Artikel Popular

Saturday, February 19, 2011

Legasi Adam Smith

SABTU, 19 Februari 2011

Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Semua dunia Barat menjadi dunia Adam Smith:  wawasan beliau menjadi preskripsi untuk persembahan generasi.  Adam Smith tidak terfikir bahawa dirinya  sebagai golongan revolusioner; beliau hanya menjelaskan apakah yang bagi beliau  sangat jelas, wajar, dan konservatif.  Selepas The Wealth of Nations, manusia mula melihat dunia tentang diri mereka sendiri dengan mata baru; mereka melihat bagaimana tugas yang mereka lakukan terbina dalam seluruh masyarakat, dan mereka melihat  masyarakat sebagai keseluruhan perjalanan pada langkah hebat dan agung ke arah kejauhan, tetapi matlamat dapat dilihat dengan jelas. Demikan cetusan idea   Robert L. Heilbroner dalam The Worldly Philosophers:  The Lives, Times, and Ideas of the Great Economic Thinkers tentang Adam Smith, salah seorang Ahli Ekonomi Agung. 
Pastinya, kebangkitan China turut mempersegarkan semula minat terhadap pemikiran Adam Smith, seperti yang ditunjukkan olleh Giovanni Arrighi dalam   Adam Smith in Beijing:  Lineages of the Twenty-First Century (Verso; 418 hlm.; RM105.46).  Kebangkitan ekonomi  China, walau apa pun hasil sosial akhirnya, menyemarakkan  kesedaran baru dalam kumpulan sarjana yang berkembang bahawa wujud perbezaan sejarah dunia asas antara proses pembentukan pasaran dengan proses pembangunan kapitalis. Dalam buku barunya yang autoritatif ini, Giovanni Arrighi menunjukkan bagaimana kebangkitan China yang luar biasa mengundang para sarjana dan pembaca untuk menilai semula secara radikal terhadap pembacaan konvensional The Wealth of Nations.
  Secara keseluruhan tesis yang dicuba diketengahkan, seperti yang dinyatakan oleh Arrighi, ialah kegagalan Projek untuk Abad Amerika Baru dan kejayaan pembangunan ekonomi  China, diambil secara bersama, menjadikan realisasi wawasan Smith tentang  masyarakat pasaran dunia yang berasaskan kesamaan yang sangat besar dalam kalangan peradaban dunia lebih berkemungkinan jika dibandingkan dengan hampir dua setengah abad lalu sejak  penerbitan The Wealth of Nations. 
Buku Adam Smith in Beijing   menyediakan perbandingan sejarah dunia tentang trajektori China, Eropah, dan Amerika Syarikat.  Arrighi meninjau semula buku klasik tentang ekonomi politik untuk menjelaskan kebangkitan Barat, peningkatannya yang menenggelamkan China pada abad ke-19, kebangkitan dan kemerosotan hegemoni Amerika pada abad ke-20, dan kebangkitan China akhir-akhir ini untuk menjadi kuasa utama dalam ekonomi dunia. 
Dalam Adam Smith in Beijing, Giovanni Arraghi mengemukakan sejarah dan analisis yang canggih tentang kebangkitan ekonomi Asia.  Dengan menunjukkan pengetahuan yang dalam tentang sejarah dunia, beliau membantu para pembaca untuk memahami mengapa peningkatan China tiba pada detik apabila impian negara kapitalis dunia tunggal yang difikirkan dan diperjuangkan oleh Amerika menemui kegagalan.  Dengan penyelidikan yang mendalam Arrighi mengemukakan perspektif sejarah bagaimana China muncul sebagai pemain utama di pentas dunia.  Beliau membincangkan bagaimana ekonomi campuran yang dilaksanakan di China pada masa sekarang mematuhi wawasan Adam Smith tentang pasaran yang luas diuruskan oleh kerajaan yang aktif dapat memastikan peningkatan taraf hidup untuk semua golongan.
Arrighi  mencuba untuk membuktikan bahawa   Smith sebagai pemikir yang lebih prihatin terhadap pasaran yang berfungsi dengan baik jika dibandingkan dengan kapitalisme yang tidak terkawal.  Arrighi mendapati bahawa seperti pemikir Barat yang lain, Smith tertarik dengan China betul-betul kerana beliau mendapati bahawa negara itu berjaya menggunakan pasaran, dan pasaran amat penting sebagai instrumen pasaran, tetapi khususnya di negara yang sebesar China.  Bagi Arrighi inilah wawasan penting Smith.
