ISNIN, 21 Februari 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Wujud kecenderungan di Malaysia, misalnya semasa pilihan raya kecil, untuk merujuk kepada tinjauan pendapat yang dijalankan oleh pihak tertentu. Tinjauan pendapat, sebenarnya, sudah lama diamalkan di negara Barat, seperti Amerika Syarikat semasa Pilihan Raya Presiden. Dalam Pilihan Raya Separuh Penggal, yang berlangsung November lalu, tinjauan pendapat sejak awal lagi menunjukkan Republikan menguasai Dewan Perwakilan dan kerusi gabenor, tetapi Demokrat dijangka terus menguasai Dewan Senat dengan jumlah yang berkurangan.
Pilhan raya di United Kingdom pada awal Mei 2010 juga menyaksikan “kehebatan” tinjauan pendapat yang menunjukkan bahawa Parti Konservatif mendahului pihak lawan, Parti Buruh dan Parti Demokrat Liberal. Pada hari pengundian, iaitu 6 Mei, akhbar The Guardian menyiarkan tinjauan pendapat Guardian/ICM terkini yang menunjukkan Tories pada laluan merampas semula kuasa selepas 13 tahun. Tinjuan pendapat berkenaan menunjukkan bahawa Konservatif mengatasi Buruh dengan lapan mata, kurang daripada yang mereka perlukan untuk majoriti keseluruhan. Konservatif memperoleh 38 peratus, Buruh 28 peratus, dan Demokrat Liberal 26 peratus. ICM Research menemu bual sampel rawak sebanyak 2,022 orang dewasa berumur 18 tahun ke atas melalui telefon pada 3 – 4 Mei 2010. Temu bual dilakukan di seluruh negara dan keputusan diwajarkan dengan profil semua orang dewasa.
Sementara tinjauan pendapat keluar (exit poll) Pilihan Raya Umum oleh Sky News/BBC/ITN yang diumumkan juga pada hari pilihan raya berlangsung, seperti yang dapat dilihat melalui rangkaian BBC dan CNN, meramalkan Konservatif menang 305 kerusi, diikuti oleh 255 kerusi, dan Demokrat Liberal 61 kerusi. Keputusan ini menunjukkan parti David Cameron kurang 21 kerusi 650 kerusi daripada 326 kerusi yang diperlukan untuk majoriti keseluruhan di House of Commons. Parlimen tergantung dijangkakan berlaku untuk kali pertama sejak tahun 1974, tetapi sebagai respons ramalan tinjuan pendapat keluar itu, jurucakap Konservatif berkata: “Kami boleh memerintah dengan keputusan ini.”
Secara keseluruhannya, keputusan pilihan raya itu boleh dikatakan menepati jangkaan dan tinjuan. Konservatif memenangi 307 kerusi dengan 10.71 juta undi (36 peratus), Buruh 258 kerusi dengan 8.6 juta undi (29 peratus), Demokrat Liberal 57 kerusi dengan 6.83 juta undi (23 peratus), dan lain-lain 28 kerusi dengan 3.51 juta undi (12 peratus). Dengan keputusan itu, tinjauan keluar yang meramalkan parlimen tergantung menjadi kenyataan – tidak ada satu parti yang boleh membentuk kerajaan. Pemimpin Konservatif, David Cameron berkata bahawa Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri Gordon Brown telah kehilangan mandat untuk memerintah. Walau bagaimanapun, Parti Buruh menyatakan bahawa parti itu boleh kekal berkuasa menerusi perseikatan dengan Demokrat Liberal.
Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat 2008 adalah paling sengit dan ketepuan media. Pilihan raya ini juga memakan masa kempen selama dua tahun, menanggung kos AS$2 bilion, dan meledakkan pendapat awam. Sehingga akhir Oktober, 728 tinjauan pendapat nasional yang setanding kepala dengan kepala (head-to-head matchups) calon; sebanyak 215 daripadanya melibatkan tinjauan pendapat bulan Oktober sahaja . Dalam Pilihan Raya Presiden 2004, hanya 239 tinjauan pendapat setanding, dengan 67 daripadanya melibatkan tinjauan pendapat bulan Oktober. Pada kadar ini, tinjauan pendapat Oktober 2008 hampir menyamai jumlah tinjauan pendapat tahun 2004.
