Artikel Popular

Friday, November 4, 2011

Mengapa Presiden Cristina Fernandez Menang?

JUMAAT,  4 November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Mana-mana pilihan raya yang diadakan sejak berlaku krisis kewangan/ekonomi tiga tahun lalu, secara keseluruhannya tidak memihak kepada parti pemerintah.  Seperti yang dibahaskan oleh Fareed Zakaria dalam blognya, jika anda pemimpin sesebuah negara hari ini, anda berpeluang memperoleh penarafan yang rendah dari segi sejarah.  Hal ini terjadi pada Obama, Sarkozy, Merkel, bahkan juga terjadi terhadap Perdana Menteri Jepun dan India, dan para pemimpin dunia Arab.  Kita kini hidup pada era ketidakpuasan global.  Sememangnya, ini  tahun protes, dari Musim Bunga Arab ke gerakan Menduduki Wall Street di New York... ke yang sama di London, Madrid, Tokyo, dam banyak lagi.  

Namun, Fareed Zakaria berasa kagum akan pemilihan semula  Cristina Fernandez dalam pilihan raya Argentina baru-baru ini, bahkan dengan margin yang besar, 22 daripada 23 wilayah, menewaskan pencabar terdekat dengan 37 titik peratusan.  Sambil berseluruh, beliau menambah, "tidak, ini bukannya pilihan raya Rusia."  Beliau menjelaskan bahawa melihat suasana menyambut kemenangan Cristina Fernandez itu, sesungguhnya rakyat adalah gembira dan makmur.  Mereka menikmati lapan pertumbuhan, hingga meningkat sembilan peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini.  Gaji tahunan meningkat sehingga 30 peratus.  Bayangkan jika bos anda menaikkan gaji anda 30 peratus tahun depan. Anda juga berasa gembira.

Ekonomi Argentina meningkat seperti turnaround yang dramatik, jelas Fareed.  Pada Disember 2001, negara itu diisytiharkan kemungkiran hutang terbesar dalam sejarah, mencetuskan kacau-bilau yang teruk ketika itu, lima orang presiden dalam masa dua minggu. Dan suatu bencana terhadap rakyat Argentina: banyak golongan kelas menengah mendapati simpanan mereka di bank lesap, membawa kepada rusuhan berdarah dan kemiskinan yang meluas.

James Petras dalam laman webnya mengemukakan analisis terperinci dan berkaedah tentang  kemenangan Cristina Fernandez , dan dalam konteks sejarah, beliau membandingkan Cristina dengan Presiden Barack Obama yang difikirkannya tidak akan dipilih semula tahun depan. Dalam konteks sejarah, bahas Petras, Argentina bergelut dengan kemelesetan, pemberontakan, dan pemulihan.

Antara tahun 1998 hingga 2002, Argentina mengalami krisis sosioekonomi yang teruk dalam sejarahnya.  Ekonomi menjunam daripada kemelesetan kepada kemelesetan skala besar, memuncak dalam pertumbuhan negatif digit berganda pada tahun 2001 - 2002.  Pengangguran mencecah lebih 25 peratus dan banyak kawasan kejiranan kelas pekerja, pengangguran lebih 50 peratus.  Berpuluh-puluh ribu orang golongan kelas menengah yang jatuh miskin beratur untuk mendapatkan roti dan sup hanya beberapa blok dari istina Presiden.  Beratus-ratus ribu orang pekerja yang menganggur, piqueteros (pemiket), menyekat lebuh raya utama dan sesetengahnya menyerbu kereta api yang mengangkut lembu dan bijian seberang laut.  Bank-bank ditutup menyebabkan berjuta-juta orang pendeposit kehilangan simpanan mereka.  Berjuta-juta orang penunjuk perasaan yang terdiri daripada golongan kelas menengah menganjurkan majlis kejiranan radikal dan bergabung dengan perhimpunan golongan penganggur.

"Slogan yang paling popular bagi gerakan yang begitu banyak menduduki daerah kewangan, kilang, bangunan awam, dan jalan-jalan ialah Que se vayan todos  (Semua ahli politik pergi jahanam).  Seluruh kelas politik, parti dan pemimpin, Kongres, dan presiden ditolak bulat-bulat."  


Argentina, hujah James Petras, bangkit daripada krisis kepada pertumbuhan yang dinamik.  Malapetaka ekonomi dan pemberontakan popular memberi Nestor Kirchner (Presiden sebelum ini dan suami Cristina yang telah meninggal dunia) peluang untuk melaksanakan anjakan asas daripada ketenteraan dan penjarahan spekulatif kepada program sosial dan pertumbuhan ekonomi mapan.  Kemenangan pilihan raya untuk kedua-duanya, Kirchner dan Cristina mencerminkan kemenangan mereka dalam mewujudkan negara kebajikan kapitalis "biasa." Selepas 30 tahun rejim pemangsa neoliberal yang disokong oleh Amerika Syarikat, ini merupakan perubahan positif yang sangat besar. 

Berikutan sejumlah dan benar-benar kegagalan dan bencana kemanusiaan yang berpunca daripada dasar "pasaran bebas" yang dianjurkan oleh Amerika Syarikat dan Tabung Kewangan Antrabangsa (IMF), Kirchner/Cristina memungkiri hutang luaran, memiliknegarakan semula beberapa firma yang diswastakan dan dana pencen, campur tangan dalam bank-bank dan melipatgandakan perbelanjaan sosial, memperluas pelaburan awam dalam pengeluaran adn meningkatkan penggunaan popular, dalam perjalanan ke arah pemulihan ekonomi.  Pada akhir tahun 2003, Argentina berubah daripada negatif kepada pertumbuhan lapan peratus.

"Pertumbuhan dinamik Argentina dari segi Keluaran Negara Kasar (KNK) dirangsangkan oleh penggunaan domestik dan perolehan eksport dinamik.  Argentina secara tekal mempunyai lebihan perdagangan berasaskan harga pasaran yang menggalakkan dan daya saing yang meningkat," hujah Petras.

Barangkali banyak yang pemimpin negara kita harus pelajari daripada pengalaman Argentina dalam menguruskan ekonomi, dan yang tidak kurang penting, bagaimana Cristina Fernandez mencipta kejayaan untuk dipilih semula di tengah-tengah kemuraman dan kesuraman ekonomi global.  Model Baru Ekonomi, transformasi ekonomi, dan apa-apa sahaja dasar yang dilaksanakan mesti memacu pertumbuhan dan berlaku kesan lelehan, iaitu rakyat jelata dapat menikmati hasil pertumbuhan tersebut.  Jika tidak, semua pertumbuhan yang dicapai hanya sekadar angka yang  terpisah daripada rakyat jelata.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...