mereka, iaitu Obama.  Kempen Romney percaya bahawa Obama menang hanya jika beliau memenangi pengundi bebas.  Justeru, Romney menumpukan perhatian terhadap pengundi bebas dan ekonomi, yang merupakan isu mereka. "Permainan padang Republikan," jelas Dickerson, "adalah tertumpu pada usaha untuk memenangi pengundi berkenaan."  

Sementara itu, kempen Romney secara terbuka menolak permainan padang Obama, maka mereka  membuat keputusan tidak menghabiskan wang untuk kawasan kejiranan.  "Meninjau kembali, pasukan Romney mengagumi dan memuji operasi Obama.  'Mereka menghabiskan masa empat tahun bekerja blok demi blok, orang demi orang untuk membina pakatan mereka,'   kata pembantu atasan Romney.  Mereka kini mengakui bahawa pejabat berkenaan ditubuhkan untuk mewujudkan kontak peribadi, adalah paling tahan dan cara berguna untuk memperoleh pengundi."

Pada Hari Pilihan Raya, jelas Dickerson, seluruh permainan padang Romney berkecai.  Projek  Orca yang dibanggakan, iaitu sistem komputer untuk menjejak para pengundi pada Hari Pilihan Raya, runtuh.

Meskipun pelbagai tinjauan pendapat dan model peramalan menjangkakan Romney tewas dalam pertarungan di banyak negeri berayun, dan dengan itu, laluan beliau ke Rumah Putih amat sukar, Matt Latimer yang menulis tiga hari sebelum Hari Pilihan Raya, bahawa Mitt Romney masih dibuai oleh kemenangan, walaupun itu hanya sekadar memperdaya diri sendiri.  Kempen Romney mendakwa tinjauan pendapat  memencong, iaitu memihak kepada Obama. Selain memperkembang peta ke Pennsylvania, pasukan Romney yang menafikan tinjauan pendapat yang memihak kepada Obama, menggunakan matematik mereka sendiri untuk menunjukkan  Iowa,  New Hamsphire, dan Colorado memihak kepada calon mereka.

Tidak cukup dengan ramalan Karl Rove bahawa Romney akan menang 279 undi badan perwakilan pemilih sekurang-kurangnya, Michael Solomon turut menjangkakan Obama kalah, sekadar mengambil petua daripada kekalahan pasukan Redskins.

Memang sukar untuk mempercayai bagaimana pakar angka, seperti Mitt Romney, boleh memperdaya dirinya sendiri menafikan segala angka yang memihak kepada lawannya, Barack Obama.  Ada orang berpesanm "jika seseorang itu hidup dengan angka, mati pun dengan angka," nampaknya benar-benar berlaku terhadap Romney.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...