Usaha yang dipelopori oleh Harrisburg Pennsylvanian di Wilmington, Delaware pada tahun 1824, dan kemudian, pada tahun 1936, majalah Literary Digest melaksanakan tinjauan awam Pilihan Raya Presiden tahun berkenaan, kini turut merancakkan kempen Pilihan Raya Presiden 2008. Dalam pilihan raya kali ini, pihak media dan rakyat Amerika dikatakan lebih banyak memberikan tumpuan terhadap tinjauan pendapat. Sesetengah tinjauan pendapat ditaja oleh organisasi berita yang terkenal, sesetengahnya oleh universiti atau firma penyelidikan. Antara agensi tinjauan pendapat yang terlibat ialah RealClearPolitics, Rasmussen, Reuters/Zogby/C-SPAN, Gallup, SurveyUSA, CNN/Time, Fox News, Research 2000, CBS/NY Times, National Journal/FD, LA Times/Bloomberg, NBC News/Wall Street Journal, dan Associated Press/Gfk.
Paparan pendapat awam melalui Internet sepanjang kempen Presiden tidak ubah seperti urus niaga di bursa saham: indeks dan harga saham turun naik. Melalui rangkaian berita kabel, terpapar CNN National of Polls dari 25 – 30 Oktober: Obama 50 peratus, McCain 43 peratus, belum membuat keputusan tujuh peratus; Obama mendahului enam mata purata; Gallup: hari ini, Obama mendahului 11 mata; Reuters/Zogby/C-SPAN: Obama 54 peratus, McCain 43 peratus; terkini, Obama mendahului tinjauan pendapat negeri dan nasional. Agensi berita antarabangsa pula menyampaikan laporan tinjuan pendapat: 10 hari sebelum Pilihan Raya Presiden, Obama 50.4 peratus, McCain 42.6 peratus; seminggu sebelum pemilihan, Obama mendahului lima negeri utama, McCain di dua negeri.
Melalui Yahoo dapat dilihat Tinjauan Pendapat Pilihan Raya Terkini yang menyatakan purata tinjauan pendapat, dan unjuran Undi Badan Perwakilan Pemilih (270 undi yang diperlukan) kedua-dua calon, iaitu John McCain dan Barack Obama. Pada 26 Oktober, tinjauan ini mengunjurkan McCain memperoleh 156 undi (43.2 peratus), Obama 355 undi (50.5 peratus). Unjuran ini dikemaskinikan setiap hari; pada hari pemilihan 4 November, McCain dijangka memperoleh 196 undi (44.5 peratus), manakala Obama dijangka memperoleh 318 undi (52.1 peratus).
Dengan kurang seminggu hingga ke Hari Pilihan Raya Presiden, sebarang pergerakan tinjauan pendapat akan menjadi berita besar. Liputan berita dan dalam keadaan tertentu penulisan makalah tentang pilihan raya ini tidak sempurna tanpa merujuk kepada tinjauan pendapat. Ketika perlumbaan semakin sengit, menurut tinjuan pendapat Fox News yang dikeluarkan pada hari Khamis 30 Oktober, Obama mendahului 45 peratus berbanding McCain 44 peratus dalam kalangan pengundi yang dijangka keluar mengundi. Minggu lepas Obama mendahului 49 peratus berbanding McCain 40 peratus dalam kalangan pengundi yang dijangka keluar mengundi. Pada hari Jumaat sebelum pemilihan, Obama dijangka menang besar, dan tinjuan pendapat Associated Press-Yahoo News tentang para pengundi yang kemungkinan keluar mengundi meletakkan Demokrat di hadapan, 51 peratus berbanding dengan Republikan 43 peratus, dengan margin ralat tambah atau kurang tiga mata peratusan. Pada 2 November, mengikut tinjauan Pew Research Center, Obama mendahului 52 peratus.
Seterusnya, akhbar The Guardian di United Kingdom pada 4 November dalam meramalkan Obama menang besar, iaitu 350 atau lebih Undi Badan Perwakilan Pemilih adalah merujuk kepada semua tinjauan pendapat utama: “Pew Research Center yang beribu pejabat di Washington, semalam meletakkan Obama 52 peratus dan McCain 46 peratus, RealClearPolitics yang mempuratakan tinjauan pendapat utama, meletakkan Obama 51 peratus berbanding McCain 44 peratus.
