AHAD, 20 Februari 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Forum Sosial Dunia (WSF) berlangsung di Dakar, Senegal, di tengah-tengah pemberontakan popular Arab. Dihadiri oleh berpuluh-puluh ribu orang aktivis sosial sebagai tentangan terhadap Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos yang dihadiri oleh tokoh korporat. WSF kali ini, dari Kaherah ke Dakar ke Durban, menyemai impian “sebuah lagi dunia adalah suatu kemungkinan.” Immanuel Wallerstein, dalam komentarnya melihat WSF terbaharu ini dan Mesir ketika berlaku tunjuk perasaan dalam konteks transformasi. Meskipun sekarang ini, semua mata tertumpu ke dunia Arab dan pada takat yang keazaman dan keberanian rakyat Mesir akan mengubah politik seluruh dunia Arab, tetapi bagi beliau, rabuk untuk pemberontakan sedemikian wujud di mana-mana jua, bahkan di rantau yang kaya di dunia.
Demikian, dari semasa ke semasa, orang mengharapkan atau mengimpikan kewujudan satu dunia. Pada April 1943, Wendell Willkie menerbitkan buku One World berdasarkan perjalanannya ke seluruh dunia. Pastinya, buku tersebut bukannya sekadar travelog, kerana perjalanan Willkie pada tahun 1942 adalah sebagai duta khas, Presiden Amerika, Franklin Delano Roosevelt. Hakikatnya, buku ini merupakan manifesto Willkie untuk Amerika pasca-Perang Dunia Kedua: obligasi moral untuk membantu penduduk di negara-negara lain mendapat hak keperluan bersama mereka, iaitu keselesaan kebendaan, penentuan nasib diri, dan kebebasan individu.
Selepas 50 tahun selepas penerbitannya, One World dilihat agak terlalu mudah, mungkin sedikit naif tentang hal ehwal dunia dan terlalu optimistik tentang para pemimpin dunia. Namun, buku yang pernah mencapai jualan terlaris ini sepatutnya dilihat sebagai wawasan apakah yang patut dunia muncul, apakah dunia mempunyai potensi untuk muncul. Dengan berjaya mengetepikan beban retorik yang lazimnya berlaku dalam perbincangan tentang bangsa, bahasa, keetnikan, kaum, patriotisme, sejarah, dan politik serantau, Willkie memberikan tumpuan terhadap apakah yang menyatukan manusia dan bukannya apakah yang memecahbelahkan mereka.
Gagasan tentang satu dunia boleh diibaratkan sebuah mimpi indah yang cukup panjang dan masih belum menjadi kenyataan. Atau boleh juga dikatakan sebagai sebuah utopia dalam perjalanan sejarah manusia. Satu dunia terus menjadi idaman para pemimpin, negarawan, dan bahkan cendekiawan, melalui peperangan, melalui penaklukan, melalui revolusi. Kira-kira 150 tahun lalu, Marx dan Engels melalui The Communist Manifesto mengimpikan sosialisme Utopian, iaitu satu dunia yang dikuasai oleh kaum proletar dan sebuah masyarakat tanpa kelas.
Walaupun belum lagi kesampaian, hasrat untuk mewujudkan satu dunia tidak pernah luntur dengan menggunakan beberapa konsep, antaranya dialog antara budaya, dialog peradaban, kesatuan dalam kepelbagaian, kampung sejagat, dan dunia tanpa sempadan. Dikatakan bahawa “di dunia yang dibina dari segi sosial, maka adalah kita yang membina dunia ini.” Ada juga yang menyebut “satu dunia, banyak budaya.” Tetapi, realitinya tidak begitu, kerana kadangkala tercetus perang budaya, seperti yang berlaku antara Indonesia dengan Malaysia akibat perebutan terhadap tarian, lagu, dan batik. “Budaya Indonesia dirompak oleh Malaysia” antara tuduhan media di negara jiran itu.
