Artikel Popular

Sunday, February 20, 2011

Medan Pembunuhan Demokrasi

AHAD, 20 Februari 2011
Oleh:   ZULKIFLI SALLEH



Pada 21  November 2008,  Perdana Menteri India, Manmohan Singh menggesa rakyat negara itu menolak perbalahan dan persengketaan antara etnik dan agama yang berlarutan sejak sekian lama.  Beliau memberikan amaran kepada rakyat bahawa mereka sebenarnya dimanipulasikan oleh segelintir ahli politik yang ingin memusnahkan negara India.  Kenyataan beliau itu dibuat berikutan peningkatan mendadak insiden perbalahan dan keganasan antara kaum serta agama dalam kalangan penduduk yang kebanyakan bermotifkan politik, sama ada dalam bentuk rusuhan atau serangan bom.  Seperti yang diketahui umum,  India mengalami krisis demokrasi, persengketaan kaum,  dan keganasan agama yang seakan-akan tanpa kesudahannya.         
            Tentang demokrasi yang berwajah suram,  Robert D. Kaplan pernah menulis  dalam The Coming Anarchy:  Shattering the Dreams of the Post Cold War: demokrasi  tidak selalunya menjadikan masyarakat lebih sivil, tetapi selalunya menyebabkan kesejahteraan masyarakat tempat  demokrasi itu diamalkan terdedah  tanpa belas kasihan. Bahkan, Kaplan secara sinis mengingatkan bahawa Hitler dan Mussolini masing-masing berkuasa melalui demokrasi.
            Seterusnya, Michael Mann dalam bukunya, The Dark Side of Democracy: Explaining   Ethnic Cleansing (Cambridge University Press; 580hlm.; RM97.16), membicarkan  demokrasi yang berkait dengan kekejaman dan pembunuhan:  pembersihan yang sangat bahaya (murderous cleansing) ialah moden kerana ini  merupakan titik hitam demokrasi.  Meskipun Michael Mann menjelaskan bahawa bukan bermakna demokrasi melakukan pembersihan yang sangat bahaya secara rutin, namun beliau mengakui bahawa sistem ini selalu memungkinkan golongan majoriti melakukan kekejaman terhadap golongan minoriti, dan ini mungkin membawa lebih banyak kesan yang sangat tidak disenangi dalam jenis persekitaran multietnik.  
            Berasaskan pembersihan etnik yang sangat teruk, seperti genosid zaman kolonial, Armenia, Holokus Nazi, Kemboja, Yugoslavia, dan Rwanda, dan yang kurang ganas, seperti Eropah moden awal dan India serta Indonesia sezaman,  Mann mengemukakan teori  pembersihan etnik yang sangat bahaya.  “Pembersihan ini,” tulis beliau, “berpunca apabila demos (demokrasi) dikelirukan dengan ethnos (kumpulan etnik).  Bahaya tercetus apabila dua gerakan etnonasionalis yang bermusuhan masing-masing  menuntut negara ‘mereka sendiri’ terhadap wilayah yang sama.” Namun, tidak semua persengketaan  tercetus akibat tuntutan wilayah, seperti genosid Nazi terhadap orang Yahudi, dan kadang-kadang persengketaan melibatkan tiga pihak, seperti yang berlaku di Bosnia dan Punjab. 
            Bagi Michael Mann, pembersihan etnik yang sangat bahaya merupakan bencana pada zaman demokrasi kerana di tengah-tengah multietnik, keunggulan pemerintahan oleh orang mula menyimpulkan demos dengan ethnos dominan, menghasilkan konsepsi organik nasionalisme dan negara menggalakkan pembersihan golongan minoriti.  Kemudian, keunggulan demokrasi sosialis juga diputarbelitkan kerana demos disimpulkan dengan istilah proletariat, iaitu golongan kelas pekerja menimbulkan tekanan untuk membersihkan kelas lain.    
