Artikel Popular

Wednesday, February 9, 2011

Perang Kepelbagaian Budaya

RABU,  9 Februari 2011
Oleh: ZULKIFLI  SALLEH

Sekali lagi fahaman pelbagai budaya diserang.  Sekali lagi, Eropah yang masih bergelut dengan krisis ekonomi menjadi kancah perang fahaman pelbagai budaya.  Dan, sekali lagi, kaum imigran, khususnya orang  Islam di benua itu dijadikan sasaran, bahkan mangsanya.
Pada pertengahan Oktober lalu Angela Merkel  menjadi  tumpuan  di Eropah dan merentas Atlantik kerana pengumuman beliau tentang  kegagalan fahaman pelbagai budaya di Jerman.  Pengumuman itu   menghangatkan lagi debat  tentang bagaimana untuk berurusan dengan berjuta-juta orang asing atau pendatang yang menganggap  sesebuah  negara itu  sebagai negara mereka.              Beliau berkata,  “Pendekatan  pelbagai budaya ini, iaitu kita  hidup sebelah menyebelah dan hidup dengan gembira antara satu sama lain gagal. Benar-benar gagal.”
Dalam  majalah Dewan Budaya keluaran Januari 2011, saya menulis “Berakhirnya Fahaman Pelbagai Budaya.”   Makalah  itu bermula dengan merujuk kepada penulisan  David Brooks pada tahun 2006  dalam  The New York Times, yang mengisytiharkan kematian fahaman pelbagai budaya di Amerika Syarikat. Sebagai penulis yang terkenal dan  menulis pula dalam akhbar yang berwibawa,  pastinya beliau bukannya membuat perisytiharan sesuka hati tanpa melakukan kerja rumah.  Dalam makalah, “The Death of Multiculturalism,” Brooks bermula dengan memetik  Richard Bernstein   bahawa pada tahun 1994, fahaman pelbagai budaya mencapai  tera airnya yang tinggi. Seterusnya, beliau memetik Michael Tomasky bahawa  dua tahun kemudian, gerakan progresif dimusnahkan oleh politik identiti pelbagai budaya.
Brooks merumuskan bahawa kemerosotan fahaman pelbagai budaya dan kelahiran semula nasionalisme Amerika liberal merupakan peristiwa yang cukup penting lagi bermakna.  Demokrat membersihkan  sisa-sisa terakhir Kiri  Baru dan kembali semula liberalisme sivik lama tahun 1950-an dan awal 1960-an.
Sebelum perisytiharan Angela Merkel itu, fahaman kepelbagaian telah pun menjadi perdebatan.  Walaupun  wujud  pelbagai kumpulan minoriti, misalnya gay, lesbian, dan penyokong gerakan kewanitaan, tetapi yang sering menjadi tumpuan perdebatan atau polemik  fahaman pelbagai budaya ialah kaum imigran  di sesebuah negara.  Dalam hubungan ini,  Malise Ruthven berjaya memerhatikan  kewujudan “benua imigran” di Eropah  Barat  dan  masalah yang mendasari  imigran Islam, antaranya dari segi budaya.  Dalam  ulasannya tentang  dua buah buku, satu ditulis oleh Christopher Caldwell dan satu lagi oleh Tariq Ramadan,  Ruthven  menegaskan bahawa  berbanding dengan pelarian Yahudi dan Huguneot, jumlah yang  meningkat  daripada penghijrah Muslim membahayakan budaya peribumi Eropah,  terutama kerana budaya berkenaan menjadi mudah rosak dalam keadaan tidak tentu.
 Ruthven yang menulis  The Big Muslim Problem!”   dalam The New York  Review of Books,   berhujah bahawa  ketepatan  politik, antirasisme, dan faham pelbagai budaya, lahir daripada rasa bersalah tentang kolonialisme dan rasa malu terhadap Holocaust, menghakiskan budaya kebangsaan,  tetai   gagal untuk melahirkan wawasan koheren  identiti  Eropah bersama. Model rasa kekitaan Kesatuan Eropah ialah “Anda ialah satu orang untuk budaya anda dan satu lagi  untuk undang-undang.  Anda boleh secara rasmi (dari segi undang-undang) menjadi orang Eropah, bahkan jika anda bukan orang Eropah ‘sebenar’ (budaya).”  Memang wujud masalah bagi sesetengah komuniti Eropah atau bahawa fahaman pelbagai budaya mencabar sempadan tradisional yang memisahkan warganegara daripada idea yang tertumpu pada kesetiaan, identiti, dan taat setia. Apabila seorang imigran berkata bahawa dia British, dia tidak berkata bahawa dia mahu menjadi orang Inggeris, Scott atau Welsh. 
