Artikel Popular

Wednesday, February 23, 2011

G-Sifar

KHAMIS, 24 Februari 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Mesyuarat  menteri kewangan dan banker pusat  badan antarabangsa yang dikenali  kumpulan  atau G-20  di Paris pada minggu lalu, berlangsung dalam suasana yang agak lengang.  Selain liputan media, sesungguhnya tidak banyak komen atau ulasan yang diberikan.   Ini sebahagiannya adalah kerana dunia tertumpu di Jalan Arab: Pemberontakan Arab kedua yang merayau-rayau mencari mangsa seterusnya selepas Tunisia dan Mesir.  Antara keputusan yang dicapai dalam mesyuarat tersebut ialah bagaimana untuk mengukur ketidakseimbangan ekonomi global, seperti defisit atau lebihan perdagangan, defisit belanjawan yang besar, atau terlalu besar aliran masuk modal, yang mungkin membawa risiko terhadap ekonomi.  Pendekatan ini bertujuan sebahagian untuk menangani keengganan China untuk membiarkan mata wangnya meningkat dengan pantas sebagaimana kerajaan lain dalam G-20 ingin lihat.
         G-20 diberikan penghargaan kerana membantu meredakan krisis kewangan kerana para pemimpin ekonomi teratas di dunia bersetuju melawan krisis secara bersama.  Kini, negara anggota bukan sahaja mencapai tahap pertumbuhan yang berbeza-beza, tetapi juga setiap negara bergerak ke arah yang berbeza, dan dengan itu, G-20 juga ditarik ke arah yang berbeza. 
            Dalam mesyuarat itu juga, Setiausaha Kewangan Amerika, Timothy Geithner, berhadapan secara langsung dengan China, dengan berkata mata wangnya, renminbi,  masih “dikurang nilai yang sangat besar” dan langkah terbaharu yang diambil oleh Beijing untuk melaraskan nilai mata wangnya adalah terlalu kecil.  Mesyuarat pada hujung minggu itu bersetuju untuk menetapkan garis panduan untuk mengenal pasti apabila  pembangunan  ekonomi dan kewangan di  beberapa negara akan menimbulkan masalah terhadap negara-negara lain di dunia. 
            Banyak menteri kewangan berkata bahawa ketidaksetaraan yang ketara dalam pertumbuhan adalah menyumbang kepada ketidakseimbangan dalam cara wang mengalir di seluruh dunia.  Beberapa negara percaya bahawa ketidakseimbangan adalah bertambah buruk kerana China dituduh menekankan nilai mata wangnya.  Sebaliknya, Amerika dan negara lain mahu nilai mata wang China dinaikkan nilai dengan lebih pantas. 
            Walaupun semasa krisis kewangan, pemimpin G-20 memperlihatkan kesepakatan mereka, namun dalam banyak hal, negara anggota bertindak bagaikan “enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.”  Meskipun secara terbuka mereka mempertahankan perdagangan bebas, tetapi secara diam-diam, banyak negara mengamalkan fahaman perlindungan.
            Nouriel Roubini, profesor ekonomi di New York University, sejak akhir-akhir ini menyerang G-20.  Semasa  Forum Ekonomi Dunia 2011 di Davos baru-baru ini, beliau berkata G-20 menjadi G-Sifar.  Pengawasan ekonomi global adalah tidak keruan kerana kekosongan kepimpinan.  Bersama-sama Sir Martin Sorrel, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan media WPP, merintih kurangnya kepimpinan global bersama, menjelaskan  usaha terselaras untuk menangani ketidakseimbangan perdagangan, aliran modal, sumber air, imigrasi, dan perubahan cuaca sebagai “G-Sifar.”  Wujud percanggahan dan tidak keruan, maksudnya G-Sifar,” kata Roubini.
         G-Sifar sebagai lawan G-20, ialah bahawa negara paling berkuasa di dunia, apabila mereka muncul bersama-sama, biasanya tidak mencapai apa-apa persetujuan. Sejak G-Sifar menjadi semakin popular,   Nouriel Roubini  menjelaskan bahawa kita hidup di dunia apabila dari segi teori, ekonomi global dan tadbir urus politik  di dalam tangan G-20.  Namun begitu, dari segi amalan, tidak ada kepimpinan global dan berlaku  tidak keruan yang teruk serta percanggahan dalam kalangan anggota G-20 tentang monetari, dasar fiskal, kadar pertukaran dan ketidakseimbangan global, perubahan cuaca, perdagangan, kestabilan kewangan, sistem monetari antarabangsa,  tenaga, makan, dan keselamatan global. Jelas beliau lagi, kuasa besar melihat isu ini sebagai   permainan  hasil tambah sifar dan bukannya permainan hasil tambah positif.  Justeru, kita pada hakikatnya, hidup di dunia G-Sifar.           
          Dalam rencana utama jurnal Foreign Affairs keluaran Mac-April 2011, Roubini dan Ian Bremmer, Presiden Eurasia Group, menjelaskan bahawa “dunia G-Sifar” bermaksud konflik, fahaman perlindungan, dan perang perdagangan. Dunia yang menurut mereka, “tidak ada sebuah negara atau blok negara mempunyai pengaruh politik dan ekonomi, atau keazaman untuk memacu agenda antarabangsa yang sebenarnya.  “Pada masa lalu,” tulis Bremmer dan Roubini, “Amerika Syarikat mampu menggunakan kuasa ketenteraan dan ekonomi untuk memaksa kerjasama global.”  Namun, “kini, Amerika kekurangan sumber untuk meneruskan peranannya sebagai penyedia utama barang awam global.” Dengan kata lain, Amerika hilang hegemoni. Sementara negara lain, seperti China tidak berminat untuk memikul beban yang muncul bersama-sama kepimpinan global.
          Apabila G-20 mengadakan mesyuarat di London pada awal April 2009, Immanuel Wallerstein membangkitkan apa gunanya  G-20 bermesyuarat, meskipun hampir  setiap orang melihat mesyuarat itu dengan terlalu serius.  Bahkan, setiap orang hadir ke mesyuarat itu tahu terlebih dahulu bahawa tiada apa-apa yang signifikan akan berubah hasil mesyuarat itu, dan beberapa perubahan kecil yang diterima pakai dengan mudah diatur tanpa mengadakan mesyuarat.  “Tujuan mengadakan mesyuarat,” bahas Wallerstein, “bagi Amerika Syarikat, bagi Perancis dan Jerman, bagi China adalah untuk menayang-nayangkan kepada orang ramai bahawa mereka ‘melakukan sesuatu’ tentang situasi ekonomi dunia yang membawa malapetaka apabila pada hakikatnya, mereka tidak melakukan apa-apa secara signifikan untuk menyelamatkan kapal yang sedang karam.”
         Sebagaimana pertubuhan serantau dan antarabangsa yang lain, G-20 mulai dijangkiti sindrom mesyuarat: banyak bercakap, tetapi tiada tindakan.  Tatkala dunia dilanda krisis ekonomi dan seterusnya terjebak dalam kemelesetan yang terburuk sejak Kemelesetan Besar, nyata bahawa dunia ketandusan kepimpinan yang  mampu menuntun dunia.  Setiap ahli politik sibuk memikirkan kelangsungan mereka daripada memikirkan kelangsungan negara, apatah lagi kelangsungan dunia. 

           


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...