            Tambah beliau lagi, persengketaan   semakin sengit apabila sama ada kumpulan yang lemah itu menentang dan bukannya menyerah kerana adanya bantuan luar atau kumpulan yang lebih kuat percaya bahawa mereka boleh menggunakan kekuatan secara besar-besaran dengan  tiba-tiba.  Tetapi, negara juga mesti berpuak-puak dan diradikalkan oleh tekanan luar, seperti peperangan.
            Melalui gaya pengisahan yang terperinci dan cukup menarik, para pembaca seperti dipertontonkan satu demi satu peristiwa pembersihan etnik sejak dahulu hingga ke zaman moden sekarang.  Para pembaca bagaikan melihat sendiri kekejaman, penangkapan, rogol, pembunuhan, dan penjarahan yang dilakukan oleh sesuatu kumpulan etnik terhadap kumpulan entik lain. Kumpulan etnik yang bersengketa   terperangkap dalam apa yang dinamakan “reaksi saling bertindak,” seperti persengketaan antara Serb, Croat, dan Muslim di Yugoslavia pada tahun 1990-an.  Di tengah-tengah kekacauan itu,   para pembaca turut dipertontonkan kisah nilai kemanusiaan apabila sebilangan anggota etnik yang kuat berusaha sedaya-upaya menyelamatkan etnik yang lemah, seperti anggota Serb terhadap Croat dan Muslim, dan Hutu terhadap Tutsi. 
            Pastinya, emosi para pembaca terusik apabila  buku ini mendedahkan   pihak berkuasa tidak berusaha mencegah persengketaan, malah turut terlibat.  Misalnya, dalam persengketaan antara Hindu dengan Islam di Gujarat pada Februari 2002 yang mengorbankan  2000 orang yang kebanyakannya semua Muslim, manakala 100,000 orang Muslim lari ke kem perlindungan.  Dalam persengketaan itu, menteri negeri daripada  Bharatija Janarta Party (BJP) yang memerintah Gujarat,  mengambil alih bilik kawalan polis dan mengeluarkan perintah kepada polis supaya tidak mempedulikan orang Muslim yang memohon pertolongan.  Anggota polis mengetuai rusuhan, dan mana-mana polis yang cuba mencegah rusuhan, dipindahkan ke tempat lain.   
            Dalam The Dark Side of Democracy,   Mann,    berusaha menentukan struktur dan keadaan sosial yang konkrit yang menjebak  dunia ke kancah pembersihan entik yang sangat bahaya.  Dalam buku setebal lebih 500 halaman ini, beliau mengadunkan teori dengan pengisahan sejarah sejak Assyria purba hingga genosid Rwanda. 
            Di negara  pramoden,  kerana biasanya kelas mengatasi etnik, maka pembersihan etnik berlaku sedikit.  Tanpa menafikan bahawa pembunuhan besar-besaran atau genosid berlaku sepanjang sejarah manusia, Mann menegaskan bahawa agak sedikit rejim sejarah awal yang ingin membersihkan atau menyingkirkan seluruh penduduk awam.  Lazimnya, penakluk memerlukan orang untuk diperintah, disuruh, dan diperhambakan. 
            Dikatakan  bahawa pembersihan etnik yang sangat bahaya  yang berlaku dalam penduduk awam merupakan skandal dan tragedi yang belum dijelaskan dalam sejarah dunia, meskipun peristiwa ini berlaku hampir-hampir sekerap revolusi sosial.  Sepanjang 150 tahun lalu sahaja, pembunuhan besar-besaran penduduk peribumi oleh penjajah atau negara peneroka, seperti yang berlaku di Australia, Amerika Utara, dan Amerika Latin, penduduk Armenia oleh tentera Turki dan sekutu mereka, orang Yahudi oleh Nazi, Tutsi oleh Hutu, Islam oleh Hindu, sesungguhnya melampaui mana-mana ketenteraan rasional atau perhitungan ekonomi.        
