Artikel Popular

Sunday, February 6, 2011

Ground Zero Berkecamuk

AHAD, 5 September 2010
Oleh: ZULKIFLI SALLEH

Samuel Huntington membuat pemerhatian yang tepat  dalam    bukunya, Who Are We?:  The Challenge  to America’s National Identity  bahawa abad ke-21 merupakan permulaan agama.  Model sekular Barat tentang negara  dicabar dan digantikan, seperti yang berlaku di Iran, Rusia, Turki, India, dan Israel.  Penonjolan agama  semakin bertambah  dengan jati diri atau identiti bangsa dan orang ramai,  juga bermakna meningkatnya perseikatan   agama dengan konflik di banyak bahagian dunia.  Apabila konflik memberikan  tumpuan  terhadap isu agama, konflik  itu cenderung menjadi hasil tambah sifar (zero sum) dan sukar untuk bertolak ansur: sama ada kuil atau masjid dibina di Ayodhya; sama ada Yahudi atau Muslim menguasai Temple Mount. 
Dengan memetik kata-kata Jonathan Sacks bahawa  “agama selalunya punca konflik,”  Huntington meramalkan  bahawa “pada tahun mendatang, Amerika Syarikat juga akan menjadi  zon  konflik.”  Kini, ramalan  beliau  itu seperti api kecil yang makin marak:  Daripada yang semacam jenaka   apakah agama Presiden Barack Obama?  kepada  yang berantakan, iaitu   pembinaan masjid.   
Hampir seorang  dalam setiap lima orang, atau 18 peratus rakyat Amerika fikir Obama ialah Islam, meningkat daripada 11 peratus orang yang berkata demikian pada Mac 2009, seperti yang didedahkan oleh tinjauan  pendapat   Pew Research Center pada Ogos lalu. Tinjauan yang dijalankan sebelum beliau menyokong pembinaan masjid di Ground Zero  menunjukkan  kadar  orang yang mengatakan betul beliau Kristian jatuh kepada hanya 34 peratus. Kadar terbanyak, iaitu 43 peratus yang mengatakan bahawa mereka tidak tahu apakah agama beliau, meningkat daripada 34 peratus yang berkata demikian sebelum ini. 
Yang  paling serius, sejak beberapa bulan   yang lalu, kumpulan Islam di Amerika terpaksa berhadapan dengan penentangan yang sengit yang tidak dijangkakan dalam usaha mereka membuka masjid di Lower Manhattan,  dan yang terbaharu di biara kosong di Staten Island. Meskipun sesetengah penentang memberikan alasan lalu lintas dan letak kenderaan, tetapi bangkangan lebih tertumpu terhadap isu yang tidak ketara dan sentiasa bergolak, iaitu keganasan. Penentangan terhadap pembukaan masjid baru hampir menjadi perkara biasa.  Kekecohan yang serupa berlaku ketika mesyuarat lembaga komuniti  Lower Manhattan pada 25 Mei lalu tentang rancangan untuk membina masjid di Tribeca, Bandar Raya New York, iaitu  berhampiran Ground  Zero.  Protes juga dilaporkan berlaku di Brentwood, Tennessee; Sheboygan, Wisconsin;  dan Dayton, Ohio.  Protes terhadap  rancangan pembinaan  masjid dan pusat Islam   terus tercetus, dan yang terbaharu  pada petang Ahad 22 Ogos apabila beratus-ratus orang berkumpul di pusat bandar Manhattan.
Rancangan   pembinaan  masjid   kira-kira dua blok  dari Ground Zero   mengundang pelbagai reaksi, sama ada bangkangan ataupun  sokongan, daripada  orang  awam kepada  Presiden Amerika, daripada ahli politik Demokrat kepada Republikan, daripada Datuk Bandar New York kepada bekas Datuk Bandar, daripada pemimpin  Islam kepada Kristian dan Yahudi, dan  daripada cerdik pandai politik kepada Ratu Cantik  Amerika yang beragama  Islam.
Rancangan  itu juga   dikatakan memisahkan rakyat  Amerika.  Ahli politik di luar New York pula  terus-menerus menyatakan pendirian masing-masing.  Lebih memeranjatkan ialah ketidaksepakatan dalam setiap parti tentang isu yang mengejutkan  menjelang   Pilihan Raya Separuh Penggal  yang berlangsung pada bulan November.   Sementara  umat Islam di  Amerika dilaporkan mempunyai pendirian yang berbelah bahagi.  Sesetengahnya mengatakan bahawa projek itu tidak peka terhadap mangsa 11 September  dan tidak perlu dilakukan provokatif ketika umat Islam mendesak penerimaan yang meluas di Amerika.