Buku yang  bermula dengan analisis tentang perbezaan antara pasaran bebas dan kapitalisme dengan senario evolusi kapitalisme,  dibahagikan kepada empat bahagian.  Bahagian I lebih tertumpu pada teoritikal, manakala tiga bahagian lagi lebih tertumpu pada empirikal. Dalam bahagian ini,   Arrighi, yang semasa hayatnya pernah berkhidmat sebagai profesor sosiologi di Johns Hopkins University, membentangkan rangka  teoritikal yang mendasari kajiannya.  Beliau membina asas teoritikal perbahasan beliau dan beliau merujuk kepada berbagai-bagai sumber, bukan sahaja Adam Smith, tetapi juga Karl Marx, Hannah Arendt, Joseph Schumpeter, dan kepada ahli akademik sezaman,  seperti Andre Gunder Frank, Robert Brenner, dan David Harvey.
Bermula dengan kajian tentang penemuan terbaru kepentingan teori pembangunan ekonomi Adam Smith untuk memahami “Great Divergence” yang diketengahkan oleh Kenneth Pomeranz, Arrighi membina semula teori Smith itu dan membandingkannya dengan teori pembangunan kapitalis Karl Marx dan Joseph Schumpeter.  Beliau berpendapat bahawa pertama, Smith bukannya penyokong atau ahli teori pembangunan kapitalis; dan kedua, teori pasaran beliau sebagai instrumen peraturan adalah terutamanya relevan dengan pemahaman tentang ekonomi pasaran bukan kapitalis, seperti China sebelum penggabungan subordinat atau kurang penting negara itu dalam sistem negara Eropah yang tersebar di  pelosok dunia, dan kemungkinan besar muncul semula pada abad ke-21 dalam keadaan domestik dan sejarah dunia yang berbeza sama sekali.
Seterusnya, Bahagian II, menggunakan perspektif Smithian yang diperluaskan yang dibina dalam Bahagian I,  Arrighi menjejak pergolakan global yang mendahului dan menyediakan pentas untuk  Amerika memperkenalkan Projek untuk Abad Amerika Baru dan peningkatan ekonomi China.  Dalam Bahagian III, pengarang menganalisis penerimaan pentadbiran Bush terhadap Projek untuk Abad Amerika Baru sebagai tindak balas terhadap akibat yang tidak dijangka daripada pelaksanaan dasar sebelum ini.  Sementara Bahagian IV memberikan perhatian khusus terhadap dinamik peningkatan China.
 Akhir sekali dalam epilog, Arrighi menegaskan  bahawa “krisis terminal” hegemoni Amerika, dan mewujudkan keadaan untuk pembentukan sejenis komanwel tamadun yang pernah dibayangkan oleh Adam Smith lebih menggalakkan jika dibandingkan dengan sebelum ini.
Membaca buku ini  seakan-akan terasa bahawa Giovanni Arrighi membawa para pembaca melalui “perjalanan yang jauh untuk bersama-sama Adam Smith di Beijing.” Hal ini demikian kerana selain perbahasan teori yang  amat  dalam juga kerana sorotan   sejarah yang terlalu panjang. 
Namun begitu, beliau  menyedari kemungkinan bahawa para pembaca berasa tidak sabar: “Sesetengah bahagian lebih banyak bergantung pada perdebatan teoritikal, bahagian lain pada analisis sejarah, manakala bahagian lain bergantung pada perbincangan tentang fenomena sezaman.  Tidak dapat tidak, para pembaca yang kurang sabar terhadap teori atau terhadap analisis masa lalu yang jauh dan tidak lazim, atau terhadap sejarah yang masih berlaku, mungkin mencuba untuk melangkau bahagian atau seluruh bab ini.”  Menyedari kemungkinan ini, Arrighi menjelaskan bahawa dua perbahasan utama buku ini, pertama, berkenaan penempatan semula pusat gempa ekonomi politik global ke Asia Timur, dan kedua, berkenaan The Wealth of Nations.         
Bermula secara  metafora,  dalam Bab 1:  “Marx in Detroit, Smith in Beijing” para pembaca dapat menjangkakan betapa jauh dan dalamnya  pengaruh pemikiran kedua-dua ahli ekonomi di dua buah negara yang sedang bersaing dari segi ekonomi.  Setelah menelusuri beberapa perdebatan tentang dinamik Smithian dan Pencapahan Agung,  Arrighi mendapati wujud persamaan antara penemuan Mario Tronti tentang  Marx di Detroit dengan penemuan Smith di Beijing oleh R. Bin Wong, Andre Gunder Frank, dan   Kenneth Pomeranz.  Tafsiran tepat tentang The Wealth of Nations menunjukkan wujud percanggahan asas antara penerimaan ideologi pasaran bebas oleh Eropah dengan kerelevanan faktual yang besar tentang China empayar yang akhir.