Tinjauan pendapat menimbulkan pelbagai reaksi, bergantung pada siapa yang mengikutinya. Bagi partisan atau penyokong calon Presiden, pastinya mereka berasa suspens dan cemas melihat naik turun angka yang diraih oleh calon mereka. Bagi orang awam yang tidak memihak kepada mana-mana calon, pastinya mereka berasa seronok dan teruja melihat pergerakan angka itu. Meskipun tinjauan pendapat secara tekal menunjukkan bahawa Barack Obama di hadapan, anggota Parti Demokrat semua berasa takut akan berulangnya kesan Bradley apabila para pengundi untuk mengelak daripada dituduh rasis, mereka berbohong dengan mengatakan bahawa mereka memillih calon kulit hitam.
Adakah tinjauan pendapat tepat? Bolehkah tinjauan pendapat tahun ini dipercayai? Dikatakan bahawa apabila kempen Presiden yang amat panjang ini sampai ke penghujungnya, banyak orang mempersoalkan kepercayaan terhadap tinjauan pendapat. Dikatakan juga bahawa tinjauan pendapat boleh dipercayai dengan syarat, iaitu berkait dengan pemilihan sampel kerana tinjauan pendapat politik memang tidak sempurna.
Beberapa makalah mempertikaikan kewibawaan serta ketepatan tinjauan dan mengesyorkan para pengundi mengetepikan tinjauan itu. Misalnya, Michael Crowley menyindir dalam The New Republic, “berapa banyak tinjauan pendapat diperlukan untuk mengejapkan pilihan raya?” Tambah beliau lagi, sebenarnya bukan tidak rasional untuk partisan bersikap berhati-hati terhadap tinjauan pendapat. Lebih daripada memberikan keseronokan murahan, angka tinjauan pendapat memacu kebijaksanaan konvensional dan pungutan dana. “Tidak ada seorang pun yang mempercayai tinjauan pendapat orang lain.”
Tatkala calon dan para penyokong masing-masing bertungkus-lumus berkempen, tinjauan pendapat juga turut serta, dan oleh itu, menjadi tumpuan, malahan sasaran kritikan. Peter Robinson dalam Forbes.com 31 Oktober mengingatkan para pengundi supaya melupakan tinjauan pendapat yang mereka baca: “Dengan perlumbaan ditentukan dalam beberapa hari lagi, hanya tinjauan pendapat yang menjadi ukuran sentimen awam sekarang. Obama mendahului sembilan atau 10 mata tidak relevan. Perlumbaan kini semakin sengit, mungkin hanya dua atau tiga mata.”
“Tinjauan pendapat mendedahkan trend yang mendasari atau trend yang muncul dan membantu kempen memutuskan di manakah tumpuan. Ini boleh mematahkan semangat penyokong orang yang tertindas, menekan jumlah kehadiran. Saya tahu daripada pengalaman sendiri,” tulis Karl Rove dalam The Wall Street Journal 30 Oktober. Beliau meminta para pengundi supaya jangan membiarkan tinjauan pendapat mempengaruhi mereka kerana tinjauan ini silap pada tahun 2000 dan 2004. Rove, bekas penasihat kanan dan timbalan ketua staf Presiden George W. Bush mengatakan “tinjauan pendapat muncul dengan pesat tahun ini sebahagiannya kerana lebih mudah untuk para wartawan untuk menumpukan ruang yang terbatas dalam akhbar atau televisyen mereka untuk aspek perlumbaan pilihan raya berbanding dengan isinya.”
Nate Silver dalam FiveThirtyEight.com mengemukakan 10 alasan mengapa para pengundi patut melupakan tinjauan pendapat keluar: tinjauan pendapat keluar mengandungi banyak margin intrinsik yang besar untuk berlaku kesilapan berbanding dengan tinjauan pendapat biasa; tinjauan pendapat keluar secara tekal menyatakan secara berlebihan bahagian undi Parti Demokrat; tinjauan pendapat keluar khususnya lebih teruk tahun ini kerana menyatakan secara berlebihan prestasi Obama sebanyak purata kira-kira tujuh mata; tinjuan pendapat keluar mencabar takrif sampel rawak; para penyokong Parti Demokrat kemungkinan lebih banyak menyertai tinjauan ini; tinjauan pendapat keluar mungkin menghadapi masalah menentukur (calibrating) keputusan daripada pengundian awal; tinjauan pendapat keluar mungkin juga terlepas pengundi lewat; keputusan tinjauan pendapat keluar “yang bocor” mungkin bukan artikel tulen; jumlah pengundian yang tinggi mungkin menyukarkan wajaran demografik; dan anda akan mengetahui keputusan sebenar tidak lama lagi.