Halangan perundangan terakhir untuk pusat Islam yang dicadangkan berhampiran dengan Pusat Dagangan Dunia (WTC) telah diketepikan, tetapi tulis Bobby Ghosh dalam majalah Time dalam talian pada awal Ogos, “tetapi kejahilan, ketaasuban, dan politik merupakan halangan yang paling menggerunkan.”   Undi sebulat suara pada 3 Ogos oleh New York City Landmarks Preservation Commission bermakna bangunan yang kini menduduki 45-47 Park Place boleh dirobohkan, untuk pembinaan Park51, projek yang dikenali oleh pengkritiknya sebagai “Masjid Ground Zero.”  Bahas Ghosh, kritikan menjangkau gamut, daripada  ill-informed anguish mereka yang silap memandang  Islam sebagai kuasa berniat jahat yang meruntuhkan menara  kepada ill-considered opportunism ahli politik sayap kanan yang melihat Islam sebagai sasaran yang mudah. (Anehnya, asal usul  Islam di Bandar Raya New York di kawasan sekitar WTC, dan mereka wujud sebelum Menara Berkembar: pada akhir abad ke-19, bahagian Lower Manhattan yang dikenali Little Syria dan didiami oleh imigran Arab – Muslim dan Kristian – dari Empayar Ottoman.)
Meskipun dari segi setiap standard perundangan, Park51 itu boleh didirikan, namun persoalannya tidak mudah padam.  Apabila Presiden Obama mengeluarkan kenyataan dalam majlis berbuka puasa di Rumah Putih pada 13 Ogos menyokong “hak untuk membina tempat ibadat dan pusat komuniti di atas tapak harta persendirian di Lower Manhattan” dikatakan melepaskan satu lagi ribut gembar-gembur  partisan.  Sebelum ini, Michael  Bloomberg, Datuk Bandar New York menyokong hak penganjur projek untuk membina pusat Islam di tapak yang yang dicadangkan itu sehingga mencetuskan kontroversi,  tetapi  kenyataan Obama lebih  membangkitkan  persengketaan, baik dari segi politik mahupun peribadi.
 Walaupun  umat Islam menunaikan ibadat di kawasan kejiranan itu  selama 23 tahun dan mereka adalah sebahagian daripada komuniti di situ, tetapi respons komuniti terbanyak ialah bising, jahat, dan huduh.  Jawapannya “tidak” untuk masjid.  Para  pengudi  di  Bandar Raya New York, dengan nisbah 2:1 atau 52 peratus berbanding dengan 31 peratus, menentang rancangan kumpulan Islam untuk membina masjid dan pusat kebudayaan itu.  Demikian menurut tinjauan pendapat  yang dijalankan oleh   Quinnipiac University antara 21 hingga 28 Jun.  Sementara tinjauan pendapat majalah Time/ABT SRBI menunjukkan 61 peratus menentang pembinaan pusat Islam itu berbanding dengan 26 peratus yang menyokong. Tinjauan pendapat  terbaharu yang dikeluarkan oleh Siena College pada pertengahan Ogos menunjukkan bahawa 63 peratus daripada 788  pengundi yang berdaftar yang ditinjau  menentang rancangan itu.
Park51 “masjid Ground Zero”   walaupun bukannya  kemenangan radikalisme Islam, namun bagi sesetengah orang, alasan ini tidak dapat diterima dengan mudah.  Justeru,    ada yang membahaskan  bahawa gereja mungkin gereja, kuil mungkin kuil, tetapi menerusi prisma emosi yang masih mencengkam kebanyakan penduduk New York hampir satu dekad selepas  Peristiwa 11 September, masjid jelas boleh mewakili banyak perkara. Tidak kurang penentangan yang berbaur dengan  nada emosi, seperti yang terpampang pada sepanduk  penunjuk perasaan:   “Anda boleh  membina masjid di Ground Zero apabila kami boleh membina saumaah di Makkah.
