Artikel Popular

Tuesday, February 15, 2011

Mubarak Tumbang Obama Tempang

SELASA, 15 Februari 2011
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Lapan belas hari, sesungguhnya, bukan sahaja hari yang panjang untuk Presiden Hosni Mubarak, bahkan juga untuk Presiden Barack Obama.  Tatkala dunia tertumpu ke Mesir, terutamanya ke Dataran Tahrir,   Washington tidak terlepas daripada radar:  Apakah pendirian?  Apakah tindakan?  Namun,  apabila  hari demi hari berlalu, orang merasakan  Mesir membuktikan bahawa pemimpin Amerika dan Barat yang lain melihat kebebasan sebagai persoalan strategi dan bukannya persoalan prinsip.  Neokonservatif Amerika yang begitu gigih memperjuangkan demokrasi di dunia Arab, tiba-tiba berdiam diri terhadap protes yang menuntut demokrasi ini. 
Dalam ucapannya yang luar biasa di Doha pada 13 Januari lalu, Setiausaha Negara, Hillary Clinton mengingatkan tonggak dunia Arab “tenggelam ke dalam pasir.” Sehari kemudian, Zine el-Abidine Ben Ali, ditelan pasir.  Peringatan tersebut sepatutnya ditujukan juga kepada Rumah Putih supaya dalam kes Mesir, Amerika  tidak “di belakang keluk”  kerana yang bakal ditelan pasir itu ialah sekutu setia Amerika – suatu hakikat yang sukar diterima!   Apabila tunjuk perasaan  tercetus,  Obama dan  Hillary  cuba menjinakkan Mubarak dengan meminta beliau melaksanakan “pembaharuan” – sesuatu yang tidak masuk akal ibarat “menyuruh harimau menjaga kambing.”   Amerika sepatutnya arif tentang Mubarak kerana ada orang  menyebut bekas Presiden itu “syaitan yang mereka  kenali.”
Pada Jun 2005, Setiausaha Negara, Condoleezza Rice memberitahu 600 orang khalayak di  American University di Kaherah, “selama 60 tahun, negara saya, Amerika Syarikat, berusaha mewujudkan kestabilan sambil mengorbankan demokrasi di rantau  ini, di Timur Tengah, tetapi gagal.”  Tiga tahun kemudian,  Presiden Barack Obama memilih Kaherah untuk menyampaikan ucapan bersejarah beliau, membangkitkan “lembaran baru” dalam hubungan Amerika Syarikat dengan dunia  Islam, bukan hanya dengan para pemimpin,  tetapi juga dengan rakyat jelata rantau itu.
Malangnya, apabila rakyat jelata ingin menebus kegagalan Amerika dan  membuka lembaran baru itu, Obama  kelihatan  terhegeh-hegeh,  asyik memikirkan sahabat yang sedang tumbang itu.  Beliau  kelihatan cuba menyeimbangkan dirinya  antara memenuhi tuntutan  80 juta orang rakyat dengan mempertahankan  seorang rejim yang terkenal dengan sifat zalim dan korup yang sedang menghitung hari-hari terakhir.  
Presiden Barack Obama mempunyai “masalah Syah” di Mesir, tulis Kai Bird dalam The Slate Peristiwa di Mesir mengingatkan protes jalanan tahun 1978 di Tehran apabila Presiden Jimmy Carter terpaksa membuat keputusan,  sama ada  untuk kekal setia dengan rejim Pahlavi ataupun meninggalkan Syah dan menyokong pemberontakan popular yang menuntut hak asasi manusia dan demokrasi.  Dalam hubungan ini, “Presiden Obama melakukan apa yang dilakukan oleh Jimmy Carter dahulu, iaitu cuba memenangi kedua-dua pihak, dan hasilnya, sama-sama  tegang  dengan akibat yang  tidak disengajakan.” Bird mencadangkan Obama perlu memperlihatkan bahawa Amerika tidak bersekongkol dengan status quo Arab.  Hakikatnya, kita perlu membiarkan diktator tumbang atau berdiri tanpa campur tangan kita.  “Perubahan yang berlaku di dunia Arab dan tidak lagi  berpatah balik. Justeru, pragmatis dan bukan hanya idealis pada diri Obama akan kelihatan bijak untuk menjelaskan bahawa beliau benar-benar menyebelahi penunjuk perasaan di jalan-jalan Kaherah.
