Artikel Popular

Monday, November 19, 2012

Kemaraan Orang yang Memperhambakan Diri pada Intelektual

ISNIN,  19 November 2012 (Dikemaskinikan 19 November, 04.30 petang)
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Selain dua orang calon yang calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Presiden, iaitu   Barack Obama dan Mitt  Romney, dua calon Naib Presiden, iaitu Joe Biden dan Paul Ryan, bekas Presiden Bill Clinton, Parti Demokratik dan Republikan, kempen kedua-dua calon Presiden itu, dan pelbagai tinjauan pendapat,  dua personaliti yang turut mendapat perhatian ialah Karl Rove dan Nate Silver daripada FiveThirtyEight.  Kedua-duanya, iaitu Rove dan Silver tidak terlepas pandang untuk perbandingan:  Sains cuaca ialah Nate Silver dan politik Amerika Syarikat ialah Karl Rove

Karl Rove,  selain terkenal sebagai ahli strategi Republikan dan bekas penasihat Presiden George Bush, dalam pilihan raya ini, beliau terkenal dengan super PAC-nya, iaitu American Crossroads,   dengan wang gelap yang bertimbun-timbun  membantu Romney dan calon lain daripada Republikan. Beliau juga sering ditinjau pendapatnya tentang politik dan pilihan raya 2012, antaranya tentang kekalahan Romney,  di samping menulis dalam The Wall Street Journal.  

Dalam pilihan raya kali ini yang menyaksikan kekalahan Mitt Romney, Republikan, menurut Mitt Latimer, membiarkan Karl Rove mengelirukan mereka sekali lagi, dengan meramalkan Romney menang.  Pada malam pilihan raya apabila keputusan demi keputusan diketahui, yang memperlihatkan kemaraan Obama, Karl Rove mencetuskan kontroversi, yang menyebabkan beliau dipersenda, kerana keengganannya menerima keputusan di Ohio yang memuktamadkan kemenangan penjawat kini untuk penggal kedua. Peristiwa malam pilihan raya itu, seperti yang diulas oleh David Frum, "Karl Rove benar-benar terkejut, manakala lelaki yang menggunakan matematik sebenar adalah betul"  - lelaki yang Frum maksudkan itu ialah Nate Silver.

Sebaliknya, Nate Silver terkenal kerana sekali lagi ramalannya bahawa Barack Obama menang adalah tepat, walaupun beliau dikritik oleh Republikan kerana seakan-akan beliau memihak kepada Obama, dan Demokrat pula berasa ragu-ragu.   Selain pernah meramalkan dengan hampir tepat jumlah undi badan perwakilan pemilih yang Obama raih dalam Pilihan Raya Presiden tahun 2008, Silver juga tepat dalam meramalkan Pilihan Raya Separuh Penggal tahun 2010:  Dewan Perwakilan jatuh ke tangan Republikan, manakala Senat kekal dikuasai oleh Demokrat, tetapi jumlah berkurangan.  "Dengan keputusan pilihan raya terbaru," ulas Joe Weisenthal, "Silver adalah tepat," yang sejak musim panas, meramalkan peluang menang untuk Obama berbanding dengan Romney.

Seperti yang dibahaskan oleh D.R. dalam The Economist tentang politik dan statistik, menyaksikan kemaraan orang yang memperhambakan diri pada intelektual (the nerds; catatan: the nerds mempunyai  pelbagai makna).  Di samping Nate Silver dengan FiveThirtyEight, nama lain yang turut diketengahkan oleh D.R. ialah Sam Wang daripada Princeton Election Consortium dan Drew Linzer daripada Votamatic, yang semuanya betul sekurang-kurangnya 49 buah negeri.

