Artikel Popular

Wednesday, November 2, 2011

Kegoyahan Ekonomi, Kekacauan Sosial

RABU,  2 November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Meskipun ekonomi global secara keseluruhannya pulih pada tahun lalu, kesan pemulihan itu tidak dirasai oleh orang ramai kerana bukan sahaja kadar pertumbuhan hilang rentaknya pada tahun ini, tetapi juga kerana kadar pengangguran masih tinggi, misalnya 9.1 peratus di Amerika Syarikat dan 7.9 peratus di United Kingdom.  Pengangguran meningkat daripada 7.7 peratus kepada 7.9 peratus dalam suku kedua tahun ini, dan kemungkinan lebih tinggi.  Menurut The Economist, golongan orang muda lebih merasai kesan pengangguran yang kadarnya meningkat kepada 20.2 peratus, tertinggi sejak awal tahun 1980-an.  Rusuhan yang berlaku lazimnya berkait dengan pengangguran. 

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengeluarkan amaran  bahawa ekonomi antarabangsa yang di pinggir krisis ekonomi baru yang dalam boleh menyebabkan berjuta-juta orang di seluruh dunia dan mencetuskan kekacauan sosial. Amaran itu dikeluarkan tatkala para pemimpin G-20 sedang bersiap sedia mengadakan perbincangan di Cannes untuk mengelakkan dunia daripada terjebak semula ke dalam kemelesetan.  Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu  mengingatkan bahawa  memerlukan hingga ke tahun 2016 untuk guna tenaga global dapat  kembali kepada tahap tiga tahun lalu, dan bahawa kemarahan akan merebak ke jalanan di Eropah dan negara lain. ILO berkata bahawa risiko berlakunya kekacauan sosial meningkat dalam 40 peratus di negara yang dikaji. 

"Kita sampai ke detik kebenaran," Raymond Torres, Pengarah ILO International Institute for Labour Studies, dipetik sebagai berkata, sempena penerbitan World of Work Report.  Krisis pekerjaan yang berpunca daripada kelembapan dalam  ekonomi global mencetuskan kekacauan sosial di negara maju dan negara miskin. 

Kajian ILO itu mendapati hanya separuh daripada 80 juta pekerjaan yang diperlukan untuk kembali kepada guna tenaga pada tahap prakrisis kemungkinan dicipta sepanjang dua tahun akan datang.   Dalam indeks "pergolakan sosial" baru, ILO memberitahu bahawa semakin menjadi-jadi ketakgembiraan berhubung dengan kurangnya pekerjaan dan kemarahan terhadap tanggapan bahawa beban krisis tidak dikongsi secara adil.  Indeks tersebut mencatatkan bahawa lebih 45 buah daripada 118 buah negara yang dikaji, berhadapan dengan risiko kekacauan sosial meningkat, dengan isyarat khusus ketegangan dalam Kesatuan Eropah, wilayah Arab, dan pada tahap tertentu di Asia. 

Angka rasmi yang dikeluarkan menunjukkan bahawa kadar pengangguran di 17 buah negara zon euro meningkat tinggi dalam tempoh 15 tahun, iaitu 10.2 peratus.  Orang muda terpaksa menanggung kesan teruk akibat kurangnya pekerjaan, dengan pengangguran belia 29 peratus di Italy, 43 peratus di Greece, dan 48 peratus di Sepanyol.

Selain Pemberontakan Arab yang berlaku sejak awal tahun ini, apabila seorang demi seorang rejim tumbang,  dunia menyaksikan rusuhan di kota-kota Inggeris, dan kini, Menduduki Wall Street, yang bermula di  Zuccotti Park, New York, pada 15 September, memang mengejutkan banyak pihak, termasuk penganjurnya.   Juga berlaku  Menduduki London, yang pihak berkuasa bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap penunjuk perasaan, tetapi tindakan itu mencerminkan keangkuhan  Corporation of London.  


Kini, gerakan Menduduki merebak  ke merata-rata tempat, seperti Menduduki Oregon, Menduduki Oakland,  Menduduki Denver,  yang dikemaskinikan  melalui blogApa yang berlaku di New York tidak kekal di New York, demikian   bunyi isytihar,   ketika Menduduki Wall Street memaksuki minggu keempat, dan merebak ke seluruh Asia dan Eropah.  Ibu kota kewangan utama yang lain, dari Hong Kong ke London, turut diduduki. 


"KIta semua penghuni, sekarang" tulis Katha Pollitt, dalam The Nation keluaran 7 November, yang dapat terlebih dahulu melalui dalam talian, dalam usaha menjadikan arus perdana Menduduki Wall Street, tatkala sokongan mencurah-curah.


"Apabila tunjuk perasaan berlaku di lebih 80 buah negara pada 15 Oktober lalu," tulis Arianna Huffington, "setengah juta orang mengadakan tunjuk perasaan di Madrid untuk meluahkan kekecewaan mereka terhadap sistem politik yang mengecewakan rakyat Sepanyol, sebagaimana kemarahan dan kekecewaan rakyat terhadap sistem yang mengecewakan '99 peratus' rakyat Amerika."


Immanuel Wallerstein yang mengagumi kejayaan Menduduki Wall Street, peristiwa penting politik Amerika Syarikat  sejak tahun 1968, menulis "mengapa bermula di negara itu dan apabila berlaku, dan  bukan tiga hari, tiga bulan, tiga tahun lebih awal atau kemudian, pastinya kita tidak tahu."  Wallerstein melalui laman webnya, berhujah  semakin menjadi-jadi kesengsaraan ekonomi bukan sahaja terhadap golongan yang benar-benar miskin papa, tetapi juga segmen miskin yang bekerja yang semakin membesar  (jika tidak, mereka tidak dikenali sebagai "kelas menengah");  perbuatan yang sukar dipercayai (eksploitasi, tamak) golongan satu peratus kaya dalam penduduk Amerika Syarikat ("Wall Street"); contoh kebangkitan kemarahan di seluruh dunia ("musim bunga Arab," indignados Sepanyol, pelajar Chile, kesatuan sekerja Wisconsin, dan banyak lagi).  Segala-galanya telah bermula.  