Apabila keinginan untuk demokrasi  datang dari bawah, Amerika seakan-akan berdolak-dalih.  Amat sukar untuk membiarkan seorang rejim yang menjadi sekutu kuat ditumbangkan oleh rakyat sendiri.  Atau dalam kata-kata Scott Shane: “Pentadbiran Amerika terpaksa bergelut dari segi  apakah yang patut dikatakan, apakah yang patut dilakukan, dan apakah yang patut dijangkakan jika orang kuat, diktator sahabat Washington digulingkan.”
Sejak mula tercetusnya penentangan terhadap Mubarak, Rumah Putih dikatakan terhuyung-hayang menjaga keseimbangan Mesir. Washington  lebih memerlukan rejim yang mesra di Kaherah berbanding dengan memerlukan sesebuah kerajaan demokratik, sekurang-kurangnya dua faktor, iaitu kepentingan Amerika dan kestabilan di dunia Arab dalam hubungan dengan Israel. Terperanjat dengan kacau-bilau yang semakin  menjadi-jadi di Mesir, Pentadbiran Obama dikatakan terdesak untuk mengelakkan daripada menyatakan pendirian secara terbuka.  Namun, sikap berkecuali diragui  kerana Mubarak, seperti yang diketahui umum,   mempunyai hubungan rapat yang cukup lama dari segi politik dan ketenteraan dengan Washington, selain mendapat bantuan tahunan kira-kira AS$1.5 bilion.
Protes Mesir menunjukkan dasar luar Amerika bodoh,  tulis  Stephen Kinzer   tatkala pemberontakan popular meletus di  Timur Tengah, manakala Amerika menjadi pemerhati: strategi gagal dengan sendirinya.  Daripada penggulingan Ben Ali kepada Hezbollah memilih Perdana Menteri baru Lubnan kepada beratus-ratus ribu  mengadakan tunjuk perasaan di jalanan menentang Mubarak, bahasa Kinzer, Amerika tidak mampu membimbing perjalanan peristiwa itu, bukannya sekadar bersorak untuk sekutu-sekutu sklerosisnya dan mengharapkan kebangkitan popular tidak menumbangkan  mereka.
“Washington melihat pelbagai konflik tempatan dan nasional di Timur Tengah sebagai sebahagian peperangan untuk hegemoni serantau antara Amerika Syarikat dengan Iran.  Jika demikian, Amerika Syarikat kalah.” Bagi Kinzer, “Amerika masih berpegang pada dasar yang digubal untuk Perang Dingin, sedangkan sejak itu, persekitaran keselamatan di rantau  itu berubah secara dramatik.”   Dan kekalahan itu, bukannya di tangan China atau Rusia, tetapi seperti yang ditegaskan oleh Kinzer, di tangan Iran yang cukup tangkas bersekutu dengan kuasa baru yang sedang bangkit yang mendapat sokongan berjuta-juta orang.  Sebaliknya, Amerika Syarikat,  terus-menerus bersekutu dengan negara dan kuasa yang kelihatan kuat  30 atau 40 tahun lalu, tetapi kini telah merosot.
