Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Greece bukan hanya bumi kelahiran demokrasi, tetapi juga anarki. Sejak dilanda krisis hutang dan yang terbaharu keputusan untuk mengadakan referendum atau pungutan suara, Greece sekali meletakkan dunia dalam kebimbangan. Krisis zon euro yang bermula di Greece sukar diselamatkan lagi sehingga dicadangkan China menjadi penyelamat.
Greece, tulis The Economist, "bukan hanya tempat bermulanya demokrasi, tetapi juga drama. Terutamanya drama, yang memang banyak selepas Perdana Menteri George Papandreou, secara tergesa-gesa mengumumkan rancangan pungutan suara berhubung dengan pakej pelan penyelamat yang baru yang diluluskan dalam sidang kemuncak Kesatuan Eropah minggu lalu."
Sekali lagi, dunia dipertontonkan drama Greece, seperti yang dikiaskan oleh editorial The Washington Post, tidak berlaku sejak tentera keluar dari perut kuda kayu dalam Troy purba, Greece mencetuskan lebih kejutan apabila pada hari Isnin lalu, Perdana Menteri George Papanderou mengejutkan Eropah, dan dunia, dengan pengumuman bahawa beliau tidak akan melaksanakan pakej jimat-cermat ekonomi yang dijanjikan sehingga para pengundi di negaranya yang terjebak dengan hutang meluluskan pungutan suara. Tambah editorial itu lagi, pengumuman Papandreou itu dibuat menjelang sidang kemuncak G-20 di Cannes, Perancis, dan kurang seminggu selepas Kesatuan Eropah bersetuju menurunkan nilai hutang sektor swasta kepada 50 peratus, dan berbilion-bilion dolar bantuan, sebagai balasan pemotongan belanjawan kerajaan dan pembaharuan struktur. Pengumuman itu bukan hanya membawa risiko terhadap urus janji pelan penyelamat, tetapi juga masa depan ekonomi dunia.
Tindakan beliau itu diperhatikan akan meletakkan kerajaan pada risiko di tengah-tengah kritikan keras dari negara sendiri dan para pemimpin asing yang berkata beliau mempertaruhkan ekonomi dunia dalam bahaya. Sejak pengumuman itu, pasaran Eropah, Amerika Syarikat, dan Asia lintang-pukang semula.
Kacau-bilau yang dicetuskan oleh hanya cadangan Papanderou untuk mengadakan pungutan suara mendedahkan mudah terjejasnya rancangan Eropah dan kurang keyakinan yang diperoleh dalam pasaran. Para pegawai Eropah atasan, menurut Time, memberikan amaran bahawa Athens boleh dibiarkan jatuh muflis jika negara itu berjaya mengadakan pungutan suara dan para pakar berkata urus janji zon euro yang lebih luas dengan harapan untuk melindungi negara besar, seperti Italy boleh runtuh. Akhirnya, Greece akan meninggalkan zon euro, menyebabkan kacau-bilau kewangan yang teruk dan mengheret semula ekonomi global ke dalam kemelesetan. Namun, dijangkakan kerajaan Papandreou boleh runtuh sebelum cadangan pungutan suaran itu dilaksanakan, berikutan kehilangan sokongan besar daripada partinya sendiri.
Dalam analisis berita The New York Times, Steven Erlanger menulis krisis zon euro akhirnya menghentak jalan berlopak politik benar, dengan rakyat Greece kini mempersoalkan, sama ada komitmen mereka terhadap Eropah dan mata wang tunggalnya masih penting lagi kepada mereka jika dibandingkan dengan kawalan terhadap masa depan dan kesejahteraan ekonomi mereka sendiri. Kekacauan dalam kerajaan Papandreou bermakana bahawa Greece sedang berkira-kira untuk mungkir dan kemungkinan meninggalkan zon euro bersama-sama. Banyak ahli politik Greece kelihatan menghitung pada tahap akhir ini, bahawa mereka lebih banyak kerugian dengan tunduk syarat Jerman berbanding dengan mengambil risiko kemungkiran yang berkecamuk, dan bahkan ingin bertindak sendirian dengan mata wang lamanya, iaitu drachma, di luar zon euro.
"Jimat-cermat," hujah Erlanger, "dalam kata lain, menghadapi benar-benar politik besar yang pertama." Beliau memetik Jean Pisani-Ferry, Pengarah Bruegel, institusi penyelidikan ekonomi di Brussels, bahawa "Ini jelas kepulangan politik." Keputusan Papandreou untuk mendesak pungutan suara popular berhubung dengan pelan penyelamat tidak dapat dielakkan akibat kehilangan kedaulatan Greece kepada Brussels dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Canselor Angela Merkel dari Jerman dan Presiden Nicolas Sarkozy dari Perancis bertindak seolah-olahnya mereka ialah kerajaan Greece yang sebenar.
Keputusan Papanderou, meskipun menerima kritikan dari dalam dan luar negara, barisan kabinet Greece dilaporkan memihak kepada pungutan suara, bersiap-siap untuk meninggalkan zon euro dan kembali kepada drachma. Dengan sokongan kabinet itu, beliau kelihatan kukuh, meskipun didakwa bahawa pungutan suara itu merupakan pertaruhan beliau yang terlalu jauh. Dan kemungkinan loceng terakhir sebelum kemungkiran Greece dan meninggalkan euro. Dengan andaian segala-galanya berjalan lancar, pungutan suara itu dirancangkan diadakan pada bulan Januari, dan isu barangkali pelan penyelamat terbaharu. Akan tetapi, persoalan sebenar ialah: "Euro atau drachma?"
Namun, kerajaan Greece diperhatikan di pinggir keruntuhan kerana Papandreou didesak oleh kerajaannya sendiri supaya meletakkan jawatan di tengah-tengah ketakutan bahawa rakyat Greece akan menentang pakej pelan penyelamat dan pemotongan yang dalam untuk perbelanjaan awam yang dituntut oleh penajanya. Tatkala politik Greece semakin kacau-bilau, berlaku protes politik yang kuat apabila kerajaan bertindak menggantikan ketua tentera dengan pegawai yang lebih menyokong Papandreou. Jika undi adalah "Tidak" bermakna Greece terpaksa keluar daripada mata wang tunggal, membangkitkan keraguan tentang nilai euro dan melenyapkan bertrilion nilai saham dan pinjaman di seluruh benua itu.
Sejak Greece dilanda krisis hutang dan terpaksa melaksanakan langkah jimat-cermat, demonstrasi kian menjadi-jadi. Pada bulan September lalu, kekacauan popular berlaku, bahkan dalam bentuk lebih muktamad, diketuai oleh kesatuan sekerja yang memutuskan hubungan mereka dengan parti pemerintah. Pekerja pihak berkuasa tempatan membiarkan sampah-sarap bertimbun di bandar-bandar.
Lebih setahun dunia menyaksikan drama Greece, episod yang cukup panjang, penuh cemas dan suspens, tidak kurang gerun dan takut. Meskipun beberapa kali mencapai klimaks, drama ini belum menunjukkan tanda untuk berakhir.
No comments:
Post a Comment