Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Minggu lalu, seperti minggu-minggu sebelumnya, sarat dengan perbincangan tentang krisis zon euro khususnya, dan krisis dunia kapitalis amnya. Tidak kurang pula perbincangan tentang demokrasi yang dikatakan tercekik di tempat kelahirannya. Demikian tajuk "Letters" dalam The Guardian, berikutan krisis euro yang berpanjangan dan Greece bercadang mengadakan pungutan suara. Euro dalam bentuk semasa lambat-laun akan menerima ajal, perpecahan pasti akan berlaku. Dikhuatiri bahawa langkah jimat-cermat ganas yang berterusan di seluruh Eropah menyebabkan pengangguran yang besar, ketidaksamaan yang kian melebar, dan kekacauan sosial, tanpa menyelesaikan krisis hutang kedaulatan sama sekali.
Greece ialah tempat lahir demokrasi, tetapi hujah George Zarkadakis, seperti yang dunia lihat pada minggu lalu, krisis kewangan tidak ada masa untuk meletakkan persoalan yang penting ini kepada orang ramai. Perdana Menteri George Papandreou mencadangkan pungutan suara tentang urus janji hutang negara itu dengan Kesatuan Eropah, tiba-tiba membatalkannya selepas menerima tentangan yang sengit di peringkat antarabangsa, menjelaskannya dengan tepat. "Plato dan Aristotle akan bersetuju dengan cadangan menggugurkan pungutan suara itu. Mereka tidak gemar demokrasi jenis langsung, tidak juga begitu banyak mempercayai orang ramai."
Dalam pada itu, bahas Richard Eskow dari Parthenon ke Potomac, ceritanya sama belaka: Golongan elit masih memegang kuasa veto terhadap demokratik proses, dan mereka tidak takut menggunakanya. Anehnya, pergolakan minggu ini bermula di negara yang biasanya dipuji dengan mencipta demokrasi. Dalam banyak cara, ekonomi Greece tidak banyak berbeza dengan Amerika Syarikat. Masalah fiskal kerajaan adalah berpunca sebahagian besar berleluasanya rasuah dan pengelakan cukai besar-besaran, bukannya pecahan cukai, pengelakan cukai yang sangat berbeza daripada masalah Amerika. Kewangan kerajaan menjadi teruk secara dramatik berbanding dengan Amerika, besar kemungkinan bila-bila masa, dan kemungkiran boleh mencetuskan krisis kewangan yang lebih besar yang akan datang.
"Dan apa yang paling jelas ialah andaian golongan elit, iaitu golongan satu peratus jika anda ingin berkata demikian, mempunyai kuasa veto terhadap proses demokratik. Dalam kebanyakan komentar yang mengalir daripada golongan yang sangat berkuasa dan akhbar, memeranjatkan bilangan pemimpin dunia yang bahkan tidak mengiktiraf bahawa Greece mempunyai hak terhadap proses membuat keputusan demokratiknya sendiri."
Dalam New Left Review keluaran September-Oktober 2011, Wolfgang Streeck melalui "The Crisis of Democratic Capitalism" berhujah bahawa krisis kewangan semasa hanya boleh difahami dari segi transformasi berkonflik yang sememangnya berterusan dalam pembentukan sosial yang disebut "kapitalisme demokratik." Beliau menjelaskan bahawa kapitalisme demokratik yang diwujudkan sepenuhnya hanya selepas Perang Dunia Kedua dan kemudiannya hanya di bahagian "Barat" dunia, Amerika Utara, dan Eropah Barat. Kapitalisme demokratik berfungsi dengan baik dua dekad seterusnya, bahkan bahawa tempoh pertumbuhan ekonomi yang tidak terganggu ini masih menguasai idea dan jangkaan kita apakah kapitalisme moden, atau yang boleh atau sepatutnya.
Dalam bahagian pasaran melawan pengundi, Streeck menegaskan keraguan bahawa kapitalisme dan demokrasi mungkin tidak bergerak seiringan bukan sesuatu yang baru sama sekali. Dari abad ke-19 dan memasuk abad ke-20, golongan borjuis dan puak Kanan politik meluahkan ketakutan bahawa pemerintahan majoriti, tidak dapat tidak, menandakan pemerintahan golongan miskin terhadap golongan kaya, yang akhirnya mengetepikan harta persendirian dan pasaran bebas. Kebangkitan kelas pekerja dan puak Kiri politik, untuk diri mereka pula, mengingatkan bahawa golongan kapitalis mungkin bersekongkol dengan kuasa reaksi untuk menghapuskan demokrasi dalam usaha untuk melindungi diri mereka daripada diperintahkan oleh majoriti tetap yang berdikasi terhadap pengagihan semula ekonomi dan sosial.
