Artikel Popular

Friday, November 18, 2011

Pencabulan Seksual: Lain Padang Lain Belalang

JUMAAT,  18  November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pada Julai tahun lalu,  akhbar The Observer membuat liputan tentang  Saber Kushour yang dijatuhi hukuman penjara 18 bulan atas tuduhan merogol.  Kushour  beristeri dan mempunyai dua orang anak, dari timur Baitulmuqqadis,  didapati bersalah kerana “merogol melalui perdayaan” wanita Yahudi yang mendakwa bahawa dia tidak akan mengadakan hubungan seks dengan Kushour  sekiranya dia tahu  lelaki itu orang Arab.  Apa yang menjadi episod kodi, menurut akhbar itu, yang meletakkan lelaki Arab dan wanita itu dalam keadaan yang tidak menyenangkan,  ialah mencetuskan debat di Israel tentang rasisme, mores seksual, dan keadilan. Kushour memberitahu bahawa dia terpaksa menerima akibat kerana kesilapan yang dilakukan oleh wanita itu, yang baginya hukuman itu ialah rasisme yang  terang dan jelas.  Hukuman  tersebut  merodok Israel.  Sesetengah orang melihat  gema purbakala dan rasis, iaitu naluri untuk melindungi  wanita “kita” daripada penjarah luar. Sementara yang lain amat terkejut terhadap apa yang mereka lihat sebagai ketidakadilan terang-terangan, dan meningkatnya diskriminasi terhadap orang Arab yang merupakan 20 peratus penduduk Israel.  Kelakuan Kushour itu mungkin  tidak betul, tetapi bukan rogol.  Bagi yang menyokong hukuman yang dijatuhkan itu, berkata, “Kita semua mempunyai sifat  yang berbeza, dan memang hak peribadi untuk mengadakan hubungan seks  dengan orang yang mengetahui fakta tentang sifat itu.”

Walau bagaimanapun, kisah hubungan seks antara lelaki Arab dengan wanita Yahudi itu tidaklah segempar pencabulan seksual Dominique Strauss-Kahn, ketika itu Pengarah Urusan, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terhadap pembantu hotel di New York City  yang mendorong majalah Time dalam keluaran 30 Mei lalu, terpampang pada kulit depannya:  “Sex. Lies.  Arrogance.  What Makes Powerful Men Act Like Pigs.”  Sehari  sebelum kegemparan pencabulan seks itu,   guardian.co.uk menerbitkan tulisan Melissa Bounoua yang memperlihatkan keterbukaan para pengundi Perancis yang dapat memisahkan skandal daripada politik.  Kehidupan seks Dominique Strauss-Kahn,  tulis Melissa dengan begitu yakin,  telah bergerak ke dalam budaya rakyat (folklore), tetapi ini tidak menghentikan kaum wanita mengundi  dia dalam mana-mana kempen Pilihan Raya Presiden. 
Akhbar Perancis secara sopan memanggil Strauss-Kahn, “penggoda hebat.”  Anne Sinclaire, isterinya selama 20 tahun, kelihatan berhadapan dengan reputasi  Strauss-Kahn dengan pragmatisme yang memeranjatkan:  “Memang penting untuk ahli politik untuk mampu menggoda.”  Anne juga menulis dalam blog pada tahun 2008, selepas DSK mempunyai hubungan sulit dengan Piroska Nagy,  ahli ekonomi IMF,   mengatakan kejadian seperti itu  boleh berlaku pada pasangan dan mereka masih mencintai antara satu sama lain, seperti pada peringkat permulaan.  Bila-bila sahaja khabar angin kelakuan seksual Strauss-Kahn terbongkar,  Anne Sinclaire, salah seorang wartawan televisyen yang paling dihormati di Perancis, secara terbuka mempertahankan suaminya.  Kali ini, dia berkata,   “Saya tidak percaya sedikit pun tuduhan terhadap suami saya.  Saya tidak meragui bahawa kebenarannya akan terdedah jua.”
