Artikel Popular

Wednesday, November 16, 2011

Negara Kebajikan: Siapa Mendapat Apa?

RABU,  16  November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Pada 9 November lalu, para pelajar di United Kingdom turun ke jalan-jalan mengadakan tunjuk perasaan, nekad untuk menyekat pemotongan perbelanjaan  dan agenda penswastaan kerajaan.    Kesatuan Kebangsaan Pelajar (NUS) yang mewakili tujuh juta orang pelajar di seluruh UK, bersetuju mengadakan tunjuk perasaan di peringkat negara pada tarikh berkenaan.   Tunjuk perasaan tersebut, seperti yang ditafsirkan oleh Michael Chessum, para pelajar bukan sahaja berjuang untuk pendidikan, tetapi juga untuk negara kebajikan.  Berikutan runtuhnya kapitalisme global, kerajaan British menyerang negara kebajikan, yang kesannya turut dirasai oleh pelajar. 

Merentas Atlantik, iaitu di Amerika Syarikat, Daniel Stone dan Laura Colarusso, mendedahkan dalam Newsweek bahawa berbilion-bilion dolar kerajaan faedahnya dinikmati oleh golongan kaya. Walaupun perang kelas merupakan istilah hangat  dari segi politik, daripada protes Wall Street kepada rundingan Capitol Hill berhubung dengan pengurangan hutang negara,  analisis baru anggota  kongres  yang diperoleh oleh majalah itu mungkin mencetuskan keberangan populis dengan menunjukkan takat subsidi kerajaan yang mengalir ke dalam golongan kaya Amerika. 

Memetik laporan yang dikumpulkan oleh Sanator Tom Coburn, Republikan dari Oklahoma, bahawa daripada bayaran pengangguran kepada subsidi dan pecahan cukai terhadap butiran mewah, seperti rumah percutian dan perahu layar, orang Amerika yang memperoleh pendapatan lebih daripada AS$1 juta menikmati lebih daripada AS30 bilion dalam pemberian kerajaan setiap tahun.  Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri menyediakan data yang menunjukkan berapa banyak wang mengalir ke dalam golongan yang paling diutamakan satu peratus.  Secara keseluruhannya, golongan jutawan menerima bantuan yang besar daripada Uncle Sam.  

Jon Bon Jovi, bintang rock jutawan yang dinyatakan dalam laporan itu, mengambil dolar persekutuan untuk memelihara lebah madu pada hartanya.  Raja hartawan David Rockefeller dan Ted Turner juga menerima lebih setengah juta dolar dalam bayaran ladang.  Legenda bola keranjang, Scottie Pippen mengambil AS$210,520 dalam bentuk subsidi pertanian, meskipun mengumpulkan kekayaan ketika bermain untuk Chicago Bulls.  Coburn yang dipetik itu mendedahkan sesetengah penerima subsidi ladang kerana kesilapan.  Rekod cukai menunjukkan lebih tiga perempat golongan berpendapatan tinggi mengumpulkan wang perladangan menyenaraikan kediaman utama mereka di kota, iaitu tanah yang tidak sesuai untuk perladangan. 

Banyak lagi wang kerajaan yang dibolot  oleh golongan kaya, seperti insurans pengangguran, bayaran bencana, dan pengelakan cukai pendapatan.  Golongan jutawan menggunakan jaringan keselamatan sosial sebagai  buai rajut mewah.  Coburn dipetik sebagai berkata, "Kita berkesudahan dengan memberikan subsidi kepada golongan yang sangat kaya dan tidak membantu golongan yang benar-benar memerlukannya."

Berikutan kebangkitan gerakan Menduduki Wall Street, debat tentang negara kebajikan turut dibangkitkan, seperti yang dapat dilihat dalam tulisan Ha-Joon Chang, semalam. Menafikan gerakan itu sebagai antikapitalis, beliau menegaskan kepelbagaian versi kapitalisme yang diamalkan oleh setiap negara.  Khusus untuk Sweden, hujah beliau, meskipun pemilikan korporat paling tertumpu di negara itu, Sweden juga membina masyarakat yang paling egalitarian di dunia kerana besarnya, dan paling berkesan, negara kebajikan. 



Krisis euro juga membuka perdebatan tentang negara kebajikan, antaranya dibangkitkan oleh kolumnis The New York Times, Paul Krugman, yang menafikan berpunca daripada negara kebajikan, seperti yang sering didakwa oleh anggota Republikan di Amerika Syarikat. Dalam "The Legends of Fail," beliau mengakui bahawa meskipun semua negara Eropah  lebih murah hati dari segi faedah sosial, termasuk penjagaan kesihatan universal, dan perbelanjaan kerajaan yang lebih tinggi berbanding dengan Ameriia, negara yang kini dalam krisis tidak mempunyai negara kebajikan yang besar.  Krugman, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi,  merujuk Sweden yang mengamalkan negara kebajikan, sebuah daripada sebilangan kecil negara yang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih tinggi jika dibandingkan dengan sebelum krisis.  Sementara itu, sebelum krisis, "perbelanjaan sosial," iaitu perbelanjaan terhadap program negara kebajikan adalah rendah dari segi peratusan pendapatan negara, di semua negara yang kini dalam sesukaran jika dibandingkan dengan di Jerman, apatah lagi dengan Sweden. 

Walau bagaimanapun, Nile Gardiner yang menulis dalam The Telegraph, mendakwa bahawa Krugman silap dalam merujuk Sweden.  Hal ini demikian kerana pertama,  Sweden mula menggulung balik sistem kebajikan dan perbelanjaan kerajaan tatkala menerima pakai pentingnya pembaharuan pasaran bebas.  Kedua, Sweden memutuskan tidak menyertai zon euro, satu lagi sebab mengapa negara itu terlepas daripada kucar-kacir kewangan yang melanda selatan Eropah.   Gardiner memetik  Johnny Munkhammar, anggota parlimen yang menulis dalam The Wall Street Journal bahawa kejayaan Sweden bukannya kerana fahaman negara kebajikan, tetapi kerana pembaharuan yang meningkatkan kebebasan ekonomi, termasuk daya saing yang lebih besar dalam penyediaan penjagaan kesihatan dan perkhidmatan awam yang lain. 

"Semua negara Eropah kini dalam kesukaran yang teruk di Eropah, iaitu Greece, Italy, Sepanyol, dan Portugal," tulis Gardiner, "adalah dalam zon euro yang dianggotai oleh 17 buah negara, dan mempunyai sistem kebajikan yang berkubu kebal, yang tidak diperbaharui, selari dengan model Sweden.  Jerman juga mengendalikan negara kebajikan yang besar dan struktur pencen yang murah hati yang dalam jangka panjang tidak mapan, dengan semakin bertambahnya penduduk berumur.  Akan tetapi, Jerman juga mengelakkan jangkitan kewangan semasa dengan mengekalkan lebihan belanjawan dengan memperkenalkan langkah jimat-cermat yang ketat untuk mengehadkan perbelanjaan kerajaan."

Boleh dikatakan, banyak negara mengamalkan negara kebajikan dengan saiz yang berbeza-beza.   Untuk menghapuskan amalan ini sama sekali, pastinya membawa keburukan dari segi ekonomi dan politik.  Sesungguhnya, ada  negara, seperti Sweden,  berjaya dari segi ekonomi, meskipun menyediakan pelbagai program kebajikan untuk rakyatnya.  Akan tetapi, pastinya kejayaan  negara itu turut disokong oleh faktor lain yang disepadukan dengan sistem kebajikan yang diamalkan. 




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...