Walau bagaimanapun, Streeck tidak menjelaskan merit relatif dua pendirian itu, meskipun mengakui sejarah menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya di dunia perindustrian, puak Kiri mempunyai banyak alasan untuk takut akan puak Kanan menggulingkan demokrasi demi menyelamatkan kapitalisme berbanding dengan ketakutan puak Kanan akan puak Kiri menghapuskan kapitalisme demi kepentingan demokrasi. Selepas Perang Dunia Kedua, wujud andaian yang dikongsi secara meluas bahawa untuk kapitalisme secocok dengn demokrasi, kapitalisme mesti tertakluk kepada kawalan politik yang meluas, misalnya pemilikannegara firma dan sektor penting, atau "penentuan bersama" para pekerja, seperti yang berlaku di Jerman, demi melindungi demokrasi itu sendiri daripada dikekang atas nama pasaran bebas.
Hujah Streeck lagi, wujud beberapa cara untuk mengkonsepsikan punca yang mendasari pergeseran antara kapitalisme dengan demokrasi. Untuk menjelaskannya, beliau mencirikan kapitalisme demokratik sebagai ekonomi politik yang dikuasai oleh dua prinsip yang bercanggah, atau rejim peruntukan sumber: satu daripada beroperasi menurut produktiviti sut atau apa yang didedahkan sebagai merti oleh "permainan bebas kuasa pasaran," dan satu lagi, berasaskan keperluan sosial atau hak kelayakan, seperti yang disahkan oleh pilihan kolektif politik demokratik. Di bawah kapitalisme demokratik, kerajaan secara teori diperlukan untuk menghormati kedua-dua prinsip tersebut serentak, meskipun dari segi substantif, kedua-duanya hampir tidak pernah sebulu.
Krisis semasa menunjukkan demokrasi dikorbankan semata-mata kerana ingin menyelamatkan kapitalisme. Contoh yang ketara ialah Greece yang hampir dua tahun bergelut dengan krisis hutang sehingga menyebabkan hilang maruah dan kedaulatan kerana terpaksa tunduk pada desakan Kesatuan Eropah dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) - melaksanakan langkah jimat-cermat dan menswastakan aset negara. Hanya baru-baru ini, ingin diadakan pungutan suara, itu pun atas desakan serta tekanan antarabangsa, khususnya negara di zon euro, rancangan itu terpaksa dibatalkan.
Apa yang dilihat di Italy dan Greece, tulis Harold Meyerson, dalam The Washington Post hari ini, ialah pasaran mengatasi negara dan kedaulatan demokratik. Kerajaan dua negara berkenaan mungkin tidak banyak persamaan, iaitu Greece diperintah oleh sosialis demokratik dan Italy oleh narcisis autokratik, tetapi semuanya, kecuali mustahil menemui ahli politik mana-mana ideologi di salah sebuah negara itu yang bersedia untuk mengurangkan taraf hidup rakyat mereka sebanyak 20 atau 25 peratus yang pasaran dalam riuh-rendah tuntutan pasaran untuk jimat-cermat.
Kebangkitan gerakan Menduduki Wall Street, yang kini, berlanjutan hampir dua bulan, antaranya berpunca keterhakisan demokrasi akibat kuasa dan pengaruh golongan kaya yang mencorakkan dan menentukan segala-galanya, bukannya sekadar terhadap mereka yang di Washington. Setelah sejak sekian lama golongan satu peratus menyerang golongan miskin, kini tiba masanya untuk golongan miskin bangkit menentang mereka. Demi demokrasi, golongan miskin mula memperlihatkan pendirian mereka: katakan "tidak" kepada golongan kapitalis yang tamak haloba. Sementara di Eropah, golongan elit diingatkan supaya berwaspada bahawa protes orang Greece akan merebak ke seluruh benua itu.
No comments:
Post a Comment