JUMAAT, 18 Februari 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Satu demi satu krisis melanda dunia: krisis kewangan 2008-2009; krisis hutang kedaulatan di zon euro; wabak penyakit; bencana alam dari Australia ke Brazil ke Sri Lanka. Yang terkini, krisis dunia Arab, iaitu pemberontakan popular dari Tunisia ke Mesir dan ke Yaman, Libya, dan Bahrain.
Tentunya, yang meruncingkan lagi keadaan ialah krisis makanan. Mulai awal tahun ini, krisis makanan dikatakan melanda dunia semula selepas reda seketika atau dibayangi oleh krisis kewangan. Pada tahun 2008, di seluruh dunia, perut yang kosong membangkitkan kemarahan akibat kenaikan harga makanan global sehingga 45 peratus sejak akhir tahun 2006. Krisis makanan bukan hanya dirasai dalam kalangan penduduk miskin, catat Marc Lacey, tetapi juga menjejaskan pemerolehan golongan pekerja dan kelas menengah, penyemaian tahap turun naik rasa tidak puas hati dan meletakkan tekanan baru terhadap kerajaan yang rapuh. Di Haiti, kemarahan rakyat akibat kebuluran memaksa Perdana Menteri meletakkan jawatan.
Kemarahan atau rusuhan kerana krisis makanan, menurut pemerhatian Lacey, tercetus di Kaherah, Burkina Faso dan tempat lain di Afrika Sub-Sahara, Senegal, dan Indonesia, manakala Thailand mengambil langkah berjaga-jaga. “Di Malaysia yang agak makmur, parti pemerintah hampir-hampir ditolak oleh para pengundi yang menyatakan mereka prihatin terhadap kenaikan harga makanan dan bahan api.” Beliau juga memetik komen Jeffrey D. Sachs, ahli ekonomi dan penasihat khas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, “Ini merupakan krisis terburuk sejak lebih 30 tahun lalu.”
Meskipun pada tahun lalu dunia mula keluar daripada kemelesetan terburuk sejak Perang Dunia, tetapi pemulihan belum dirasai kerana kadar pengangguran yang tinggi dan kenaikan harga makanan melanda semula. Pada awal September lalu, PBB membangkitkan kebimbangan kerana harga makanan melambung. Pada Ogos 2010, menurut PBB, harga makanan meningkat lima peratus di peringkat global, dipacu terutamanya oleh kos yang tinggi bagi gandum. Rusia yang mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengumumkan pada awal Ogos, pengharaman eksport gandum, memburukkan lagi keadaan bekalan komoditi ini yang telah pun terjejas akibat kemarau dan banjir di tempat-tempat lain.
Tiba-tiba memori tentang rusuhan berikutan kenaikan harga makanan yang berlaku dua tahun lalu, menghantui semula. Abdolreza Abbassian, ahli ekonomi di Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) di Rome merasakan sesuatu yang buruk bakal berlaku di dunia: “Anda berhadapan dengan situasi yang tidak stabil. Orang ramai masih ingat apakah yang berlaku beberapa tahun lalu, maka ini merupakan kombinasi psikologi dan jangkaan. Beliau juga dilaporkan berkata bahawa harga makanan masih kira-kira 30 peratus rendah daripada tahap harga 2008 apabila kenaikan harga beras yang berlipat ganda bersama-sama bahan asasi lain mencetuskan rusuhan makanan di berbelas-belas negara dan turut menumbangkan sekurang-kurangnya sebuah kerajaan.
Awal bulan ini, PBB sekali memberikan peringatan tentang kenaikan harga makanan yang mencecah rekod. Menurut laporan PBB, tujuh bulan berturut-turut harga makanan meningkat. Dengan stok beberapa makanan asas rendah, maka harga kemungkinan terus mencecah tahap tinggi yang baru, sehingga hasil penuaian pada musim panas depan diketahui. Ketidakpastian itu sendiri merupakan faktor baru dalam pasaran yang menaikkan harga dan akan tidak menurunkan harga.
Harga indeks FAO, yang mengesan 55 komoditi makanan untuk eksport, meningkat 3.4 peratus pada bulan Januari, mencecah tahap paling tinggi sejak pengesanan dilakukan pada 1990. Namun, negara yang tidak bergantung pada import makanan kurang terjejas oleh turun naik global ini. Empat faktor yang dianggap memacu harga yang tinggi, iaitu cuaca, permintaan yang tinggi, hasil yang sedikit, dan tanaman dialihkan kepada biobahan api.
Negara-negara di Amerika Latin dan Afrika, termasuk Bolivia dan Mozambique, adalah paling berisiko menghadapi rusuhan makanan akibat kenaikan harga. Sejak beberapa bulan lalu, menyaksikan protes di dunia Arab sebahagiannya adalah berkait dengan kos pertanian dan kenaikan harga makanan. Negara lain yang import makanan adalah mahal yang mungkin menjadi beban besar, termasuk Uganda, Mali, Niger, dan Somalia di Afrika, Krgystan dan Tajikistan di Asia, dan Honduras, Guatemala, dan Haiti di Amerika Latin.
