AHAD, 27 Februari 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Semasa melawat London School of Economics (LSE) pada tahun 2009 tatkala Britain dan dunia terhumban ke dalam krisis ekonomi yang teruk, Ratu Elizabeth bertanya mengapa tiada seorang pun yang meramalkan berlakunya kerkah kredit. Dalam jawapan bertulis kepada baginda yang ditandatangani oleh Profesor Tim Besley dari LSE dan ahli sejarah kerajaan yang terbilang, Peter Hennessy, memaklumkan bahawa “psikologi penafian” yang mencengkam dunia kewangan dan politik terbenam ke dalam krisis.
Sesungguhnya, bukan sesuatu yang aneh atau memeranjatkan jika pemimpin negara, ahli politik, dan cerdik pandai terus-menerus membiarkan diri mereka terbenam dalam pelukan psikologi penafian: segala-galanya elok, segala-galanya terkawal. Ketika berlakunya jatuh bebas pada tahun 2008, rakyat Malaysia sering diyakini oleh para pemimpin bahawa “fundamental adalah kukuh.” Namun, yang nyata, pada tahun 2009, Malaysia turut terjebak dalam kemeseletan yang melanda dunia.
Akhbar tempatan dalam keluaran 26 Februari, melaporkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak sebagai berkata, “rakyat tidak terpengaruh ‘revolusi’ di Asia Barat.” Hal ini demikian kerana sokongan dan keyakinan rakyat terhadap kerajan Barisan Nasional semakin meningkat dan mereka tidak terpengaruh dengan revolusi yang melanda Asia Barat sehingga mengancam beberapa kerajaan di rantau itu. Meskipun kerajaan mengambil iktibar terhadap revolusi yang berlaku di di Asia Barat, namun Mohd. Najib dengan yakin berkata, “keadaan di rantau itu tidak sama dengan Malaysia apabila kerajaan Barisan Nasional melakukan perubahan sebaik mungkin untuk kesejahteraan rakyat dan ia terbukti apabila ekonomi negara bagi 2010 tumbuh pada kadar 7.2 peratus.”
Sebentar. Jangan kelihatan terlalu yakin. Tunisia dan Mesir juga sarat dengan "kejayaan" ekonomi sekurang-kurangnya di mata Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa. Khusus untuk Mesir, setakat pertengahan tahun lalu, ekonomi negara itu kelihatan sempurna dan membanggakan, seperti yang diriwayatkan oleh The Economist (17 - 23 Julai 2010).
Siapakah yang pernah membayangkan pemberontakan popular di Tunisia? Negara itu dengan 10 juta orang penduduk, yang terkenal dengan taraf pendidikan yang tinggi, hidup mewah secara relatifnya, dan berbangga dengan kesedaran sivik. Sehingga tercetusnya Revolusi Melati, kekecewaan dan kegelisahan di Jalan Arab (Arab Street) jarang-jarang kedengaran di Tunisia jika dibandingkan dengan negara lain di dunia Arab.
Tiga tahun lalu, Christopher Hitchens, cerdik pandai yang terkenal melawat Tunisia dan menulis dalam Vanity Fair, “At the Desert’s Edge.” Beliau mencatatkan Tunisia sebuah negara yang paling berjaya di benua Afrika sambil memetik 2006–2007 World Economic Forum Global Competitiveness Report yang menyenaraikan Tunisia menduduki tangga pertama di Afrika dari segi daya saing ekonomi, bahkan secara kebetulan, mengatasi tiga buah negara Eropah, iaitu Italy, Greece, dan Portugal. Pemilikan rumah adalah 80 peratus. Jangkaan hayat, ialah 72 tahun, tertinggi di benua itu. Kurang empat peratus penduduknya di bawah garis kemiskinan, dan mengurangkan kesengsaraan dengan “dana perpaduan” yang diterima pakai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai program model. Sembilan daripada 10 isi rumah menikmati bekalan elektrik dan air bersih. “Saya masih ingat pesanan kawan lama saya, mendiang Edward Said: ‘Saudara patut pergi ke Tunisia, Christopher. Sebuah negara yang lembut. Bahkan, golongan Islamis adalah terlalu beradab.’”
Hanya selepas Zine el-Abidine Ben Ali ditumbangkan oleh pemberontakan popular, keluar cerita tentang Lady Macbeth, dan “Ali Baba dengan 40 orang penyamun.” Juga cerita tentang pengangguran yang tinggi, termasuk pengangguran dalam kalangan siswazah, dan cerita “negara polis.”
Demikian juga dengan Mesir: banyak cerdik pandai yang muncul di kaca televisyen berulang-ulang kali mengatakan “Mesir bukan Tunisia,” selepas Ben Ali melarikan diri ke Arab Saudi. Cerdik pandai ini, seperti yang dibahaskan oleh Issandr El Amrani, “Why Tunis, Why Cairo?” “menunjukkan perbezaan antara kedua-dua buah negara: satu kecil, rakyat berpendidikan tinggi, kebanyakan kelas; sebuah lagi, besar dari segi jumlah penduduk di dunia Arab, dengan kadar buta huruf yang tinggi, dan ketidaksamaan yang meluas.” Namun, tegas beliau, kedua-dua negara mempunyai persamaan. Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, kesahan kedua-dua rejim semakin lemah; di setiap negara, pemimpin memerintah terlalu lama sehingga separuh penduduk tidak ingat lagi siapakah pemimpin yang terdahulu daripada mereka – lebih 23 tahun untuk Ben Ali dan hampir 30 tahun untuk Hosni Mubarak. Sesuatu yang patut dipandang serius daripada tulis El Amrani ini ialah, “orang ramai berasa tidak pasti tentang masa depan.”
