Artikel Popular

Sunday, February 13, 2011

Semangat Pemberontakan Arab Melanda Dunia?

ISNIN, 14 Februari 2011
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH
Kira-kira tiga bulan  krisis mata wang melanda Mexico, majalah Fortune keluaran Mac 1995 mengemukakan soalan yang menarik  melalui tajuk rencananya: “After Mexico, Who’s Next?”  Berdasarkan defisit akaun semasa, kadar inflasi tahunan, defisit belanjawan, dan rizab pertukaran asing, negara teratas dalam senarai ialah Filipina,  disusuli oleh Indonesia, Brazil, Malaysia, Thailand, Argentina, dan Chile.  Apabila Greece dilanda krisis hutang pada tahun lalu,  persoalan yang serupa dibangkitkan: negara mana selepas ini?  Maka,  disenaraikan Ireland, Portugal, dan Sepanyol.  Demikian juga apabila tercetus Revolusi Melati yang menumbangkan Zine el-Abidine Ben Ali pada 14 Januari lalu,  siapakah atau negara mana selepas ini? Orang ramai tidak perlu berteka-teki terlalu lama untuk mencari jawapan: Hosni Mubarak dari Mesir. Selepas Mubarak tumbang pada 11 Februari lalu, persoalan yang serupa diajukan. 
            Mengapa soalan sedemikian  amat popular adalah kerana banyak persamaan antara  pemimpin dan antara negara.   Maka, jika ada jatuh atau tumbang, nescaya yang lain akan turut menyusul. Sebelum ini, orang bercakap mengapa Tunisia?   mengapa Mesir?  Selepas kedua-dua buah negara itu, dijangkakan  beberapa negara lagi turut terheret sama, bahkan pada awal  Februari lalu, semangat protes Mesir  tersebar ke Yaman, Algeria, dan Syria.
            Zaman taakulan politik  kembali semula ke dunia Arab.  Kata Tariq Ali sebaik-baik sahaja Mubarak tumbang. “Orang ramai berasa meluat kerana sentiasa dijajah dan dibuli.  Sementara itu, bahang politik memuncak di Jordan, Algeria, dan Yaman."

            Rakyat  Mesir dikatakan mengubah dunia, dan apa yang mereka lakukan hanya sebuah lembaran baru.  Dengan kemenangan mereka menentang diktator, kini mereka menawan hati warga dunia, dan memperlihatkan apakah yang generasi ingin lakukan tentang demokrasi. Berikutan peletakan jawatan Mubarak,  dijangkakan kesan terhadap dunia Arab adalah besar, meskipun kesan sebenar tidak boleh diramalkan.  Selepas revolusi di kedua-dua negara itu, dipercayai mesej politik memang jelas, iaitu dengan protes tanpa kekerasan, apa-apa sahaja boleh  berlaku dan tiada kerajaan autokratik yang selamat dan terjamin selama-lamanya.  “Presiden dan raja berasa tertekan oleh titik tolak bersejarah ini, tulis Tariq Ramadan,  cucu Hassan al-Banna, pengasas  Ikhwanul Muslimin (Muslim Brotherhood).  Meskipun kekacauan melanda Algeria, Yaman, dan Mauritania, tetapi tegas beliau, “kita patut juga melihat Jordan, Syria, bahkan  Arab Saudi yang para pemimpin sama-sama berasa takut dan terancam.  Para pemimpin semua negara ini jika Mesir runtuh, mereka juga mengalami nasib yang sama.”

      Ketika penentangan terhadap Mubarak  kian memuncak, Aijaz Ahmad,  pemikir Marxis dalam wawancara yang diterbitkan dalam MRZine, penuh yakin bahawa revolusi akan berlaku melampaui Tunisia dan Mesir. Hujah beliau, krisis makanan dan neoliberalisme yang bercelaru yang bukan sahaja berlaku di Tunisia, bahkan juga di tempat-tempat lain. “Kita bercakap tentang pemain politik di Tunisia. Wujud krisis makanan dunia,” tegas Aijaz.  “Ini yang pertama, paling berjaya protes kriss makanan di dunia, pada satu tahap, dan mengakibatkan semua rejim berasa terancam: Libya, Algeria, Jordan, Mesir, Syria.”  Bagi neoliberalisme pula, hujah beliau, sejak dua tahun lalu, ekonomi Tunisia gagal, manakala Eropah menghantar krisis ke negara itu.  “Kini, semua perkara ini berlaku di negara-negara lain di rantau itu dan juga bukan hanya di negara Afrika dan Asia Barat, tetapi juga banyak negara lain lagi.”  Aijaz juga  merujuk dokumen Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia, dan agensi bantuan Amerika Syarikat, yang meramalkan bahawa tahun 2011, berlaku pemberontakan  makanan di seluruh dunia.

