Artikel Popular

Tuesday, November 15, 2011

Eropah: Keterhakisan Demokrasi, Kebangkitan Teknokrasi

SELASA,  15  November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Penguraian euro bukan hanya krisis ekonomi dan kewangan, tetapi juga krisis demokrasi. Hujah Peter Wilby bahawa orang ramai di Eropah hilang kemampuan untuk menentukan masa depan mereka. Dari Antwerp ke Athens, mereka diberitahu bahawa tidak ada alternatif sama sekali.  Rakyat Greece, Italy, Sepanyol, Portugal, dan Ireland telah pun belajar bahawa mereka menerima program jimat-cermat, pengurangan perlindungan pekerjaan, dan penjualan aset awam kepada sektor swasta.  Jika mereka tidak mempunyai pemimpin yang dipilih yang bersedia melakukan apa yang perlu, pemimpin yang tidak dipilih akan melakukannya.  Rakyat Perancis dan Belgium tahu bahawa mereka juga perlu berhati-hati. 

Dalam tempoh seminggu, dua pemimpin yang dipilih, bermula di Greece, kemudian Italy, terpaksa berundur, meskipun peristiwa seperti itu, menurut Christopher Booker,  "bukannya pertama kali yang Perdana Menteri yang dipilih digulingkan oleh elit Eropah."  Perjuangan untuk menyelamatkan mata wang tunggal, iaitu euro, terpaksa mengorbankan pemimpin politik Eropah:  George Papandreou dan Silvio "Bunga Bunga"  Berlusconi telah berundur dari arena politik. Pengunduran ini dalam bahasa Charlemagne dalam The Economist, Eropah menentang rakyat, dan mengingatkan bahawa usaha untuk menyelamatkan euro tidak boleh sama sekali bercanggah dengan keazaman atau hasrat para pengundi bagi tempoh yang tidak pasti.

Demokrasi dalam pemerhatian Telegraph View, dikorbankan di Eropah, dan mengingatkan bahaya perkembangan ini.  "Kurangnya kebertanggungjawaban demokratik membawa risiko akhirnya, dan mungkin ekstrem, iaitu tindak balas hebat populis.  Jauh daripada menyatukan Eropah, euro membawa ancaman Balkanisasi kesudahannya." 

Krisis hutang euro menyaksikan demokrat pergi, teknokrat datang, seperti  yang berlaku di Greece dan Italy. Atau seperti yang dibahaskan oleh Tony Barber, kacau-bilau zon euro, golongan teknokrat masuk, tetapi mampukah kestabilan dipulihkan tanpa mandat rakyat?  Pemimpin yang dipilih di Greece dan Italy disingkirkan dan masing-masing digantikan oleh pakar teknokratik yang dipercayai dalam Kesatuan Eropah untuk meluluskan pembaharuan ekonomi yang dianggap sesuai oleh penggubal dasar di Berlin, dan di ibu pejabat Kesatuan Eropah di Brussels.  Berhubung dengan kestabilan yang beliau bangkitkan itu, sekurang-kurangnya untuk Italy sudah terjawab. Meskipun Berlusconi pergi, tidak wujud  perpaduan di negara itu, Mario Monti menghadapi kesukaran untuk mendapatkan sokongan penuh. 

Penyingkiran ahli politik yang dipilih, tulis Barber, di benua yang mengeksport demokrasi ke dunia, seperti yang berlaku, sebagai perkembangan penting tatkala pasaran hutang kacau-bilau minggu ini.  Dalam hubungan ini, tegas beliau, para penggubal dasar zon euro memutuskan untuk menggantungkan politik sebagai biasa di dua buah negara kerana mereka 
membuat pertimbangan bahawa politik membawa ancaman yang bahaya terhadap kesatuan monetari Eropah. Mereka menegaskan bahawa perpaduan Eropah, satu projek lebih 50 tahun dalam pembikinan, dengan demikian pentingnya mempertimbangkan  bahawa ahli politik yang bertanggungjawab kepada rakyat mesti memberikan laluan kepada pakar yang tidak dipilih untuk meneruskan pertunjukan.  


Editorial The Guardian dalam membahaskan kebangkitan teknokrasi di Eropah, cuba melihat dari aspek pro dan kontra. Kesukaran yang dihadapi oleh demokrat, seperti melaksanakan potongan upah dan pembuangan pekerja, kemungkinan besar tidak dihadapi oleh teknorat.  Dan, mengingatkan bahawa ekonomi bukannya kejuruteraan, sebaliknya kekal sebagai seni dan sains.  Pertimbangan ekonomi mempunyai implikasi yang besar untuk siapa mendapat apa yang selalunya mencetuskan perbalahan politik.  Maka, jangan mengharapkan golongan teknokrat yang mampu mengelak daripada pergaduhan ini untuk sekian lama.


Walau bagaimanapun, dengan nada yang keras, Adiya Chakrabortty mengingatkan bahawa membiarkan golongan teknokrat memerintah Eropah boleh membawa keburukan politik dan ekonomi. Beliau meragui  teknokrat yang menjadi pengganti di Italy dan Greece, iaitu Mario Monti dan Lucas Papademos, terkecuali dari segi ideologi memandangkan Monti pernah berkhidmat sebagai penasihat bank pelaburan nombor satu di dunia, iaitu Goldman Sachs.  Sementara bagi Papademos, campur tangan politik terbesar beliau sebelum menjadi Perdana Menteri adalah menentang urus janji zon euro baru-baru ini untuk menghapuskan nilai hutang Greece, yang beliau hujahkan bahawa diskaun yang terlalu kecil, supaya tidak menjejaskan bank.  Monti ialah banker, manakala Papademos mempertahankan kepentingan banker.


Meskipun banyak orang berbicara, bahkan memperjuangkan demokrasi, apa yang berlaku serta banyak buktinya, demokrasi tidak seindah yang dimimpikan.  Jika terpaksa memilih antara demokrasi dengan kapitalisme, maka jawabnya demokrasi mesti dikorbankan, sebaliknya kapitalisme mesti diselamatkan.  





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...