Semasa berucap di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1988, Presiden Kesatuan Soviet, Mikhail Gorbachev mengemukakan konsep yang wujud sejak beratus-ratus tahun dalam budaya bukan Barat, iaitu “kesatuan dalam kepelbagaian,” meskipun ketika itu Tembok Berlin belum runtuh, dan Kesatuan Soviet belum berkecai, dan Perang Dingin belum berakhir. Malangnya, PBB tidak memandang serius gagasan Gorbachev; dan seterusnya, badan dunia itu mengisytiharkan tahun 2001 sebagai Tahun Dialog Peradaban. Peristiwa 11 September menyebabkan Presiden Amerika, George W. Bush mengisytiharkan perang terhadap keganasan dengan doktrin, “sama ada anda bersama-sama saya atau bersama-sama mereka” menggerhanakan usaha murni PBB. Perang terhadap keganasan menyebabkan orde dunia baru yang diisytiharkan oleh kerajaan Amerika sejak berakhirnya Perang Dingin berubah kepada kekacauan dunia baru. Sementara Eropah terbahagi kepada dua, iaitu Eropah Lama dan Eropah Baru, manakala Iraq dan Afghanistan terheret ke kancah anarki. Berakhirnya dunia seperti yang kita kenali. Dunia juga terjebak dalam pelbagai pertembungan: pertembungan peradaban, pertembungan kejahilan, pertembungan fundamentalisme, dan pertembungan barbarisme.
Setelah bertahun-tahun menyaksikan kelayuan “kesatuan dalam kepelbagaian” dan kelesuan “dialog peradaban,” Presiden Barack Obama membangkitkan semula mimpi indah tentang satu dunia yang diidam-idamkan selama ini. Semasa berucap di Cairo University pada awal Jun 2009, beliau menyeru supaya dibuka “lembaran baru” dalam hubungan antara Amerika dengan dunia Islam. Dua bulan sebelum ini, semasa melawat Turki, beliau bercakap dengan nada yang sama yang ditafsirkan dalam editorial The New York Times sebagai “berakhirnya pertembungan peradaban.”
Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak melangkah sedikit jauh daripada Obama dengan mengemukakan gagasan satu dunia: falsafah nasional, 1Malaysia diperluaskan kepada konsep 1Rantau dan seterusnya 1Dunia. Ketika menyampaikan ucap utama dalam persidangan agung Unesco ke-35 di Paris awal Oktober 2009, Najib dilaporkan mempromosikan gagasan 1Malaysia kepada dunia yang beliau percaya merupakan satu formula paling jitu untuk mengekal dan menjamin keamanan sejagat pada masa ini dan akan datang. Beliau berkata, gagasan 1Malaysia yang diyakini mampu mencapai matlamat “1impian, 1negara,1bangsa” boleh diangkat kepada pelaksanaan konsep 1Rantau, seterusnya 1Dunia, berasaskan falsafah kepercayaan bersama dan hormat menghormati antara semua komuniti.
Sambil menyatakan kesanggupan Malaysia untuk memainkan peranan dalam mengadakan dialog antara budaya, Perdana Menteri menegaskan, keamanan hakiki hanya boleh dicapai melalui dialog dan bukannya dengan paksaan melalui kuasa hegemoni. Beliau turut memetik kata-kata Profesor Hans Kung, seorang ahli falsafah teologi Jerman bahawa tidak akan ada keamanan di dunia ini jika tiada keharmonian dalam kalangan agama dan budaya dan juga tiada keharmonian antara agama, jika tiada dialog dalam kalangannya.
“Sesungguhnya,” tegas Najib, “kejahilan, ketakutan, prejudis, dan sikap ambil mudah yang tidak ditangani dengan sewajarnya, merupakan tempat yang subur untuk membiakkan kebencian, sikap melampau, sikap mudah menyerah pada nasib dan sikap fanatik, yang merupakan punca bagi semua penyakit yang melanda dunia hari ini.”
Dalam kalangan ahli ekonomi pula, Jeffrey Sachs mengimpikan satu dunia yang bebas daripada belenggu kemiskinan “yang boleh direalisasikan pada zaman kita.” Ini kerana, kemiskinan dan bukannya keganasan yang merupakan punca utama ketidakstabilan dunia. Pemenang Hadiah Nobel Ekonomi, Joseph Stiglitz dalam bukunya, Making Globalization Work, dengan idea penyusunan semula globalisasi supaya penduduk di dunia maju dan dunia membangun, generasi masa kini dan generasi akan datang semua mendapat manfaat, mengharapkan “sebuah lagi dunia adalah suatu kemungkinan,” bahkan “sebuah lagi dunia adalah perlu dan tidak dapat dielakkan.” Stiglitz menegaskan: “Kita boleh memiliki ekonomi yang lebih kuat dan masyarakat yang lebih mengutamakan nilai, seperti budaya, alam sekitar, dan kehidupan itu sendiri.”
