RABU, 23 Februari 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEHNeoliberalisme banyak dibincangkan, antaranya oleh David Harvey dari segi asal usulnya sebagai pemikiran politik dan ekonomi, manakala Naomi Klein mengkritik neoliberalisme, iaitu doktrin kejutan yang membawa kemusnahan dan kebinasaan, terutamanya di Amerika Latin. Tidak kurang menarik ialah perisytiharan oleh Immanuel Wallerstein sebelum tercetusnya krisis ekonomi 2008-2009, bahawa “tahun 2008 berkuburnya globalisasi neoliberal” - manifestasi paling terkini imperialisme dengan modal menggunakan kerajaan, terutamanya kepimpinan kerajaan Amerika Syarikat untuk memudahkan modal mengeksploitasikan sumber dan manusia di dunia. Tiga tonggak neoliberalisme yang didukung oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk dijaja ke seluruh dunia ialah penswastaan, liberalisasi, dan pembatalan kawal selia.
Seperti yang pernah dibahaskan oleh Marta Harnecker, Latin Amerika ialah rantau pertama di dunia yang dasar neoliberal diperkenalkan. Chile, dijadikan tempat ujian sebelum kerajaan Perdana Menteri Margaret Thatcher melaksanakannya di United Kingdom. Namun, tegas Harnecker, Amerika Latin juga rantau perama di dunia yang dasar neoliberal itu ditolak kerana dasar itu hanya berfungsi meningkatkan kemiskinan, memperluas ketidaksamaan sosial, memusnahkan alam sekitar, dan melemahkan golongan pekerja dan gerakan popular secara umum.
Aijaz Ahmad, yang dipetik dalam “Semangat Pemberontakan Arab Melanda Dunia?” antaranya membahaskan bahawa krisis makanan dan neoliberalisme yang bercelaru yang bukan sahaja berlaku di Tunisia, bahkan juga di tempat-tempat lain. Akibat neoliberalisme, ekonomi Tunisia gagal sejak dua tahun lalu. Untuk berbicara tentang neoliberalisme di dunia Arab, apatah lagi untuk mengaitkannya dengan pemberontakan popular sesuatu yang agak sukar. Ini kerana berbanding dengan tempat lain, khususnya Amerika Latin dan Asia, neoliberalisme merupakan sesuatu jarang-jarang kedengaran di dunia Arab. Kekecewaan dan kegelisahan di “Jalan Arab” boleh dikatakan tidak pernah dikaitkan dengan pelaksanaan dasar neoliberal “Sekolah Chicago.”
Memang diakui bahawa Tunisia merupakan negara yang maju jika dibandingkan dengan negara-negara Afrika yang lain dari segi daya saing, kadar pertumbuhan, kadar celik huruf, dan kemudahan asas. Namun, agak berlebih-lebihan bahawa ada orang “Tunisia mungkin menjadi mangsa kejayaannya sendiri.” Selepas tercetusnya Revolusi Melati, maka mula diperkatakan tentang pengangguran yang tinggi. Muhammad Bouazizi yang membakar dirinya yang akhirnya menyalakan dan memarakkan api revolusi di Tunisia dan di dunia Arab ialah salah seorang daripada banyak siswazah yang menganggur. Hanya selepas rejim Tunisia tumbang baru didedahkan bahawa perniagaan dan kekayaan Tunisia dibolot oleh Lady Macbeth, selain “Ali Baba dan 40 orang penyamun.”
Selain di Tunisia, pemberontakan popular di Mesir mempunyai kaitan dengan kemuflisan neoliberalisme. Ekonomi negara itu berasaskan campuran clientelism dan neoliberalisme, dan sebagaimana Tunisia, Mesir juga penuh dengan gembar-gembur kejayaan ekonominya. Liberalisasi ekonomi Mesir yang dilancarkan melalui dasar Infitah (Pintu Terbuka) Anwar Sadat pada tahun 1974 membolehkan Hosni Mubarak mendapat pujian daripada Bank Dunia. Sementara Mesir menerima pakai pakej penstabilan dan pelarasan struktur Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada tahun 1992, menurut pemerhatian Adam Shatz, “ideologi Parti Demokratik Nasional pimpinan Mubarak mengalami perubahan yang ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menyelang-nyelingkan antara Milton Friedman (pengasas neoliberal) dengan Muhammad (Islam), mengikut keadaan.”
