Artikel Popular

Monday, November 14, 2011

"PIIGS" Menyondol

ISNIN,  14  November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Krisis hutang di zon euro bukan sahaja mencetuskan kekacauan sosial, tetapi juga pergolakan politik.  Dalam tempoh kurang dari seminggu, dua Perdana Menteri terpaksa meletakkan jawatan.  Dimulai dengan George Papanderou yang digantikan oleh Lucas Papademos, kemudian pada hari Sabtu lalu, Perdana Menteri Italy Silvio Berlusconi mengumumkan perletakan jawatan, selepas parlimen Italy  meluluskan pelan jimat-cermat.    Maka, berlabuhlah tirai untuk hartawan ini, setelah berkhidmat selama 17 tahun dan bergelumang dengan  skandal, termasuk pesta seks "Bunga Bunga," digantikan oleh Mario Monti, sebagai Perdana Menteri sementara. Kini, harapan diberikan kepada Monti yang jika beliau gagal, zon euro tidak dapat bertahan lagi.  Namun, The Economist mengingatkan krisis yang melanda Italy bukannya mengenai Berlusconi, tetapi adalah kerana euro: perlu memahami euro.


Negara pinggir zon euro yang dikenali oleh akronim "PIIGS"  (Portugal, Ireland, Italy, Greece, dan Sepanyol) menghadapi krisis yang berpanjangan yang bukan sahaja mencemaskan Eropah, tetapi juga menghantui dunia yang masih bergelut dengan pemulihan ekonomi yang lemah dan pertumbuhan yang perlahan. "Terkandas di tengah dengan Eropah," tulis David IgnatiusEropah, akibat krisis tersebut,  seperti yang dibahaskan oleh Edward Carr dalam The Economist, "menjunam ke dalam curam yang amat dalam." 


Keterukan krisis hutang di zon tersebut amat mendalam sehingga memaksa  penilaian semula terhadap kapitalisme dan sudah sampai masanya untuk mengakui bahawa zon euro gagal.   Satu-satunya alternatif yang ada demi memastikan kelangsungan zon itu, hujah Will Hutton dalam The Guardian, ialah malapetaka. Walau bagaimanapun, bekas Perdana Menteri British, Tony Blair mempunyai pendirian yang sebaliknya, iaitu  "kehancuran zon euro suatu malapetaka."


Khusus untuk masalah Italy yang membangkitkan kebimbangan terhadap masa depan Kesatuan Eropah,  Fareed Zakaria melalui Facebook mendedahkan bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara itu menghampiri sifar - tidak ada pertumbuhan sama sekali.  "Ekonomi Italy, tidak berkembang untuk seluruh dekad ini. Tidak ada penyusunan semula hutang yang akan berfungsi jika ekonominya terus beku untuk dekad yang seterusnya."   Dalam satu tulisan sebelum ini, Fareed menegaskan bahawa masalah sebenar Eropah ialah Italy, dan bukannya Greece.  Meskipun banyak liputan diberikan terhadap Greece, negara itu ialah nanonegara yang menyumbangkan hanya dua peratus KDNK Kesatuan Eropah. Sebaliknya, Italy, sebuah daripada tujuh ekonomi terbesar di dunia.  Hutangnya lebih besar daripada hutang Sepanyol, Portugas, Ireland, dan Greece yang disatukan kesemuanya.  "Italy terlalu besar untuk gagal, tetapi juga mungkin terlalu besar untuk diselamatkan."


Pengunduran Perdana Menteri Greece dan Perdana Menteri Italy, menurut tafsiran Time, "perubahan rejim melalui rampasan kuasa banker" berdasarkan latar belakang kedua-dua pengganti mereka. Lucas Papademos, bekas Naib Presiden European Central Bank (ECB), yang sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri Greece, ialah profesor pelawat di Harvard.  Sementara Mario Monti, ahli ekonomi neoliberal dan bekas Pesuruhjaya Kesatuan Eropah, dan bekas penasihat Goldman Sachs. 


Sejak zon euro dilanda krisis, pelbagai pendekatan telah diambil, tetapi masih gagal menyelesaikan masalah: daripada pelan penyelamat kepada pemotongan perbelanjaan  dan  langkah jimat-cermat.  Kini, dua Perdana Menteri terpaksa berundur atau diundurkan, tetapi masalah belum pasti dapat diselesaikan.  Masalah sebenar zon itu ialah   pertumbuhan yang lemah, tetapi banyak tumpuan diberikan terhadap penyelesaian krisis hutang, dan dengan itu, menyelamatkan bank-bank yang pada suatu masa sangat murah hati memberikan pinjaman kepada PIIGS. Akibat pernah hidup mewah, kini PIIGS yang naik berang, menyondol pasaran dan pemimpin.   


Melampaui PIIGS, sebuah negara lagi  di zon euro yang menjadi tumpuan ialah Perancis yang diperhatikan tidak stabil dalam beberapa hari  kebelakangan ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...