Artikel Popular

Saturday, November 5, 2011

Musim Tengkujuh Malaysia

SABTU, 5 November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Saya tidak pasti waktu sebenar tersebarnya keputusan kerajaan Malaysia pimpinan Najib Razak (aristokrat, autokrat, demokrat, dan...) untuk meneruskan Pengajaran dan Pembelajaran Mata Pelajaran Sains dan Matematik  (PPSMI)  hingga tahun 2021.  Saya mengetahuinya melalui berita Awani pukul enam petang dengan perasaan yang amat kecewa dan hati yang remuk. Setelah Muhyuddin Yassin "menggula-gulakan" bahawa PPSMI akan dimansuhkan ketika Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu baru-baru ini, bahkan berjanji dua hari lalu untuk mengenakan "paku terakhir," tiba-tiba semalam beliau berpatah balik.  

Malam tadi,  dengan perasaan yang berkecamuk itu saya cuba meninjau Facebook sambil membaca akhbar dan jurnal antarabangsa melalui Internet, saya dapati  rakan Facebook tidak serancak beberapa hari lalu yang penuh keriangan meraikan (termasuk diri saya sendiri, meskipun kadangkala rasa tidak sedap hati) ketegasan Timbalan Perdana Menteri untuk memansuhkan  PPSMI.  Daripada yang  muncul pada Facebook jelas terpancar kekecewaan dan kemarahan  yang amat sangat, termasuk saya sendiri.  

Malam tadi juga, saya diibaratkan "sudah jatuh ditimpa tangga." Dalam perasaan saya sedemikian, perut terasa lapar, pergi ke PappaRich di Jalan Cheras untuk mengisi perut dan menenangkan fikiran yang kusut itu.  Malangnya, di sana pengunjung terlalu banyak, hanya satu dua meja yang masih kosong.  Memikirkan bahawa tidak mudah mendapatkan layanan dan pesanan jika duduk di meja itu, anak saya mengajak saya pulang sahaja.

Pagi ini, ketika dan selepas berjoging, saya dihantui oleh PPSMI, seperti saya dihantuinya, pada tahun 2002 ketika pengumuman untuk melaksanakannya dibuat.  (Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat dalam Majlis Tertinggi UMNO.) Sesungguhnya, keputusan untuk "meneruskan"  PPSMI amat mengejutkan, kerana Timbalan Perdana Menteri mendapat sokongan yang padu.  Jelas bahawa beliau tidak menghargai, bahkan menolak sokongan tersebut.  Beliau menolak suatu peluang keemasan yang pastinya tidak akan muncul lagi untuk selama-lamanya.

Saya terkenang akan GMP atau Gerak Membasmikan PPSMI kerana semalam saya mencadangkan supaya diubahsuaikan menjadi Gerakan Menduduki Putrajaya atau Gerakan Menduduki PPSMI jika kerajaan meneruskan PPSMI.  Cadangan ini sejajar atau seiringan dengan apa yang berlaku di peringkat global, apabila "gerakan Menduduki" wujud di serata tempat. 

Terkenang juga saya Pemberontakan Arab  yang kini mekar di seluruh dunia: dari Dataran Tahrir ke Wall Street.  Saya yakin bahawa rakyat Arab yang bangkit memberontak di Tunisia, Mesir, Libya, Yaman, Syria, dan beberapa negara lain tidak mengharapkan pemimpin dan kerajaan yang menggantikan elit rejim purba semesti lebih baik.  Namun, bagi mereka,  elit rejim purba yang memenatkan, yang membosankan, mesti ditumbangkan.

Demikian juga dalam konteks Malaysia, bukan bermakna kerajaan yang menggantikan elit rejim purba kelak terjamin kebaikan mereka.  Namun, masa untuk UMNO-Barisan Nasional (BN) mesti berakhir.  Rakyat, khususnya orang Melayu tidak boleh lagi bertolak ansur dengan kepimpinan mereka.  Terlalu banyak kemungkaran dan kejahatan serta kecelakaan yang UMNO-BN lakukan: daripada bahasa kepada budaya; daripada politik kepada ekonomi.