            Pada abad ke-20, jumlah kematian akibat persengketaan etnik menjangkau hampir 70 juta orang dengan medan pembunuhan terbentang luas:  Eropah, Afrika, dan Asia.  Orang yang melakukan pembunuhan ini terdiri pemimpin yang terkenal yang mencipta sejarah, seperti  Hitler, Stalin, Mao Zedong, Pol Pot, dan Milosevic.  Mereka menggembleng pengikut yang ramai, sama ada secara sukarela, terpaksa, atau ikut-ikutan untuk melakukan pembersihan etnik dan genosid.  Seperti Serb di Yugoslavia dan Hutu di Rwanda, genosid diatur dengan rapi dan dirancang terlebih dahulu oleh elit radikal.  Malah, ada yang membandingkan perancangan teliti oleh mereka di Rwanda sama dengan pelan induk Nazi untuk Holokus.  Walau bagaimanapun, Mann mengingatkan bahawa keadaan yang menjadi bertambah buruk bukan hanya angkara “elit durjana” atau “orang primitif”.  Ini merupakan hasil interaksi yang kompleks dalam kalangan pemimpin, puak militan, dan “pengundi teras” etnonasionalisme.  
            Dengan bersifat rendah diri dan seakan-akan rasa bersalah, Mann mengakui: “malangnya, pembersihan etnik yang sangat bahaya bukannya primitif atau asing.  Pembersihan ini milik peradaban kita dan milik kita.  Banyak orang berkata ini berpunca daripada kebangkitan nasionalisme di dunia, dan ini betul.”  Nasionalisme, menurut beliau, menjadi sangat bahaya apabila dipolitikkan, dan apabila nasionalisme mewakili peputarbelitan aspirasi moden dengan demokrasi dalam negara bangsa. 
            Untuk menjelaskan pembersihan etnik yang sangat bahaya, Michael Mann, profesor sosiologi di University of California, memperkenalkan  model keseluruhan interaksi kuasa yang terlibat yang saling berkait:  kuasa ideologi, kuasa ekonomi, kuasa ketenteraan, dan kuasa politik.  “Saya mengkaji pembersihan etnik sebagai hasil empat set  rangkaian kuasa yang saling berkaitan,” jelas beliau.
            Tatkala “menonton” kekejaman demi kekejaman, pembunuhan demi pembunuhan,  apakah kemungkinan tragedi ini berakhir dalam peradaban moden ini.  Apakah kemungkinan pembersihan etnik dan genosid sekadar menjadi catatan sejarah yang tidak akan berulang lagi pada masa akan datang, atau dengan kata lain, tidak lagi menjadi bahagian gelap demokrasi. 
            Dalam hubungan ini, Michael Mann berasa yakin bahawa Eropah menghampiri penghujung dorongan selama satu abad ke arah pembersihan  dan negara bangsa demokratik secara etnik.  “Meskipun Eropah dan Amerika Syarikat mempunyai sejarah yang dahsyat tentang pembersihan etnik, kedua-dua benua ini kini, anehnya mengiktiraf fahaman kepelbagaian budaya, sekurang-kurangnya dari segi teori, dan tidak menyokong etnonasionalisme.         Namun, gambaran di negara kurang maju agak berbeza, seperti yang dinyatakan oleh Mann, “kini,  hampir semua pembersihan yang sangat bahaya berlaku di  Selatan dunia kurang maju, di negara yang penghijrahan bukannya masalah utama dan asimilasi bukannya penyelesaian utama.”  Beliau mengingatkan bahawa ancaman utama ialah merebaknya ke Selatan keunggulan negara bangsa yang mengelirukan demos dan ethnos, iaitu para pengundi massa dan kumpulan etnik. 
            Melalui buku ini yang memaparkan proses interaksi yang kompleks dapat membantu kita mencari jalan untuk menghindarkan pembersihan etnik pada masa akan datang.  Michael Mann merupakan pembekal idea yang cukup besar, dan buku ini sarat dengan idea itu, bijak, bertenaga, dan provokatif. Dengan segala kelebihan ini, kita dapat mengetahui  bagaimana etnonasionalisme boleh membuka medan pembunuhan demokrasi.    
        (Nota:  Tulisan asal ulasan buku yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat Februari 2009.)


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...