SABTU, 1 Januari 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Jangan percayakan gembar-gembur populis. Demikian peringatan yang ingin disampaikan oleh Becky Quick, dalam ruangan pendapat majalah Fortune Julai 2010. Becky, anchor “Squawk Box” televisyen kabel CNBC mempertahankan langkah kerajaan Amerika melaksanakan pelan penyelamat untuk bank-bank dan syarikat pembuat kereta. Dengan gambar fotonya yang cukup bergaya dan mungkin “mengancam,” Becky mengkritik ahli politik yang bermain atas kemarahan populis demi memenuhi cita-cita politik mereka dalam pilihan raya. Namun, ketika beliau menyeru orang ramai supaya tidak terpedaya dengan gembar-gembur itu, gerakan populis telah pun bersiap sedia untuk mara ke Washington.
Daripada keputusan Pilihan Raya Separuh Penggal baru-baru ini, nyata bahawa gerakan populis Tea Party banyak menyumbang kepada kemenangan besar Parti Republikan. Dengan kemenangan itu, Tea Party mengacu-acukan impak yang cukup besar terhadap proses politik Amerika yang akan memastikan pengaruhnya untuk beberapa tahun mendatang, meskipun beberapa calonnya, seperti Christine O'Donnell, Sharron Angle, dan Carl Paladino tewas. Di semua peringkat, tinjuan pendapat keluar menunjukkan lebih daripada satu dalam 10 orang pengundi memperkenalkan diri mereka sebagai anggota gerakan Tea Party.
Apakah yang membuat Tea Party paling berguna adalah kerana mesej populisnya yang cukup lantang yang memberikan kekuatan kepada Republikan. Tea Party dianggap gerakan populis yang unik dan gerakan dalam sejarah Amerika. Meskipun dikatakan bahawa tidak ada pemimpin berkarisma, tetapi Tea Party mempunyai lebih banyak penggerak, penggoncang, anggota di peringkat akar umbi jika dibandingkan mana-mana gerakan populis di Amerika. “Faham perlembagaan populis” itulah sebenarnya Tea Party: Cintai dan hormati Perlembagaan memacu gerakan itu. Berkongsi dokumen, kemudian bincangkan makna, tujuan, dan ideanya. Dengan menggunakan buku usang yang dijadikan canon mereka, Tea Party meyakinkan para pembaca mereka bahawa ahli ekonomi, Bapa Pengasas, dan sesungguhnya, Tuhan menyebelahi mereka apabila mereka menuduh Presiden Barack Obama dan Demokrat ialah “sosialis.”
Untuk mengatakan Tea Party gerakan populis pasti mengundang perdebatan yang tanpa kesudahannya. Sebenarnya, Tea Party bukannya fenomena baru, sebaliknya hanyalah nama baru untuk fenomena lama, iaitu kanan keras Amerika. Tea Party bukannya baru atau koheren, sebaliknya cuma “wain lama dalam botol baru.” Sesetengah cerdik pandai politik berhujah bahawa Tea Party, populisme sayap kanan tahun 2010. Sebagaimana populisme sebelum ini, kemarahan, ketakutan, dan kebimbangan tentang kehilangan tempat kepada “Mereka.” Dan, pada mata sayap kanan, dikatakan Presiden Barack Obama ialah ketua eksekutif “Mereka” itu. Namun begitu, ada yang berhujah bahawa daripada melihat Tea Party sebagai fenomena politik – daripada tertanya-tanya adakah Tea Party populis atau Republikan atau reaksionis – seseorang itu mungkin mendapat kefahaman yang lebih baik menerusi prisma agama.
Dana Milbank yang menulis dalam akhbar The Washington Post, “A Tea Party of Populist Posers” meragui Tea Party gerakan populis, melihatnya dari segi pungutan derma. Satu lagi peristiwa yang sungguh luar biasa dalam catatan sejarah (annals) populisme Amerika, bahas Milbank, “orang biasa secara sukarela menghulurkan wang untuk menjadikan yang kaya semakin kaya.” Tanpa menafikan kemarahan populis yang membara, tetapi tegas beliau, “kemarahan itu diperdaya dan diekspolitasikan oleh orang yang suka berpura-pura yang tempat mereka sama dengan kelas ‘elit’ dan ‘orang dalam’ yang gerakan Tea Party dikatakan berasa kesal.”
Sebelah menyebelah Atlantik menyaksikan kebangkitan populis. Sebaik-baik sahaja Republikan menang gilang-gemilang dalam Pilihan Raya Separuh Penggal, Martin Kettle menulis “Boris Johnson Could be the Sarah Palin of a British Tea Party” dalam guardian.co.uk bahawa tidak sukar untuk menjelaskan terpesona global terhadap Tea Party. Kemarahan rakyat Amerika menjadi salinan yang elok, terutama apabila mereka berhadapan dengan suri rumah pinggir bandar dengan sikap. Tulis Kettle. “Walau bagaimanapun, seperti minggu ini, gerakan ini lebih daripada hanya sekadar cebisan grand guignol politik merentas Atlantik. Sebanyak 26 peratus pengundi Amerika yang menyatakan diri mereka marah sebagaimana mereka pergi membuang undi mempunyai parti dalam imej mereka sendiri sekarang.”