Apabila Thomas Friedman berkata bahawa “ketika saya tidur, ‘dunia adalah datar’” dan sekali gus menafikan pertemuan Christopher Columbus lebih 500 tahun lalu bahawa dunia ini bulat, tidak dapat tidak, beliau cuba berbicara tentang sebuah dunia yang “padang permainan sedang disamaratakan.” Dengan menggunakan metafora, beliau cuba melakarkan landskap sebuah dunia selepas runtuhnya Tembok Berlin, meskipun dari segi empirikal, beliau gagal melakukannya, kerana dunia dari segi ekonomi, politik, geografi, sejarah, dan budaya, masih bulat, manakala padang permainan tidak disamaratakan.
Walau bagaimanapun, mimpi indah tentang satu dunia bertukar menjadi igauan negeri. Kejahatan dan kecelakaan yang memakai topeng baru. Di mana-mana jua akibat kesahan negara bangsa tergugat, manusia hidup dalam ketakutan, dan ketakutan selalunya bukan kaunselor yang bijak. Penyataan ketakutan ini dalam dua realiti yang jelas seperti yang sering dimaklumkan oleh media, iaitu jenayah dan yang dikenali sebagai persengketaan etnik. Manusia hilang tempat berlindung, hilang pegangan, segala-galanya menjadi cacamarba. Malah agama, seperti yang dikatakan oleh Goenawan Mohamad dalam bukunya, Tuhan & Hal-hal yang Tak Selesai: “Semua ditulis di masa yang seperti kita alami sekarang, ketika Tuhan tidak bisa ditolak dan agama bertambah penting dalam hidup orang banyak, memberi kekuatan, menerangi jalan, tapi juga membingungkan dan menakutkan.”
Satu dunia yang rusuh, suatu perjalanan yang berliku-liku. Dan jalan penyelesaiannya bukannya melalui dialog antara budaya semata-mata. Sesungguhnya, dua perkara yang menguasai dunia sejak dekad terakhir abad ke-20: globalisasi dan keganasan. Yang pertama diwarnai dengan harapan yang sangat indah, manakala yang kedua bergelut dengan bahaya yang sangat dahsyat.
Hakikatnya, bahagian pertama abad ke-21, jauh lebih sukar, lebih goyah, tetapi lebih terbuka jika dibandingkan dengan apa-apa yang diketahui pada abad ke-20. Antara premisnya, sistem-dunia moden, sebagai sistem sejarah yang wujud sejak kira-kira 500 tahun lalu, kini memasuki krisis terminal dan mustahil dapat wujud dalam masa 50 tahun lagi.
Seperti yang ditegaskan oleh Immanuel Wallerstein dalam beberapa hasil penulisannya, kita hidup dalam peralihan daripada sistem-dunia kita yang wujud sekarang, iaitu ekonomi-dunia kapitalis kepada satu lagi sistem-dunia atau sistem-sistem. Kita tidak tahu, sama ada peralihan ini untuk lebih baik ataupun lebih teruk. Tegas beliau lagi, “kita tahu bahawa tempoh peralihan merupakan sesuatu yang sukar: sukar untuk yang berkuasa, sukar untuk orang biasa.” Oleh sebab peralihan itu memakan masa yang panjang dan sukar, dua persoalan mendepani kita: Apakah bentuk dunia yang pada hakikatnya kita hajati; dan apakah cara atau laluan yang kemungkinannya kita akan ke sana? Lebih daripada itu, berdasarkan jurang geopolitik pada abad ke-21, timbul persoalan, apakah masa depan dunia ini? Jawapannya, tidak pasti. Dalam hubungan ini, rakan sealiran dengan beliau, Samir Amin – Marxis intelektual, mengemukakan jawapan tentang dunia yang kita ingin lihat pada abad ke-21 dalam konteks sejarah: objektif revolusioner.
Di tengah-tengah keterujaan tentang gagasan satu dunia, Goenawan Mohamad yang terkenal dengan “catatan pinggir” dalam majalah Tempo, mempunyai pendirian yang agak berlainan tentang “satu.” Dalam bukunya yang dipetik di atas, beliau secara sinis, memberikan kefahaman yang menarik, meskipun ringkas. “Satu itu palsu. Seperti sapu lidi. Satu itu palsu, meskipun padat dan pejal. Mungkin itu sebabnya menara Babel adalah sebuah hikayat tentang kegagalan.” Bagi Goenawan, Tuhan sengaja tak mengkehendaki segalanya jadi satu, melainkan berbeda. “Hadir sebagai beda, bukan sebagai sama, bukan sebagai satu...”
No comments:
Post a Comment