Saya tidak pasti berapa banyak pejuang atau pencinta bahasa Melayu yang akan menterjemahkan penolakan terhadap UMNO-BN dalam pilihan raya umum akan datang: mungkin 10 orang, mungkin 100 orang, mungkin 1000 orang, mungkin 10,000 orang, mungkin 100,000 orang.  Kalaupun tidak besar dari segi bilangan, mereka boleh  bergabung dengan kumpulan lain yang akhirnya muncul sebagai suatu kebangkitan rakyat, khususnya dalam kalangan orang Melayu-bumiputera. Inilah pungutan suara yang hakiki, berbanding dengan pungutan suara yang dicadangkan oleh bekas rejim, Mahathir Mohamad. Di mana-mana sahaja di dunia ini, kebangkitan rakyat menjadi kuat dan cukup bertenaga kerana wujud penggabungan dan penggemblengan, selain organisasi yang tersusun. 

Dalam ringkasan hujung minggu ini tatkala perasaan berkecamuk dengan keputusan kerajaan untuk meneruskan PPSMI, saya dapat merasakan kehadiran Musim Bunga Arab.  Kalau sudah wujud "Musim Panas Israel," "Musim Bunga China," mengapa tidak boleh wujud Musim Tengkujuh Malaysia: sebuah kebangkitan rakyat untuk menumbangkan elit rejim purba ini melalui proses pilihan raya.  

Khususnya untuk pejuang dan pencinta bahasa Melayu, sesungguhnya penentangan kita terhadap  PPSMI merupakan sebuah perjuangan yang lama, sejak tahun 2002, dua orang Perdana Menteri telah berganti, dua pilihan raya telah berlalu. Justeru, kita perlu menjelmakan  segala perjuangan yang hakiki, yang abadi ini   di mana-mana jua, termasuk dalam media sosial dan berkesudahan dalam peti undi.  

Sejak semalam,  saya mendengar suara pejuang dan pencinta  semakin lantang, semakin jelas: Katakan "tidak" kepada Najib Razak.  Biarkan Najib, Muhyuddin, dan kerajaan BN meraikan kemenangan bahasa Inggeris seketika, sebelum kita semua mencampakkan mereka  dari Putrajaya.  Jangan sekali-kali memikirkan, sama ada kita membuat keputusan yang betul ataupun tidak, dalam memilih kerajaan baru.  Yang pasti, Najib dan konco-konconya mesti diadili melalui peti undi kerana selagi mereka berkuasa, selagi itu mereka beranggapan bahawa keputusan mereka mendapat restu daripada rakyat, khususnya orang Melayu, termasuk meneruskan PPSMI.  


Najib Razak dalam ucapan sulungnya sempena menjadi Perdana Menteri Malaysia kira-kira dua tahun lalu, pernah berkata bahawa kerajaan pimpinannya ialah kerajaan yang memahami denyut nadi rakyat.  Dengan keputusan kerajaan untuk meneruskan PPSMI, saya berharap anda memahami denyut nadi sebilangan rakyat: "kami tidak mahu lagi melihat wajah anda (termasuk isteri anda) pada kain rentang, gegantung, di kaca televisyen, apabila tiba masanya kami berpeluang membuat keputusan."  (Saya masih ingat bahawa Najib dalam ucapan sulung itu juga tidak mahu kain rentang, gegantung yang menayangkan wajahnya;  tidak mahu disambut dengan hamparan permaidani merah.)

Untuk pejuang dan pencinta bahasa, setelah kita diaibkan oleh Najib dan Muhyuddin, kita perlu bangkit, mengangkat kepala, meninggikan suara.  Sesungguhnya, keputusan kerajaan meneruskan PPSMI, dengan itu, memberikan kemenangan kepada bahasa Inggeris, dari satu segi, menyatupadukan kita semua.  Sepatutnya kita berterima kasih kepada Muhyuddin Yassin kerana beliau memudahkan kita semua untuk  membuat keputusan yang cukup rasional lagi bijak: tolak UMNO-BN.

Musim Tengkujuh Malaysia sudah tiba, membadai gunung, membanjiri bumi, meranapkan pokok, menumbangkan UMNO-BN! 


SALAM AIDILADHA UNTUK RAKAN BLOG DAN FACEBOOK.  UNTUK MAKLUMAN, SAYA TIDAK PULANG KE KUALA TERENGGANU.  TERINGIN JUGA BERSAMA-SAMA KAWAN MINUM TEH WAKTU PETANG.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...