Dalam makalah yang agak panjang dalam Time itu, Nancy Gibbs menulis, “dengan penangkapan itu, perang budaya merentas Atlantik tercetus.”  Strauss-Kahn mempunyai peluang yang cerah untuk mengalahkan  Nicolas Sarkozy dalam Pilihan Raya Presiden Perancis tahun depan, menjadi tempat bergantung banyak negara yang menghadapi krisis kewangan, dan sungguh bijak, tiba-tiba dalam sekelip mata,  dalam tahanan pihak polis dengan tangannya bergari.  Tatkala akhbar di Amerika Syarikat, Britain, dan banyak negara lain berlumba-lumba menyiarkan berita pencabulan seks dan penangkapan itu, akhbar di Paris dikatakan tidak dapat membuat keputusan tentang tajuk berita. “Kehancuran  oleh media,” bekas seorang menteri daripada  Parti Sosialis Perancis dipetik sebagai berkata, tetapi dijawab oleh Mike Bloomberg, Datuk Bandar New York City, “Jika anda tidak mahu perp walk, jangan lakukan jenayah.”
Cara Strauss-Kahn diperlakukan, iaitu tangan bergari dan dipertonton pula melalui televisyen  dianggap oleh banyak orang di Perancis sebagai mengaibkan maruah dia, kecacatan sistem keadilan yang meletakkan penekanan yang berlebih-lebihan terhadap hukuman atau balasan sambil mengorbankan hak si dituduh.  Perk walk dikatakan mendapat banyak publisiti dalam  Amerika arus perdana sejak 20 tahun lalu, meskipun  cara itu  dianggap tidak adil terhadap si dituduh dan tidak memperlihatkan keseimbangan antara kebebasan akhbar dengan pembicaraan yang adil.
Nancy Gibbs yang memerhatikan bahawa sikap tidak acuh orang Eropah yang terkenal terhadap kehidupan seks peribadi pemimpin mereka, merujuk kepada kajian Pscychological Science yang mendapati semakin tinggi lelaki atau wanita meningkat dalam hierarki perniagaan, maka besar kemungkinan mereka memikirkan atau melakukan zina.  Beliau juga memetik hujah pengarang  kajian itu bahawa “dengan kuasa, muncul kedua-duanya, iaitu peluang dan keyakinan, dan dengan keyakinan muncul perasaan hal kelayakan seksual  (sense of sexual entitlement).  Nancy juga memetik Corine Lesnes, koresponden Washington untuk akhbar Le Monde yang mengakui bahawa penangkapan DSK itu  pemisahan rentas Atlantik benar-benar dibuka semula.  Namun begitu, Corine juga mengakui bahawa episod ini akan mendorong beberapa “muhasabah diri” dalam media Perancis tentang sama ada kehidupan peribadi tokoh awam perlu ditangani secara berbeza.
Dalam “The Turning Point,” Elaine Sciolino yang menulis dalam majalah yang sama, menegaskan bahawa “akhirnya wanita Perancis mula berbicara tentang kelakuan seksual yang tidak sesuai.”  Di Perancis,  yang  lelaki paling berkuasa secara tradisional menganggap seks sebagai hak dan digunakan sebagai senjata, adalah kini terbabit dalam pertarungan seksnya sendiri, melibatkan lelaki yang paling berkuasa yang bakal menjadi Presiden dan ibu tunggal yang bekerja sebagai pembantu hotel.  Meskipun DSK menafikan tuduhan itu, tiba-tiba wanita Perancis mula berbincang tentang suasana yang membiarkan kelakuan seks berlaku mempunyai hadnya, dan bahkan merupakan jenayah.  Orang Perancis dikatakan cenderung mengaburkan garis antara apa yang boleh diterima dan bahkan yang diingini di tempat kerja dengan apa yang tidak boleh.  Namun begitu, Elaine memberitahu bahawa tiada sesiapa pun mencadangkan Perancis menerima pakai penyiasatan gaya Amerika Syarikat terhadap apa yang berlaku di dalam setiap bilik tidur orang yang berkuasa.  “Akan tetapi,” jelas beliau lagi, “aktivis mendesak agar pantang larang tentang perbincangan rogol dimansuhkan, dan golongan feminis menuntut latihan dari segi bagaimana menangani gangguan seksual di  tempat kerja.”  Desakan dan tuntutan itu mungkin tidak mengubah undang-undang, tetapi mengubah sikap.