Pada 4 November, Los Angeles Times menyebut pelaksanaan embargo tinjauan pendapat keluar: “Untuk pertama kali dalam Pilihan Raya Presiden, konsortium saluran keluar berita yang mengesan tinjauan pendapat keluar nasional dan negeri utama menjaga perangkawan dan datanya dengan ketat hingga pukul 5 petang EDT (2 petang di California). Ini bertujuan mencegah kebocoran awal yang tidak lengkap data mentah yang boleh mengelirukan tanggapan keputusan. Hingga dikeluarkan secara rasmi, tidak ada sesiapa yang memilki data tinjauan pendapat keluar yang sah. Jangan percaya mana-mana laporan tentang tinjauan pendapat keluar yang anda dengar sebelum pukul 2 petang di Los Angeles.
Walau apa pun pandangan dan kritikan, agensi yang terlibat terus mengeluarkan tinjauan pendapat terkini hingga ke hari pilihan raya. FiveThirtyEight dalam tinjauan pendapat hari ini dan unjuran pilihan raya akhir ialah Obama memperoleh 349 Undi Badan Perwakilan Pemilih, manakala McCain 189. Meskipun tinjauan pendapat akhir menunjukkan McCain mengalami peningkatan, tetapi Obama nampaknya memenangi pilihan raya muktamad ini. “Model kami mengunjurkan Obama akan memenangi semua negeri yang dimenangi oleh John Kerry pada tahun 2004, dan sebagai tambahan ialah Iowa, New Mexico, Colorado, Ohio, Virgina, Nevada, Florida, dan North Carolina, manakala kalah tipis di Missouri dan Indiana.” Unjuran bahawa Obama memenangi negeri tambahan adalah tepat, manakala unjuran Obama kalah tipis tidak tepat kerana siapakah pemenang di Missouri belum diputuskan, dan sebaliknya beliau menang di Indiana. Tidak termasuk 11 Undi Badan Perwakilan Pemilih di Missouri, Obama memenangi 365 (53 peratus) dan McCain 162 (46 peratus) Undi Badan Perwakilan Pemilih.
RealClearPolitics (RCP) mengemukakan tinjauan pendapat di negeri yang menjadi persaingan, iaitu Florida, Pennsylvania, Ohio, North Carolina, Virginia, Indiana, Minnesota, Colorado, Iowa, Nevada, New Mexico, dan New Hampshire yang melibatkan 147 Undi Badan Perwakilan Pemilih dari awal hingga ke hari pemilihan. Pada 18 Oktober semua negeri didahului oleh Obama, kecuali Indiana oleh McCain, kemudian unjuran berubah pada 23 Oktober apabila Obama mendahului semua negeri. Seterusnya, pada 3 dan 4 November unjuran berubah dengan McCain mendahului di North Carolina dan Indiana (rujuk jadual). Jika dibandingkan dengan tinjauan terakhir dengan keputusan sebenar, wujud ketepatannya, kecuali di Indiana dan North Carolina yang pada mulanya dijangka dimenangi oleh Obama, kemudian beralih kepada McCain, tetapi keputusan sebenar dimenangi oleh Obama.
Meskipun terdapat pandangan negatif dan kritikan, secara keseluruhan, tinjauan pendapat membuktikan ketepatannya, meskipun bukannya 100 peratus. Tinjauan pendapat dapat membuktikan darjah ketepatan, dan oleh itu, menampakkan wibawanya. Tinjauan pendapat bukan sahaja menjadi “peserta” penting dalam pilihan raya, tetapi juga bahagian penting dalam demokrasi.
Mungkin pada masa akan datang trend yang berkembang subur di Amerika Syarikat ini turut tersebar ke Malaysia dalam erti kata, bukan sahaja dapat ditatapi oleh orang ramai, bahkan juga kaedah tinjauan dimaklumkan kepada mereka.
Mungkin pada masa akan datang trend yang berkembang subur di Amerika Syarikat ini turut tersebar ke Malaysia dalam erti kata, bukan sahaja dapat ditatapi oleh orang ramai, bahkan juga kaedah tinjauan dimaklumkan kepada mereka.
No comments:
Post a Comment