RABU, 6 April 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Sesuatu bahasa diisytiharkan mati apabila orang terakhir, biasanya orang tua yang masih menggunakan bahasa itu meninggal dunia tanpa memindahkannya kepada anak cucu. Oleh itu, tegas Claude Hagège, ahli linguistik Perancis dalam soal jawab dalam akhbar The New York Times pada Disember 2009, kriteria saling berkait: kematian penutur terakhir dan tidak ada pemindahan. Beliau menegaskan bahawa tekanan ekonomi dan sosial merupakan faktor besar dalam proses yang menyebabkan bahasa tidak digunakan lagi. David Crystal yang menulis buku Language Death juga berkata bahawa bahasa mati apabila tiada lagi orang bercakap dalam bahasa itu. Kepupusan bahasa berlaku dengan pantas di banyak tempat di dunia. Tulis Crystal. “Bahasa selalu mati. Sebagaimana budaya bangkit dan jatuh, demikian juga bahasa menjelma dan menghilang.” Sementara Scott DeLancey, ahli linguistik di University of Oregon mempunyai pandangan yang agak berbeza sedikit: “Bahasa mati apabila anda tidak mempunyai anak yang memetiknya (picking it up) di rumah.”
Seperti spesies haiwan dan tumbuhan, bahasa tidak dapat digantikan dan diancam kepupusan. UNESCO dalam edisi baru Atlas of the World's Languages in Danger versi elektronik yang diterbitkan pada Februari 2009, menyediakan data terkini kira-kira 2500 bahasa yang terancam di seluruh dunia yang disenaraikan mengikut lima tahap tahan lama yang berbeza: tidak selamat, jelas terancam, terancam teruk, terancam tenat, dan pupus.
Beberapa data amat membimbangkan: daripada kira-kira 6000 bahasa yang wujud di dunia, lebih 200 bahasa menjadi pupus ketika tiga generasi yang lalu, 538 bahasa terancam tenat, 502 bahasa terancam teruk, 632 bahasa jelas terancam, dan 607 bahasa tidak selamat. Ada 199 bahasa mempunyai kurang daripada 10 orang penutur dan 178 bahasa yang lain mempunyai antara 10 hingga 15 orang penutur. Antara bahasa yang pupus baru-baru ini ialah Manx (Isle of Man), yang mati pada tahun 1974; Aasax (Tanzania) yang lenyap pada tahun 1976; Ubykh (Turki) pada tahun 1992 dengan kematian Tevfik Esenç; dan Eyak (Alaska, Amerika Syarikat) pada 2008 dengan kematian Marie Smith Jones.
Ketua Pengarah UNESCO Koïchiro Matsuura berkata, “Kematian bahasa mendorong kepada lenyapnya banyak bentuk warisan budaya yang tidak dapat diterangkan, terutama warisan tradisi yang sangat tinggi nilai pengucapan lisan komuniti yang menuturkan bahasa berkenaan: daripada puisi kepada legenda kepada perumpamaan dan jenaka.”
Bahasa yang lenyap merupakan fenomena yang berlaku di setiap wilayah. Demikian menurut laporan UNESCO itu yang merupakan kajian yang dijalankan oleh lebih 30 orang ahli lingustik. Di Afrika Sub-Sahara, kira-kira 2000 bahasa ditutur (hampir satu pertiga jumlah dunia), besar kemungkinannya 10 peratus daripadanya akan lenyap dalam seratus tahun akan datang. Negara yang mempunyai kepelbagaian bahasa yang cukup besar, seperti India, Amerika Syarikat, Brazil, Indonesia, dan Mexico juga mempunyai jumlah yang sangat besar bahasa yang terancam. Di Australia, 108 bahasa pada pelbagai tahap bahaya. Di Perancis metropolitan, 26 bahasa terancam: 13 terancam teruk, lapan jelas terancam, dan lima tidak selamat.
Walau bagaimanapun, ada juga negara yang mempunyai kepelbagaian bahasa yang cukup besar, seperti Papua New Guinea yang mempunyai lebih 800 bahasa yang dipercayai dituturkan, sedikit bahasa yang secara relatif terancam, iaitu hanya melibatkan 88 bahasa. Sementara bahasa tertentu yang ditunjukkan sebagai pupus telah dicergaskan semula secara aktif, seperti Cornish (Cornwall) dan Sîshëë (New Caledonia).