Berbanding dengan Amerika, budaya orang Perancis terhadap kehidupan peribadi memang jelas: tidak ada kena mengena dengan tugas rasmi.  Orang Perancis menganggap mereka lebih baik daripada orang Amerika  dari segi memegang prinsip melindungi kehidupan peribadi. Sementara itu,  para wartawan di negara itu tidak perlu menyibuk untuk mendedahkan kelakuan seks tokoh awam.   Contoh yang   diungkitkan berikutan penangkapan DSK ialah tentang respons Francois Mitterrand yang ditanya oleh wartawan ketika  beliau menjadi Presiden Perancis, sama ada benar bahawa beliau mempunyai anak perempuan hasil hubungan sulitnya, lalu beliau menjawab:  “Ya, memang benar.  Apa yang perlu kecoh?  Ini tidak ada kena mengena  dengan urusan awam.”
Dengan penangkapan  yang mendapat liputan media begitu meluas,  maka sekali lagi andaian bahawa kehidupan peribadi golongan kaya, terkenal, dan berkuasa adalah di luar penelitian awam sama sekali.  Respons media Perancis  tentang  penangkapan Strauss-Kahn dikatakan menggambarkan toleransi negara itu terhadap salah laku seksual.  Reputasi Strauss-Kahn  yang  gemar menggoda wanita telah diketahui umum,  tetapi  seperti yang sering dibangkitkan bahawa dia  menghadapi  tuduhan yang serius, iaitu percubaan merogol, dan bukannya   terlibat dalam hubungan seksual suka sama suka.   


Elaine  Sciolino  juga menulis  dalam The New York Times, bahawa dari segi sejarah, orang Perancis  bertukar-tukar  khabar angin dan rahsia, dan wujud beberapa alasan mengapa mereka menjaja  segala gosip itu dalam kalangan peribadi, tetapi bukannya untuk diketengahkan dalam perbincangan awam.   Pertama, orang Perancis begitu lama  menjadi biasa  dengan cerita yang tidak disahkan tentang tokoh dan ahli politik yang berkuasa.  Cerita lucah, sama ada  betul ataupun tidak, diadakan untuk hiburan yang bagus.  Itu membuatkan orang Perancis bertolak ansur  dengan kelakuan peribadi orang lain, terutamanya kelakuan seksual.  “Kehidupan peribadi mesti tidak diceroboh oleh orang luar,” kata Elaine dan beliau memetik Jean-Pierre Claris de Florian, penyair abad ke-18 yang berkata, “Untuk hidup gembira, hidup  tersorok.”  Kedua, tulis beliau, ahli politik di Perancis tidak diusir keluar dari pejabat kerana tidak bijaksana dari segi seksual (meskipun keganasan terhadap wanita soal lain).  Dari segi tradisi, ahli politik yang mendedahkan kehandalan  seksualnya adalah menunjukkan  dia bertenaga dan sihat.  Dia menunjukkan kepada para pengundinya bahawa dia sekurang-kurangnya  dari segi fizikal mampu memerintah negara. Ketiga, undang-undang libel terlalu melindungi  kehidupan peribadi bahawa paling tidak pencerobohan dalam percetakan atau penyiaran tidak dapat dielakkan membawa kepada tindakan undang-undang dan denda yang berat.  Media Perancis takut akan hukuman atau balasan oleh golongan berkuasa yang menyekat kewartawanan penyiasatan gaya Amerika. 
Dalam soal seks,  seperti peperangan, tulis majalah The Economist,   “orang Eropah dari  Zuhrah.  Mereka memperolok-olokkan  Puritanisme orang Amerika tentang kehidupun seks tokoh awam.  Di Amerika,  ahli  politik yang menipu isterinya merupakan isyarat  ketidakjujuran.”  Di banyak tempat,  skandal mereka boleh dianggap sebagai kejantanan.   “Tidak ditemui di mana-mana hak kelayakan ahli politik terhadap seks lebih bertolak ansur  daripada, mungkin di Italy.  Bagi  Silvio Berlusconi, Perdana Menteri paling lama di negara itu pada zaman moden, nafsu seks merupakan soal kebanggaan dan bukannya rasa malu. Dia dibicarakan, dengan tuduhan membayar untuk mengadakan hubungan seks dengan pelacur bawah umur.  Akan tetapi, tiada gari untuk Il  Cavaliere (panggilan untuk dirinya).  ‘Saya menyayangi kehidupan dan saya menyayangi wanita,’ kata Berlusconi dengan penuh keriangan.”   Tambah majalah itu lagi, orang Amerika (dan, memang betul, banyak orang Eropah), kebingungan oleh keupayaan Berlusconi untuk bertahan selepas mengadakan parti  “bunga bunga”  yang menggerunkan itu.