Pada takat tertentu, Ruthven cuba  berhujah  bahawa   fahaman pelbagai budaya membuka ruang kepada kaum imigran untuk memperkukuh budaya mereka:  “Masalah asas Eropah terhadap Islam, dan terhadap penghijrahan lebih umum, ialah bahawa komuniti yang lebih kuat di Eropah, berbicara dari segi budaya, bukannya komuniti Eropah sama sekali.  Masalah ini wujud di semua negara Eropah, meskipun pelbagai langkah yang luas diambil untuk menyelesaikannya, misalnya faham pelbagai budaya di Belanda, laicite di Perancis, pengabaian mesra di Britain, dan keberadaban perlembagaan di Jerman.”
Eropah yang sejak  beberapa bulan lalu terpaksa bergelut dengan krisis hutang, tiba-tiba meletup dengan penolakan fahaman pelbagai budaya:  pengusiran Roma  atau orang Gipsi  dari Perancis dan sentimen antikaum imigran atas alasan politik dan ekonomi.    Dari  Perancis ke Jerman, dari Austria ke Belanda,  menurut pemerhatian Slavoj Zizek,  dalam semangat baru kebanggaan terhadap satu-satunya  budaya dan identiti sejarah, parti-parti utama kini mendapati boleh diterima untuk menekankan bahawa kaum imigran ialah tetamu yang perlu menyesuaikan diri mereka dengan nilai budaya yang menentukan masyarakat peribumi.  Mesejnya jelas:  “Ini negara kami, cintainya atau berambus.”   Merentas Eropah, bahas  Zizek dalam guardian.co.uk pada awal Oktober lalu, “politik kanan jauh (far  right)    mencemari  kita semua dengan keperluan untuk melaksanakan dasar antiimigresen yang ‘munasabah.’  Fahaman pelbagai budaya liberal bertopengkan barbarisme lama dengan wajah manusia.”
Pengumuman Canselor Jerman itu  memanaskan lagi perdebatan tentang fahaman pelbagai budaya, bahkan   menarik perhatian  The Economist  yang muncul dengan “Immigration in Germany: Multikulturell? Wir?” dengan memberikan mukadimah, “bagaimana debat baru tentang fahaman pelbagai budaya di Jerman bertembung dengan negara yang memerlukan lebih banyak kaum imigran.  Tinjauan pendapat yang baru mengesahkan perseteruan orang Jerman terhadap kaum imigran, terutamanya orang Islam. Majalah itu juga memetik pandangan Ruud Koopmans dari Social Science Research Centre di  Berlin yang berkata, “Bercakap dalam bahasa Jerman dan berhubung dengan orang Jerman adalah lebih penting daripada merasakan diri mereka orang Jerman.”
Selepas reda seketika, tiba-tiba pada awal Februari ini, Perdana Menteri Britain, David Cameron yang jika dibandingkan dengan Angela Merkel, dengan nada yang lebih keras  mengisytiharkan “perang beliau terhadap fahaman pelbagai budaya” yang bukan sahaja mendapat liputan meluas akhbar negara itu,  malahan akhbar di di Amerika Syarikat.  Beliau melancarkan serangan hebat terhadap 30 tahun fahaman kepelbagaian budaya di negara itu, dengan memberikan amaran bahawa fahaman tersebut memupuk ideologi ekstremis dan secara langsung menyumbang terorisme Islam yang ditanam di negara sendiri.  Beliau berkata bahawa Britain mesti menerima pakai dasar “liberalisme otot” untuk menguatkuasakan nilai kesamaan, undang-undang, dan kebebesan bercakap yang melibatkan setiap lapisan masyarakat. 