Golongan satu peratus Amerika yang menjadi sasaran penunjuk perasaan, seperti yang dibahaskan oleh Eduardo Porter dalam mempertahankan tindakan mereka,   terdiri daripada 1.4 juta  keluarga yang memperoleh pendapatan secara purata AS$1 juta pada tahun 2009, data terkini yang diperoleh.  Mereka menerima akibat krisis kewangan 2008, tetapi tanpa waswas semakin pulih.  Golongan satu peratus teratas ini menguasai jumlah pendapatan kasar terlaras di peringkat negara ialah 17 peratus pada 2009, jatuh daripada 27 peratus dari dua sebelumnya.  Akan tetapi, golongan ini masih memperoleh pendapatan yang lebih banyak berbanding dengan seluruh separuh penduduk di bahagian bawah. 


Golongan ini, jelas Barbara Ehrenreich, terdiri daripada mereka yang kesusahan akibat hutang, tiada pekerjaan, dan perampasan, mendorong akhirnya kepada fahaman kepapakedanaan dan jalanan.  Beliau juga  mendedahkan bahawa orang yang tiada tempat berteduh Menduduki Wall Street. Justeru, dalam kata-kata Rebecca Solnit, "Tanah ini ialah tanah anda (yang diduduki)" untuk mewajarkan tindakan penunjuk perasaan itu.  Walau bagaimanapun, Gordon Lafer yang menulis dalam The Nation, menjelaskan bahawa sasaran Menduduki Wall Street bukan hanya terhadap elit ekonomi semata-mata, tetapi juga terhadap sistem politik.

Musim bunga Arab, musim panas Israel, musim sejuk China, sesungguhnya,  bukan sekadar nada poetik, tetapi amaran bahawa kebangkitan rakyat muncul di mana-mana sahaja.  Atau dalam ungkapan yang lebih khusus yang dinyatakan oleh Joshua E. Keating, "dari Dataran Tahrir ke Wall Street."  Baru-baru ini, komrad dari Kaherah, memberikan suntikan semangat bahawa pejuang di  Dataran Tahrir  bersama-sama gerakan Menduduki.






Dalam keluaran 24 dan 31 Oktober, Time memberikan  liputan tentang Menduduki Wall Street, yang menurut Michael Scherer, yang pada mulanya melibatkan kumpulan punk, anarki, sosialis, penggodam, liberal,  dan seniman, semakin memperoleh rentak atau momentum. Beliau menjelaskan gerakan yang bermula di Kanada, di semua tempat.  Editor majalah antipengguna Adbusters, yang beribu pejabat di Vancouver menyeru  "detik Dataran Tahrir" pada 17 September di Manhattan bawah untuk mengadakan tunjuk perasaan terhadap kuasa yang tidak seimbang dimiliki oleh elit korporat Amerika.


 Dalam keluaran yang sama, Ayman Mohyeldin menulis "kisah dua revolusi, tentang persamaan antara Pemberontakan Arab dengan gerakan Menduduki Wall Street.  Kesamaan yang jelas ialah dari segi  semangat dan demografi tunjuk perasaan.  Kedua-duanya ditunjangi oleh golongan belia yang merasakan diri mereka dipinggirkan oleh sistem yang tidak adil.  Dari segi ekonomi pua, pertumbuhan ekonomi, seperti yang berlaku di Mesir, tetapi kekayaan baru itu  tidak  ada  kesan lelehan.  Di Amerika Syarikat, penunjuk perasaan marah akan sistem ekonomi yang menurut mereka, mementingkan golongan elit. 


Seterusnya, dalam keluaran yang berikutnya, majalah itu dalam ruang Spotlight mencatatkan cerita pendudukan yang pada 17 Oktober lalu,  di Zuccotti Park, penunjuk perasaan makan kek.   Menduduki Wall Street berlangsung satu bulan.  Meskipun Menduduki Wall Street dikritik kerana tidak mempunyai tuntutan rasmi, penganjur, Yotam Marom, berkata, "Kami menduduki Wall Street, sepatutnya jelas apakah yang kami mahu diubah."  Ruang itu juga menyatakan golongan satu peratus memperoleh pendapatan tahunan purata AS$1,530,773, manakala golongan 99 peratus berpendapatan  tahunan purata AS$54,792.  


Semakin lama ekonomi terjebak dalam kemelesetan atau kebekuan, pastinya mencetuskan kekacauan sosial yang semakin sengit.  Medan perang kelas dan perjuangan kelas semakin luas, dan pastinya berlaku di banyak negara.  Fenomena ini, sesungguhnya menyebabkan golongan berkuasa tidak lena tidur.  Yang berhadapan dengan pilihan raya akan ditumbangkan melalui peti undi, manakala rejim yang tidak kenal erti persaraan akan ditumbangkan oleh rakyat jelata.  Inilah akibat apabila berlaku pelbagai kepincangan ekonomi, seperti pembangunan tidak seimbang, pengangguran yang tinggi, ketidaksamaan agihan pendapatan, ketamakan elit, kepapaan rakyat.


Adakah para pemimpin kita menginsafi segala yang berlaku di dunia ini?  Atau mereka asyik leka dengan retorik politik yang amat  memualkan.  Keborosan peribadi serta keluarga mereka dan penyelewengan serta ketirisan yang melibatkan wang awam kian berleluasa suatu hari akan mengundang padah.  





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...