Artikel Popular

Thursday, November 10, 2011

Dunia Terjebak dalam "Dekad yang Hilang"

KHAMIS,  10  November 2011
Oleh:   ZULKIFLI   SALLEH




Selain kemelesetan curam berganda dan kebekuan ekonomi, "dekad yang hilang" juga menghantui dunia.  Paling tidak, untuk Eropah yang bergelut dengan krisis hutang yang berpanjangan dan semakin tidak terkawal, dan    Amerika Syarikat yang masih menghadapi  kelembapan ekonomi dan kadar pengangguran yang tinggi.  "Dekad yang Hilang" Jepun kini dikhuatiri akan diulang tayang di peringkat global, meskipun Richard Katz pernah menulis bahawa krisis kewangan Amerika tahun 2008 tidak seperti  "dekad yang hilang" Jepun. 

Baru-baru ini, Daniel Indiviglio menulis dalam The Atlantic, "Welcome to America's Lost Decade",  iaitu "Penjepunan" Amerika mungkin berlaku di sana kerana Amerika Syarikat mengalami tempoh yang lama untuk pertumbuhan.  Beliau memetik beberapa amaran bahawa Amerika Syarikat berkemungkinan lebih teruk daripada Jepun apabila negara itu bermula dengan "dekad yang hilang."

Amerika mungkin dalam satu dekad atau lebih bergelut dengan pertumbuhan yang dan kadar pengangguran yang tinggi secara relatif adalah berpunca daripada terlalu banyak meminjam pada semua tahap, bahas Indiviglio.  "Pengguna, negeri, dan kerajaan persekutuan meminjam wang terlalu banyak.  Masalah untuk pemilik rumah, terutamanya teruk, kerana banyak yang kini memiliki aset adalah kurang nilainya jika dibandingkan dengan ketika mereka semasa harga rumah melambung.  Hutang  pinjaman pelajar yang meningkat dengan pantas menjadikan keadaan lebih teruk."

Beliau menjelaskan keadaan tersebut berkesudahan dengan kitaran yang menyusahkan. Kadar pengangguran adalah tinggi, maka sentimen pengguna rendah.  Dan, akibatnya rakyat Amerika  kurang berbelanja untuk merangsang firma mengambil pekerja secara lebih agresif, justeru, pengangguran masih tinggi.  Rakyat Amerika yang memikul beban hutang, bahkan kini banyak memotong perbelanjaan mereka.

Semalam, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde, memberikan amaran tentang risiko "dekad yang hilang" untuk ekonomi global, kecuali setiap negara bertindak bersama-sama untuk menentang ancaman terhadap pertumbuhan.  "Di dunia kita yang semakin saling berhubung, tidak  ada negara atau wilayah mampu bertindak sendirian," kata beliau dalam ucapannya untuk forum di Beijing. "Awan gelap berkumpul di ekonomi global."

Beliau menjelaskan ekonomi maju mempunyai "tanggungjawab istimewa" untuk memulihkan keyakinan dan memacu pertumbuhan, manakala China sepatutnya merangsang penggunaan dan membenarkan mata wangnya naik.  Para pemimpin Eropah melihat China sebagai sumber potensi dana kerana krisis hutang kedaulatan melanda Italy, ekonomi ketiga terbesar di zon euro. 

Sama ada  kemelesetan curam berganda, ataupun kebekuan ekonomi, ataupun "dekad yang hilang," gambaran yang jelas ialah ekonomi dunia masih dalam pelayaran yang bergelora.  Pertumbuhan lembap, sedangkan pengangguran tinggi, dan diperburukkan lagi oleh krisis hutang di Eropah.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...