Kejayaan Tea Party membangkitkan persoalan yang menarik minat untuk Britain. Bolehkah sesuatu macam itu berlaku di sini? Tanya Kettle yang nampaknya memberikan jawapan yang agak muktamad: Orang Amerika hanya terlalu berbeza. Golongan kanan tengah hampir tidak mudah terdedah pada gerakan “mengutuk mereka semua” populis seperti yang dialami oleh Republikan. Tea Party memperjuangkan individualisme, faham mendukung kebebasan, cukai rendah, dan kerajaan kecil. Parti yang bersifat memberontak jenis itu - beberapa perbezaan tertentu dengan Amerika pastinya sekurang-kurangnya dapat difikirkan dalam konteks British dan Eropah. Bahkan, parti tersebut telah pun wujud di negara Eropah, sekalipun sekadar di pinggiran.
Sama ada kerana pengaruh Tea Party ataupun tidak, yang nyata populis telah pun merentas Eropah. Meskipun perhatian lebih tertumpu pada gerakan populis Tea Party lebih-lebih lagi kerana Pilihan Raya Separuh Penggal, tetapi Eropah juga tidak terlepas daripada radar media. Populis, iaitu trend antiimigran merebak ke seluruh Eropah selepas pengundi Switzerland mengejutkan dunia pada November 2009 dengan mengundi untuk mengharamkan pembinaan menara masjid. Kemudian merebak kepada pengharaman pemakaian purdah oleh kerajaan Perancis yang turut ditiru oleh Belgium, Belanda, dan Switzerland, dihangatkan lagi oleh pengusiran orang Roma atau Gipsi.
Di Denmark, Belanda, Hungary, dan Switzerland, parti populis kanan jauh (far-right) memperoleh kedudukan baru yang serupa, menggunakan modal politik untuk menyokong wadah antiimigrasi, dan selalunya memberikan tumpuan terhadap orang Islam, pendirian yang lebih keras terhadap undang-undang dan ketenteraman. Mereka bangkit secara mantap tatkala Eropah dilanda kemelesetan, banyak kerajaan melakukan pemotongan yang dalam terhadap program sosial dan mengancam banyak lagi pemotongan akan dilaksanakan.
Dengan kemenangan Demokrat Sweden, parti yang berasal usul neo-Nazi, yang antiimigrasi, pada September lalu, Sweden menjadi negara Eropah terbaru yang menyaksikan kejayaan sayap kanan populis. Negara jirannya, Denmark dan Norway dengan parti antiimigrasi populis telah pun mencipta kejayaan sejak bertahun-tahun. Meskipun ekonomi Sweden berkembang lebih empat kali purata Kesatuan Eropah, tetapi “pembaharuan ekonomi dan sosial” baru bermakna banyak rakyat Sweden akan tidak menikmati kemakmuran ini. Parti kanan jauh Eropah dikatakan terdiri daripada “bantahan orang ramai yang merasakan diri mereka dilupakan oleh arus perdana.”
Walau bagaimanapun, ahli politik arus perdana dilaporkan menyertai golongan populis kanan jauh dalam menggesa kawalan yang lebih ketat terhadap pendatang yang sah dan pendatang tanpa izin, di samping layanan yang berbeza terhadap orang asing dan warganegara dinaturalisasikan yang telah pun tinggal di negara mereka. Sejak beberapa bulan lalu menyaksikan: Para pengundi Sweden memilih parti antiimigrasi ke parlimen untuk pertama kali; Presiden Perancis mengapi-apikan kegemparan dengan menjadikan Roma atau Gipsi, pendatang tanpa izin sasaran pengusiran; kerajaan campuran baru Britain mengawal imigrasi bukan Eropah dan kebanyakan orang asing dikehendaki memilik kad pengenalan; parti pemerintah di Denmak mencadangkan pemotongan upah minimum untuk imigran kepada separuh yang dinikmati oleh orang Denmark; dan parti yang menyokong pengharaman terhadap imigran Muslim bercadang untuk menyertai kerajaan campuran di Belanda.
Sentimen antiimigran terus-menerus melanda merentas Eropah, membangkitkan gelombang populis sayap kanan dari pantai Mediterranean ke kawasan dingin Scandinavia, maka dikhuatiri bahawa politik sedemikian akan turut berakar umbi di Jerman berikutan ketidakpastian kewangan, kebangkitan sentimen anti-Muslim, dan luasnya kekosongan politik yang ditinggalkan oleh nasib malang pernah sangat berkuasa, iaitu Christian Democratic Union (CDU). CDU berhadapan dengan tindakan keseimbangan yang sukar, mencuba untuk mengakui kekecewaan awam tanpa menyerahkan kesahan kepada pandangan gerun orang asing dan rasis. Untuk mengabaikan masalah itu, maka dikatakan membuka ruang kepada parti sayap kanan populis untuk mengisikan kekosongan yang wujud kerana banyak orang berasa ahli politik tidak menyedari kehidupan seharian mereka.”