Pastinya, dasar bahasa yang menggalakkan dapat menyumbangkan kepada peningkatan jumlah penutur beberapa bahasa peribumi, seperti yang berlaku di Aymara Tengah dan Quechua di Peru, Maori di New Zealand, Guarani di Paraguay, dan beberapa bahasa di Kanada, Amerika Syarikat, dan Mexico. Atlas of the World's Languages in Danger juga menunjukkan bahawa disebabkan faktor ekonomi, dasar bahasa yang berbeza, dan fenomena sosiologi, maka bahasa tertentu mungkin mempunyai darjah penuh bertenaga di negara yang berbeza.
“Sememangnya, naif dan mempermudahkan untuk mengatakan bahawa bahasa bekas kolonial besar, seperti Inggeris, atau Perancis, atau Sepanyol, ialah pembunuh, manakala bahasa kecil ialah mangsa,” kata Christopher Moseley, ahli linguistik Australia dan Ketua Editor Atlas of the World's Languages in Danger.
Apabila sesuatu bahasa itu hanya mempunyai penutur tidak lebih daripada 10 orang, kita dapat membayangkan apakah nasib yang bakal menimpa bahasa berkenaan, seperti bahasa peribumi S'aoch. Bahasa yang dituturkan di tepi pantai Kemboja itu, menurut akhbar The Christian Science Monitor pada April tahun lalu, sedang menunggu detik kematian. Sementara ahli linguistik Perancis, Jean-Michel Filippi dikatakan terpaksa bergelut dengan kesuntukan masa untuk memulihara budaya yang sedang lenyap itu. S'aoch adalah antara kira-kira 3000 bahasa yang terancam di seluruh dunia. Dengan memetik UNESCO, akhbar itu melaporkan bahawa satu daripada jumlah tersebut lenyap kira-kira setiap dua minggu. Di Kemboja sahaja, 19 bahasa berhadapan dengan kepupusan pada abad ini.
“Apabila sesuatu bahasa lenyap,” kata Filippi yang menjelaskan komitmennya untuk menyelamatkan S’aoch, “wawasan dunia lenyap.” Tambah beliau lagi, “Pada hakikatnya, S’aoch kehilangan segala-galanya. Dan, bahasa ini akan hilang dalam beberapa tahun lagi. Mungkin hanya kekal misteri selama-lamanya.”
Walau bagaimanapun, penutur bahasa itu tidak berkongsi dengan kepesonaan beliau. Mereka mengaitkan bahasa mereka dengan kemiskinan dan penyingkiran daripada masyarakat Kemboja yang dari segi etnik dan bahasa ialah Khmer. Mereka tidak menggunakan bahasa mereka kerana “S’aoch adalah taowk – perkataan Khmer yang bermakna tanpa nilai.” Suatu tragedi apabila penuturnya tidak lagi mempunyai keyakinan dan kebanggaan. Hanya pakar asing yang beria-ria menyelamatkan bahasa itu, sedangkan penuturnya sendiri hilang keghairahan dan keterujaan.
Pembersihan etnik dan dasar yang dilaksanakan oleh Khmer Rouge, seperti yang cuba dirumuskan oleh akhbar itu, membawa bencana terhadap bahasa S’aoch. Khmer Rouge telah membunuh hingga dua juta orang antara tahun 1975 hingga 1979, dan rejim komunis itu menyingkirkan orang Kemboja dari rumah kediaman mereka dan memaksa mereka memasuki kem buruh paksa. Orang S’aoch diusir dari tanah mereka dan dilarang menggunakan bahasa ibunda mereka: “Mereka tidak boleh bertutur dalam bahasa mereka atau mereka akan dibunuh.”
Mengapa sesetengah masyarakat berkembang maju, manakala yang lain hancur? Soalan yang sedemikian boleh juga dikemukakan untuk bahasa. Claude Hagège yang dipetik pada permulaan makalah ini turut menyentuh beberapa bahasa yang terus wujud atau hidup kembali. Pejuang (promoter) bahasa Ibrani, Gaelic, Welsh, dan juga Cornish (yang kini dalam proses hidup kembali, meskipun bahasa ini mati pada permulaan abad ke-19), bahas beliau, tidak tunduk kepada tekanan yang kuat daripada masyarakat luar yang mengenakan asimilasi terhadap mereka. Sebaliknya, komuniti Amerindian tunduk kepada tekanan bahasa Inggeris di Amerika Utara dan Australia, dan bahasa Sepanyol dan Portugis di Amerika Tengah dan Selatan.