Tatkala protes sedang memuncak, Annie Lowrey menulis bagaimana ekonomi Mesir mencetuskan kacau-bilau, pertama kerana isu struktur dan kedua, kenaikan harga makanan. Mesir mengalami pertumbuhan ekonomi yang padu, terutamanya dalam separuh dekad yang lalu, tulis Lowrey, tetapi gagal meningkatkan taraf hidup atau pendapatan kebanyakan 80 juta rakyat. Walau bagaimanapun, beliau langsung tidak menyebut pelaksanaan dasar neoliberal; sebaliknya, beliau hanya menyatakan bahawa “pada tahun 1990-an, Kaherah melancarkan projek penswastaan dan liberalisasi yang luas, melipatgandakan usaha untuk menarik pelaburan asing semula paa pertengahan tahun 2000-an.” Semua usaha tersebut membuahkan hasil, merancakkan pertumbuhan KDNK daripada kira-kira empat peratus pada tahun 2004 kepada lebih tujuh peratus pada 2008. Bahkan, Mesir berjaya mengharungi kemelesetan global, dengan KDNK-nya meningkat daripada 4.7 peratus pada 2009 kepada 5.2 peratus pada 2010, meskipun negara membangun lain terjejas teruk.
Dengan memetik statistik Bank Dunia, Annie Lowrey, kejayaan yang dicapai ini tidak dikongsi secara meluas: kuintil atas kumpulan berpendapatan meningkatkan bahagian pendapatan mereka sejak tahun 1990-an, manakala kuintil bawah memperoleh bahagian mereka yang semakin kecil. Pengangguran dalam kalangan belia menimbulkan masalah yang merosakkan. Kira-kira dua pertiga rakyat Mesir yang di bawah 30 tahun dan dalam kumpulan umur itu merupakan kumpulan besar 85 hingga 90 peratus yang menganggur.
Kemudian muncul masalah kedua, iaitu kenaikan kos makanan yang melanda dunia beberapa bulan kebelakangan ini, dan Mesir tidak terkecuali yang merupakan pengimport terbesar di dunia bagi gandum. “Rakyat Mesir terutamanya,” tulis Lowrey, “mudah terjejas oleh kenaikan harga makanan kerana membelanjakan kadar tinggi luar biasa pendapatan mereka untuk makanan.” Memetik kajian Credit Suisse, “inflasi makanan merupakan isu spesifik” di negara itu, “mencecah lebih 20 peratus, antara yang tertinggi di dunia. Namun, sebagaimana kebanyakan penulis yang lain yang membahaskan peranan kenaikan harga makanan terhadap pemberontakan popular di dunia Arab, Lowrey juga tidak menyentuh perkara ini dalam konteks gabungan neoliberalisme. Seperti yang pernah dibahaskan oleh Philip McMichael sebelum ini, “dari perspektif fizikal dan kewangan, integrasi global rantaian penawaran, diet sosial, dan keadaan pengeluaran semula sosial yang mendasari ketenteraman yang dengannya virus harga makanan merebak ke seluruh dunia abad ke-21, menandakan krisis model pembangunan neoliberal.”
Sejak sekian lama, kerajaan Mesir dikatakan bersekongkol dengan Bank Dunia dan IMF – dua agensi antarabangsa yang bersama-sama kerajaan sayap kanan Amerika Syarikat dan Britain (Ronald Reagan dan Margaret Thatcher), melancarkan serangan balas neoliberal. (Pertumbuhan neoliberalisme sebagai ideologi ekonomi hegemoni dikatakan bermula pada zaman kedua-dua pemimpin ini mencerminkan pada takat tertentu imperatif baru modal yang dibawa oleh globalisasi kewangan.) Bank Dunia dan IMF menyembunyikan keadaan sosial yang terjejas dengan melaporkan gambaran ekonomi Mesir yang cerah. Hingga baru-baru ini, hanya kira-kira lima peratus rakyat Mesir dilaporkan hidup dalam kemiskinan yang hina, dengan pendapatan di bawah AS$1 sehari, dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Mesir tumbuh secara purata enam peratus setahun sepanjang enam tahun lalu.
Untuk beberapa tahun lalu, Mesir mengeksport 500,000 tong minyak sehari, nilainya AS$15 bilion setahun. Sepanjang lima tahun lalu, kiriman wang pekerja secara purata setinggi enam peratus KDNK dan pelancongan menyumbangkan pertumbuhan yang tinggi , manakala Mesir menarik AS$40 bilion dalam pelaburan langsung asing (FDI) antara tahun 2005 hingga 2009, satu pencapaian yang tinggi untuk benua Afrika. Dr. Ali Kadri dalam “Egypt’s Economy in Crisis” menyenaraikan pelbagai kejayaan ekonomi Mesir yang dibesar-besarkan itu.
Dengan kadar pengangguran kira-kira sembilan peratus, Mesir secara berterusan meliberalisasikan pelaburan, sekatan pemilikan dan perdagangan dan halangan aliran modal. Mesir terus meliberalisasikan perdagangan dengan mengetepikan kawalan kuantitatif dan tahap tarif yang tinggi. Selain itu, dasar monetari negara itu berjaya menyasarkan inflasi yang menjadi matlamat muktamad gedung neoliberal.