Tidak kurang menarik ialah jangkaan bahawa   pemberontakan Mesir melampaui dunia Arab.  Sehari sebelum Mubarak meletakkan jawatan, John Pilger, wartawan penyiasatan yang terkenal menulis, “The Egyptian Revolt is Coming Home,”  mengingatkan para pemimpin Barat sepatutnya menguek but kereta mereka.  “Pemberontakan di  Mesir, tulis Pilger dalam New Statesman, ialah kancah kemungkinan kita.  Ini adalah apakah orang ramai merentas dunia berjuang untuk dan pengawal minda takuti.”  Beliau mengingatkan penyalahgunaan bahasa oleh pengulas Barat, iaitu “kami” dan “kita” untuk bercakap bagi pihak mereka yang berkuasa yang melihat bahagian lain kemanusiaan sebagai berguna atau boleh berkembang.  “Kami” dan “kita” ialah universal sekarang. 
Tambah Pilger, setelah memusnahkan masyarakat di negara luar, rejim di Washington dan London yang rapuh dan jarang-jarang demokratik, kini akan melakukan perkara yang sama di negara mereka, dengan pembohongan dan tanpa mandat. Kepada mangsa-mangsa mereka, penentangan di Dataran Tahrir mesti dilihat sebagai inspirasi.
            Dipercayai bahawa keselarian tidak boleh dielakkan antara pemberontakan bulan lalu di Tunisia yang menjadi inspirasi Revolusi Mesir dengan kejatuhan Tembok Berlin 22 tahun lalu, yang bermulanya domino yang melanda blok bekas Komunis.  Hari ini, orang mula merasakan  bukan sahaja negara Arab, seperti Algeria, Yaman, dan Jordan, menunggu giliran masing-masing, bahkan pemberontakan popular dijangkakan merebak negara Afrika tengah Gabon, manakala teokrat Iran berasa kurang selesa.  Meskipun tidak dapat dipastikan   negara mana selepas Mesir, namun ada yang merasakan Cuba atau China mudah terdedah.  Seperti yang ditulis oleh Nicholas D. Kristof dalam The New York Times, “What Egypt Can Tech America,” kita tahu bahawa di banyak tempat wujud rasa tidak puas hati yang mendalam dan keinginan yang membara untuk penyertaan yang lebih besar.  “Dan pengajaran  sejarah dari tahun 1848 hingga 1989 adalah bahawa pemberontakan yang merebak dan melantun dari sebuah negara ke sebuah .”
            Agak memeranjatkan kesan pemberontakan popular di Mesir dipercayai akan menjalar ke China yang dikatakan menapis berita yang mengandungi peristiwa di Mesir itu sebagai langkah berjaga-jaga. Langkah  kerajaan negara itu  menyediakan penerbangan untuk membawa balik warganegara China dari Mesir bersama-sama penduduk Hong Kong, Macau, dan Taiwan, untuk mengelakkan mereka daripada “terdedah” pada pemberontakan popular itu.
            Untuk melihat berapa jauh Pemberontakan Arab akan merebak, bergantung pada kemaraannya di dunia Arab itu sendiri.  Meskipun beberapa buah negara turut tersenarai, antara yang teratas ialah Yaman, tetapi  negara itu dikatakan bukan bumi yang subur untuk revolusi.  Pada awal  Februari lalu berlaku tunjuk perasaan secara aman di seluruh Sana’a,  ibu negara Yaman, yang pada mulanya dikhuatiri boleh mewujudkan keadaan tidak stabil di negara Arab selatan itu yang akan meletup jika protes bertambah menjadi ganas.  Protes antikerajaan yang menjanjikan Hari Keberangan bertujuan  memaksa Ali Abdullah Saleh yang menjadi Presiden sejak tahun 1978, meletakkan jawatan.  Namun, pada tengah hari, penunjuk perasaan yang berjumlah 20,000 orang  telah pun berarak pulang  ke rumah masing-masing. 
“Tidak seperti di Tunisia dan Mesir,” tegas Oliver Holmes dan  Majid al Kisbi, “protes jalanan Yaman setakat ini hanya  mampu terhuyung-hayang pada pinggir  pemberontakan.”  Meskipun kedudukan Presiden yang menjadi sekutu setia Amerika sukar digugat dan jalan-jalan di Sana’a  tenang pada hari Khamis itu,  namun kedua-dua penulis  dalam Time itu mengingatkan bahawa “situasi boleh menjadi tidak teratur, terutamanya jika Mubarak berundur dan rakyat Yaman mendapat semangat kedua.” 
Yaman tidak akan jatuh, tulis Victoria Clark, pengarang Yemen: Dancing on the Heads of Snakes,    meskipun berlaku tunjuk perasaan di Sana’a pada hari itu.  Berikutan kejatuhan  Zine el-Abidine Ben Ali, Presiden Ali Abdullah Saleh terpaksa mengubah langkah tarinya dan mempercepatkan temponya. Beliau tidak akan meneruskan khidmatnya melampaui  tahun 2013 dan tidak juga membenarkan anaknya, Ahmed menggantikannya.  Oleh sebab peraturan permainan telah berubah, maka beliau tidak boleh lagi mungkir janji kali ini.
            Setakat ini,   semangat  Pemberontakan Arab  diharapkan mampu mengubah dunia dan bukannya sekadar untuk dunia Arab semata-mata.  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...