David A. Graham memang benar  apabila beliau menegaskan bahawa Nate Silver bukan cerdik pandai atau peramal yang meramalkan pilihan raya dengan tepat dan beliau juga bukan orang yang pertama.  Graham mengemukakan senarai yang panjang golongan berkenaan yang menunjukkan bahawa selain Nate Silver, Sam Wang, dan Drew Linzer, wujud dua nama lagi, iaitu Josh Putnam dan Markos Moulitsas: 332 undi badan pemilih untuk Obama dan 206 undi untuk Romney (rujuk graf  yang di bawah):



Walau bagaimanapun, Nate Silver yang paling popular dalam kalangan mereka, mungkin kerana beliau menghangatkan debat peramalan dalam pilihan raya kali ini, dengan menggunakan pelbagai tinjauan pendapat. Beliau juga paling terkenal dan banyak mencetuskan kontroversi. Jika Republikan mahu melihat Obama hanya Presiden satu penggal, ada cerdik pandai yang mengharapkan Silver sekadar "selebriti semusim,"  dan pernah dianggap sebagai peramal politik voodoo.

Sebaliknya, apa yang benar-benar terjadi, Silver bersama-sama pengunyah data yang lain membuktikan bahawa pengkritik mereka adalah silap apabila keputusan Pilihan Raya Presiden diketahui, dan sekali gus, melenyapkan segala kritikan itu.  Silver, menurut pemerhatian Seth Borenstein, melakukan ramalannya dengan mengumpulkan data tinjauan pendapat, mewajarkannya untuk ketepatan lalu, dan menggunakan 40,000 simulasi komputer ketika itu.  Carole Cadwalladr yang menulis dalam The Observer,    menegaskan bahawa Nate Silver yang  menggunakan angka, kini muncul sebagai jenis baru bintang handalan politik.  Seseorang yang sebenarnya tahu apa yang beliau perkatakan.

Beberapa hari selepas pilihan raya itu, Nate Silver menulis dalam The Daily Beast, menjelaskan mengapa memulakan FiveThirtyEight, yang beliau memperoleh idea pada Februari 2008.  Ketika itu, beliau sedar akan pentingnya diwujudkan laman Web untuk meramalkan persaingan antara Barack Obama dengan Hillary Clinton dalam pemilihan awal Parti Demokratik, yang pemenangnya akan berhadapan dengan John McCain.  Silver menjelaskan bahawa minat beliau terhadap politik pilihan raya bermula agak awal lagi, tetapi segala-galanya akibat kekecewaan dan bukannya kesukaan yang mendalam terhadap proses politik. 

"Saya memantau dengan teliti percubaan Kongres untuk mengharamkan poker Internet pada tahun 2006, yang ketika itu merupakan satu sumber pendapatan utama saya," tulis Silver.  "Saya mendapati liputan politik memerlukan, bahkan jika dibandingkan dengan sesuatu, seperti sukan, dengan 'revolusi  Moneyball' secara signifikan menambahbaikkan analisis."

John Cassidy yang menyifatkan pilihan raya kali ini sebagai kemenangan peninjau pendapat dan peramal, turut menyatakan nama Nate Silver kerana ketepatan ramalannya, seorang gay yang menghambakan dirinya untuk meramalkan keputusan pilihan raya, yang pastinya bukan suatu kerja yang mudah.  Seperti yang diungkapkan oleh Andrew Romano, "topik panas bukannya pilihan raya itu, tetapi siapakah yag meramalkan keputusan pilihan raya dengan sebaik-baiknya."

Kemas kini 19 November 2012, pukul 04.30 petang:

Dengan Pilihan Raya tahun 2012 berakhir sudah, dengan keputusan:  322 undi badan perwakilan pemilih untuk Obama, dan 206 undi bagi Romney; Dewan Perwakilan, 201 Demokrat, 234 Republikan; dan Senat, 55 Demokrat/Bebas, 45 Republikan, maka Kevin Drum cuba menentukan peramal yang menang.  Untuk Pilihan Raya Presiden, boleh dikatakan banyak juga pemenangnya, tetapi Drum tidak memasukkan Nate Silver, iaitu: Jeff Gauvin, Ziggy, Jason Broccardo, dan jharp.  Sementara Kadzimiel tepat dari segi Dewan Perwakilan dan Senat, tetapi oleh sebab beliau menjangkakan Florida jatuh ke tangan Romney, maka ramalannya 303 undi untuk Obama dan 235 untuk Romney.

Walau bagaimanapun, Kevin Drum memutuskan bahawa dalam pertandingan peramalan,    Kadzimiel dan jharp pemenang bersama.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...