Penentangan itu turut digerakkan oleh  pertubuhan yang  memang anti-Islam, seperti Stop Islamization of America (SIOA).  Pengarah eksekutif kumpulan hak asasi manusia itu,     Pamela Geller, menghantar surat terbuka kepada  Imam Feisal  Abdul Rauf dan isterinya, Daisy Khan, pemimpin Cordoba Initiative, supaya membatalkan cadangan itu atas nama saling hormat menghormati dan  saling memahami.
“Penduduk  New York yang aman dan damai, harap tolak rancangan pembinaan masjid di Ground Zero jika anda percaya bahawa kesengsaraan malapetaka di tapak Menara Kembar masih terlalu berdarah, terlalu benar.  Orang Islam yang cintakan perdamaian, harap faham bahawa masjid di Ground Zero adalah provokasi yang keterlaluan; melukakan hati.  Harap tolak cadangan itu demi kepentingan bertaut semula.”  Tulis Sarah Palin, bekas Gabenor Alaska dan bekas calon Naib Presiden  dalam Twitter beliau,  yang turut mengundang kontroversi – banyak juga yang mengkritik beliau.
Ketika muncul dalam program “Today” NBC, Rudolph Giuliani,  bekas Datuk Bandar New York yang turut  menentang,  berkata bahawa pusat Islam yang dicadangkan itu akan mewujudkan perpecahan, kemarahan, dan kebencian.  Beliau mempersoalkan sama ada Imam Feisal benar-benar komited untuk bertaut semula, dan menuduh Feisal “menjual sensitiviti.”
Agak memeranjatkan  bahawa pandangan yang dangkal itu datangnya daripada intelektual, seperti Newt Gingrich, bekas Speaker dari Republikan,  yang membandingkan pembinaan pusat Islam itu dengan meletakkan tanda Nazi berdekatan dengan Holocaust Museum.  Dalam  laman webnya, Newt  pergi lebih jauh dengan  menyamakan semua orang Islam dengan keganasan. “Masa untuk dwistandard yang golongan Islamis bertindak secara agresif terhadap kita, manakala mereka menuntut kelemahan dan penyerahan kita telah  berakhir.”
Walau bagaimanapun, tidak semua orang dengan  mudah  melanggani  idea  Newt  Gingrich yang jelas memperlihatkan kejahilan dan keangkuhannya.  Robert Scheer yang menulis dalam majalah The Nation pada 18 Ogos, “Ground Zero for Tolerence”  bahawa  seseorang patut mengingatkan Newt bahawa kedua-dua presiden, Republikan dan Demokrat, menganggap Arab Saudi sebagai sekutu dalam peperangan menentang keganasan.  Demikian juga kerajaan Pakistan yang dikuasai Islam yang menjadi sekutu Amerika sejak setengah abad, tidak perlu dinyatakan sekutu semasa Amerika yang berkuasa di Iraq dan Afghanistan.  Scheer mengingatkan premis perlindungan Perlembagaan Amerika terhadap kepelbagaian agama adalah bahawa kejahilan ialah musuh kebebasan.  Tambah beliau lagi, “Bapa Pengasas kita benar-benar faham pengalaman peribadi yang cukup mendalam, seperti yang ditunjukkan dalam penulisan Washington dan Jefferson, bahawa agama dan kebebasan politik diancam secara paling berkesan oleh kefanatikan kaum kerabat sendiri.”
Kritikan  juga datang daripada Hendrik Hertzberg  bahawa  “Gingrich bagi menunjukkan   kesetiaan kita kepada kebebasan agama dengan menjadikannya tebusan:   ‘Tidak patut wujud masjid berhampiran Ground Zero di New York selagi tidak wujud gereja dan saumaah di Arab Saudi.’”  Hertzberg   yang menulis  “Zero Grounds”  dalam  majalah The New Yorker pada 16 Ogos, membahaskan bahawa polemik pembinaan masjid itu sepatutnya berakhir, tetapi sebaliknya tidak.  Pilihan Raya Separuh Penggal memanaskannya.  Di peringkat  tempatan, kepartisan, secara lebih khusus, kepartisan Republikan – mereka-reka  hubungan kekeluargaan.  Dua calon utama Republikan untuk gabenor New York menjadikan “masjid Ground Zero”  isu.  Di peringkat  nasional, penentangan terhadap Park51 semakin pantas menjadi persoalan disiplin dan keortodoksan konservatif  Republikan.  “Pada akhir minggu lalu,” tulis beliau, “John McCain menyertai  korus bekas regunya untuk Pilihan Raya Presiden:  ‘Terang-terangan pendapat saya ialah saya menentang pembinaan masjid itu.’” 
