Artikel Popular

Saturday, February 26, 2011

Skandal

SABTU,  26 Februari 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Dalam  Bab 6  “Scandal, What Scandal?    Malaysian Maverick:  Mahathir Mohamad in Turbulent Times, Barry  Wain mengisahkan semula skandal yang berlaku pada  era  Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.  Seandainya tanpa buku itu, kebanyakan daripada kita sudah lupa apa yang berlaku sejak awal tahun 1980-an.  Bagi orang veteran seperti saya, selain skandal BMF, tidak banyak lagi skandal  yang masih diingat.  Hilang dalam memori usia.
Saya mengingati skandal BMF  kerana pertama, pembunuhan akauntan  Jalil Ibrahim di Hong Kong.  Allahyarham  dihantar  oleh Bank Bumiputra Kuala Lumpur untuk menyiasat BMF di tanah jajahan British ketika itu, kemudian mayatnya ditemui  dalam kebun pisang. Kedua, skandal yang cukup besar itu dijadikan modal politik dalam pergelutan kuasa  antara Team A dengan Team B yang berlanjutan   sekurang-kurangnya   sehingga Pilihan Raya Umum 1990. 
Ketika buku Barry Wain  itu  masih dalam pemeriksaan Kementerian Dalam Negeri, beberapa ulasan telah diterbitkan dalam  majalah dan akhbar antarabangsa, antaranya The Economist dan The Wall Street Journal.  Bahkan, Universiti Malaya telah mengadakan majlis wacana yang turut dihadiri oleh penulisnya sendiri.  Tun Dr. Mahathir sendiri memberikan  reaksinya terhadap buku itu:  "Tiada negara yang lebih reput, tiada bangsa yang lebih perkauman, dan tiada parti yang lebih rasuah daripada Malaysia, orang Melayu, dan UMNO.” 

