Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Pesan orang tua-tua, sesat di hujung jalan balik ke pangkal jalan. Demikian tindakan yang diambil oleh Perdana Menteri Greece, George Papandreou yang akhirnya membuat keputusan untuk mengadakan pungutan suara berhubung dengan pakej pelan penyelamat yang baru yang diputuskan oleh Kesatuan Eropah minggu lalu. Setelah bergelut krisis hutang yang menempuh jalan buntu, Greece yang bergantung pelan penyelamat daripada Kesatuan Eropah dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), hilang kedaulatannya kerana dipaksa memotong perbelanjaan, melaksanakan langkah jimat-cermat, menswastakan aset negara.
Para pemimpin Eropah pula asyik memberikan perhatian terhadap banker dan bukannya rakyat Greece yang hidup menderita. Sementara dalam negara, Greece berhadapan dengan protes rakyat jelata yang menentang langkah yang diambil oleh kerajaan, iaitu pemotongan perbelanjaan dan langkah jimat-cermat. Seperti yang dibahaskan oleh Seumas Milne, "pelan penyelamatkan adalah untuk bank-bank, bukan untuk Greece, dan mereka mendalamkan lagi krisis demokrasi di pusat Kesatuan Eropah.
Para pemimpin Eropah pula asyik memberikan perhatian terhadap banker dan bukannya rakyat Greece yang hidup menderita. Sementara dalam negara, Greece berhadapan dengan protes rakyat jelata yang menentang langkah yang diambil oleh kerajaan, iaitu pemotongan perbelanjaan dan langkah jimat-cermat. Seperti yang dibahaskan oleh Seumas Milne, "pelan penyelamatkan adalah untuk bank-bank, bukan untuk Greece, dan mereka mendalamkan lagi krisis demokrasi di pusat Kesatuan Eropah.
Setelah begitu banyak polemik, sama ada Greece patut kekal ataupun keluar daripada zon euro, sama ada menyelamat Greece itu berbaloi ataupun tidak, George Papandreou memberikan jawapannya: kembali kepada rakyat. Setelah membiarkan dirinya dibuli oleh Kesatuan Eropah serta IMF, dan oleh dua pemimpin penting di zon euro, iaitu Canselor Angela Merkel dan Presiden Nicolas Sarkozy, Papandreou kini berani mengangkatkan kepalanya. Papandreou, dalam kata-kata Agustiono Fontevecchia, "detik hidup mati, kegagalan boleh menyebabkan zon euro berkecai." Beliau, hujah Petros Fassaoulas, "jelas kehabisan modal politik. Rakan kongsinya dalam Kesatuan Eropah tidak mempercayainya. Dalam negara, banyak anggota dalam partinya sendiri nampaknya bersedia untuk mengundi menentang rancangan pelan penyelamat yang baru (dan langkah jimat-cermat yang datang bersama-samanya)." Dalam menghadapi pelbagai tekanan, Papandreou yakin bahawa beliau akan memperoleh "ya" yang bermakna Greece kekal di zon euro. "Rakyat Greece mahu kami kekal di zon euro."
Sebagai respons terhadap tindakan Papandreou mengadakan pungutan suara, Sarkozy dan Angela Merkel mengeluarkan kata dua bahawa Greece tidak lagi menerima wang pelan penyelamat Eropah sehinggalah negara itu memutuskan, sama ada kekal ataupun keluar daripada zon euro. Bahkan, Angela berkata bahawa kestabilan zon euro lebih penting daripada Greece.
Dalam sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Angela Merkel, Sarkozy berkata dengan nada sinis: "Sahabat kami Greece mesti memutuskan, sama ada mereka mahu meneruskan perjalanan bersama-sama kami. Kami tidak boleh berjanji wang pembayar cukai Eropah, kecuali peraturan yang diterima pakai secara sebulat suara di Brussel dihormati oleh Greece. Pungutan suara itu tidak lebih daripada persoalan, adakah Greece ingin kekal di zon euro, ya atau tidak."
Jika minggu lalu dianggap minggu kematian demokrasi demi menyelesaikan krisis euro dengan bersetuju "bergunting rambut," kini demokrasi menjadi penyelesaian Greece yang sebenar. "Siapa sangka bahawa Greece menggunakan demokrasi, perkara yang mereka cipta dahulu untuk menangani krisis ekonomi?" tanya Tim Worstall dalam Forbes. Tambah beliau, apa yang Greece lakukan benar-benar adalah menyingkirkan tekanan yang Troika (Bank Pusat Eropah, Suruhanjaya Kesatuan Eropah, dan IMF) terhadap kerajaan Greece supaya diam dan memaksa jimat-cermat mencekik leher warganegaranya.
Berbicara tentang demokrasi, seperti yang diulas oleh The Economist berhubung dengan pungutan suara yang dicadangkan, "Jika rakyat Greece mencipta menu mereka sendiri, kita boleh mengagak bahawa Kesatuan Eropah akan meminjamkan wang kepada mereka tanpa mengenakan syarat jimat-cermat. Akan tetapi, Jerman perlu memuaskan hati pengundi mereka sendiri; demokrasi memotong kedua-dua cara.
Heather Horn dalam The Atlantic mengemukakan tafsiran yang sangat menarik tentang pungutan suara bahawa Greece mencari sesuatu yang hilang, iaitu kedaulatan. "Sejak sedekad lalu atau lebih," tulis Heather, "ahli teori dan kolumnis dasar luar memberitahu kita bahawa era negara bangsa telah berakhir, kedaulatan negara telah pun terhakis, dan akan menjadi kurang relevan. Sempadan adalah telap, warganegara dan perbadanan adalah global, dan supranasionalisme memikirkan struktur, seperti Kesatuan Eropah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Organisasi Perdagangan Sedunia (WTO) banyak sekali."
Menyanjungi pungutan suara supaya menolak pelan penyelamat, sebaliknya menerima kedaulatan, Heather berhujah, namun, tatkala para pemimpin Eropah dan pasaran terkejut pada hari Isnin itu, kedaulatan negara masih hidup dan sihat di Greece. Pagi Isnin, Perdana Menteri Papandreous mengumumkan langkah yang meletakkan rancangan yang sukar dimenangi untuk menyelamatkan Greece pada risiko. Rakyat Greece kini mahu mengundi, sama ada mereka benar-benar mahukan pelan penyelamat yang datang dengan syarat yang ketat, dan bukannya mengucapkan "terima kasih."
Namun, perkembangan terkini melaporkan bahawa Perdana Menteri George Papandreou akan meletakkan jawatan akibat tiada kesepakatan untuk mengadakan pungutan suara berhubung dengan keanggotaan negara itu di zon euro. Juga dilaporkan tekanan terhadap beliau supaya meletakkan jawatan semakin meningkat, beberapa jam selepas para pemimpin Eropah memberitahu bahawa beliau membahayakan rancangan pelan penyelamat besar-besaran dengan mengadakan pungutan suara. Pungutan suara dibatalkan ketika perbincangan perpaduan nasional masih diteruskan.
No comments:
Post a Comment