Artikel Popular

Thursday, November 17, 2011

Pasaran, Pelan Penyelamat, dan Demokrasi

KHAMIS,  17  November  2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Di sesetengah tempat, kapitalisme dapat bertapak dan  berkembang bukannya kerana demokrasi, tetapi kerana pemerintahan autoritarian, atau dalam kes Singapura, "autoritarian lembut."  Maka, memang tidak memeranjatkan apabila Jonathan Freedland menulis pasaran tidak mempercayai demokrasi.  Mengapa dunia demokratik mengalami krisis yang teruk sekarang berbanding musuh autoritarian adalah kerana dunia demokratik mengambil langkah bodoh: jimat-cermat yang bukannya penyelesaian terbaik untuk krisis di seluruh dunia yang bergelut dengan pertumbuhan anemia dan kejatuhan permintaan. 

Sama ada di Eropah ataupun di luar benua itu, para pemimpin demokratik, bahas Freedland, kelihatan tidak berkuasa untuk melawan balik krisis global yang melanda, kegagalan G-20 di Cannes mendedahkan kelemahan mereka untuk tontonan umum.  Sebaliknya, Freedland yang memetik Paul Mason daripada BBC Asia Edition, para pemimpin negara  autoritarian dunia, seperti China, Rusia, Singapura, Arab Saudi, cergas dan riang di Cannes, yakin bahawa mereka mampu menentang apa-apa jua kegawatan ekonomi melanda mereka. 

Freedland membangkitkan penundukan demokrasi secara terang-terangan apabila  dua pemimpin yang dipilih di Italy dan Greece  terpaksa meletakkan jawatan untuk memberikan laluan kepada golongan teknokrat dan tukang atur, diangkat tanpa perlu berjabat tangan dengan seorang pengundi pun.  Misi mereka adalah termasuk menyerahkan sebanyak-banyaknya   kedaulatan ekonomi, meletakkan keputusan jauh daripada warganegara mereka.  Apa yang orang Greece dan Italy dapat bertahan hari ini, negara lain di zon euro mungkin hadapi masa akan datang kerana mereka diberitahu bahawa mereka perlu melakukan pengorbanan yang sama dari segi autonomi demi menyelamatkan ekonomi.  

Sebelum ini, Heather Stewart yang menulis dalam The Observer, membahaskan bahawa pelan penyelamat bukannya demokrasi, menolak idea karut bahawa kerajaan teknokratik baru Italy dan Greece adalah menjauhi politik. Semakin  jelas bahawa di Athens,  jimat-cermat mengubah krisis menjadi malapetaka. Beliau juga merujuk ciri tidak demokratik yang jelas projek euro yang diletakkan di Cannes oleh respons kemarahan elit Eropah terhadap pengumuman George Papandreous bahawa beliau akan mengadakan pungutan suara untuk  pakej "penyelamat" terbaharu untuk negaranya.  Kemudian tiba giliran Italy menerima  tekanan keras daripada pasaran kewangan, dan seterusnya daripada rakan-rakannya di zon euro.

Semakin dalam dan semakin lama krisis ekonomi berlaku, semakin parah demokrasi. Ekonomi yang jatuh bebas turut menarik demokrasi untuk sama-sama terbenam di dalam  curam yang dalam. 




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...