Artikel Popular

Tuesday, November 8, 2011

G-20 Gagal

SELASA, 8  November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Sidang kemuncak G-20 di Cannes, Perancis minggu lalu berlangsung di tengah-tengah krisis Greece yang dikhuatiri merebak ke Italy.  Cadangan  Greece untuk mengadakan pungutan suara, yang kemudiannya dibatalkan, serta masa depan negara itu di zon euro, banyak mewarnai sidang berkenaan.  Untuk hampir satu hari pertama, para pemimpin  dunia, catat The Economist,  hanya menjadi penonton drama politik di Athens yang boleh menentukan nasib zon euro, dan ekonomi dunia. 

Sidang kemuncak  di Cannes itu,  seperti yang dibahaskan oleh Larry Elliott, menyaksikan bagaimana kuasa beranjak ke Beijing kerana China kini bangkit sebagai kuasa ekonomi dunia, manakala Amerika Syarikat dan Eropah terpaksa bergelut dengan krisis yang berpanjangan.  Dalam tulisan  yang melaporkan perkembangan di Cannes, Elliott menulis, "yang terbaik boleh dikatakan untuk  perhimpunan G-20 adalah untuk membenarkan para pemimpin dunia meluahkan kekecewaan dan kemarahan.  Akan tetapi, tidak ada yang penting yang dipersetujui.  Tidak ada wang tambahan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).  Mereka memperlihatkan perpecahan."  Sidang kemuncak yang berakhir pada Jumaat lalu, menolak bantuan tambahan untuk Eropah


Eswar Prasad, Profesor Ekonomi di Cornell University,  dalam "Crisis Kills G-20 Progress" mengulas sidang kemuncak G-20 di Cannes sepatutnya menghasilkan rancangan spesifik untuk mengekang defisit fiskal dan merangsang permintaan domestik, tetapi drama kewangan, seperti krisis yang semakin marak di Greece, memusnahkan idea besar.  Gagal mengemukakan idea baru untuk menggalakkan kestabilan kewangan global, G-20 menawarkan janji yang hebat, tetapi kabur untuk masa depan, yang mustahil untuk mengilhami keyakinan yang pasaran kewangan harapkan daripada para pemimpin G-20.  Sesungguhnya, pembacaan yang teliti kenyataan yang dikeluarkan oleh G-20 sekadar slogan dan janji dan bukannya rancangan tindakan yang spesifik. 


Sidang kemuncak G-20, ulas editorial The Washington Post berakhir dengan ketidakpastian tentang krisis kewangan Eropah.  Amerika Syarikat yang mempunyai masalah hutangnya sendiri tidak mampu menyelamat Eropah, sekadar bersiap sedia kemungkinan krisis tersebut  merebak ke negara  itu. Sementara China yang kaya dengan wang tunai dilihat mampu membantu Eropah, tetapi mengambil kesempatan daripada situasi itu  demi faedah sendiri.


Selain itu, sidang kemuncak  tersebut ditafsirkan gagal meredakan ketakutan akan kemelesetan global.  Para pemimpin kumpulan tidak mampu mencapai persetujuan bagi menggalakkan IMF membantu negara yang bermasalah, manakala negara yang memikul beban hutang, iaitu Italy, kini dilihat sebagai pusat gempa krisis euro, dipaksa melaksanakan program jimat-cermat di bawah pengawasan IMF.


Sekali lagi G-20 mengewakan dunia tatkala krisis euro tidak memperlihatkan keredaan dan kemungkinan dunia terjebak semula dalam kemelesetan.  Setiap kali  para pemimpin kumpulan  tersebut mengadakan pertemuan, harapan yang tinggi diletakkan pada bahu mereka, namun harapan hanya tinggal harapan.  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...