Pemberontakan Arab kedua ini mendedahkan kepura-puraan Barat terhadap dunia Arab, sedangkan tuntutan terhadap perubahan kian lantang: dari Tunisia ke Mesir, ke Algeria ke Yaman. Pentadbiran Obama diperhatikan tidak mempunyai pendirian yang tetap.  Dari satu segi,  semua memihak kepada pembaharuan demokratik, terutamanya demokrasi yang dibangkitkan dan digerakkan daripada akar umbi.  Dari satu segi yang lain, kerana Mesir merupakan sekutu penting di rantau itu, maka Pentadbiran Obama mahukan  peralihan kuasa  berlaku secara teratur dan boleh diramalkan.
Tatkala protes meletus di Mesir, Washington terpaksa bertungkus-lumus untuk mencari respons yang betul terhadap krisis itu.  Sepanjang minggu lalu, tulis John Barry, “tatkala krisis semakin sengit di Mesir, Pentadbiran sebaliknya lewat bertindak, kelihatan selalu satu langkah di belakang peristiwa.  Hal ini sebahagiannya adalah kerana tidak ada  komuniti perisikan dan diplomat Amerika yang turun padang untuk meramalkan berapa cepatnya protes di Mesir mendapat rentaknya.”  Seperti yang  perusuh jalanan kata apa yang  Amerika gagal  lihat  bahawa sudah sampai masanya  Mubarak dan  kerabat di seluruh dunia Arab untuk pergi.
            Agak naïf  untuk mengatakan bahawa Pentadbiran Obama tidak bersedia   kerana selepas Tunisia akan berlaku jangkitan dan Mesir dianggap calon yang paling logik untuk kekacauan.  Protes  sentiasa berlaku di negara itu,  sekurang-kurangnya sejak tahun 2005.  Selain itu, kemarahan terhadap Presiden Mubarak kerana memungkiri janjinya untuk menarik balik  undang-undang darurat yang dikuatkuasakan satu dekad semakin meluap-luap.  Diperburukkan lagi oleh kekurangan makanan. Mubarak sejak lama lagi kehilangan sokongan tentera Mesir.
            Hanya pada awal Februari, tersebar berita bahawa Pentadbiran Obama  berbincang dengan pegawai Mesir, cadangan Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan serta-merta, menyerahkan kuasa kepada kerajaan peralihan yang diketui oleh Naib Presiden Omar Suleiman, dengan sokongan tentera Mesir.  Pentadbiran itu juga mencadangkan proses pembaharuan secara teratur.  Dengan sokongan kepada Naib Presiden  itu, kuasa Mubarak kian terhakis.  Namun, bagi rakyat Mesir,  Omar merupakan sebahagian sistem lama, sedangkan mereka mahu  sistem baru: silap memilih kuda.
            Apabila Mubarak yang dijangkakan mengumumkan peletakan jawatan pada 10 Februari, tiba-tiba beliau mengubah fikiran,  Obama mengeluarkan kenyataan yang   memihak kepada rakyat Mesir. “Terlalu banyak rakyat Mesir masih tidak yakin bahawa kerajaan serius tentang peralihan tulen kepada demokrasi, dan ini menjadi tanggungjawab kerajaan untuk bercakap dengan jelas kepada rakyat Mesir dan dunia.”  Kenyataan itu disudahi dengan rasa simpati dan persahabatan dengan rakyat Mesir, mengakui bahawa kepentingan Amerika Syarikat secocok dengan mereka, asalkan protes terus kekal “tanpa keganasan.”            
        Pentadbiran Obama dikritik kerana tidak memberikan sokongan  kuat kepada penunjuk perasaan.  Amerika mendakwa dirinya sebagai penganjur agung kebebasan dan demokrasi.  Sebaik-baik sahaja Mubarak meletakkan jawatan John Dickerson menulis adakah Obama terlalu tidak tegas tentang Mesir? Atau adakah keengganannya campur tangan sebenarnya mempercepatkan lagi kejatuhan Mubarak?  Selama 18 hari protes di Mesir, dasar Amerika secara tekal dirasakan seperti cekal.  Mula-mula menyokong Mubarak, kemudian dasar itu perlahan-lahan beralih kepada kelihatan menyokong penunjuk perasaan, berhenti di tengah-tengah untuk kelihatan percanggah dengan sendirinya. 