Di sekitar Barat Laut Pasifik dan British Columbia, beberapa puak dilaporkan bekerja keras untuk menyelamatkan kira-kira 40 bahasa peribumi yang berhadapan dengan risiko lenyap dalam satu dekad akan datang. Usaha akar umbi untuk menyelamatkan bahasa peribumi itu dan mengajar anak muda dengan bahasa itu dipergiatkan. Para pemimpin puak menyusun kamus, merangka pelan pengajaran, dan berebut-rebut untuk menyelamatkan apakah cebisan bahasa yang mereka boleh sebelum penutur paling tua terakhir yang fasih bahasa itu meninggal dunia. Dalam hal Kiksht, bahasa yang dituturkan berabad-abad di Sungai Columbia, Oregon, ada dua orang penutur yang masih tinggal dan tidak boleh ingat lagi perkataan “ternganga” atau “warna perang” (“yawn” atau “brown”).
“Memang lucu, tetapi inilah benda yang kami masih perlu ketahui,” Radine “Deanie” Johnson dilaporkan berkata. Beliau menjadi pelopor usaha untuk menyelamatkan bahasa nenek moyangnya di Oregon tengah. Kecintaan beliau terhadap bahasa Kiksht puak Wasco jelas terpancar: “Saya fikir jika kami tidak mempunyai bahasa kami, adat, tradisi kami, maka kami tidak boleh dianggap Amerika peribumi” - “bahasa jiwa bangsa” bagi kita di Malaysia!
Daripada 45 bahasa dituturkan di Oregon sebelum peribumi Amerika berhubung dengan orang Eropah, kebanyakannya telah pupus. Untuk bahasa Ichishkiin di Warm Springs, kira-kira 20 orang penutur yang masih ada. Banyak bahasa, seperti Skagit, Ichishkiin, atau Haida utara masih mempunyai berbelas-belas penutur peribumi yang fasih, tetapi hampir semua mereka dalam lingkungan pertengahan umur atau orang tua.
Beratus-ratus kanak-kanak peribumi Amerika, seperti yang didakwa, pernah digiring ke dalam sekolah berasrama dan dipaksa belajar bahasa Inggeris. Kerajaan Persekutuan pernah menghimpunkan kanak-kanak peribumi ini, iaitu menculik mereka dan menahan mereka berasingan daripada ibu bapa mereka di sekolah berasrama berlanjutan hingga abad ke-20 dalam usaha sistematik untuk membasmikan bahasa dan budaya Orang Asli Amerika.
Sebilangan komuniti Orang Asli dilaporkan berusaha bertungkus-lumus untuk menyelamatkan bahasa vernakular mereka, atau untuk menggalakkan penggunaannya seluas yang mungkin, dan untuk memelihara daripada kemungkinan kepupusan, seperti bahasa Athabaskan di Amerika Syarikat dan Kanada, demikian juga bahasa Algonquian. Di Mexico, bahasa Nahuatl (Aztecan) dan Quiche (Mayan) juga disokong oleh usaha pengekalan, dan digunakan secara meluas. Begitu juga bahasa Quechua di Peru dan Bolivia. Di Chile, bahasa Mapuches berjaya menentang tekanan bahasa Sepanyol. Sementara Paraguay bertindak lebih jauh dengan menjadikan Guarani bahasa rasmi setaraf dengan bahasa Sepanyol.
Menurut The Christian Science Monitor dalam keluaran Mei 2008, selain kekurangan dana, kebanyakan percubaan untuk membawa balik bahasa ke dalam kegunaan bersama selepas majoriti penutur mencapai umur pertengahan menempuh kegagalan. Namun begitu, bahasa Ibrani yang diajar oleh penduduk Zionis di Palestin, dan kemudian menjadi bahasa rasmi Israel, pengecualian paling terkenal. Hari ini, bahasa Ibrani mempunyai kira-kira tujuh juta penutur.
New Zealand berbelanja berjuta-juta dolar untuk mempromosikan bahasa Maori, mengajarnya di sekolah, dan pada tahun 1987, mengiktirafkannya sebagai bahasa rasmi ketiga. Akan tetapi, berbanding dengan laporan UNESCO yang dipetik di atas, akhbar itu mendakwa bahawa bilangan penutur bahasa Maori yang fasih merosot sebanyak 10,000 orang atau kira-kira 17 peratus sepanjang 10 tahun lalu dan kira-kira 80 peratus penutur adalah berumur lebih 35 tahun.