Sejak akhir-akhir ini, kenaikan harga makanan sering diketengahkan Yang terbaharu pada 15 Februari apabila Bank Dunia mengingatkan bahawa kenaikan harga makanan menghumbankan 44 juta penduduk dunia ke dalam kancah kemiskinan di negara membangun sejak Jun lalu. Kos makanan yang terus meningkat hampir kepada tahap 2008 apabila peningkatan harga makanan dan minyak memberikan kesan yang sangat teruk terhadap golongan miskin. Menurut Food Price Watch Bank Dunia yang terkini, harga makanan meningkat sebanyak 15 peratus antaran Oktober 2010 hingga Januari 2011.
Harga makanan global meningkat kepada tahap yang berbahaya dan mengancam berpuluh-puluh juta orang miskin di seluruh dunia,” kata Presiden Bank Dunia, Robert Zoellick dalam satu kenyataan. “Kenaikan harga telah pun mendesak berjuta-juta orang hidup dalam kemiskinan, dan meletakkan ketegangan terhadap kebanyakan golongan yang mudah terjejas yang membelanjakan lebih separuh pendapatan mereka untuk makanan.”
Lupakan Mesir sekejap. Tingalkan krisis air di China. Lihat kebimbangan yang berlalu di jalan-jalan Bangladesh. Tulis William Pesek dalam Bloomberg Opinion. “Jika anda mahu lihat bagaimana ekstremnya kesan kenaikan harga makanan yang akan menimpa, lihat Jepun yang kaya.” Berhujah bahawa pentingnya untuk mula mempertimbangkan kesan sampingan, Pesek, memetik sumber PBB bahawa negara-negara berbelanja sekurang-kurangnya AS$1 trilion untuk import makanan pada 2010, dengan negaa miskin terpaksa membayar sebanyak 20 peratus lebih tinggi pada 2009. “Peningkatan ini hanya baru bermula.” Seseorang boleh membayangkan kesengsaraan yang bakal ditanggung oleh rakyat jelata yang hidup miskin di Asia, dengan pendapatan harian kurang AS$2.
Pesek juga memetik pandangan Nouriel Roubini, ahli ekonomi di New York University yang pernah meramalkan krisis kewangan Amerika Syarikat, bahawa kenaikan kos makanan dan tenaga yang menimbunkan inflasi dalam pasaran sedang muncul cukup serius untuk menumbangkan sesebuah kerajaan: Hosni Mubarak menjadi buktinya. Roubini, tegas beliau, prihatin tentang krisis geopolitik, iaitu krisis makanan ini mungkin mencetuskan krisis lain, iaitu krisis hutang.
Dengan kenaikan harga makanan, dengan yang tertinggi pada pada Januari, maka dalam tiga tahun, ini kali kedua, dunia dilanda krisis makanan. Kenaikan ini adalah berpunca oleh kebanyakan yang besar dalam harga gandum, jagung, gula, dan minyak. “Kesan krisis makanan ini, tulis Paul Krugman, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi, “pergi jauh melampaui ekonomi. Lagipun, persoalan utama tentang pemberontakan menentang rejim yang korup dan kejam di Timur Tengah tidak banyak diperkatakan mengapa berlaku sebagaimana mengapa berlaku sekarang. Dan wujud persoalan yang kecil bahawa harga makanan yang tinggi menjadi penting yang mencetuskan pemberontakan popular.
Kenaikan harga makanan ini, menurut Krugman dalam The New York Times, “golongan sayap kanan Amerika (dan China) menyalahkan dasar wang mudah di Rizab Persekutuan, “darah pada tangan Bernanke,” manakala Presiden Perancis, Nicholas Sarkozy menyalahkan spekulator, menuduh mereka “pemerasan dan penjarahan.” Namun, bahas Krugman, bukti menunjukkan sesuatu yang berbeza, lebih banyak cerita yang tidak menyenangkan. “Meskipun beberapa menyumbang kepada kenaikan harga makanan, apakah yang benar-benar jelas ialah takat kejadian cuaca yang sangat buruk mengganggu pengeluaran pertanian.” Tambah beliau, “Kejadian cuaca yang sangat buruk ini, benar-benar perkara yang kita jangka lihat kerana peningkatan tumpuan gas rumah hijau mengubah cuaca kita, yang bermakna bahawa peningkatan harga makanan sekarang mungkin hanya permulaan.”
Meskipun krisis makanan dunia banyak diperkatakan, namun Philip McMichael mengemukakan satu perspektif yang menarik, iaitu perspektif sejarah. Menulis dalam Monthly Review untuk keluaran Julai – Ogos 2009, McMichael, berhujah, “Kebuluran dan kenaikan harga makanan merupakan endemik dunia moden, dan ledakan kenaikan yang pesat dalam harga makanan menyediakan jendela baru tentang fakta budaya ini.” Krisis makanan ini, bahas beliau, mewakili pembesaran krisis jangka panjang pengeluaran semula sosial yang berpunca daripada kolonialisme, dan dipacu oleh pembangunan kapitalis neoliberal.
Krisis makanan yang menghantui sekarang menuntut pemerhatian terhadap provokasi Lester Brown kira-kira dua tahun lalu, “mampukah kekurangan makanan meroboh peradaban? – menandakan malapetaka sedang mendepani umat manusia.
No comments:
Post a Comment