 Arrighi membahaskan bahawa pada abad ke-21, China mungkin muncul semula dalam bentuk ekonomi pasaran bukan kapitalis yang Adam Smith jelaskan mengikut keadaan domestik dan sejarah yang berbeza secara keseluruhannya. Beliau juga mencuba untuk menunjukkan bahawa  konsensus Beijing, iaitu   kemunculan yang diterajui oleh China “laluan untuk negara lain di serata dunia” dan pada masa yang sama,  penolakan terhadap   konsensus Washington.
Arrighi mengkaji bagaimana percubaan terbaru Amerika untuk mewujudkan empayar global sebenar yang pertama dalam sejarah dunia dianggap sebagai percubaan untuk bertindak balas terhadap kejayaan ekonomi  China yang  menakjubkan pada tahun 1990-an. Dan, bagaimana kegagalan teruk yang dialami oleh Amerika di Iraq menjadikan China pemenang sebenar dalam Perang Amerika terhadap keganasan. 
Dalam Adam Smith in Beijing,  Arrighi menolak kepercayaan umum tentang daya tarikan utama Republik Rakyat China untuk pelaburan asing adalah kerana rizab buruh yang besar dan berharga rendah.  Sebaliknya, beliau berhujah, “daya tarikan utama ialah kualiti tinggi rizab buruh itu, dari segi kesihatan, pendidikan, dan keupayaan mengurus diri sendiri  - dengan gabungan dengan pengembangan pesat keadaan penawaran dan permintaan  terhadap mobilisasi rizab berkenaan dalam negara China itu sendiri. Lagipun, gabungan ini tidak diwujudkan oleh modal asing, tetapi oleh proses pembangunan berasingan tradisi peribumi, termasuk  tradisi revolusioner yang melahirkan Republik Rakyat China.” 
Arrighi juga menolak tafsiran neoliberal tentang keajaiban ekonomi, seperti yang dapat dilihat dalam perbincangan “Pembukaan China:  Smith lawan Friedman” yang dimuatkan dalam Bab 12.  Sebaliknya, beliau menghargai tradisi ekonomi pasaran yang teguh China sendiri.  China tidak menerima pakai terapi kejutan yang disokong oleh konsensus Washington.  Meskipun China mengalu-alukan nasihat dan bantuan Bank Dunia sejak permulaan  pembaharuan, namun negara itu  sentiasa melakukannya dengan syarat dan pada keadaan berbakti terhadap “kepentingan negara” China. Seperti yang ditegaskan oleh Arrighi,  “kerajaan China mengalu-alukan pelaburan langsung asing, tetapi lagi sekali hanya jika mereka melihat pelaburan itu sebagai berbakti terhadap kepentingan China.”  Hujah beliau lagi, secara lebih umum, China melaksanakan pembatalan kawal selia dan penswastaan dengan cara yang amat terpilih, dan bermula dengan amat perlahan jika dibandingkan dengan negara yang mengikuti preskripsi neoliberal.
Sesungguhnya,  Arrighi  bukan sahaja mengemukakan analisis yang penuh wawasan tentang pemikiran Adam Smith, bahkan juga beliau mengemukakan tafsiran yang baru dan mencabar tentang peningkatan ekonomi China.  Beliau juga mencuba menarik perhatian tentang “pengumpulan tanpa perampasan,” dengan menegaskan bahawa “sebagaimana Smith nasihatkan, pembaharuan Deng (Xiaoping) mensasarkan  ekonomi domestik dan pertanian terlebih dahulu.  Pembaharuan utama adalan pengenalan pada tahun 1978 – 1983 Sistem Tanggungjawab Isi Rumah yang mengembalikan hal membuat keputusan dan kawalan terhadap lebihan pertanian daripada komun kepada isi rumah desa.” 
Meskipun buku tentang kebangkitan China kini banyak  membanjiri pasaran, namun buku  Giovanni Arrighi boleh dianggap lebih autoritatif kerana  memberikan kupasan yang amat mendalam yang menggabungkan rangka teoritikal,  analisis empirikal, dan sorotan sejarah.  Dengan penyelidikan yang sangat  luas, buku ini dapat menjelaskan mengapa China berada pada kedudukan yang kuat seperti yang dapat dilihat pada hari ini.  Adam Smith in Beijing dianggap sebagai perspektif sistem-dunia yang dipelopori oleh “geng empat,” iaitu Giovanni Arrighi dan Andre Gunder Frank – kedua-duanya telah meninggal dunia, dan Immanuel Wallerstein serta Samir Amin. 
(Nota:  Tulisan asal ulasan buku yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi Mei 2010.)





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...