Meskipun jarang-jarang berlaku, pada awal Oktober 2010, para penyelidik mengumumkan di Washington, D.C tentang penemuan bahasa baru yang mendapat liputan antarabangsa dan tempatan, termasuk The Wall Street Journal. Terlalu banyak bahasa yang lenyap di seluruh dunia dalam beberapa dekad kebelakangan ini, maka menemui satu yang baru, pastinya mendapat perhatian saintifik. Para penyelidik menemui bahasa itu untuk kali pertama di sepanjang permatang barat Arunachal Pradesh, negeri paling Timur Laut di India, tempat lebih 120 bahasa dituturkan. Bahasa itu yang disebut Koro dikenal pasti ketika ekspedisi tahun 2008 yang dilakukan sebagai bahagian projek National Geographic's Enduring Voices.
Dari segi pengelasan formal, Koro yang dituturkan oleh kira-kira 1000 orang, tergolong dalam keluarga bahasa Tibeto-Burman, kumpulan kira-kira 400 bahasa yang termasuk Tibetan dan Burmese. Kira-kira 150 bahasa Tibeto-Burman dituturkan di India sahaja. Ahli linguistik, K. David Harrison, salah penyelidik projek berkenaan dilaporkan berkata bahawa “termasuk Koro, terdapat 6,910 bahasa yang didokumenkan di dunia.”
Di sebalik keriangan dan keterujaan penemuan bahasa baru ini, diakui bahawa dalam era globalisasi, bahasa yang lenyap beratus-ratus, disingkirkan oleh bahasa Inggeris, China, dan Sepanyol, atau disekat oleh amalan kerajaan. Daripada jumlah bahasa yang didokumenkan itu, kira-kira separuh dijangkakan lenyap pada abad ini. Bahasa Koro yang baru ditemui yang penuturnya agak kecil, tidak terkecuali.
“Meskipun ini merupakan baru kepada sains, bahasa ini dalam perjalanan keluar,” kata Harrison. Banyak anak muda di kampung, selalunya terdidik di sekolah berasrama yang hanya bahasa Hindi atau Inggeris dituturkan, meninggalkan bahasa ibu bapa mereka. “Anak muda tidak bercakap dalam bahasa ini di kampung. Jika proses ini berterusan, Koro akan hampir pasti menjadi pupus.”
Hakikatnya, bahasa yang menghilang lebih pesat daripada bahasa yang dihidupkan kembali dan bahasa yang menjelma. Yang menjelma pula, bukan sahaja jarang-jarang berlaku, bahkan mudah terdedah pada ancaman kepupusan.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Pelita Bahasa Mac 2011.)
Catatan Tambahan: Bahasa yang Diancam Kepupusan
Lapan belas bahasa yang kali terakhir diketahui masih mempunyai satu orang penutur, dan bahasa berkenaan paling berisiko untuk pupus (dipetik daripadaThe Christian Science Monitor):
1. Apiaka (ditutur oleh peribumi di negara Mato Grasso, Brazil).
2. Bikya (ditutur di Wilayah Barat Laut Cameroon).
3. Chana (ditutur di Parana, ibu negeri wilayah Entre Rios, Argentina).
4. Dampal (dituturkan dekat Bangkir, Indonesia).
5. Diahoi (penuturnya tinggal di tanah peribumi Diahui, Sungai Middle Madeira, Brazil).
6. Kaixana (penuturnya tinggal di Limoeiro dalam Majlis Perbandaran Japura, Brazil).
7. Laua (dituturkan di Wilayah Tengah Papua New Guinea.
8. Patwin (bahasa Amerika Peribumi ditutur di bahagian barat Amerika Syarikat).
9. Pazeh (dituturkan oleh suku peribumi Taiwan).
10. Pemono (dituturkan di Kampug Majagua Atas, Venezuela).
11. Taje (Sulawesi, Indonesia).
12. Taushiro (bahasa yang dituturkan secara berasingan di Peru).
13. Tinigua (penuturnya kini tinggal di Sierra de la Macarena, Colombia).
14. Tolowa (bahasa puak Amerika Peribumi Tolowa, dekat Crescent City, California).
15. Volow (dituturkan di Pulau Motalava, bahagian Republik Vanuatu).
16. Wintu-Nomlaki (dituturkan oleh puak Wintu di California).
17. Yaghan (dituturkan oleh komuniti Villa Ukika di Pulau Navarino, Wilayah Magallanes, Chile).
18. Yarawi (dituturkan dekat bandar Morobe di Wilayah Morobe, Papua New Guinea).
No comments:
Post a Comment