Meskipun   penangkapan itu dan pembentukan teori konspirasi dan simpati  yang mencurah-curah yang Strauss-Kahn  peroleh sebagai respons, termasuk pembelaan daripada sahabatnya, ahli falsafah Perancis, iaitu Bernard-Henri Lévy,  menurut pemerhatian Tracy Clark-Flory yang menulis dalam Salon.com, membangkitkan beberapa  muhasabah diri budaya di negara itu.  Golongan feminis di Perancis  cepat-cepat menunjukkan bahawa wujud dunia perbezaan antara kaki perempuan dengan rogol.  Penggodaan bukannya pencabulan seksual, bahkan bukan dalam Amerika Puritan.  Tracy cuba mengetengahkan  bagaimana biologi dan budaya mempengaruhi keagresifan seksual, sama ada kita mungkin menjangkakan rogol lebih lazim dalam budaya yang merangkul sifat macho.  Kedua-duanya, iaitu biologi dan budaya  terjalin padu, maksudnya budaya yang menerima keagresifan seksual terhadap wanita akan mewujudkan lebih banyak keagresifan seksual terhadap wanita.
“Dari satu segi,” tulis beliau, “nampaknya hanya lazim  untuk mengandaikan bahawa budaya mempunyai impak yang signifikan terhadap keganasan seksual. Dari satu segi yang lain, hal ini boleh kelihatan alasan yang membimbangkan untuk kelakuan yang tidak dapat dimaafkan.” 
Penangkapan Strauss-Kahn  bukan setakat mencetuskan perang budaya antara orang Perancis dengan orang Amerika, misalnya  berapa banyak privasi yang tokoh awam patut nikmati, tetapi juga melibatkan, seperti yang cuba dibangkitkan oleh Atossa Araxia Abrahamian dalam guardian.co.uk, kekebalan diplomatik dan budaya bebas daripada hukuman.   Perang budaya yang tercetus  itu   mencerminkan budaya politik Amerika yang gemar mengorek hal-hal peribadi ahli politik,  terutamanya yang berkaitan dengan kelakuan seksual. 
Linda Martin Alcoff muncul dengan makalah yang menarik dalam The New York Times,  “When Culture, Power and Sex Collide” yang dalam keadaan tertentu melihat  kelakuan seks itu dalam konteks relativisme budaya. “Resam interaksi tempat kerja berbeza-beza mengikut budaya,” tulis Linda.  “Di Amerika Latin dan beberapa tempat di Eropah, bercium merupakan bentuk normal sambutan, dan untuk enggan bercium mungkin kelihatan jelas sambutan yang dingin.  Walau bagaimanapun, mencium rakan sekerja di New York, boleh menimbulkan isyarat yang bercampur-campur, sekurang-kurang di luar daerah fesyen.  Tentang seks, beliau memetik Lenin yang pernah menegaskan bahawa “tidak sama dengan memiliki segelas air.”  Seks melibatkan bahagian badan yang secara unik sensitif yang setiap budaya difikirkan menjelaskan makna, daripada penyanjungan kepada kebencian.  
Bagi Linda,   meskipun resam budaya terhadap kuasa dan seks mungkin berbeza-beza, kesan keganasan seksual tidak berbeza.  Keganasan seksual sepatutnya ditakrifkan secara universal, dan dikuatkuasakan secara universal.  Penegasan itu jelas menunjukkan bahawa  tidak tepat untuk mengatakan bahawa pencabulan seks itu lain padang lain belalang.  Dalam mana-mana budaya sekalipun, masyarakat tidak boleh bertolak ansur dengan kelakuan ganas seperti itu.  Pencabulan seks tidak sama dengan  kegemaran   kaum lelaki terutamanya, “mencuri makan di luar,” yang dalam sesetengah budaya  boleh dianggap sebagai kelaziman.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Budaya September 2011.)  



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...