Dalam dasar baru yang  digariskan dalam ucapannya  sempena persidangan keselamatan antarabangsa di Munich, Cameron memberikan amaran bahawa kumpulan Muslim bahawa jika mereka gagal menyokong hak kaum wanita dan gagal menggalakkan integrasi, mereka akan kehilangan semua pendanaan kerajaan.  “Semua kaum imigran di Britain mesti bercakap bahasa Inggeris dan sekolah akan dijangkakan mengajar budaya bersama negara itu.  Beliau menyalahkan doktrin “fahaman pelbagai budaya negara” yang menggalakkan budaya yang berbeza menjalani kehidupan yang berasingan.  Bagi beliau, fahaman pelbagai budaya ini mendorong  kegagalan sesetengah pihak untuk menghadapi perasaan gerun kahwin paksa, dan tambah beliau, “juga membiakkan keradikalan yang mendorong terorisme.  Daripada mengabaikan ideologi ekstremis ini, tegas Cameron, “kita sebagai kerajaan dan masyarakat mesti sanggup menghadapinya.  Daripada menggalakkan orang ramai hidup berasingan, kita memerlukan maksud yang jelas tentang identiti nasional yang dikongsi, yang terbuka untuk setiap orang.”
Berikutan ucapan itu, Cameron dikatakan “biru lebam” kerana diserang oleh kumpulan Muslim dan anggota Parlimen daripada Parti Buruh.  Setiausaha Keadilan bayangan, Sadiq Khan menuduh Cameron “menulis propaganda untuk English Defence League,” manakala kumpulan Muslim berkata beliau cuba untuk “mengoyak-robekkan komuniti Islam.”  Mohammed Shafiq, Ketua Eksekutif Ramadhan Foundation, menuduh Perdana Menteri cuba “mencari modal politik murahan.”  Kepelbagaian dikatakan tidak membiakkan pengganas, tetapi politik yang menggalakkannya.
Paul Vallely,  How Monocultural Does the Prime Minister Want Us to Be?”  dalam The Independent  pada 5 Februari lalu, mengakui bahawa selama ini fahaman pelbagai budaya tidak pernah disenangi oleh puak kanan, tetapi kini turut diserang oleh puak kiri liberal.  “Idea bahawa kumpulan etnik yang berbeza,” tulis Vallely, “sepatutnya dipupuk dan diraikan, sebagai asas untuk keharmonian sosial, menjadi tonggak sikap Britain terhadap komuniti minoriti sejak lebih dekad.”  Vallely juga mengakui bahawa beberapa langkah praktikal Cameron itu tidak akan mencetuskan kontroversi dalam kalangan kumpulan minoriti, seperti  keperluan bahawa  kaum imigran sepatutnya mempelajari bahasa Inggeris atau kurikulum sekolah sepatutnya meraikan “budaya bersama” jika itu adalah satu kelaziman. Akan tetapi, amaran Perdana Menteri Cameron bahawa “Eropah perlu sedar apakah yang berlaku terhadap masyarakat kita” mencetuskan kemarahan organisasi Muslim yang tidak menyumbang kepada nilai tertentu tentang “integrasi atau pengasingan.”
Analisis David Cameron adalah cacat, tulis Madeleine Bunting dalam guardian.co.uk, “individualisme dan globalisasi yang melemahkan identiti nasional yang kuat” dan “memeranjatkan bahawa Cameron mahu bersekongkol dengan debat di Jerman yang diserang histeria dan terlalu tidak menyenangkan.”  Beliau juga  menegaskan bahawa salahkan kapitalisme pengguna dan bukannya fahaman pelbagai budaya.  Madeleine cuba membahaskan komuniti yang dibayangkan dengan  memetik wawasan sejarawan, Benedict Anderson tentang bangsa ialah “produk imaginasi dan cerita yang kita pilih untuk  memberitahu kita tentang masa lalu dan masa kini kita.
Mesej David Cameron memang jelas bahawa sebagaimana di Jerman dan Perancis,  orang Islam tidak dikehendaki di Britain.  Dengan memilih Munich untuk memberitahu   orang Islam, beliau “belayar sekapal” dengan Angela Merkel.  Tindakan ini mudah untuk difahami kerana kedua-dua negara sarat dengan rasisme, dan di kedua-dua negara, kaum peribumi berpegang teguh pada bahasa dan budaya mereka.
 Di sini saya mengulangi apa yang saya sudahi dalam makalah saya itu bahawa kini,     David Brooks tidak lagi  berseorangan mengisytiharkan kematian fahaman pelbagai budaya: Merkel dan Cameron turut menyertainya.     Tindakan dunia yang mula  menutup pintu kepada   berjuta-juta  juta kaum imigran dan dengan kebangkitan fahaman keperibumian (nativisme) seperti yang berlaku di Eropah, memperlihatkan  fahaman pelbagai budaya kini di ambang kematian.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...