Artikel Popular

Saturday, November 26, 2011

Debat Pemikiran Ekonomi

SABTU,  26  November 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Meskipun dunia masih  belum bebas sepenuhnya daripada krisis ekonomi yang berlaku sejak  tiga tahun lalu,  para penggubal dasar, menurut pemerhatian Mohamed A.  El-Erian dan Michael Spence, "berdebat dan menunggu" berbanding dengan "bertindak dan belajar" tidak berusaha mencari jalan penyelesaian yang segera. Sementara para pemimpin dunia terkial-kial untuk bertindak, sekadar menghadiri pertemuan atau sidang kemuncak untuk memperlihatkan  kepada dunia bahawa mereka sepakat untuk bertindak, tetapi sebenarnya mereka tidak melakukan apa-apa: daripada  krisis zon euro yang menyaksikan kesan domino   kepada kegagalan  G-20 yang kini menyaksikan  kebangkitan fahaman perlindungan.   

Di sebelah menyebelah Atlantik, keadaan semakin kalut kerana bukan hanya merebaknya krisis ekonomi, tetapi juga mengalirnya idea yang buruk.  Pastinya, idea berkenaan bukan hanya muncul daripada pemimpin dan penggubal dasar, tetapi juga daripada ahli ekonomi sendiri.  Kapitalisme dalam krisis, dari  Amerika Syarikat ke zon euro, dan  dunia Arab terus bergolak, tetapi seperti yang dibahaskan oleh Mehdi Hasan, siapa yang ingin mempercayai pakar, termasuk ahli ekonomi  yang gagal melihat kedatangan krisis.  "Ahli ekonomi yang berpaut kukuh pada teori neoklasik 'jangkaan rasional' dan 'pasaran cekap,' tetapi gagal mengesan ribut kewangan yang berkumpul memadu kekuatan."


Namun, apa yang Mehdi Hasan ketengahkan itu, bukan sesuatu yang baru sama sekali kerana banyak diperkatakan seolah-olah ahli ekonomi gagal mengesan  krisis yang akan melanda.  Demikian juga amaran ahli ekonomi Nouriel Roubini ("Dr  Doom") pada tahun 2006 bahawa krisis akan melanda Amerika Syarikat.  Sebenarnya, selain Roubini, ahli ekonomi lain, antaranya Joseph Stiglitz juga memberikan amaran tentang krisis yang akan berlaku, tetapi tidak dipedulikan oleh pengawal selia, penggubal dasar, dan bahkan pemimpin negara itu.

Dalam "Wanted:  Worldly Philosophers," Roger E. Backhouse dan Bradley W. Bateman mendedahkan keusangan kursus ekonomi yang ditawarkan di universiti, iaitu kursus yang sesuai dengan era  Perang Dingin, tetapi masih ditawarkan hingga sekarang: sistem ekonomi perbandingan.  Kita sekarang, bahas Backhouse dan Bateman, mempunyai profesion ekonomi yang jarang-jarang membicangkan subjek asasnya, iaitu "kapitalisme." Banyak ahli ekonomi berkata bahawa apa yang menjadi pokok persoalan, seperti sama ada pasaran berdaya saing atau monopolistik, ataupun bagaimana dasar monetari berfungsi. 


Kedua-kedua penulis memetik pesanan John Maynard Keynes bahawa ahli ekonomi sepatutnya lebih bersifat doktor pergigian, iaitu orang yang merendah diri  yang melihat bahagian kecil badan, tetapi menghilangkan kesakitan yang banyak.  Namun, mereka mengingatkan bahawa wujud juga bahagian bawah untuk menghampiri ekonomi sebagai doktor pergigian: selain itu, kehilangan mana-mana wawasan tentang sistem ekonomi yang sepatutnya dilihat. "Bahkan, Keynes sendiri didorong oleh wawasan yang sangat kuat tentang kapitalisme.  Beliau percaya bahawa hanya sistem tersebut dapat mewujudkan kemakmuran, tetapi kapitalisme juga memang tidak stabil dan oleh itu, memerlukan pembaharuan yang konstan."


Backhouse dan Bateman membahaskan bahawa pada abad ke-20, cabarfan utama terhadap wawasan Keynes datangnya daripada ahli ekonomi, seperti Friedrich Hayek dan Milton Friedman, yang membayangkan ekonomi yang unggul yang melibatkan tawar menawar individu diasingkan antara satu sama lain dalam pasaran bebas.  Mereka menegaskan kerajaan biasa menyebabkan pasaran kucar-kacir. Mengambil alih Keynesianisme yang banyak orang dapati tidak cukup untuk menangani stagflasi pada tahun 1970-an, wawasan ini memarakkan agenda neoliberal dan konservatif pasaran bebas kerajaan di seluruh dunia. 