Melihat  Amerika yang seakan-akan dirasuk kegilaan  tentang apakah agama Obama  dan bangkangan terhadap   penubuhan masjid itu,   Maureen Dowd  menulis   dalam kolumnya dalam akhbar The New York Times, “Going Mad in Herds”  bahawa Presiden Obama dikatakan manusia rasional menerajui negara yang paling tidak rasional, manusia berfikiran tinggi pada zaman berfikiran rendah. “Pertikaian terhadap pusat Islam memerangkap beberapa  kerja gila nasional yang mendalam.  Kemarahan dan rasa syak yang tidak terkawal terhadap Ground Zero menunjukkan bahawa banyak rakyat  Amerika tidak mengikis  trauma 11 September keluar dari  diri  mereka – menyebabkan mereka mudah menjadi mangsa  penyebar ketakutan.”
Rancangan pembinaan  masjid dan pusat Islam itu  juga menyaksikan “pertarungan”  media.   Dalam kalangan media utama di Amerika, selain  Time,  akhbar   The New York Times adalah antara yang menyokong rancangan itu.  Seperti yang dapat dilihat melalui editorial dan tulisan kolumnisnya, akhbar  itu secara tekal dan cekal mempertahankan kewajarannya.   Pendirian akhbar ini diperkuatkan lagi oleh   tulisan penyumbang  yang  memahami Islam,  seperti William Dalrymple, pengarang The Last Mughal:  The Fall of a Dynasty, Delhi, 1857.
  Dalam  The Constitution and the Mosque,”  editorial akhbar itu  pada 17 Ogos   mempertahankan pendirian Presiden Obama yang menunjukkan beliau memahami  Perlembagaan, dan beliau menghormati orang Amerika.  Bagi editorial itu, kata-kata Obama adalah mudah dan bersemangat:  “Orang Islam mempunyai hak yang sama untuk mengamalkan agama mereka sebagaimana setiap orang lain di negara ini.”  Namun begitu,  Obama selepas digasak oleh pendukung ideologi Republikan, manakala     beberapa anggota Demokrat, termasuk Harry Reid, pemimpin majoriti Senat, tidak bersetuju dengan pendiriannya,  beliau  seakan-akan “sejuk kaki.”
 “Kami berharap,” tulis editorial itu, “beliau tidak melemahkan mesej  itu keesokan hari, dengan memberitahu pemberita bahawa  beliau tidak akan komen tentang ‘kebijakan membuat keputusan untuk membina masjid di sana.’  Beliau akan melakukan sesuatu yang lebih baik jika beliau menjelaskan kebijakan melaksanakan projek itu,  dengan pihak pemaju kata adalah untuk menyatukan orang Islam dengan bukan Islam.  Sebagai tambahan, tempat ibadat itu akan mempunyai kolam renang dan pusat kesenian.”   Tegas editorial itu, Tuan Obama dan semua orang yang mempunyai hati nurani perlu mendesak dengan kuat.  Mempertahankan  hak semua rakyat Amerika untuk beribadat – dan hak mereka mendirikan tempat beribadat – ialah asas kepada siapa kita.
Boleh dikatakan seorang demi seorang kolumnis akhbar yang berpengaruh di Amerika itu  tampil menyatakan pendirian yang menyokong.  Secara metafora,  Ross Douthat menulis dalam kolumnya, “Islam in Two America:”  Dua pemahaman ini tentang Amerika, satu Perlembagaan dan satu lagi budaya, yang dalam ketegangan  dalam sejarah kita. Dan kedua-duanya dalam ketegangan lagi pada musim panas ini, dalam kontroversi tentang pembinaan masjid dan pusat kebudayaan yang dijadualkan didirikan dua blok dari Ground Zero.
Editorial dan tulisan Ross Douthat itu  dikritik oleh   The Wall Street Journal; akhbar ini bersama-sama dengan New York Post dan Fox News memang secara terang menentang rancangan pembinaan masjid dan pusat Islam tersebut. 