Sebenarnya, Barat telah kalah dalam pertarungan untuk memenangi hati dan minda rakyat Arab. “Rakyat Mesir, Tunisia, Bahrain, Algeria, Yaman, Jordan, dan Libya,” menurut pemerhatian John Pilger, bangkit bukan hanya menentang pemimpin mereka, tetapi juga menentang kezaliman ekonomi Barat.” Dengan kata lain, penentangan mereka terhadap globalisasi neoliberal: liberalisasi, penswastaan, dan pembatalan kawal selia. Tambah beliau, “Sebagaimana revolusi Eropah tahun 1848 dan pemberontakan terhadap Stalinisme pada 1989, pemberontakan Arab menolak perasaan takut.”
“Why Didn’t the U.S. Foresee the Arab Revolts?” demikian tajuk perbahasan dalam The New York Times tiga hari lalu yang memperlihatkan pemberontakan Arab memang di luar jangkaan sama sekali. Dalam minggu-minggu sejak protes jalanan di Tunisia membawa penggulingan Zine el-Abidine Ben Ali dan tunjuk perasaan di Kaherah menumbangkan Hosni Mubarak, protes prodemokrasi yang sama tercetus di seluruh dunia Arab. Sememangnya, sesuatu yang membingungkan, tulis pengenalan “Room for Debate” itu bahawa komuniti risikan Amerika dan Pentadbiran Obama nampaknya terkejut oleh bagaimana cepatnya kekacauan merebak dari Tunisia ke Mesir dan kini ke Bahrain dan Libya.
Kita tahu bahawa kita hidup dalam situasi kacau-bilau, antaranya apabila media arus perdana secara tekal terkejut dengan apa yang berlaku dan ramalan jangka pendek oleh pelbagai cerdik pandai berlaku dalam arah yang bertentangan sama sekali. Immanuel Wallerstein dalam komentarnya pernah mengingatkan bahawa dua perkara boleh dikatakan tentang pemberontakan popular di mana-mana jua berlaku. Pertama, bukan mudah untuk orang ramai turun ke jalan-jalan untuk mengemukakan tuntutan terhadap kerajaan supaya mengubah dasar. Semua kerajaan telah bersiap sedia untuk menggunakan kekuatan terhadap tuntutan berkenaan, sesetengah lebih cepat daripada kerajaan yang lain. Untuk muncul di jalan-jalan, sebenarnya mereka mengambil risiko. Kedua, pemberontakan popular biasanya dan pastinya, gabungan banyak unsur, yang jelas perasaan tidak puas hati; sesetengahnya mahu menukar individu tertentu dalam kerajaan; sesetengahnya pula, mahu menggulingkan rejim.
Kini, segala-galanya merentas sempadan: manusia, modal, maklumat, bahkan juga bencana alam, wabak penyakit, keganasan jenayah, dan kekacauan. Perlu diingat bahawa dekad pertama abad ini menyaksikan kemunculan individu yang bermotivasi untuk melakukan kejutan dengan menggunakan teknologi yang dapat diperoleh dengan mudah. Dengan mengatakan “rakyat tidak terpengaruh ‘revolusi’” sesungguhnya, boleh membangkitkan psikologi bertentangan: bagi individu bermotivasi mungkin mereka merasakan kenyataan sedemikian ingin mencabar mereka. Perlu juga diingat bahawa tahun 2010 tahun bencana, 2011 tahun protes - itulah yang kelihatan di mana-mana: detik Tunisia di Wisconsin; Revolusi Melati di China.
Menggunakan kejayaan ekonomi sebagai hujah psikologi penafian, sesungguhnya boleh dianggap "pertahanan yang tidak boleh dipertahankan" - sekadar memetik George Orwell. Sememangnya, silap sama sekali jika sesiapa bergantung pada kadar pertumbuhan yang tinggi tanpa mempedulikan aspek agihan. Sesungguhnya, suatu malapetaka jika pertumbuhan tidak disertai oleh "kesan lelehan," sebaliknya "kesan pengumpulan ke atas," atau akibat pelaksanaan dasar neoliberal, "pengumpulan dan perampasan." Jangan lupa bahawa ketidaksamaan agihan yang kian melebar mendorong tercetusnya Pemberontakan Arab kedua. Ketidaksamaan agihan yang kian melebar menghumbankan Amerika Syarikat menjadi republik pisang. Justeru, jangan terlalu taksub dan berbangga dengan angka pertumbuhan yang menakjubkan.
Jika seseorang itu hidup dengan angka, dia akan mati dengan angka!

No comments:
Post a Comment