Artikel Popular

Saturday, February 19, 2011

Semangat Kapitalisme

SABTU, 19 Februari  2011
Oleh:   ZULKIFLI SALLEH

Setelah membaca  berbulan-bulan dan tercari-cari apakah semangat baru kapitalisme yang ingin diketengahkan oleh kedua-dua penulisnya, maka timbul pertanyaan adakah buku ini wajar diulas.  Penulis merasakan bahawa The New Spirit of Capitalism (Verso; 601 hlm.; RM147.60) mencabar ketekunan serta kesabaran  untuk meneruskan pembacaan yang kadangkala tertangguh dan terpaksa mengulangi pembacaan.  Kalaulah tidak kerana memikirkan bahawa buku yang ditulis oleh Luc Boltanski dan Eve Chiapello penting dari segi pemahaman tentang semangat (baru) kapitalisme, penulis tidak bersemangat untuk menamatkan pembacaan;  apatah lagi untuk mengulas buku ini yang  diterjemahkan daripada bahasa Perancis ke dalam bahasa Inggeris.
                        Semangat kapitalisme pastinya mempersegarkan ingatan kepada buku Max Weber, The Protestant Ethic and the Spirit of Capitalism yang diterbitkan pada tahun 1905, dan kedua-dua penulis mengakui: “Karya Weber tentang ethos  yang mengilhamkan kapitalisme asal.”   Weber cuba menunjukkan bahawa Puritan awal, mencari keagungan Tuhan sahaja  dan meninggalkan perolehan barang kebendaan sebagai matlamat hidup semata-mata, mengembangkan sifat baik, seperti kejujuran dan jimat cermat sangat membantu kepada pengumpulan modal.  Beliau  menegaskan bahawa Reformasi adalah dalam beberapa pengertian merupakan prasyarat untuk Revolusi Perindustrian.  Bagi beliau, kapitalisme tidak hanya muncul di Eropah apabila keadaan teknologi adalah baik; “semangat” atau keadaan tertentu jiwa manusia, membolehkan perubahan teknologi berlaku.  Semangat itu merupakan hasil Puritan atau Protestanisme fundamentalis yang cuba dibuktikan oleh beliau sebagai korelasi antara Protestanisme dengan kapitalisme.
            Secara tidak langsung, The New Spirit of Capitalism menyentuh kajian klasik Max Weber tentang etika Protestan. Namun, kedua-dua penulisnya mencadangkan supaya mengetepikan kepentingan perbahasan pasca-Weberian yang pada hakikatnya  berlegar pada pengaruh sebenar Protestanisme terhadap pembangunan kapitalisme. Boltanski dan Chiapello menegaskan bahawa dari segi sejarah, wujud tiga semangat kapitalisme yang berturut-turut.  Yang pertama, terbentuk pada akhir abad ke-19 yang tertumpu kepada individu usahawan borjuis dan pemerian nilai borjuis.  “Imej usahawan ini, kapten industri,” tulis mereka, “menekankan perjudian, spekulasi, risiko, dan inovasi.”  Namun, mereka mengakui bahawa rempuhan krisis ideologi yang berlaku pada bahagian kedua tahun 1930-an, dengan kehilangan rentak semangat pertama, tidak dapat diramalkan. 
Pencirian kedua semangat kapitalisme yang dibangunkan hampir sepenuhnya antara tahun 1930-an hingga 1960-an, kurang menekankan usahawan individu berbanding dengan organisasi.  Dengan memberikan tumpuan terhadap perkembangan pada permulaan abad ke-20 tentang firma perindustrian yang besar, berpusat, dan dibirokrasikan, terpukau oleh saiz yang sangat besar, tokoh wiraan ialah pengurus.  Tidak seperti pemegang saham yang ingin meningkatkan kekayaan peribadi, para pengurus ini sibuk dengan hasrat yang sentiasa berkobar-kobar untuk memperbesarkan firma yang dipertanggunjgawabkan kepada mereka. 
Setelah menetapkan kota projektif, kedua-dua penulis memperluaskan perbincangan dengan membandingkan semangat baru kapitalisme dengan yang mendahuluinya dari segi tahap etika:  “Semangat kapitalisme pertama lebih tertumpu kepada etika penyimpanan, dan yang kedua tertumpu kepada etika kerja dan kecekapan, manakala semangat baru kapitalisme diperlihatkan oleh perubahan dari segi hubungan dengan wang dan kerja.”  Semangat ketiga kapitalisme mempunyai isomorphic dengan kapitalisme yang “diglobalisasikan”  menggunakan teknologi baru.  Dalam banyak aspek, semangat baru kapitalisme dibentuk pada masa yang sama ketika keulungan firma perindustrian besar diwujudkan, memiliki ciri yang tidak diakui oleh sama ada komunisme ataupun fasisme. 
