Artikel Popular

Monday, November 14, 2011

Politik Lembu Suci

ISNIN,  14  November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH






Pembentangan  Laporan Ketua Audit Negara 2010 tentang penyelewengan, pembaziran, dan ketirisan yang dilakukan oleh agensi kerajaan memang tidak memeranjatkan sama sekali.  Bahkan, sebelum laporan itu dibentangkan, orang ramai boleh mengagak apakah kandungannya kerana setiap tahun penjawat awam  mengulangi keburukan dan kejahatan yang sama. 

Namun, laporan terbaharu itu juga mengandungi kelainannya.  Setelah perhatian tertumpu terhadap apa yang berlaku setiap tahun untuk seketika,  perhatian, seperti yang dapat dilihat  melalui Facebook dan blog, beralih kepada Projek Fidlot Kebangsaan yang dikatakan membabitkan keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul  Jalil.  Dengan pendedahan  oleh Ketua Audit Negara, maka sekali lagi, kerajaan pimpinan Najib Razak dalam kedudukan defensif.  Walau apa-apa jawapan yang diberikan, baik oleh Shahrizat sendiri, mahupun oleh rakan-rakannya  dalam jemaah menteri, lembu akan menghantui beliau sekurang-kurangnya hingga pilihan raya yang akan datang.  Jangan terperanjat  kerana "serangan lembu", Shahrizat tidak akan bangkit lagi dari segi politik.  

Saya tidak berminat memanjangkan cerita "lembu berkawan dengan kondo" kerana segala-galanya  didedahkan dalam media sosial. Memadai di sini jika saya petik  William Neuman yang menulis dalam The New York Times pada 28 September 2009, bahawa lembu boleh menimbulkan masalah, "More Cows, More Milk, but More Headaches" - kini lembu menimbulkan masalah kepada Najib Razak. 

Yang menjadi daya tarikan kepada saya ialah setelah reda seketika, nampaknya lembu  mewarnai semula  polemik politik di negara ini.  Mungkin ada yang masih ingat bahawa lebih dua tahun lalu tentang demonstrasi kepala lembu di Shah Alam.  Akibat perbuatan tersebut, umat Islam diaibkan; sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang mempunyai sudut khas untuk menggasak orang Melayu-Islam, daripada editor kepada ketua editor kepada kolumnis, mengkritik habis-habisan, menggambarkan orang Melayu-Islam jumud, taksub, fanatik, dan bermacam-macam imej buruk lagi.  

Ketika itu, saya teringat  The Myth of the Holy Cow yang ditulis oleh   Dwijendra Narayan Jha, ahli sejarah India, dan diterbitkan oleh Verso, yang pernah saya baca ulasannya dalam The New York Review of Books, oleh  William Dalrymple,  bersama-sama dengan beberapa buku yang lain.  Melihat sengitnya pertikaian tentang lembu suci yang  menyebabkan penunjuk perasaan didakwa ke muka pengadilan, saya cuba mencari melalui dalam talian ulasan tersebut.  Malangnya, ulasan tersebut dapati diperoleh dengan percuma hanya oleh pelanggan NYRB

Walau bagaimanapun, melalui carian dalam talian, saya bersua dengan ulasan oleh Danny Yee,  yang menegaskan bahawa lembu tidak selalunya suci di India.  Pada zaman purba, lembu yang dikorbankan dan amalan makan daging lembu adalah berleluasa.  Buku   tersebut menunjukkan bukti tentang perkara itu dan mengesani bagaimana amalan tersebut berubah.  Pengarangnya, Jha, hujah Danny Yee, bermula dengan latar belakang India-Eropah, teks Vedic, dan arkeologi bahawa rujukan Vedic kepada daging lembu sebagai diet yang penting adalah berkait rapat dengan bukti arkeologi. 

Melalui carian dalam talian, saya juga bersua dengan tulisan tentang  buku yang kontroversi itu dalam The New York Times oleh Emily Eakin. Melalui wawancara telefon dengan Jha di New Delhi, Eakin memberitahu Jha berkata, "Larangan makan daging lembu dijadikan tanda identiti Hindu, tetapi amalan  ini dari segi sejarah tidak betul."  Jha memberitahu bahawa bukunya menjadi mangsa perang budaya yang melanda India sejak nasionalis Hindu yang fanatik, iaitu Parti Bharatiya Janata berkuasa."

Jha memetik sumber daripada kitab suci purba, iaitu Vedas kepada epik  Sanskrit, di samping data daripada penggalian arkeologi, Jha menegaskan "kesucian" lembu adalah mitos dan dagingnya merupakan bahagian penting rejimen makanan bukan sayuran India awal dan tradisi diet. Bahkan, beliau memetik teks Buddha awal yang menunjukkan penganut agama itu juga makan daging lembu. 

Emily Eakin, yang memetik ulasan Wendy Doniger, Profesor Sejarah Agama di University of Chicago,  bahawa "bercanggah dengan garis parti, yang kita Hindu sentiasa di India dan Tidak Pernah Makan Lembu; orang Islam yang datang ke sini, dan Membunuh dan Makan Lembu, dan dengan itu, mesti dimusnahkan."

Hanya sekitar tahun 500 Masihi, tulis Jha, membunuh lembu semakin menjadi tabu, menurut teks agama, amalan yang berdosa dikaitkan dengan perintah sosial  bawahan, iaitu golongan yang tidak boleh disentuh.  Sebahagiannya yang beliau cuba agak, perubahan sikap rasmi yang mungkin berkaitan dengan ledakan pertanian.

Eakin juga memetik Michael Witzel, Profesor Sanskrit di Harvard University, bahawa perkataan lembu kerap kali ialah metafora dalam teks Vedic, lebih ketara untuk puisi yang digubal oleh pendeta Brahmin.  Apabila seorang penyair Vedic menulis, "jangan bunuh lembu yang suci," dia sebenarnya bermaksud "jangan mencipta puisi yang teruk."  Tambah beliau, "Sebaik-baik sahaja anda menyamakan lembu dengan puisi, anda tidak boleh berbuat apa-apa terhadap lembu itu.  Sedikit demi sedikit, keadaan ini dikonkritkan."

Mengaitkan haiwan dengan politik atau mempolitikkan haiwan, bukannya sesuatu yang luar biasa.  Baru-baru ini, dikatakan bahawa setiap orang tahu, dan tidak sesiapa pun boleh menafikan bahawa Perdana Menteri British David Cameron ialah cicak




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...