“Kelihatan cincai.  Akan tetapi, dalam bidang diplomasi, selalu kelihatan cincai apabila peristiwa bergerak dengan pantas. Presiden tidak dapat bergerak seperti kelajuan Internet.  Ketika pegawai kerajaan menerima makluat tepat tentang apakah yang sebenarnya berlaku di Kaherah, situasi telah berubah.”  Namun, Dickerson menambah, “sama ada direka atau serba tak kena,  penggubal dasar Amerika tidak seiringan dengan peristiwa di Kaherah. Strategi itu kelihatan berjaya.
            Masalah dalam menghantar mesej yang jelas merupakan satu lagi contoh bagaimana pasukan dasar luar Obama yang tidak sekata masih wujud.  Presiden sendiri,  seperti yang dilaporkan dalam The New York Times selepas Mubarak tumbang, terhimpit antara idealisme dengan pragmatisme.  Walaupun penuh semangat di jalan-jalan Kaherah dan Presiden Obama kadangkala menggunakan bahasa yang keras, beliau selalu mengambil pandangan pragmatik bagaimana menggunakan pengaruh Amerika yang terbatas terhadap perubahan di Mesir.  Beliau mengambil sikap berhati-hati supaya tidak membangkitkan kemarahan penunjuk perasaan yang mungkin memberikan alasan kepada Mubarak untuk terus berkuasa dan dalih untuk menghancurkan revolusi.  Juga wujud kebimbangan jika Presiden Obama tidak menggalakkan orang muda di jalan-jalan dengan tegas dan bersemangat, bahkan dengan bahasa yang memberikan inspirasi, beliau dituduh meninggalkan impian yang beliau lahirkan dalam ucapan tahun 2009  di Kaherah.
            Kritikan yang terlalu pedas berhubung dengan tindak-tanduk Presiden Obama terhadap Mesir datangnya daripada sejarawan Niall Ferguson yang menulis dalam Newsweek.   Bermula dengan menyanjung Otto von Bismarck, negarawan agung Prusia,  yang menyatukan Jerman dan membentuk semula keseimbangan kuasa Eropah, Ferguson menulis:  Minggu lalu, untuk kali kedua dalam sejarah kepresidenannya, Barack Obama mendengar bunyi tapak kaki, melompat untuk menyambar peluang bersejarah, dan terlepasnya sama sekali. Bagi Ferguson, gelombang yang Obama terlepas lagi sekali ialah gelombang revolusioner  demokrasi Timur Tengah.  Mengkritik pendirian Obama yang tidak tetap itu, beliau menegaskan Presiden boleh cuba menangkap gelombang, dengan gaya Bismarck, dengan menghulurkan sokongan revolusioner  golongan muda dan cuba menunggangginya dalam arah yang memberikan kebaikan atau kelebihan kepada kepentingan Amerika.   Atau Presiden tidak melakukan apa-apa dan biarkan kuasa reaksi wujud.
 “Tragik, tidak seorang pun tahu di manakah peta Timur Tengah Barack Obama,” tulis Ferguson.
Seperti yang pernah dikatakan, pemimpin lahir semasa krisis; demikian juga dengan Presiden Barack Obama.  Beliau dengan tangkas memperlihatkan kepimpinan berikutan  krisis kewangan 2008 yang akhir membolehkan beliau mara ke Rumah Putih.  Namun, tatkala berhadapan dengan krisis di Mesir khususnya dan  dunia Arab amnya, beliau tidak setangkas dahulu.  Selepas setahun menjadi Presiden, orang dapat mengesan gaya kepimpinannya yang ingin selalu disayangi, mengetepikan ditakuti.  Beliau dikatakan tidak tahu bila perlu berlagak rubah, bila pula berlagak singa. Sesetengah cerdik pandai merasakan Obama kurang sentuhan Machiavellian.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...