The New Spirit of Capitalism sebuah karya baru, karya yang besar, dan bercita-cita tinggi yang ditulis dalam tradisi agung teoritikal dan sosiologi kritikan.   Kedua-dua penulisnya cuba mengkaji organisasi berasaskan rangkaian, autonomi pekerja, dan struktur kerja mendatar pasca-Fordis. Dengan mengkaji  teks pengurusan yang tidak pernah berlaku dahulu, mereka menegaskan bahawa mulai pertengahan tahun 1970-an dan seterusnya, kapitalisme meninggalkan struktur kerja hierarki Fordis dan membina bentuk organisasi berasaskan rangkaian yang diasaskan pada daya usaha dan autonomi para pekerja di tempat kerja, tetapi pada kos kebendaan dan keselamatan psikologi.  Menurut mereka,   semangat kapitalisme bukan sahaja mengesahkan proses pengumpulan modal, tetapi juga mengekang proses ini. 
            Buku ini memberikan tumpuan terhadap tahun 1965 hingga 1995.  Seperti yang dinyatakan oleh kedua-dua penulis, mula-mulanya diperlihatkan (1965 – 1975) oleh gerakan kritis yang intensif yang berbetulan dengan krisis kapitalisme.  Kemudian, pada fasa berikutnya (1975 – 1990), kritikan menjurus kepada yang berlaku serentak dengan transformasi atau kebangkitan semula kapitalisme.  Kebangkitan semula ini akhirnya membawa pada tahun 1990-an, kepada pembinaan beransur-ansur fulkrum nomatif baru, iaitu “kota” baru. 
Tempoh  20 tahun lalu diperlihatkan oleh kapitalisme yang berkembang pesat:  “Dalam tempoh ini, modal mempunyai pelaburan yang berlipat ganda menawarkan kadar keuntungan yang berlebihan jika dibandingkan dengan era awal.”  Semangat baru kapitalisme ini mencapai kejayaan ekoran daripada pemulihan yang luar biasa apa yang disebut  oleh kedua-dua penulis, kritik seni (artistic critique) yang selepas peristiwa Mei 1968, mengkritik pengasingan kehidupan harian oleh kapitalisme dan birokrasi.  “Sejarah tahun-tahun yang menyusuli  peristiwa Mei 1968 menunjukkan sesuatu yang sejati, tetapi kadangkala impak paradoks kritik terhadap kapitalisme.” 
Pokok perbincangan buku ini ialah perubahan ideologi yang mengiringi transformasi terbaru dalam kapitalisme.  Berdasarkan contoh sejarah sejak Mei 1968 hingga bahagian kedua tahun 1990-an, kedua-dua penulis  mengemukakan rangka teoritikal yang lebih umum untuk memahami cara ideologi dikaitkan dengan aktiviti ekonomi telah dipinda.  Dengan mengetepikan  ideologi mengikut pengertian Marxis,  Boltanski dan Chiapello menentukan istilah “ideologi” yang  ditafsirkan dari segi set kepercayaan bersama, ditulis dalam institusi, disebatikan dengan tindakan, dan oleh itu, diperkukuh dalam realiti.  Tujuan mereka adalah untuk mengetengahkan transformasi yang besar dalam semangat kapitalisme sepanjang 30 tahun lalu, iaitu pembuangan ciri ideologi khusus, dan kemunculan imej baru firma dan proses ekonomi. 
Berdasarkan kepustakaan pengurusan pada tahun 1990-an yang mengandungi impian, cadangan untuk mengurus manusia, cara mengatur objek, dan bentuk keselamatan yang sangat berbeza dengan kepustakaan pengurusan pada tahun 1960-an, Boltanski dan Chiapello menegaskan sukar untuk tidak menerima bahawa semangat kapitalisme mengalami perubahan yang menyeluruh sepanjang  30 tahun lalu.
Mereka berhujah bahawa penentangan terhadap kapitalisme sosial yang dirancang dan diseliakan oleh kerajaan dan bersandarkan  kritik seni,  semangat baru kapitalisme secara beransur-ansur terbentuk pada akhir krisis tahun 1960-an dan 1970-an, dan dilaksanakan untuk memulihkan martabat kapitalisme.  Pembangunan apa yang mereka sebut connexionist world, dan pembentukan beransur-ansur kota projektif (projective city) yang menuntut keadilan, “mengandungi fulkra normatif utama yang padanya semangat baru kapitalisme diletakkan.”
Sesungguhnya, kapitalisme memerlukan semangat supaya dapat mengambil orang yang diperlukan untuk pengeluaran dan menggerakkan perniagaan.  Untuk berupaya menggembleng orang, semangat kapitalisme mesti menggabungkan dimensi moral.  Namun, Boltanski dan Chiapello mengingatkan bahawa semangat kapitalisme tidak boleh dikurangkan kepada ideologi dalam erti kata ilusi yang tidak mempunyai impak terhadap peristiwa di dunia.  Sementara pengendali utama pewujudan dan transformasi semangat kapitalisme ialah kritik (suara), dan dalam keadaan tertentu, kritik boleh dengan sendiri menjadi satu faktor perubahan dalam kapitalisme dan bukan hanya dalam semangat kapitalisme.
(Nota:  Tulisan asal ulasan buku yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat Julai 2010.)


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...