Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Tiga peristiwa utama yang t mendapat perhatian: Pemberontakan Arab, khususnya pilihan raya pertama Mesir selepas Presiden Hosni Mubarak ditumbangkan dan pergolakan di Syria; gerakan Menduduki; dan krisis hutang Eropah.
Dua hari lalu, Robert Kuttner menulis bahawa Eropah terhuyung-hayang di tepi curam ekonomi yang sangat dalam, bahkan Jerman yang selama ini dianggap kukuh ekonominya tidak dapat bertahan. Peringatan tentang keterukan krisis Eropah sering dibangkitkan, meskipun belum menjadi kenyataan bahawa zon euro runtuh, tetapi Eropah gagal menyelamatkan euro, dan Kesatuan Eropah berakhir. Meskipun disedari bahawa hanya Jerman mampu menyelamatkan euro, negara itu nampaknya keberatan, dan semakin keberatan apabila Jerman bukan lagi tempat pelaburan yang selamat. Oleh sebab jangkitan merebak, zon euro terpaksa memohon pertolongan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), yang terbaharu Italy, meskipun IMF menafikannya. "Eropah berpecah belah," tulis James Traub dalam Foreign Policy baru-baru ini bahawa benua itu, sama ada "tersadung" ataupun "terlentang."
Pertama Greece; kemudian Ireland dan Portugal; kemudian Italy dan Sepanyol. The Economist mengimbas krisis euro, bulan demi bulan, krisis di kawasan euro menjalar dari pinggir yang mudah terjejas zon mata wang ke arah pusatnya, dibantu oleh penafian, silap diagnosis, dan berlengah-lengah oleh penggubal dasar zon euro. "Hati-hati batu jatuh. Krisis di kawasan euro berubah menjadi panik dan mengheret zon berkenaan ke dalam kemelesetan. Risiko bahawa mata wang bersepai dalam beberapa minggu semakin mencemaskan."
Nyata bahawa pelan penyelamat dan langkah jimat-cermat tidak berkesan, sehingga diragui sama ada euro dapat bertahan ataupun sebaliknya. Dalam blognya, Paul Krugman menulis sumpahan euro, mengingatkan kegilaan wang keras Bank Pusat Eropah (ECB) mungkin memusnahkan euro.
Tatkala krisis zon euro semakin teruk, Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan meramalkan Eropah terbenam ke dalam kemelesetan dan United Kingdom turut mengalami nasib yang sama pada tahun 2012. OECD yang meramalkan kemelesetan curam berganda, mendedahkan bahawa ekonomi United Kingdom akan terjebak semula ke dalam kemelesetan dalam beberapa bulan mendatang. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) United Kingdom akan menyusut dalam suku akhir tahun 2011 dan suku pertama tahun 2012, iaitu kali pertama OECD meramalkan kemelesetan curam berganda untuk United Kingdom.
Organisasi kumpulan pemikir yang beribu pejabat di Paris, seperti yang dipetik oleh The Guardian, juga mengurangkan ramalan pertumbuhan ekonomi utama Barat dan menggesa para penggubal dasar mengambil tindakan segera untuk mencegah merebaknya jangkitan daripad krisis hutang kedaulatan Eropah. Sementara zon euro diramalkan tumbuh hanya 0.2 peratus pada tahun hadapan.
Apabila Eropah terbenam ke dalam kemelesetan, pastinya banyak negara di luar benua itu akan turut diheret bersama-sama. Pendek kata, banyak negara yang tidak selamat.
No comments:
Post a Comment