Namun, wawasan tersebut, bahas Backhouse dan Bateman, juga dilemahkan oleh krisis semasa.  Kerajaan terpaksa bertindak secara meluas untuk mencegah satu lagi Kemelesetan Besar, manakala ganjaran yang sangat besar diterima oleh banker di tengah-tengah kegawatan yang teruk yang mendorong banyak pihak bertanya, sama ada kapitalisme yang tidak dikawal mewujudkan agihan kekayaan yang saksama.  


Bagi Backhouse dan Bateman, kita jelas memerlukan wawasan kapitalisme baru sebagai alternatif. Akan tetapi, terima kasih kepada berdekad-dekad latihan akademik dalam pendekatan "pergigian" untuk ekonomi, yang hari ini Keynes atau Friedman tidak ada tempat untuk ditemui.  "Jika ahli ekonomi mahu membantu mewujudkan dunia yang lebih baik, mereka pertamanya perlu bertanya, dan cuba menjawab soalan yang keras yang dapat membentuk potensi wawasan baru kapitalisme. 


Penulisan terbaharu tentang pemikiran ekonomi datangnya daripada Robert Shiller yang menulis "Brains versus Keynes"  bagaimana sains neuro mengubah pemahaman kita tentang ekonomi. Hujah beliau, ekonomi adalah pada permulaan revolusi yang boleh dikesan kepada sumber yang tidak dijangkakan: sekolah perubatan dan kemudahan penyelidikan sekolah berkenaan.  Sains neuro ialah sains bagaimana otak, iaitu organ fizikal di dalam kepala seseorang benar-benar berfungsi, mula mengubah cara kita berfikir tentang bagaimana manusia membuat keputusan.  Dapatan ini tidak dapat tidak, akan mengubah cara kita berfikir tentang bagaimana ekonomi berfungsi. 


"Usaha untuk mengaitkan sains neuro dengan ekonomi," tulis Shiller, "hanya beberapa tahun lalu, dan pertumbuhan ekonomi neuro masih pada tahap awal.  Akan tetapi, pertumbuhannya mengikuti pola: Revolusi dalam sains yang cenderung datang dari tempat yang tidak dijangkakan sama sekali.  Bidang sains boleh menjadi mandul jika tidak ada pendekatan baru dari segi fundamental untuk penyelidikan di ufuk ini.  Para sarjana terperangkap dalam kaedah mereka, iaitu dalam bahasa dan andaian pendekatan yang diterima untuk disiplin mereka, iaitu penyelidikan mereka menjadi berulang-ulang atau remeh-temeh.


Setelah menyatakan kemajuan  revolusi ekonomi neuro, terutamanya buku yang ditulis oleh Paul Glimcher,   Foundations of Neuroeconomic Analysis, Shiller beralih kepada pemikiran  John Maynard Keynes bahawa kebanyakan pembuatan keputusan ekonomi berlaku dalam situasi kabur yang kebarangkalian tidak diketahui.  Keynes menyimpulkan bahawa banyak kitaran perniagaan kita dipacu oleh turun naik dalam "semangat haiwan," sesuatu dalam minda dan tidak difahami oleh ahli ekonomi. 


"Pastnya, masalah ekonomi," bahas Shiller "adalah bahawa selalunya sebagaimana banyak tafsiran tentang mana-mana krisis, seperti wujudnya ahli ekonomi.  Ekonomi merupakan struktur kompleks yang menakjubkan, dan menduganya bergantung pada pemahaman hukumnya, peraturannya, amalan dan adat perniagaannya, dan kunci kira, adalah antaranya."  Jelas beliau lagi, "namun, kemungkinan satu hari kelak, kita akan mengetahui banyak lagi tentang ekonomi berfungsi (atau gagal berfungsi) untuk memahami struktur fizikal yang lebih baik yang mendasari fungsi otak."


Shiller menamatkan penulisannya dengan berhujah,  "Otak, komputer, dan ekonomi:  Semuanya peranti yang bertujuan menyelesaikan masalan maklumat fundamental dalam menyelaraskan kegiatan unit individu (neuron, transistor, dan manusia).  Oleh sebab kita meningkatkan pemahaman kita tentang masalah yang mana-mana satu peranti ini selesaikan, dan bagaimana  peranti itu menjadi penghalang untuk berbuat demikian, kita mempelajari sesuatu yang bernilai tentang kesemua tiga perkara itu."


Krisis ekonomi semasa mendorong sesetengah orang untuk menyelongkar pemikiran John Maynard Keynes, Hayman Minsky,  Joseph Schumpeter, dan bahkan Karl Marx, antaranya yang sudah lama dilupakan.  Tidak ketinggalan juga keinginan sesetengah orang untuk memikirkan dan mencipta sesuatu yang baru tanpa mengabaikan pemikiran yang sedia ada. 



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...