Makalah ini tidak bertujuan mengulas buku itu dan tidak juga untuk menyebut satu persatu skandal yang dinyatakan dan dikupaskan oleh bekas editor The Wall Street Journal itu. Yang menarik perhatian saya ialah cara Barry Wain memilih tajuk bab itu, “Skandal, Skandal Apa?” dengan cukup kreatif dan bertenaga, menggambarkan bahawa skandal itu selalu hidup dan sentiasa wujud dalam masyarakat.  Selain itu, dapat dirasakan bahawa beliau  seakan-akan menyindir: tiada apa-apa yang berlaku.
Sesungguhnya, skandal merupakan sebahagian daripada kehidupan manusia, yang  sentiasa berlaku, melibatkan orang atau kumpulan tertentu:  daripada  ahli politik kepada penjawat awam;  daripada  ahli perniagaan  kepada artis;  daripada pemimpin masyarakat kepada pemimpin agama; daripada individu kepada negara;   daripada skandal kewangan kepada skandal seks; daripada skandal politik kepada skandal perniagaan. 
“Kebangkitan skandal perniagaan,” tulis James Ledbetter pada tahun 2002 ketika Amerika Syarikat dilanda krisis perniagaan.   Akhbar perniagaan hari ini, tegas beliau,  “sarat dengan cerita skandal dan jenayah yang menyebabkan para pembaca berfikir bahawa mereka membaca tabloid.  Keadaan melambung pasaran saham mungkin berakhir, tetapi keadaan melambung skandal perniagaan berterusan.”  Elok ditambah di sini, demikian juga skandal politik: ahli politik datang dan pergi, tetapi skandal kekal selama-lamanya.
Bagi skandal yang melibatkan ahli politik, pastinya tidak sukar untuk difahami kerana perkara ini telah lama diperhatikan oleh  George Orwell.    Dalam “Politics  and the English Language” yang diterbitkan dalam jurnal Horizon April 1946 yang  masih  dipetik hingga kini, meskipun  langsung tidak membangkitkan skandal, beliau menulis:      “Pada zaman kita,   tidak ada perkara yang terpisah daripada politik. Semua isu ialah isu politik, dan politik itu sendirinya merupakan bongkah pembohongan (mass of lies), dalih, kebodohan, kebencian,  dan skizofrenia.”   Bagi beliau,   “bahasa politik dan dengan kelainan adalah  memang benar semua parti politik, daripada Konservatif kepada Anarkis dirancang untuk menjadikan dusta nampaknya jujur dan pembunuhan baik reputasinya.”  Jika diungkapkan semula, “tuduhan dan penafian” – memetik tajuk halaman hadapan akhbar The New Straits  Times Singapura pada Julai 2008  yang melibatkan dua tokoh penting politik   Malaysia yang berlainan “kapal.” 
Daripada laporan Misinformation and the 2010 ElectionDan Gillmor, menulis  bahawa orang politik bohong, manakala orang ramai tahu, tetapi mereka tidak peduli.  Kita mempunyai krisis maklumat.  Pengedar pengaruh dan tukang dobi pendapat kini boleh membelanjakan wang dalam jumlah yang tidak terhad, kebanyakannya dikumpulkan  daripada sumber yang tidak dikenali, untuk mengajukan isu politik dan calon. 
“Sementara saluran ‘berita’,” tulis Gillmor, “menjadi bukan hanya penyokong, tetapi benar-benar partisan dalam maksud istilah yang teruk.  Mereka menganggap dasar sebagai peperangan, dan dalam peperangan, kebenaran menjadi pemenang kedua.”
 Laura Kipnis, penulis  buku,  How To Become A Scandal: Adventures in Bad Behavior,  menulis beberapa makalah dalam The Slate yang memperlihatkan bahawa kita tidak boleh hidup tanpa skandal. Tulis beliau, “budaya memerlukan skandal kerana skandal ialah ritual penyusian sosial, ciri sistem yang perlu, yang dari segi sosial diselar  ingkar dan disingkirkan, membenarkan sistem itu menegaskan semula dan menggerak-gerakkan ototnya. Laura  menjelaskan bahawa skandal tipikal melibatkan seks, wang, cita-cita, dan penipuan – ringkasnya, seseorang mahukan lebih banyak sesuatu berbanding dengan kelayakannya dari segi sosial.  “Skandal,” tegas  beliau, “bukan sekadar sesuatu yang orang lain terlibat, manakala kita semua menyibuk.  Kita mempunyai peranan penting.  Skandal memerlukan khalayak; bukan hanya mana-mana khalayak, tetapi khalayak yang berasa sedikit seronok daripada pelanggaran dan hukuman.”    Dalam makalah yang lain, beliau mengakui bahawa kita  ketagih skandal sekarang, dan itu perkara yang baik. “Hanya satu cara untuk memahami gerakan budaya kita adalah dengan  menagih skandal.”
 Kira-kira dua tahun lalu, Mark Danner menulis “Frozen Scandal” dalam The New York Review Books, yang memperlihatkan skandal sentiasa kembang dan  mekar.  Tulis beliau, “skandal ialah industri pertumbuhan kita,” iaitu pembongkaran satu demi satu skandal tanpa sebarang kesudahan dan   penyelesaian. “Pendedahan  kesalahan tidak membawa kepada penyiasatan yang muktamad, hukuman, dan penebusan dosa, tetapi mendorong kepada pendedahan lebih banyak skandal.”   Skandal yang kekal. Skandal yang beku.  Bagi beliau, skandal tidak disingkirkan dan tidak diselesaikan, melangkaui realiti politik untuk menjadi fakta komersial. 
Merujuk  bermacam-macam  skandal yang berlaku di Amerika Syarikat, seperti senjata pemusnahan besar-besaran yang tidak wujud,  penyeksaan terhadap tahanan yan ditahan seumur hidup,  pemecatan pendakwa raya yang disiasat selama-lama,   Vietnam dan peleraian domestiknya, dan Watergate, tegas Danner, ini dan skandal yang beku lain, memetastasis, bercabang-cabang, mereplika sendiri, menyumbat  persembahan berita kabel an ruang blog dan kedai buku.  “Cerita yang memberangsangkan tidak pernah berakhir.”
Skandal, bahas Danner,  “pastinya mitos, tetapi sesuatu yang menyeronokkan.  Skandal bergantung pada imej kuasa, akhbar, dan orang ramai yang cocok dengan keinginan kita untuk keadilan, untuk kepahlawanan, dan  untuk kebaikan muktamad yang terletak dalam diri orang ramai, yang pernah menyedarkan kesalahan, mendesak pembetulannya.” 
Tentang orang ramai, berhubung dengan skandal, Mark Danner turut membangkitkannya, tetapi dengan nada yang lebih keras, iaitu kejahilan berbanding dengan Dan Gillmor, tidak acuh.  “Halangan terhadap pembersihan sendiri semula jadi kehidupan politik,” tulis Danner, “hanya boleh jadi kejahilan orang ramai.”   Tambah beliau, “maklumat adalah segala-galanya.  Maklumat bersama-sama dengan perasaan semula jadi orang tentang kebaikan dan hak membawa penebusan dosa dan pembersihan masyarakat  yang pasti.”  Bagaimana maklumat mampu melakukannya, kerana seperti yang dibahaskan oleh Gillmor yang dipetik di atas, “maklumat  menghadapi krisis.” 
Skandal, menurut Danner, lebih rumit dan lebih kaya jalan cerita, maka lebih baik.  Skandal menyediakan foder untuk konfrontasi terbuka, libasan dan tangkisan lisan.  Skandal menyediakan subplot dan watak kecil, dan terbitan turunan. 
Sebenarnya, Laura Kipnis dan Mark Danner mengemukakan penulisan yang sangat menarik tentang skandal.  Meskipun banyak skandal didedahkan, baik melalui lisan mahupun tulisan, baik melalui media konvensional mahupun media baru, sebagai industri yang berkembang pesat, skandal merupakan sebahagian  kehidupan manusia, sebahagian budaya mereka.  Pelakon   datang dan pergi, manakala para  penonton tetap  menunggu  dengan setia.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...