Tidak seperti banyak negara jirannya, Jerman tidak mempunyai parti sayap kanan yang kuat yang diterajui oleh gerombolan populis. Kekosongan ini dijangkakan akan diisi oleh Thilo Sarrazin, bekas lembaga pengarah bank pusat, Bundesbank, anggota Parti Demokrat Sosial, yang menulis buku Deutschland Schafft Sich Ab (Germany Does Away with Itself). Sarrazin berpendirian anti-Islam: “Jerman meledak akibat kebanjiran berjuta-juta imigran dari negara Islam.” Sarrazin dianggap mempunyai persamaan dengan Geert Wilders, pemimpin anti-Islam yang ranggi daripada Parti Belanda untuk Kebebasan.
Ian Buruma melalui makalahnya “Geert Wilders and Co Need Austrian Treatment” dalam guardian.co.uk memberikan pemerhatian yang cukup mendalam tentang kebangkitan populis di Eropah. Pastinya, banyak orang Eropah yang liberal masih hidup dan sihat. Bahas Buruma. “Akan tetapi, pertama di Denmark, kemudian Belanda, dan kini Sweden, golongan tidak liberal, iaitu parti populis mengapi-apikan ketakutan terhadap imigran, khususnya imigran Muslim, berjaya memperoleh cukup kuasa untuk menentukan, atau sekurang-kurangnya mempengaruhi agenda politik mereka.”
Lebih menarik lagi apabila Buruma mengingatkan parti berkenaan tidak terbatas di Scandinavia dan Negara Pamah, tetapi merupakan bahagian gelombang global kemarahan terhadap elit politik, yang dipersalahkan kerana semua rasa tidak selamat yang berpunca daripada ekonomi global, krisis kewangan, dan hidup dalam masyarakat lebih bercampur dari segi etnik. Psikologi di belakang Tea Party di Amerika Syarikat dan parti antiimigran di Eropah adalah sama, bahkan jika dasar mereka berbeza.
“Golongan populis Eropah moden,” tulis Buruma, “tidak memakai kemeja hitam, atau menurut keganasan jalanan. Para pemimpin mereka ialah lelaki yang agak muda memakai baju yang jelas kelihatan yang tidak menggunakan bahasa kaum atau ras, tetapi menggunakan kebebasan dan demokrasi.” Yang memperlihatkan cakap tidak serupa bikin golongan populis, tambah beliau: “Mereka bercakap tentang hak kebebasan Barat, termasuk kebebasan bersuara, tetapi Wilders mahu mengharamkan Qur’an dan purdah, anggota Parlimen Denmak menyebut Islam ‘wabak yang melanda Eropah.’”
Buruma menjangkakan bahawa Belanda dan Sweden akan mengikuti model Denmark, iaitu parti populis tidak liberal menyatakan sokongan mereka tanpa memerintah sebenarnya, dan dengan itu, memperoleh kuasa tanpa tanggungjawab. Beliau juga mengingatkan kebangkitan populis seperti ini tidak terbatas di beberapa negara tertentu semata-mata: “Pengaruh golongan populis baru yang licik ini, melancarkan perang terhadap Islam, pastinya melampaui sempadan negara mereka. Keperibumian (nativisme) sedang bangkit di seluruh dunia Barat, dan Wilders khususnya, ialah penceramah popular dalam perhimpunan sayap kanan anti-Muslim di Amerika, Britain, dan Jerman.
Untuk menyelesaikan masalah kebangkitan populis ini, Buruma mencadangkan satu daripadanya membiarkan parti populis menyertai kerajaan jika mereka mendapat jumlah undi yang cukup. Idea tentang calon Tea Party menjadi Presiden Amerika adalah mencemaskan, maka untuk memastikan, populis Eropah boleh hanya menjadi anggota kerajaan campuran. Oleh sebab sayap kanan Eropah baru bukannya Nazi Hitler kerana mereka tidak menggunakan kekerasan atau keganasan, atau setakat ini tidak melanggar undang-undang, maka tidak memberi mereka tanggungjawab politik sebenar. Dengan cara itu, mereka bukan sahaja perlu membuktikan kecekapan mereka, tetapi juga kesederhanaan sikap mereka. Langkah seperti ini pernah dilaksanakan di sebuah negara Eropah yang cuba membawa golongan populis ke dalam kerajaan, iaitu Austria pimpinan Wolfgang Schüssel sedekad lalu.
No comments:
Post a Comment