Dalam keluaran 22 Ogos, dua lagi kolumnis The New York Times, iaitu Nicholas  D. Kristof dengan “Taking Bin Laden’s Side”  dan  Frank Rich dengan  How Fox Betrayed Petraeus” turut menyatakan pendirian masing-masing.  Kristof mengkritik anggota Republikan, termasuk Sarah Palin yang menentang rancangan pembinaan masjid dan pusat komuniti yang jelas memperlihatkan mereka berkongsi pandangan  dengan Al-Qaeda bahawa Barat dan dunia Islam tidak dapat  mengelak daripada terperangka dalam  “pertembungan peradaban.”  Bangunan yang akan dibina itu, bahas  beliau,  adalah seakan-akan YMCA, dan dua blok jauh  dan jelas  tidak kelihatan dari Ground Zero kerana kawasan kejiranan itu adalah padat.   “Mengapa banyak anggota Republikan dapati kelab tarian bogel  sesuai untuk kawasan kejiranan Ground Zero, tetapi menentang rumah ibadat?  Adakah tarian bogel  lebih suci daripada usaha bersunguh-sungguh untuk menggalakkan keamanan? Tempelak Kristof.   Dengan membangkitkan  pandangan banyak rakyat Amerika bahawa penganut Katolik tidak akan menjadi  Amerika tulen, beliau mengingatkan  salibi hari ini terhadap pusat komuniti Islam menggalakkan sikap tidak  bertoleransi paranoid yang sama, dan satu hari kita akan dimalukan kerana sikap sedemikian.
Sementara Frank Rich menegaskan bahawa penggerak utama, termasuk ketiga-tiga  media yang dinyatakan di atas, dalam kempen “masjid Ground Zero”  secara kebetulan adalah dalam kalangan ketua kumpulan penyorak terakhir untuk peperangan sembilan tahun Amerika di Afghanistan.  Bola yang musnah yang mereka acu-acukan bukan hanya menghentam Park51, sebagaimana projek berkenaan dikenali, tetapi meruntuhkan  sokongan yang telah pun  lemah untuk peperangan itu.  Hujah Rich, bagaimana Jeneral David Petraeus yang mengetuai peperangan di  Afghanistan dapat memenangi hati dan minda orang Islam di Kandahar apabila anda menggelar orang Islam dengan setiap nama yang keji dalam buku di New York?  Tatkala beliau bertungkus-lumus untuk memenangi peperangan yang beliau warisi itu, tiada seorang pun yang dengar, tiada seorang pun yang peduli.  Setiap orang terlalu sibuk melalak tentang masjid itu. 
Frank Rich  menyusuri  latar belakang projek Park51 yang pada mulanya diterbitkan dalam makalah  halaman depan  The New York Times pada 9 Disember 2009.  Tidak ada satu pun  media utama  yang mempedulikan pelaporan itu, kecuali   Fox News dua minggu kemudian, apabila Laura Ingraham dalam program  “The O’Reilly Factor,”  menemu bual Daisy Khan, isteri Feisal Abdul Rauf.  Laura dikatakan memberikan restu terhadap rancangan itu: “I can’t find many people who really have a problem with it.  I like what you’re trying to do.”  Rich mengecam  sifat kepura-puraan dan tuduhan  melulu  terhadap Islam dan  Feisal (juga isterinya) yang dilakukan oleh  empayar media Rupert Murdoch, sedangkan pemegang  saham kedua terbesar dalam News Corporation ialah kerabat diraja Arab  dan perbadanan ini melabur dalam syarikat media di Arab Saudi.
Bagi kita  di Malaysia, jangan lupa bahawa penggerak utama rancangan pembinaan masjid dan pusat  Islam tersebut,  iaitu    Feisal Abdul Rauf   pernah tinggal dan menerima pendidikan awal di negara ini. Beliau mempunyai kenalan rapat di sini, antaranya  Mohd. Jajuli  Abdul Rahman, bekas Ketua Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka.  Ayahnya, Tan Sri  Muhammad Abdul Rauf banyak memberikan sumbangan terhadap    Islam di Malaysia, terutamanya dalam bidang pendidikan.   Beliau  pernah menjadi  pengetua pertama Kolej Islam Kelang dan reaktor pertama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.  Ketika DBP menganjurkan “Persidangan  Isu dan Proses Pembukaan Minda Umat Melayu Islam” pada tahun 2002,  yang ucaptama dan perasmian disempurnakan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu,  kedua-duanya  pulang untuk membentangkan  kertas kerja masing-masing.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...