Di sebalik prestasi ekonomi habluran ini, tulis Ali Kadri, Mesir tidak boleh ditayang-tayangkan sebagai golden boy pasaran bebas seperti Tunisia. Tahap kemiskinan mutlak dapat dikesan dengan mudah, oleh berjuta-juta pelancong yang melawat Mesir setiap tahun. Hanya baru-baru ini dilaporkan bahawa “hampir separuh penduduk negara itu berpendapatan kurang AS$2 sehari, kebanyakan mereka berumur di bawah 30 tahun.” Selain kenaikan harga barang yang mencetuskan kemarahan rakyat, Mesir juga mengalami pertumbuhan ketidaksamaan pendapatan yang lebih pantas jika dibandingkan dengan pertumbuhan pendapatan. Dengan memetik makalah dalam akhbar al-Quds baru-baru ini, Ali Kadri cuba menunjukkan betapa teruknya ekonomi Mesir: dua peratus ekonomi, seperti yang berlaku ketika pemerintahan Raja Farooq, apabila dua peratus penduduk menguasai 98 peratus ekonomi.
Apa yang cuba dihujahkan oleh Ali Kadri ialah nyah sosialisasi besar-besaran bagi program sosial, yang bermaksud untuk menyokong dan mengekalkan taraf hidup yang memuaskan bagi orang yang bekerja, iaitu menjadikana golongan pekerja papa kedana, dan pertumbuhan relatif penduduk lebihan (yang menganggur) terbukti menjadi contoh terang-terangan pengkomoditian kehidupan manusia. “Orang yang bekerja dilayan sebagai komoditi.”
Seperti yang sering dihebahkan oleh media dan dikisahkan oleh Amerika Syarikat dan pemimpin dunia lain bahawa protes rakyat Arab terhadap pemimpin mereka, seperti yang berlaku di Tunisia, Mesir, dan disusuli oleh Libya dan Yaman ialah rakyat mendesak pemimpin mereka yang zalim dan korup meletakkan jawatan dan mereka menuntut demokrasi dan kebebasan. Dalam hubungan ini, Adam Hanieh berhujah bahawa pemberontakan Mesir bukan sekadar persoalan “peralihan,” bahkan juga persoalan perjuangan kelas. “Pemberontakan baru-baru ini,” bahas beliau, “menunjukkan secara tegas bahawa kelas masih merupakan dinamik utama untuk memahami mana-mana transformasi sosial.”
Bagi Hanieh, protes yang berlaku mempunyai kaitan rapat dengan persoalan kapitalisme di Timur Tengah, termasuk persoalan, pertama, krisis ekonomi global dan sifat neoliberalisme di Mesir, dan kedua, peranan Mesir dalam pola mampan penguasaan Amerika di rantau itu. Pemberontakan popular merupakan penghubung mereka dengan rantai protes yang tercetus sepanjang tiga tahun lalu dalam olak krisis ekonomi global. “Berdekad-dekad neoliberalisme mengikat ekonomi Mesir ke dalam pasaran ekonomi dunia dalam bentuk yang sangat tidak seimbang, dan sebagai akibatnya, krisis ekonomi itu memberikan impak yang sangat teruk terhadap majoriti penduduk di negara itu.”
Neoliberalisme menyebabkan Mesir lebih banyak terdedah pada krisis itu sendiri, iaitu semakin melebarnya jurang ketidaksamaan dan sekali gus, melemahkan mekanisme potensi sokongan sosial. Mesir merupakan contoh yang tepat tentang realiti di sebalik mitos bahawa “neoliberalisme menghasilkan kadar pertumbuhan yang pesat,” tetapi pada masa yang sama, menyebabkan taraf hidup yang semakin teruk untuk majoriti penduduk dan meningkatkan penumpuan kekayaan dalam tangan sebilangan kecil minoriti.
Intelektual Marxis, Samir Amin, juga bercakap dengan nada yang sama: neoliberalisme. Tegas beliau, tuntutan bukan sekadar Hosni Mubarak mesti meletakkan jawatan, tetapi juga tuntutan supaya sistem diubah, menamatkan sistem neoliberal yang bersekongkol dengan kediktatoran ketenteraan. “Ini perjuangan berlanjutan beberapa bulan, mungkin lebih lama.”
Krisis ekonomi 2008 - 2009 menyaksikan penolakan secara besar-besaran terhadap neoliberalisme. Jika ketika itu neoliberalisme tumpas di Amerika dan Eropah kini gagasan hebat Sekolah Chicago itu tumpas di dunia Arab. Justeru, Pemberontakan Arab kedua ini bukan sekadar menumbangkan rejim, tetapi juga menumpaskan sistem yang diperkenalkan oleh agensi antarabangsa, antaranya Bank Dunia dan IMF. Amerika Latin yang lebih dahulu menolak neoliberalisme kini sedang menunggu dunia Arab menganggotai “kelab mereka.”
No comments:
Post a Comment